Jas-du-it

Jasduit - Just do it !

22 February 2024

Apa yang anda kena bayar - Perbandingan antara hidup di kampung pedalaman 'vs' Bandar

  Ano Nyme       22 February 2024


Di medsos, saya tulis betapa hidup di pedalaman amat membahagiakan berbanding hidup di bandar terutamanya dari segi kos hidup. 

Ada kawan komen itu hanya sesuai untuk mereka yang dah pencen. Bagi anak muda, masuk pedalaman hanya untuk aktiviti hiburan lasak. Mereka hanya masuk sambil bawa khemah dan moto cross dan seumpamanya sahaja untuk berada di sana buat sementara waktu.

Memang betul pendapat itu. Ia melambangkan betapa pemikiran manusia kebanyakkannya sudah berubah dalam menentukan di mana mereka akan tinggal. Moden bererti tinggal di tempat yang maju dan berkembang sahaja. Moden juga bererti meninggalkan cara hidup tradisi yang dianggap tidak berkualiti.

Manusia moden juga tidak pernah persoalkan keperluan untuk berkembang maju. Ia sudah jadi satu kemestian dengan andaian bahawa semua kemajuan itu adalah baik. Bagi orang yang menolak kemajuan, ia dianggap ketinggalan zaman atau kolot.

Bukan semua kemajuan itu baik

Atas nama kemajuan, banyak kerosakkan telah manusia lakukan. Lihat saja kemajuan dari segi persenjataan. Bukan saja ia mampu membunuh manusia, malah habis bumi rosak dan dicemari untuk tempoh jangka masa yang lama.

Zaman sekarang hampir semua orang memiliki telefon pintar. Ia satu kemajuan dari segi teknik perhubungan. Dapat dekatkan yang jauh dengan alat itu. Dengan alat itu juga habis semua yang dekat dijauhkan. Perhubungan keluarga dalam satu rumah jadi sunyi sebab leka asyik berhubung dengan yang jauh.

Itu antara contoh kecil untuk gambarkan bahawa bukan semua kemajuan itu baik. 

Tapi manusia tidak berupaya membentuk satu sistem yang berkesan dalam menentukan kemajuan mana yang perlu diteruskan dan mana satu yang perlu dihentikan.

Kemajuan adalah satu pergerakkan yang tidak dapat dibendung oleh mana-mana kerajaan yang ada di muka bumi ini. Membendung kemajuan bererti membuka ruang untuk membiarkan kumpulan yang menerimanya membuli anda.

Kemajuan sudah jadi satu makhluk yang tidak dapat dikawal lagi. Anda akan dimusnahkan oleh mereka yang menerima kemajuan manakala mereka yang menerima kemajuan akan dimusnahkan oleh kemajuan itu sendiri. Itulah hakikat kemajuan zaman moden.

Terima kemajuan, musnah, tak terima pun musnah. Jadi apa yang anda boleh lakukan?

Tinggal jauh di pedalaman

Tak ada manusia lagi yang dapat lari dari kemajuan sekarang. Di mana saja ada line telefon, ada eletrik, ada paip air, maka di situ kemajuan telah masuk dan mula membesarkan pengaruhnya. Sama seperti kanser yang bergerak secara diam dalam tubuh badan.

Apa yang anda boleh buat adalah lewatkan sahaja perkembangan kemajuan itu dengan pergi tinggal di pedalaman. Tempat di mana komunitinya masih saling kenal mengenal antara satu dengan yang lain seisi kampung.

Saya masih ingat zaman 70-an ke 80-an di kampung dulu. Kami kenal habis dari cucu ke tok ayah setiap keluarga. Seorang pun tak lepas dari dikenali. Siap ada gelaran pulak untuk membezakan nama-nama yang serupa. Ada Yeh Ayam, adah Yeh Che Mat, ada Ark Tenglong, ada Ark Dongga, ada Nasit Bulat, ada Nasit Pak Long dan macam-macam lagi.

Dalam kampung tu hanya ada dua tiga buah kereta saja. Yang lain hanya ada motosikal dan paling ramai ada basikal. Rumah saya basikal pun tak ada. Ayah tak mampu beli lagi.

Bagi yang ada kereta, dialah yang jadi ambulan setiap kali ada di kalangan anak kampung kecemasan. Ayah saya banyak kali diselamatkan oleh jiran seorang cikgu yang ada kereta, yang menghantarnya ke hospital ketika diserang sakit jantung.

Kenduri kendara ketika itu memang jadi kenduri betul satu kampung. Ada yang berikan lembu, ada yang berikan beras, ada yang berikan sayur dan lain-lain lagi. Balai dan khemah pakai masjid punya. Begitu juga pinggan dan mangkuk serta periuk dapur. Siap dapat duit lagi selepas selesai kenduri. Semua kerja gotong royong disambut baik satu kampung.

Perkara paling saya takut setiap kali ada orang kampung kenduri adalah tidak hadirkan diri. Rasa malu, kena marah dari mak, kena sindir dengan kawan-kawan. 

Biasanya memang tak akan berlaku ponteng pergi bantu jiran kenduri dari sebelum hari kenduri sampai selesai bersihkan seluruh rumah dan halaman orang kenduri tu. Kalau lewat, tunggu sekejap saja ada kawan yang akan datang cari.

Makan minum amat mudah sebab hampir semuanya diusahakan sendiri dari rumah. Orang kampung amat kreatif dalam usaha selesaikan masalah kehidupan. Masakan tradisional semuanya bukan mudah untuk disediakan. Tapi itulah yang orang kampung pandai buat. Sedap pulak tu.

Dalam seminggu, saya mungkin makan tengahari di rumah kawan berbeza-beza. Nasib lah waktu makan tengahari tu saya berada di mana, di situlah makanan di jamu oleh orang tua kawan-kawan. Mereka pemurah dan sayang anak kawan sama seperti sayang anak mereka sendiri.

Sumber air hanya telaga. Ada telaga yang sangat jernih airnya macam air dari sumber bukit. Jiran saya, rumah Long Esah, telaganya air seperti kaca yang jernih bersinar, sejuk dan lazat. Saya boleh ceduk pakai timba dan teguk begitu saja setiap kali keletihan bermain. Kalau bela ikan laga, memang air telag Long Esah yang akan digunakan untuk isi dalam botol. Cantik sungguh Tuhan saja yang tahu.

Paip air agak lewat masuk ke perkampung kami. Kemudahan eletrik saja yang agak awal masuk ke kampung. Jika di pedalaman lain, ramai yang guna lampu gasolin saja. Atau paling mudah lampu ayam.

Walaupun ada eletrik, guna untuk pasang lampu saja. TV masih tak ada, radio tak ada, kipas angin tak perlu langsung. Semuanya sangat asas. Sebenarnya, tak ada tenaga eletrikpun tak kisah.

Kos hidup kampung rendah

Itu semua gambaran hidup di kampung. Secara ringkas, kos hidup hanyalah makan dan minum yang sangat minimum untuk dapatkan bahan asas sahaja. Dari bahan asas itu, semua makanan di buat sendiri dari rumah. Saya boleh kira jari berapa kali makan di kedai sepanjang hidup dari kecik sampai dewasa di kampung dulu.

Kalau nak jalan, naik bas awam sahaja. Teksi akan diambil sekali sekala hanya jika perlu sangat sahaja. Dari Penanti nak ke Bagan Dalam di Butterworth, tunggu bas di depan sekolah rendah Penanti, naik ke Bukit Mertajam. Dari BM naik bas ke Butterworth. Sampai di stesen bas butterworth, naik beca atau kami panggil lanca ke Bagan Dalam atau jika tak panas, jalan kaki saja.

Tak perlu bayar tol, tak bayar installment kereta, tak bayar installment rumah, tak makan di kedai, tiada bil letrik tinggi gila, tak perlu bayar bil air. Tiada telefon dan tiada bayaran bulanan telefon, tiada tv, jadi tak ada sewa siaran berbayar dan lain-lain. Tiada bayaran parking sebab memang kereta pun tak ada.

Masuk 6 tahun orang tua hantar anak-anak belajar mengaji Quran. Saya mengaji di Masjid Kubang Semang dengan Tuan Guru Haji Mahmud, Imam di situ. Tiada sebarang bayaran dikenakan, semua percuma. Dia ajar mengaji dan fardu ain. Kalau ada duit sikit sedekah saja kat Pak Ndak Mud, masa raya bagi duit raya dan kalau ada apa saja makan minum memang rumah Imam wajib sampai.

Kos hidup di bandar

Cuba senaraikan kos-kos yang anda perlu bayar sekarang yang kononnya hidup berjaya, negara maju, kerajaan prihatin, pemimpin berjiwa rakyat, peniaga berhati mulia dan seribu satu penipuan lagi.

  1. Semua bil perlu dibayar - Letrik, air, telefon, internet unifi, TV astro, cukai pintu dan lain-lain. Tak ada internet tak boleh sebab anak-anak sekolah cikgu pakai internet online dan sebagainya. Tak ada kipas angin, peti ais, aircond, air mana boleh hidup di bandar ni. Sekarang ada tambahan baru, Coway atau Cucco pulak dah.
  2. Kos kenderaan - Bagi yang ada kenderaan, kena bayar kos parking, kos bayaran bulanan beli kereta hutang, kereta rosak kena baiki, kos lagi. Kos isikan minyak, kos selenggara kenderaan, kos saman sebab langar laju 60 km/sejam tak perasan, saman tak pakai tali pinggan keledar sebab polis mengendap dan masa tu leka pula baru gaduh bini minta duit tapi tak ada ..
  3. Kos rumah - Kalau beli rumah sendiri, kononnya pelaburan, kena bayar bulanan sampai pencen tak habis. Kos selenggara rumah mahal sebab semua kena cari tukang yang buat. Maklumlah rumah teres pintu depan satu belakang satu. Nak tambah sikit rumah perlu minta izin, tapi kata itu rumah sendiri. Tak boleh buat ikut suka tambahan tanpa permit, tapi kata rumah sendiri.
  4. Kos belajar - Anak dihantar ke sekolah kafa untuk belajar asas agama, kena bayar. Hantar anak mengaji quran, kena bayar, kena hantar tuisyen sebab nampak anak macam tak belajar apa-apa di sekolah, kena bayar lagi. Anak sambung masuk kolej, kena bayar atau hutang PTPTA, itupun makan minum mereka tetap kena bayar juga.
  5. Makan minum - Kejar masa cari duit siang malam, tak sempat masak sendiri. Habis semua kena beli siap, kosnya paling mengancam mahal sebab tiap hati melantak tak berhenti. Kalau masak sendiri pun semua barang pergi beli di pasaraya bukan murah. Sayur, ulam, cili, dan seumpamanya semua kena bayar. Nak makan kuih muih kena bayar, sarapan bayar, minum kedai mamak, bayar. Lepak lama sikit kena saman parkir, kena payar. Puas hati hidup maju kononnya.
  6. Kenduri kendara - Kalau dapat duit penden dan anak dah besar, alamat semua duit pencen tu kena guna untuk majlis anak-anak kahwin la nampaknya. Kos sewa dewan, kos catering dan segala kos berkaitan memang mampu membawa maut.

Pendek kata, kehidupan di bandar dengan budaya dan cara hidupnya membuatkan anda tidak dapat mengelakkan diri dari membayar semua perkara untuk teruskan hidup. Ruang rumah untuk bercucuk tanam tak ada. Kalau anda bela ayam di belakang rumah, tunggu seminggu pihak majlis sampai depan rumah.

Kalau ada ruang besar pun, masa pulak tak ada sebab dah perlukan duit banyak beli hartanah yang besar tu. Kerja macam lipas kudung sampai kena serangan jantung ketika naik lif ke pejabat. Nasiblah jadi hamba korporat atau syarikat besar dari muda sampai ke mati kemudian di warisi oleh anak-anak pula untuk dijadikan hamba seterusnya.

logoblog

Boleh Like dan Share artikel ini di akaun Medsos anda. Terima Kasih sudi luangkan masa membaca artikel, Apa yang anda kena bayar - Perbandingan antara hidup di kampung pedalaman 'vs' Bandar

Previous
« Prev Post

No comments:

Post a Comment

Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !