Jas-du-it

Jasduit - Just do it !

05 December 2023

6 punca utama masalah kewangan dalam perniagaan yang sering berlaku kepada usahawan

  Ano Nyme       05 December 2023


Saya nak kongsikan berkenaan masalah kewangan dalam perniagaan. Ini memang masalah yang paling kerap diadukan kepada saya oleh kawan-kawan yang berniaga.

Anda yang berniaga tentu tahu bahawa ada banyak masalah dalam perniagaan.

Sebab itu tak menghairankan jika kajian menunjukkan bahawa lebih separuh dari syarikat gulung tikar dalam tempoh 5 tahun pertama berniaga.

Dalam banyak-banyak masalah yang disenaraikan, yang menyumbang kepada gulung tikar, wajib ada dalam senarai itu, masalah kewangan.

Dalam banyak-banyak masalah kewangan dalam perniagaan itu pulak, masalah paling besar yang sering berlaku adalah isu duit kering.

Bayangkan kalau dalam badan anda darah cair hilang sedikit demi sedikit sampai akhirnya kering. Secara adatnya memang akan membawa maut. Macam tu juga dalam perniagaan.

Duit yang boleh ditunaikan dalam perniagaan adalah sama macam darah cair dalam tubuh badan. Perniagaan akan bungkus jika duit tunai tak ada lagi dalam syarikat anda.

Dari situ jelas menunjukkan bahawa kemahiran menguruskan duit supaya tak kering adalah kamahiran yang sangat penting untuk dipelajari oleh semua usahawan.

2 cara elak duit kering

Macam mana nak elak masalah kewangan supaya duit dalam syarikat anda jangan sampai kering?

Secara logiknya, ada dua cara saja;

  • Sentiasa tambah duit dari luar masuk ke dalam perniagaan – Ini cara ringkas yang ramai juga amalkan bila duit kering. Asyik pam masuk duit untuk selesaikan masalah kewangan dalam bisnes anda.
  • Urus duit yang masuk dan keluar di dalam syarikat dengan betul – Ini cara paling selamat dan tak menyusahkan orang lain yang ramai usahawan tak mahu berikan tumpuan.

Dalam dua cara kat atas itu, cara ke-dua adalah lebih baik. Elakkan selagi boleh guna cara pertama. Sampai bila nak harapkan duit dari luar dipam masuk ke dalam syarikat. Masalah tak akan selesai kalau anda fokus cara tersebut.

Biasanya anda akan berhutang untuk dapatkan duit dari luar. Hutang bank atau agensi kewangan lain jika anda pandai yakinkan peminjam untuk bayar balik.

Jika institusi kewangan tak bagi, anda akan beralih kepada saudara mara. Kemudian kawan-kawan dan kenalan.

Bila semua dah tak jalan, ada yang sampai pinjam dari along. Itu dah masuk tahap bahaya. Biasanya sekali anda masuk ke perangkap along, teramat sukar untuk keluar dengan selamat.

Apapun yang berlaku, jangan pinjam dari Along. Biar bisnes bungkus, biar susah macam manapun, jangan sesekali ambil duit dari Along!

Urus duit keluar masuk

Selesaikan masalah kewangan perniagaan anda melalui pemantapan urusan perniagaan yang anda jalankan. Itulah yang sepatutnya berlaku.

Panjang berjela manapun untuk gambarkan perniagaan yang anda buat, ringkasan akhirnya yang paling penting adalah pusingan duit keluar dan masuk saja yang mampu membuatkan anda senyum atau masam.

Ada orang senyum bangga bila pi manapun orang kenal syarikatnya. Tapi senyum itu tak akan kekal lama jika hakikatnya ada masalah dalam pusingan duit keluar dan masuk.

Ada orang seronok bila pesaing puji dan kawan-kawan jadikan perniagaannya sebagai contoh ikutan. Tapi seronok tu juga akan padam sebaik saja taukeh pusingan duit keluar dan masuk yang bermasalah.

Kalau anda sedar tentang hakikat tersebut, perlu akui bahawa aktiviti menguruskan duit keluar dan masuk dalam perniagaan adalah kerja paling utama yang perlu diberikan tumpuan.

Macam mana nak pastikan anda menguruskan duit keluar dan masuk dengan betul dan baik supaya kewangan perniagaan anda cantik?

Cara paling mudah adalah dengan mengelakkan 6 punca berikut yang menjadi sebab utama perniagaan menghadapi masalah kekeringan duit. Saya berikan 6 sebab utama duit dalam syarikat perniagaan anda jadi kering.

1. Beroperasi di bawah titik pulang modal

Ini bab paling asas yang semua usahawan perlu tahu. Jadi saya terangkan panjang sikit atas dasar kepentingannya dalam sesebuah perniagaan.

Anda perlu faham apa itu titik pulang modal. Orang Putih sebut Breakeven Sales.

Kalau anda buat bisnes, tapi tak tahu apa itu breakeven sales, elok luangkan masa untuk ambil tahu dengan kadar segera. Tolong ambil tahu dan hadam sampai faham.

Bukannya susah pun sebenarnya.

Saya cuba terangkan dengan cara yang mudah dan ringkas kat sini.

Mustahak 1: Duit dalam syarikat anda tak akan kering jika jumlah duit yang masuk lebih banyak dari jumlah duit yang keluar.

Budak darjah satupun boleh faham point penting di atas tu.

Mustahak 2: Duit yang masuk itu wajib datang dari pelanggan.

Point ke-2 ni juga sangat mudah untuk anda faham.

Orang paling ideal yang perlu bagi duit kepada syarikat perniagaan anda adalah pelanggan. Bukan bank, bukan kawan, bukan MARA, bukan PUNB, bukan Cheti dan bukan Along.

Pelanggan hanya akan berikan duit apabila berlaku jualan. Oleh itu, anda perlu kuasai ilmu menjual. Beli buku pasal menjual dan baca sebanyak mungkin sampai faham.

Baca saja masih tak cukup. Perlu diamalkan supaya jadi cekap dan berkesan. Saya dah kongsikan pasal prinsip menjual dalam artikel yang lalu. Pergi baca kat sini jika belum baca lagi.

Berapa banyak jumlah yang anda perlu jual?

Mustahak 3: Jual sehingga duit yang anda dapat boleh selesaikan segala kos menyediakan produk / servis anda termasuk sekali dengan gaji anda sebagai taukeh yang bekerja.

Yang ini agak susah sikit terutamanya bagi mereka yang tak berapa cekap matematik. Kena terang secara berdepan, buat kiraan sendiri satu persatu sampai jelas.

Bagi yang cekap matematik, saya yakin anda boleh buat sendiri dengan mudah.

Supaya kiraan lebih mudah, anda perlu buat kiraan untuk aktiviti perniagaan satu bulan. Tetapkan berapa gaji yang anda perlukan sebulan, berapa gaji tetap pekerja sebulan, berapa sewa premis atau peralatan, berapa komitmen hutang kalau ada, dan lain-lain kos tetap.

Kira juga berapa kos bahan mentah atau kos jualan lain sebulan. Jangan terlepas satu pun kos yang ada. Tak kira samada kos logistik, kos selengara, kos barang rosak, kos belanja pelanggan dan apa saja kos yang memang berlaku.

Kira untung kasar: Untung kasar perniagaan anda adalah jumlah Jualan tolak kos jualan.

Kos jualan: Ini adalah kos yang terpaksa anda keluarkan bila berlaku jualan. Ertinya kalau jualan tak berlaku, tak ada kos. Saya dah buat satu artikel pasal untung kasar ni. Boleh buat carian kalau berminat nak baca.

Kos tetap: Ini merupakan semua kos yang anda perlu hayar setiap bulan tak kira samada berlaku jualan atau tidak. Samada anda cuti atau tidak. Contohnya sewa kedai. Tak ada jualan sebulanpun, sewa tetap kena bayar. Sebab itu kita panggil kos tetap.

Untung bersih: Untung kasar yang anda dapat boleh digunakan untuk bayar semua kos tetap perniagaan anda. Baki setelah ditolak semua kos tetap itu merupakan untung bersih perniagaan ada sebelum cukai.

Titik pulang modal: Jika dengan hasil jualan yang anda dapat itu, ditolak semua kos dan akhirnya perniagaan anda tak untung dan tak rugi, ertinya Untung bersih anda +/- RM0. Jumlah jualan itulah dinamakan sebagai titik pulang modal.

Jadi persoalannya sekarang berapa Titik Pulang Modal perniagaan anda. Berapa jumlah sales dalam RM yang anda perlu jual supaya bisnes tak untung dan tak rugi.

Bila anda dah tahu jumlah jualan tersebut. Nombor itu akan jadi satu angka keramat yang anda perlu pantau setiap hari, minggu dan bulan. Pastikan anda sentiasa melepasi jumlah jualan tersebut.

Contohnya anda perlu menjual paling rendah RM26 ribu sebulan supaya bisnes anda tak rugi. Ini bermaksud anda kena jual sehari RM 1 ribu ( ambil kira waktu cuti tak berniaga)

Setiap hari anda perlu kira hasil jualan yang berlaku. Kalau dah tengahari jualan masih di bawah RM500, anda sedar bisnes anda akan hadapi masalah jika dibiarkan berterusan begitu.

Elakkan dari berlaku macam itu. Cari jalan dan buat apa saja yang patut untuk atasi masalah supaya jualan meningkat.

2. Tak kawal hutang

Ini sebab kedua bisnes hadapi masalah kewangan.

Kalau anda buat polisi tunai sahaja untuk setiap transaksi perniagaan anda, anda akan selamat dari masalah ini.

Sebab itu ramai orang yang teringin nak bisnes macam kedai mamak. Semua orang yang masuk ke situ akan bayar tunai dan tak ada konsep buka buku 3×5.

Masalah hutang ni biasanya berlaku pada perniagaan yang tumpukan pada pelanggan korporat, kerajaan atau entiti perniagaan. Lagi besar entiti perniagaan yang jadi pelanggan anda, lagi besar risiko hutang tak terkawal.

Entiti perniagaan besar korporat dan seumpamanya banyak menganiaya usahawan-usahan kecil yang jujur kat luar sana sampai bungkus. Jadi berhati-hati!.

Banyak perniagaan yang bungkus walaupun kerja banyak tak berhenti, sales tinggi tapi tak dapat pembayaran sampai akhirnya duit terus kering tak mampu sara operasi perniagaan lagi.

Oleh itu, pastikan anda ada polisi hutang. Berapa had hutang yang dibenarkan untuk setiap pelanggan, berapa tempoh lama berhutang dan apa prosedur yang anda tentukan untuk kutip hutang.

3. Hutang lapuk bertambun

Daripada kes nombor 2 kat atas tu, akan membawa kepada masalah ini.

Syarikat korporat besar lambat bayar. Anda ada polisi tapi tak berani nak pakai.

Jumlah hutang sepatutnya dah maksimum. Tapi kalau anda berhenti berikan khidmat atau berikan bekalan pada korporat (keparat) itu, risau pulak nanti hilang sales.

Maka anda teruskan juga layan dia. Jumlah yang dia bayar sentiasa lebih rendah dari kerja yang anda dok buat. Akhirnya hutang bertapok naik semakin tinggi.

Dan akhirnya anda terpaksa bungkus. Pembekal akan kejar anda dan gaji pekerja dah tak mampu bayar dan last sekali lari malam.

Syarikat korporat itu mudah saja ambil syarikat kecil lain pula untuk di-aniayakan sampai bungkus. Dan begitulah seterusnya …

4. Duit terpendam pada stok lama

Satu lagi perangai usahawan baru nak naik ini adalah kepercayaan yang dia perlu pamerkan stok yang banyak. Bila ada banyak barang baru menarik dan jualan akan mencacak naik.

Dia sanggup buat hutang dari mana saja agensi kewangan yang ada semata-mata untuk banyakkan stok barang.

Kalau semuanya terjual dalam tempoh yang pantas, tak apa. Bagus tu. Tapi kalau banyak yang tak terjual daripada yang dijual, anda akan hadapi masalah duit kering juga.

Duit terpendam pada stok lama yang tak terjual tu.

Jangan biarkan perkara tersebut berlaku pada perniagaan anda. Sentiasa kawal dan kira stok. Dalam bahasa akaun di panggil ‘stock ageing’. Berapa bulan stok itu terpendam tak terjual.

Uruskan stok tersebut untuk ditukarkan menjadi tunai dengan buat jualan runtuh sampai habis dengan harga tak rugi. Bila dapat duit, beli stok barang yang lebih laju terjual.

5. Modal buat kerja tak cukup

Bila anda buat kerja bisnes tu, perlu kira pusingan duit masuk dari mula anda mula buat kerja sampai siap dan sampai dapat semua bayaran.

Bila dah dapat bayaran baru anda ada duit semula untuk buat kerja lagi dan jual pula sampai dapat bayaran.

Kesilapan ramai usahawan adalah bila dia tak kira kesemua tempoh itu dan bayaran masih tak dapat. Duit semua terpendam dalam proses pengeluaran. Dan dia gatal ambil pulak tempahan dari pelanggan baru.

Itu akan membuatkan anda mendapat rencatan letrik duit tak cukup untuk buat kerja. Modal pusingan tak ada dan buat kerja sekerat jalan. Ini engundang kepada seribu satu lagi masalah dan mampu mebuatkan anda gulung tikar juga.

6. Taukeh kaki joli

Bila taukeh kaki joli, suka menunjukkan yang dia berjaya dengan habiskan duit perniagaan yang ada.

Kes ini lebih mudah berlaku jika anda ada kemudahan kewangan seperti Overdarft. Atau pinjaman softloan dari MARA atau PUNB anda telah diluluskan.

Bila duit tunai ada banyak dalam akaun syarikat, taukeh kaki joli akan cepat rambang mata. Dia akan habiskan duit yang belum lagi menjadi kepunyaannya.

Elakkan buat macam itu. Kekalkan hidup sederhana tak payah nak menunjuk kat orang anda berjaya dengan pamerkan gaya hidup yang kononnya hebat.

Itu jalan yang paling selamat.

Kalau orang tak mahu kawan sebab anda tak punya kereta mewah, tak payah tukar kereta. Lebih baik tukar kawan, lebih bijak begitu.

Sentiasa elak masalah kewangan

Saya dah berikan 6 punca yang boleh membuatkan pernigaan anda hadapi masalah kewangan.

Segera amalkan semua tersebut kat atas itu dan disiplinkan diri tahan emosi.

Semakin banyak anda elak jalan yang silap, semakin terang dan jelas anda lalui jalan yang betul …

Selamat beramal !

logoblog

Boleh Like dan Share artikel ini di akaun Medsos anda. Terima Kasih sudi luangkan masa membaca artikel, 6 punca utama masalah kewangan dalam perniagaan yang sering berlaku kepada usahawan

Previous
« Prev Post

No comments:

Post a Comment

Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !