Tak ada orang yang suka jika dia dikatakan macam monyet. Tapi dari segi bentuk anggota badan dan cara mereka bersosial, monyet kelihatan lebih kurang sama saja dengan manusia. Malah teori sains meletakkan manusia dan monyet dalam satu peringkat utama mamalia yang sama. Dan paling menarik lagi adalah DNA manusia dengan Cimpanzi adalah 98.8% sama!
Dalam banyak persamaan itu, pernahkan anda terfikir apa yang membezakan antara anda dengan monyet?
Dalam buku bertajuk “The Monk Who Sold His Ferrari”, ada berikan satu perbezaan menarik antara manusia dengan monyet.
Dalam buku itu, penulis kongsikan satu pertanyaan gurunya.
"Apa yang membezakan diri kamu dengan seekor monyet? soal guru penulis.
Rupa monyet sama
Kalau saya ditanya soalan yang sama, tentu ada banyak juga perbezaan yang boleh saya senaraikan. Antaranya adalah dari segi rupa paras. Untuk satu jenis monyet yang sama jenis, amat sukar untuk membezakan sesama mereka. 2 ekor monyet jantan yang duduk depan saya sebijik seiras rupanya. Kedua-duanya tak ada nama yang spesifik. Panggil monyet saja dah cukup.
Perangai monyet sama
Dari segi perangai juga nampak sama sahaja. 2 ekor monyet jantan jika di bawa bertemu dengan saya seekor demi seekor, tak akan mampu saya bezakan samada saya sedang bertemu dengan monyet yang berbeza atau monyet yang sama.
Monyet tiada bahasa
Monyet boleh keluarkan bunyi yang berbeza-beza bergantung kepada keadaan. Mungkin itu memberi isyarat makna yang berbeza. Tapi hampir mustahil untuk saya belajar buat bunyi yang mampu berikan cerita kepada para monyet bahawa saya berasal dari Pulau Pinang. Jika saya cakap bahasa Melayu atau Bahasa Inggeris atau apa saja bahasa, mereka akan buat tak tahu saja. Malah kalau saya sebut yang saya ada pistol dalam poket dan tembak monyet yang tidak pakai baju, semua monyet akan buat tak kisah pun.
Monyet tunai kewajipan
Monyet tak pernah lari dari tugas atau tanggung jawab mereka. Perkara ini sering saya lihat setiap kali menonton rencana di TV tentang dunia haiwan. Bukan saja monyet, malah semua haiwan lain begitu juga.
Monyet tak pernah cuba ambil tugas haiwan lain. Dia kekal jadi monyet dari dilahirkan sampai mati. Bila dilahirkan, dia ikut keluarganya ke mana saja belajar tentang cara untuk teruskan hidup. Ibunya akan jaga, beri makan dan lindunginya seboleh mungkin sampai dia membesar dan boleh berdikari.
Bila dah dewasa, dia akan ulang tunaikan semua tanggung jawab untuk hidup dan membiak seperti mana semua monyet yang lain sehingga ajalnya.
Cuba lihat aktiviti monyet dari subuh sehingga magrib sehinggalah subuh semula. Awal pagi dia akan keluar cari makan bersama kawan-kawannya. Jika dia ada anak-anak, makanan untuk mereka dicarinya sekali. Bagi monyet jantan, selain dari cari makan, dia bertugas menjaga keselamatan kumpulannya. Walaupun mereka hanya monyet, tapi masing-masing tahu apa peranan mereka dan ia dilaksanakan selama nyawa masih ada sehingga mati.
Jika monyet jumpa tempat buah yang banyak umpamanya, sebagai makanan mereka, dia akan ambil sekadar yang diperlukan. Bila kenyang mereka akan beredar dan esok lapar baru datang ambil dan makan semula.
Berbeza dari manusia. Kalau dia jumpa makanan, dia akan ambil semua, bawa balik,simpan dalam stor, bolot dan kawal hanya untuk dia dan keluarganya saja. Sebab itu manusia jadi susah hidupnya sebab terpaksa reka peti ais, peti sejuk, gudang, transport, cari pekerja, cari pak guard dan macam-macam lagi.
Beza monyet & manusia
Semua di atas itu saya punya versi. Cuba lihat apa pula versi atau jawapan tok guru penulis yang saya sebut di atas tadi. Ini jawapannya.
“Monyet tidak pernah meluangkan masa berfikir sebentar apa yang telah dilakukannya pada hari semalam, malah mereka tidak ada keupayaan tersebut. Manusia pula mampu melakukannya dan dapat mengenal pasti mana yang perlu dibaiki dan mana yang perlu dikekalkan”
Sebab itulah sebagaimana monyet seratus tahun dulu, mereka masih sama macam itu juga hari ini.
Adakah kita juga begitu?
Bagaimana kita sepuluh tahun dulu terutamanya dari segi sikap, cara bertindak dan lain-lain adakah masih tetap sama?.
Jika kita masih saja sama maknanya kita langsung tidak menggunakan keupayaan yang ada pada manusia menilai segala perbuatan yang semalam untuk dianalisa dan dikemas kini. Maknanya kita hanya membiarkan diri kita menjadi tidak ubah seperti monyet.
Itu jawapan tok guru penulis yang jelas berikan tumpuan terhadap kemajuan diri setiap manusia agar berusaha, bermuhasabah menjadi insan yang baik.
Namun begitu, samada suka atau tidak, mahu atau tak mahu, adalah agak mustahil seorang manusia itu tidak merenung hasil tindakannya serta menilai semua yang telah berlaku kepada dirinya. Mungkin orang gila saja yang tak akan buat begitu.
Ertinya, mustahil manusia itu akan jadi seperti monyet yang hidup hanya untuk diri dan keadaan sekarang sahaja. Monyet tak ada istilah kelmarin. Begitu juga monyet tak pernah fikir tentang esok. Monyet tak akan bertanya pada dirinya esok nak makan apa.
Hanya manusia saja yang fahami konsep masa lepas dan masa akan datang. Keupayaan itu juga yang menimbulkan banyak masalah kepada manusia sebab dia sedar dan ingat semua yang dah berlalu samada baik atau buruk, tapi dia tak pernah tahu apa akan berlaku esok. Itu amat merisaukan manusia.
Berbeza dari monyet yang hanya layan keadaan semasa atau sekarang saja, manusia pula tak pernah layan apa yang dia ada sekarang. Tak berapa layan apa yang ada di depannya. Dia asyik terkenang perkara lepas dan risau perkara yang akan datang. Semua kerisauan nya adalah tentang perkara yang diluar kawalan atau tiada kepastian.
Jika sekarang manusia ada banyak makanan, dia risau makanan itu berkurang atau habis. Jika sekarang dia tak ada makanan, dia risau macam mana nak pastikan dia dapat makanan. Begitulah berterusan sampai dia mati.
Jika di bandingkan antara monyet yang tak ada kemajuan dengan manusia yang kononnya maju, saya rasa monyet lebih beruntung. Dia seperti yakin 100% bahawa selagi dia hidup, rezkinya pasti ada. Dia tak risau esok nak jadi apa, hanya tunggu dan lihat apa berlaku dan bertindak ikut apa yang sedang berlaku.
Monyet juga tak akan tertipu jika datang seorang maulana yang janjikan sesikat pisang yang jauh lebih lazat selepas mati nanti seandainya monyet itu sanggup berikan pisang dan semua makanan yang dia ada sekarang. Maulana itu tak akan dapat sikitpun bahagian yang monyet itu sedang miliki. Maulana kena pergi cari sendiri dan janji manis untuk masa depan monyet tak layan.
Monyet juga tak dengar apa yang manusia cakap. Tapi dia lebih melihat apa yang manusia buat. Sebab itu monyet malah binatang lain jarang kena tipu sebab mereka lihat apa yang anda buat dan tak beli janji mulut. Perbuatan tak pernah menipu, tapi mulut selalu menipu.
Dalam tempioh 100 tahun dahulu sampai sekarang, anda rasa siapa yang merosakkan muka bumi?
Monyet atau manusia?
Hanya perbezaan DNA yang sebanyak 0.02% itu sahaja menjadikan manusia satu makhluk yang amat serabut.
No comments:
Post a Comment
Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !