Jas-du-it

Jasduit - Just do it !

25 December 2023

Kepercayaan masyarakat dalam mengukur kejayaan daripada kereta yang dipandu oleh seseorang

  Ano Nyme       25 December 2023


“Hang sepatutnya dah pakai kereta mewah ni!”
komen seorang kawan yang saya kenal sejak zaman belajar di UiTM dulu. Dia kerja makan gaji, ambil cuti sambung belajar dan selepas tamat, sambung kerja semula. Sejujurnya, saya cemburu dengan apa yang dia dapat. Murah rezekinya.

Saya pula selepas habis belajar kerja makan gaji sebentar kemudian terjun berniaga. Kami kekal berhubung tapi jarang jumpa sebab dia di Selangor dan saya pula di sebelah utara.

Selepas tinggalkan semua bisnes di utara, saya berhijrah ke Lembah Kelang. Berniaga di sana pula. Bukan niat nak kekal tinggal di Lembah Kelang, tapi semua keadaan yang berlaku membuatkan saya akhirnya kekal teruskan perniagaan di lembah paling maju di Malaysia ini.

Ketika awal datang ke Lembah Kelang itu baru kami sempat bertemu sekali sekala. Dan soalan itu keluar satu hari ketika kami mengeteh sebentar di sebuah kedai mamak di KL.

Dunia perniagaan sebenar

Di sini, saya bertungkus lumus setiap hari berusaha untuk pastikan diri dan syarikat perniagaan kekal terapung. Jika syarikat tenggelam, tiada siapa yang sudi membantu melainkan diri sendiri. Lagipun, bila seseorang usahawan sedang tenggelam, dia biasanya tak sanggup hadapi kenyataan itu, lalu disorokkan keadaan sebenar perniagaannya, supaya tiada siapa yang sedar kecuali kakitangan syarikat.

Memang tak mampu untuk sorokkan keadaan dari kakitangan syarikat sebab mereka perlu dibayar setiap hujung bulan. Kerani pula kerjanya semak kedudukan duit untuk buat segala pembayaran yang dah sampai waktu. Bila syarikat sedang lemas, sekejap saja mereka dah dapat kesan.

Tapi, yang best-nya jadi pekerja ni, majoriti nya tak ambil peduli semua masalah itu. Bab selamatkan keadaan bila syarikat tak ada duit adalah kerja Taukeh. Yang mereka nak tahu adalah setiap bulan, gaji mereka perlu dibayar. Ada atau tiada duit bukan masalah mereka.

Apabila syarikat ada banyak duit, hasil dari keuntungan perniagaan, mereka semua ambil peduli dan menuntut sebahagian daripada hasilnya dengan kepercayaan semua itu tak mungkin ada tanpa sumbangan pekerja. Jika Taukeh tak bagi, dia akan dianggap kemut dan bukan seorang Taukeh yang baik dan bakal dibenci.

Dalam dunia pekerja, seorang Taukeh yang baik adalah dia yang bila rugi tanggung 100% semua kerugian itu, dan bila untung pula, perlu dibahagikan kepada semua orang.

Itu perbezaan antara seorang Taukeh berbanding pekerja. Begitu juga perbezaan yang ada antara saya dengan kawan yang tanya soalan di atas tadi. Cara berfikir tak sama dan semua itu bukan disengajakan. Saya faham duduk keadaan sebenar dalam perbezaan yang ada itu.

Bagi orang yang tak pernah berniaga, sekadar dengar cerita dan melihat saja dari luar, gambaran yang dia dapat terhadap seorang usahawan adalah seumpama pepatah orang putih, 'the tip of the iceberg'. Dia hanya nampak sedikit saja dari keadaan sebenar, yang tenggelam di bawah permukaan air itu. Di bawahnya jauh lebih besar.

Banyak syarikat tak untung

Keadaan sebenar yang berlaku dalam setiap syarikat kecil dan sederhana di luar sana adalah agak menyedihkan. Data yang terkini saya lihat di Amerika, hanya lebih kurang 40% syarikat saja yang buat untung. 30% dari mereka rugi manakala 30% lagi cukup makan, atau balik modal saja, tak untung tak rugi.

Itu statistik yang agak baik, sebab sebelum ini saya ada tengok data perniagaan di UK yang lebih menyedihkan.

Data untuk bisnes kecil di Malaysia pula saya tak ada. Tapi saya yakin lebih kurang sama saja keadaannya. Iaitu, jumlah perniagaan yang buat untung adalah tak banyak. Dalam 10 orang Taukeh yang anda jumpa, hanya 4 orang saja yang perniagaannya buat untung. 3 orang alami kerugian dan 3 orang lagi cukup makan.

Kereta mewah tanda berjaya

Balik semula kepada soalan yang kawan tanya di awal artikel. Dia beranggapan, oleh kerana saya dah agak lama berniaga, tak silap saya masa jumpa tu saya dah berniaga lebih dari 5 tahun, maka saya sepatutnya dah mampu pakai kereta mewah.

Itu tanda kejayaan. Atau ayat yang lebih lembut para usahawan selalu sebut adalah, menyatakan tanda penghargaan pada diri sendiri.

Semua itu salah faham yang jauh tersasar dari keadaan sebenar. Untuk maklumat, sesebuah perniagaan hanya stabil dalam tempoh paling cepat selama 5 tahun dari mula ia menjalankan perniagaan. Ada juga yang ambil masa hingga 7 tahun.

Itu baru stabil. Ertinya akan terus bergerak ke depan untuk mula mencatatkan keuntungan, dalam keadaan yang terkawal. Bisnes yang berjaya lepas tempoh 5 tahun awal semakin kurang kemungkinannya untuk gulung tikar. Itu saja, belum masuk bab buat duit banyak atau sikit, atau untung atau rugi lagi.

Dari data yang saya berikan tadi, tak ramai yang buat duit. Ada masa untung, ada masa rugi dan begitulah timbul tenggelam cuba bertahan selama boleh bulan demi bulan, tahun demi tahun.

Dan salah satu cara paling mudah untuk tutup semua keadaan itu adalah dengan pakai kereta mewah. Nasib baik loan lepas, dapat projek bonus untuk lepas bayar down payment dan akhir Taukeh mampu pakai kereta BMW atau Merz. Dengan harapan kereta mewah itu jadi umpan untuk tarik lebih banyak bisnes.

Itulah antara sebab yang dipercayai oleh usahawan. Pakai kereta mewah adalah bertujuan untuk aktiviti pemasaran. Kononnya, bila dia lalu bawa kereta tu, berhenti singgah kedai makan, orang akan tengok dia keluar dari kereta mewahnya, dan dia akan dikenali. Seterusnya syarikatnya dikenali dan dianggap kukuh. Mudahlah dapat bisnes.

Usahawan yang berjaya. biasanya pakai kereta mewah. Itu kepercayaan masyarakat di negara kita. Malah di seluruh dunia kepercayaan itu dipegang oleh semua manusia moden sekarang. Ideanya adalah dari aktiviti pemasaran para pembuat dan penjual kereta mewah tersebut. Mereka telah berjaya menghasut cara berfikir manusia satu planet bumi.

Semua terikat saling menjerut. Ada usahawan yang sedar dan tahu bahawa berjaya tidak semestinya kena pakai kereta mewah. Tapi dah masyarakat anggap begitu, siapalah dia cuba nak lawan, maka dia pakai juga kereta mewah. Walaupun diri terasa sakit, tanggung bebanan kos kereta mewah tu, tapi demi status, telan juga.

Siapa pakai kereta mewah

Memang ada orang yang layak pakai kereta mewah dalam 40% golongan peniaga yang bisnes nya untung yang saya sebut tadi. Tapi bukan semua perlukan untuk faedah perniagaannya. Bagi bisnes yang terlibat dalam dunia glamor, kereta mewah terpaksa ada.

Bagi Taukeh yang kerjanya buat bisnes di belakang tabir, tak ada kena mengena dengan dunia glamor, tak perlu sama sekali. Lebih baik pakai kereta yang reliable seperti jenama jepun yang second hand, itu lebih bijak. Kos selenggara jimat, nilai jual juga tinggi. Bawa pun sedap dan selesa tapi tidaklah se glamor jenama continental atau jenama sport, super brand atau super power dan seumpamanya.

Jika yang berniaga baru sekejap dah pakai kereta mewah, biasanya dia buat bisnes pakai kroni yang ada kaitan dengan kontrak kerajaan. Itu yang saya perhatikan dari dulu lagi. Disebabkan duit dapat mudah, dia biasanya mudah juga untuk belanjakan duit tu. Atau dia labur duit pakai kereta mewah untuk tarik kepercayaan penguasa berikan kontrak. Kaki rasuah dalam kalangan staff kerajaan sangat sukakan kontraktor yang kelihatan banyak duit dan mudah habiskan duit. Mudah untuk mereka tumpang sama habiskan duit rakyat.

Bagi yang buat bisnes open market, bergelumang susah macam saya, sekupang yang keluar adalah amat berharga. Setiap sen perlu dijaga dan dinilai dengan teliti. Jadi tak mudah untuk belanja duit beli kereta mewah jika tak ada keperluan.

Dengan keadaan perniagaan yang bukan selalunya baik, adalah lebih bijak untuk berhati-hati berdasarkan kemampuan. Biar tak glamor asalkan hidup lebih stabil dan keadaan mental tidak terlalu berhayun dengan ayunan yang lebih rendah. Kos tekanan mental bagi saya adalah sangat parah dan tidak berbaloi untuk dihadapi dengan kerap dan berat pula.

Kalau syarikat besar nak bagi kereta mewah kepada CEO, itu memang boleh sangat sebab memang mereka sangat mampu. Ada banyak faedahnya pula kepada syarikat tersebut dari segi cukai, imej dan daya tarikan terhadap para pekerja yang hebat untuk turut serta minat kerja di sana.

Bagi syarikat kecil, tak payah la nak gatal. Apatah lagi jika anda berniaga di pasaran terbuka.

Letak keyakinan diri pada kereta

Ada beberapa buku yang saya baca yang merumuskan bahawa ‘anda bukanlah kereta apa yang anda pandu, bukan juga rumah besar mana yang anda diami’.

Alasan perlu kepada kereta mewah dan gaya hidup mewah untuk meyakinkan orang ramai bahawa diri hebat dan berjaya menunjukkan keyakinan telah diletakkan kepada kebendaan.

Bagi orang yang bijak memerhati, sebenarnya di situ saja sudah menunjukkan kenapa orang tidak yakin pada diri anda selama ini. Tak lain tak bukan kerana anda tidak yakin pada diri sendiri. Selagi tidak ada keyakinan pada diri sendiri, pakailah kereta besar manapun, akan terbongkar juga kelemahan itu.

Untuk jangka panjang, meletakkan keyakinan pada kenderaan atau kebendaan lain adalah amat merugikan. Keyakinan perlu diletakkan hanya kepada Tuhan. Tidak selainnya. Buat keputusan berdasarkan yang benar dengan memberikan tumpuan kepada tugasan dan tanggung jawab. Selainnya serahkan pada Tuhan.

Jika anda benar-benar mampu, bisnes untung banyak, pakailah kereta mewah dengan tujuan untuk belanjakan keuntungan tersebut kepada faedah syarikat. Itu kelebihan syarikat sebab duit baki selepas dibelanjakan baru dikira untuk dicukaikan.

Jika makan gaji, gaji banyak mana sekalipun, lebih bijak elakkan dari membeli kereta mewah. Tak berbaloi. Lebih baik belanja duit tu kahwin seorang lagi. Melainkan syarikat yang bagi kereta tu, ok saja.

logoblog

Boleh Like dan Share artikel ini di akaun Medsos anda. Terima Kasih sudi luangkan masa membaca artikel, Kepercayaan masyarakat dalam mengukur kejayaan daripada kereta yang dipandu oleh seseorang

Previous
« Prev Post

5 comments:

  1. Article yang agak panjang dan relative cuma di akhir para yang jelas mentality melayu...kahwin lagi satu.

    Tanggung jawab kepada yang satu belum tentu sempurna atau dekat sempurna dah nampak tumpuan kelaut...apa keperluan kahwin lagi satu sedang yang ada belum diperbetulkan?

    ReplyDelete
    Replies
    1. Setuju .. kahwin lagi satu bagi saya adalah perkara paling akhir untuk dibuat. Itulah perumpamaan betapa tak berbaloinya beli kereta mewah. Terima kasih

      Delete
    2. Merepek je kereta mewah, ianya kehendak bukan keperluan. Ada kawan yang pakai baru beberapa tahun, jual balik! tak berbaloi, sendiri tanggung maintenance yang agak tinggi.
      Bab kahwin satu lagi pun kena fikir banyak kali, kalau mampu pun kena ingat, pompuan sekarang macam-macam dia minta! last-last duit poket tinggal syiling menuju ke hujung bulan!

      Delete
  2. Salam Mohd Shubhi

    Tidak bermaksud menghina hanya pandangan. Nama anda dekat dengan allahyarham pak cik saya bekas pengelola Majalah 3 TV3 Subohi Mohd Yatim yang pernah bersama Tun Dr Mahathir ke China.

    Antara sebab hanya berkongsi pandangan saya dan Isteri selang berapa bulan akan ke jenjang 40 tahun bernikah dan 37 dari nya kami berhijrah ke merata dunia bumi Allah yang indah bersama.

    Semoga anda berjaya, insya Allah.

    MLN

    ReplyDelete
    Replies
    1. Waalaikomsalam! Alhamdulillah dan tahniah. 40 tahun dah lalui perjalanan dunia perkahwinan yang lama. Dikurniakan rezeki berhijrah ke merata dunia pula tu, satu dalam sejuta dikurnia nikmat sedemikian. Moga kekal bahagia bersama pasangan. Terika kasih sudi komen di sini.

      Delete

Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !