Jas-du-it

Jasduit - Just do it !

17 December 2023

Kenapa orang suka pergi makan di mana saja kedai yang viral walaupun terpaksa tunggu lama

  Ano Nyme       17 December 2023


Perkataan viral hanya masuk dalam perbendaharaan kata saya dalam tempoh 10 tahun kebelakangan ini saja. Sebelum tempoh masa itu tak wujud lagi perkataan ini. Ertinya, bukan sebagaimana yang umum fahami sekarang. 

Jika anda tanya 10 ke 15 tahun dulu tentang perkataan viral, akan dapat maklumat bahawa ia adalah satu perkataan yang berkait rapat dengan virus. Viral adalah perkataan Bahasa Inggeris yang bermaksud sesuatu perkara yang berlaku disebabkan oleh virus.

Di era popular nya penggunaan media sosial, perkataan viral mula digunakan untuk membawa maksud sesuatu image, video atau maklumat yang dikongsikan secara pantas dari satu pengguna internet ke satu pengguna internet lain.

Jika anda rujuk kepada asal penggunaan perkataan 'goes viral', ada di nyatakan bahawa ia bermula di penghujung abad ke 20 yang memberi maksud sesuatu perkara yang dikongsikan oleh masyarakat setempat secara berjangkit dengan pantas seperti mana berjangkitnya serangan virus.

Perkataan itu juga, sekarang dijadikan satu terma pemasaran oleh mereka yang mahu lariskan perniagaan mereka. Ada yang sampai tak kisah ia benar-benar viral atau tidak, akan tetap menggunakan tema produk mereka sebagai produk viral.

Contohnya seorang peniaga nasi lemak yang buat poster 'nasi lemak viral', untuk dipamerkan pada banner kiosk nya. Atau penjual buat banner di page FB dengan perkataan produk viral dengan harapan orang tertarik untuk singgah sebab nak cuba produk viralnya.

Dalam kes di atas tu, nampak jelas ia sudah disalah gunakan jauh dari maksud asalnya. Ada unsur penipuan juga apabila produk yang tiada siapa kenal, tiada siapa kongsi laju, didakwa sebagai viral. Mungkin mereka masih tak faham bahawa viral bermakna seperti yang saya sebutkan di atas tadi. Bukan syok-syok sendiri label produk viral sedangkan ia langsung tak dikenali dan diperkatakan ramai orang.

Makan roti canai bakar arang

Ada sebuah kedai makan viral yang dikenali sebagai Roti canai Kayu Arang di Melaka. Ia diperkenalkan oleh seorang kawan ketika saya datang bersamanya ke Bandar Melaka atas urusan kerja tahun sudah.

Seperti namanya, kelainan kedai itu adalah, roti canai yang dibakar atas kuali menggunakan kayu arang. Kali pertama makan, memang terasa ada perbezaan dari segi tekstur roti. Di luarnya garing rangup manakala di bahagaian dalamnya pula lembut dan masak sempurna. Sedap terutamanya dimakan ketika masih panas.

Ia dihidang bersama kuah dal kuning dicalit sedikit sambal. Tiada apa yang istimewa terhadap kuah itu. Dari segi rasa, sama saja dengan kebanyakan kuah dal di kedai roti canai tempat lain. Kalau ada bezapun, mungkin dari segi kepekatan kuah dal. Di situ sangat pekat.

Bagi saya, kuah dal paling sedap pernah saya makan adalah dari Restoran Cathay di Bukit Mertajam (kedai itupun dah tak ada sekarang). Dulu kalau balik kampung, salah satu syarat yang mesti dipenuhi adalah pergi makan atau bungkus roti canai di restoran tersebut. 

Kuah dal campur kari yang disiram atas roti canai yang dah dicarik kecil sangat lazat rasanya melekat dalam ingatan sampai sekarang. Saya masih tak jumpa satupun kedai yang dapat menggantikan kesedapan yang ditawarkan oleh kedai tersebut. Roti canainya juga luar biasa lembut dan masak sekata.

Point yang nak saya sebut adalah, sekalipun kedai roti canai bakar arang tu viral, ia tidaklah selazat sebagaimana yang saya jangkakan. Tertanya-tanya juga saya kenapa ia viral?

Viral tak semestinya terbaik

Minggu ini saya ke Bandar Melaka sekali lagi atas urusan kerja. Tercerita pasal kedai roti canai itu kepada kawan yang bersama saya dan dia ingin nak cuba ke sana sekali. Maka dengan berat hati saya setuju.

Walaupun ada sarapan di hotel tempat menginap, kami hanya makan salad dan buah potong saja di hotel. Lepas itu terus naik kereta, buka waze dan cari Kedai Roti Canai Bakar Arang yang lebih kurang 4 Kilometer saja dari hotel.

Bila sampai, sama juga seperti ketika pertama kali makan di situ, sudah ada satu barisan panjang menunggu giliran masing-masing untuk diambil tempahan dan diberikan tempat duduk untuk makan.

Tempat letak kereta dah ada penjaga sekarang. Orang ramai datang tak putus-putus dari mula kami sampai sehingga habis makan dan balik. Begitulah hebatnya kedai tersebut. Kebanyaknnya datang satu keluarga ramai-ramai. Yang tua terpaksa cari kerusi untuk duduk sementara yang muda ambil barisan menunggu giliran.

Saya perhatikan sesekali akan ada yang sampai, suami isteri, dukung anak kecil, masuk barisan dan tak lama kemudian kelihatan keluar barisan dan balik. Mungkin fed-up menunggu giliran sampai. Mereka rasa tak berbaloi berada di situ menahan lapar. 

Saya dapat fahami perasaan mereka dan biasanya saya juga akan buat begitu di mana-mana saja kedai viral yang terpaksa beratur panjang. Tak berbaloi bersungguh-sungguh sedemikian hanya untuk memanjakan tekak.

Saya dan kawan tetap beratur sambil berbual sehingga leka dan terlupa akan siksaan menunggu. Akhirnya sampai giliran kami. Walaupun kebiasannya, sekeping rotai canai kosong dah mencukupi, tapi kami minta 2 keping seorang sepinggan bersama 2 gelas nescafe. Bayar RM9.80 dan dia bagi nombor untuk pergi ambil tempat duduk.

Ada berbagai menu sebenarnya. Saya lihat ramai yang order nasi lemak bersama satay.. Mungkin menu itu juga sedap, tapi saya tak mau ambil tahu sebab tujuan ke situ adalah untuk makan roti canai.

Sambil makan sambil tanya kawan, apa rasanya?

Dia kata biasa saja, cuma sedikit rangup.

Jadi kenapa agaknya berpusu-pusu datang dan sanggup beratur?

Kawan jawab, mungkin semua orang sama seperti dia. Bukan orang Melaka, pertama kali dapat tahu tentang roti canai bakar kayu arang dan teringin nak cuba sekurangnya sekali bila kebetulan dah sampai Melaka.

Ringkasnya, dia datang hanya disebabkan viral.

Viral bermakna ikut-ikutan

Salam satu sifat manusia yang sangat ketara adalah ikut-ikutan. Di mana orang ramai berkumpul, maka disitu semua orang turut ikut sama nak berkumpul. Di mana kedai ramai orang beratur, maka di situ juga akan datang lebih ramai orang turut sama beratur.

Sama juga dengan fenomena viral. Anda akan kongsikan maklumat, video atau imej yang ramai orang sudah kongsikan. Tak mahu terlepas peluang menjadi salah seorang yang menyumbang kepada kejadian viral. Paling penting, mahu dilihat bahawa dia terpasak dalam kumpulan mereka yang bermaklumat seperti mana semua orang lain yang kongsikan maklumat tersebut.

Adas kalanya, nilai maklumat yang dikongsikan adalah bertaraf sampah, tetapi tetap dikongsikan juga. Ada masanya, sumber maklumat meragukan, tetap dikongsikan juga. Dan ada masanya, maklumat adalah tidak pasti, tetap mahu dikongsikan juga.

Jelas kelihatan setiap maklumat yang masuk ke dalam telefon mereka tidak dibaca, dinilai secrata kritikal. Yang penting hanya perlu ikut apa yang orang lain buat, kongsikan saja. 

Tidak menghairankan apabila saya pernah terbaca bahawa peratusan manusia yang mampu menggunakan akal mereka untuk aktiviti berfikir adalah kurang dari 5% sahaja. Dalam 100 orang yang anda jumpa, 95 bersedia untuk ikut saja dan hanya 5% lagi saja yang akan membuat penilaian terlebih dahulu sebelum menentukan tindakan selanjutnya.

Itu menyumbang kepada fenomena viral. Yang pentingnya ia seiring dengan apa yang anda percaya, atau menghiburkan, atau menimbulkan kemarahan atau membantu kehidupan seharian anda. Itu syarat penting untuk sesuatu menjadi viral.

Faktor kedua adalah perlu ada sekurangnya 3 orang yang sudah mula kongsikannya. Bila 3 jadi 6 kemudian mula berganda dan akhirnya menjadi viral atas dasar ikut-ikutan. 

Sekalipun ada maklumat yang menarik, menghiburkan atau menimbulkan kemarahan, atau memudah hidup, jika tidak ada permulaan sekumpulan kecil 3 ke 6 orang tadi, ia tak akan jadi viral. Faktor mula ikut itu sangat penting dan jika kena gayanya anda boleh rancang kejadian viral ini dengan baik.

Majoriti mahu dipergunakan

Salah satu sifat manusia yang sangat penting terutamanya di zaman dahulu kala adalah untuk pastikan dirinya relevan dan sama seperti yang lain. Gagal untuk memenuhi keadaan itu bakal membuatkan anda tersingkir dari kumpulan dan mampu menyebabkan anda dimakan oleh binatang buas.

Dalam suasana maju dan berbeza jauh dari zaman primitif dahulu, sifat itu nampaknya masih tidak berevolusi untuk disesuaikan diri dengan keadaan. Terutamanya buat anda yang malas, untuk pastikan selamat, anda hanya perlu ikut apa yang orang ramai buat. Itu jalan singkat dan tak banyak tenaga fikiran diperlukan. Itu juga menepati salah satu dari ciri-ciri semula jadi manusia, jimatkan tenaga.

Bagi kumpulan yang mampu berfikir seperti yang saya sebut 5% di atas tadi, sifat semula jadi manusia itu mampu digunakan untuk kepentingan mereka samada untuk kuasa atau harta kekayaan.

Kumpulan 5% akan pastikan kumpulan 95% bekerja melaksanakan apa yang 5% mahu, dalam keadaan mereka terperangkap dalam pusingan berulang tak boleh keluar. Sama seperti seorang hamba abdi di zaman dahulu yang setia dengan tuannya dan sekalipun disuruh bebas dia masih teragak-agak untuk bebas sebab sudah selesa dengan keadaan hidup sedemikian.

Manusia sekarang yang bertungkus lumus kerja untuk kepentingan elite 5% di atas adalah jauh lebih teruk dari hamba abdi zaman dahulu. Sekurang-kurangnya, zaman dulu, hamba abdi sedar dia hamba dan boleh pilih samada nak terus jadi hamba atau mahu bebaskan dirinya dari perhambaan dengan jalan tebus diri. Tapi hamba kerja sekarang berada dalam ilusi kononnya dia bebas merdeka sedangkan dia adalah sama seperti hamba yang tidak sedar sampai ke mati.

Jika anda buka mata, pekakan deria dan lihat keadaan manusia sekarang, tentu jelas nampak betapa majoriti sentiasa di hayun ke kanan dan ke kiri ikut saja apa yang dicetuskan oleh semua mesin propaganda yang ada. Mereka tak sempat keluar dari perangkap propaganda selagi alat perhubungan masih ada di tapak tangan.

Buka saja media massa, media sosial, apa yang akan anda fikirkan sudah lengkap disediakan. Tak payah susah-susah merenung sebentar, muhasabah diri, tadabbur Quran, mengenal diri, melatih logik, mencari bukti atau lain-lain seumpamanya. Follow saja.

logoblog

Boleh Like dan Share artikel ini di akaun Medsos anda. Terima Kasih sudi luangkan masa membaca artikel, Kenapa orang suka pergi makan di mana saja kedai yang viral walaupun terpaksa tunggu lama

Previous
« Prev Post

1 comment:

  1. Ini semua adalah permainan fikiran....bila disukai ramai macam bagus walaupun realti tidak sedemikian

    ReplyDelete

Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !