Jas-du-it

Jasduit - Just do it !

06 February 2024

Jangan lupa untuk merisik terlebih dulu sebelum bertunang dan seterusnya berkahwin

  Ano Nyme       06 February 2024


Ada satu soalan timbul dalam benak fikiran ketika berfikir untuk menulis artikel berkenaan kahwin ini. Soalan itu adalah .. 

"Berapa peratus anak dara Melayu sekarang yang tidak bekerja selepas tamat persekolahan?".

Maksudnya, berapa ramai yang hanya duduk di rumah tak buat apa-apa selepas habis sekolah tingkatan 5, sehinggalah datang orang meminang.

Kenapa tanya soalan itu?

Sebab bagaimana masyarakat amalkan cara hidup, bakal menentukan bagaimana berlakunya setiap proses yang berkaitan dengan kehidupan mereka keseluruhannya. 

Proses kahwin dalam masyarakat

Antara proses hidup paling penting dalam sesebuah masyarakat adalah kahwin. Bagaimana orang Melayu jumpa pasangan, pilih pasangan, kemudiannya berkahwin dan seterusnya membina keluarga masing-masing menentukan keadaan masyarakat Melayu itu sendiri.

Jika dilihat lebih dalam, kahwin adalah proses melahirkan keturunan atau dalam bahasa biologi dipanggil berkembang biak. Manusia masih mampu berkembang biak sekalipun tanpa berkahwin yang mana ia membawa kepada aktiviti hubungan intim diluar perkahwinan.

Bagi manusia yang percaya pada Tuhan, dapat lihat betapa bab melahirkan zuriat ini adalah salah satu dari tajuk utama yang Tuhan berikan panduan dalam Al-Quran. Penerangan jelas diberikan dengan siapa anda boleh kahwin, macam mana nak kahwin dan cerai dan bagaimana urusan harta dikendalikan serta lain-lain lagi perincian yang berkaitan.

Mesej yang boleh dibaca dari semua itu adalah bab hubungan intim dan amalan berkembang biak itu penting dan ia perlu dilakukan dengan cara menjalinkan ikatan perkahwinan. Hubungan intim bukan sesuatu yang boleh dibuat main-main macam apa yang dilakukan oleh 'Hot Daddy'.

Maka tidak hairanlah orang tua-tua kita susun proses nikah kahwin ni dengan sempurna sejak zaman berzaman. Penuh dengan adat dan budaya yang nampak macam menyusahkan hidup tapi ada sebab kenapa ia disusahkan. Supaya semua itu diambil berat dan dianggap sebagai amalan yang berharga.

Kahwin merupakan satu ikatan berteguh janji ambil tanggung jawab antara lelaki dan perempuan. Ia satu tanggung jawab berat yang bakal menentukan kehidupan pasangan dan keluarga yang bakal dibina selepas kahwin. Apa yang tok nenek kita buat dah sangat elok, tapi ..  

Amalan yang berkaitan dengan proses berkahwin sudah terlalu banyak berubah sekarang berbanding dengan apa yang dilalui oleh generasi orang lama. Tak perlu toleh ke belakang untuk tempoh yang lama sangat pun, cukup sekadar lihat zaman ayah anda sahaja, jika anda berusia lebih dari 40 tahun. Atau jika anda masih muda, lihat bagaimana cara tok nenek anda dahulu berkahwin.

Bapak dulu sekolah tak tinggi, takat darjah 6 saja. Tapi oleh kerana bapak lelaki, dia wajib keluar cari makan. Banyak usaha orang lelaki boleh buat untuk cari duit. Kerja buruh, usahakan tanah kebun atau bendang, kerja bantu orang buat bendang, tolong orang bertukang dan bermacam-macam lagi kerja yang dapat menjana pendapatan di kampung dulu.

Mak pula sekolah pun tak habis. Apa lagi nak sambung belajar masuk universiti. Selepas berhenti sekolah, dia hanya duduk di rumah tolong keluarga buat apa yang perlu, tolong uruskan rumah, tolong masak, tolong bersihkan persekitaran, dan seribu satu macam lagi kerja yang orang perempuan boleh buat. Tak perlu keluar jauh dari rumah untuk sibuk ada kerja. Ada saja urusan yang perlu dilakukan.

Dari dua keadaan di atas, agaknya bagaimana ayah jumpa mak dulu?

Orang perempuan sekarang

Cuba lihat gaya hidup anak-anak perempuan sekarang. Mereka bersekolah sampai tingkatan 5. Kemudian sambung belajar. Ada yang ambil jurusan profesional seperti jurutera, arkitek, doktor, peguan dan sebagainya. Ada pula yang ambil jurusan pengurusan dan ada yang ambil jurusan perguruan.

Kalau tak sambung belajar, anak-anak perempuan cari kerja juga. Banyak tawaran kerja yang tidak perlu ada diploma, ijazah atau lain-lain. SPM saja dah mencukupi asal tahu membaca dan mengira. Kerja kilang, kerja pembantu am, kerja promoter, buruh pembersihan dan lain-lain lagi.

Mereka tak duduk rumah jadi pembantu ibunya buat kerja sebagai suri rumah, sebaliknya mereka bantu dengan cara keluar cari duit. Sekurang-kurangnya untuk kegunaan dirinya sendiri tanpa perlu bebankan ibu bapa yang makin lama makin tertekan hidupnya.

Jika anak orang kaya, mak bapak banyak harta, anak perempuan akan jadi tukang habiskan duit berbelanja. Tetap tak duduk rumah juga. Hari-hari bersosial siang dan malam makan minum dan membeli belah ikut trend yang telah berjaya pengaruhinya.

Orang lelaki keluar cari makan dan orang perempuan juga turut sama ligat keluar samada cari makan atau cari hiburan. Jika anda seorang lelaki masuk kampung atau masuk taman perumahan dengan niat nak cari isteri, insyallah tak akan jumpa perempuan muda pun, anda mungkin akan jumpa makcik atau tokcik saja.

Perempuan ada di tempat kerja, dalam pejabat, di kilang, di pusat beli belah, dalam komuter, dalam bas, dalam teksi dan lain-lain lagi seumpamanya. Di situlah anak-anak muda bertemu jodoh masing-masing.

Kahwin susah cerai mudah

Zaman media sosial pula, peluang bertemu anak lelaki bujang dengan anak dara diluaskan lagi melalui berbagai aplikasi yang hebat dan terbuka. Ada aplikasi khas yang atur lelaki jumpa perempuan untuk puaskan nafsu saja tanpa perlu apa-apa ikatan. Betapa gilanya manusia bila tak akal bocor.

Kalau diambil kira semua yang saya sebut di atas, jumlah seorang lelaki sekarang dapat bertemu dengan perempuan dalam tempoh satu hari, mungkin jauh lebih banyak dari jumlah tok wan saya jumpa perempuan dalam tempoh 5 atau 10 tahun!. Samalah juga pada orang perempuan.

Tapi semua itu tidak membantu memudahkan urusan nikah kahwin. Saya lihat ramai anak dara yang jodohnya sangat liat. Entah apa masalah mereka sehingga usia lanjut sampai berkedut tapi masih tak ada jodoh. Mungkin sebab mudah dan banyak pilihan buat memilih jadi susah.

Bagi yang dikurniakan rezki bertemu pasangan kemudian berkahwin pula, ramai yang jodohnya tak panjang. Ada yang sepantas sebulan saja. Ada yang tak sampai setahun. Ada yang kahwin 10 tahun kemudian berpisah. Malah ada juga yang kahwin sampai tua dan bercerai Talak 3 selepas anak bongsu mereka berkahwin.

Ada anak-anak muda yang saya kenal tiba-tiba saja kahwin. Mudah sungguh bertemu jodonya. Tengok berkenan, bertukar maklumat sikit sebanyak kemudian terus kahwin. Bila dah kahwin terserempak dengan macam-macam perkara yang tidak terlintas di fikiran sebelum itu. Dah kelam kabut nak bercerai pulak. 

Bukan saja-saja mereka nak bercerai, alasannya memang sangat kukuh dan secara waras pun jika minta nasihat orang berpengalaman, memang cerai adalah jalan terbaik.

Buang adat punca utama

Ada satu proses yang penting saya lihat telah diabaikan oleh orang zaman sekarang. Proses merisik sebelum bertunang. Atau mungkin perlu lihat satu lagi proses sebelum pergi merisik. Sebab merisik itu sudah jadi formal sebenarnya. Lebih banyak jadi daripada tak jadi selepas merisik.

Proses sebelum merisik adalah usaha untuk mendapatkan maklumat lebih lanjut berkenaan pasangan yang mahu dijadikan isteri. Bukan saja maklumat pasangan, malah maklumat keluarga dan keturunan perempaun tersebut perlu diselidik agar kesesuaian dapat ditentukan.

Itu semua tak berlaku sekarang sebab anak muda dah termakan dengan cerita cinta dalam filem yang 2 jam itu dianggap riwayat hidup yang benar. Mereka lupa bahawa kisah hidup sebenar 60 ke 80 tahun tak dapat diringkaskan jadi 2 jam.

Point penting nak saya beritahu di sini adalah, geli macam mana sekalipun, dah gatak besar mana sekalipun, jangan terus nak ajak kahwin atau bersetuju kahwin. Sila siasat betul-betul.

Siasat orang tua

Saya ingat zaman dulu, bila anak lelaki berkenan pada mana-mana anak dara, atau bila ibu bapa si lelaki berkenan kepada mana-mana anak dara, mereka akan lanjutkan terlebih dahulu untuk menyiasat dapatkan maklumat keluarga anak dara tersebut.

Orang tua-tua melalui kenalan akan mula pasang spy dapatkan info secukupnya. Dicari jiran keluarga tersebut tanya kisah mereka. Di cari salasilah keluarga itu kalau-kalau ada keturunan gila dan banyak lagi seumpamanya.

Biar puas hati terlebih dulu dengan usaha baru diteruskan samada nak merisik atau tidak. Bila dah merisik, ia bukan satu ikatan pasti jadi. Itu hanya proses formal untuk kenal pasti samada kedua-dua keluarga yang akan berbesan itu serasi atau tidak.

Dan begitulah seterusnya sehingga bertunang kemudian kahwin dan beranak pinak.

Semua itu tak berlaku sekarang. Saya sendiri terlepas pandang bab itu sebab dah tergesa-gesa nak kahwin sebab umur dah tua. Kahwin dengan orang jauh pula dan tak kenal lama sangat sebelum setuju nak bernikah.

Cuma nasib saya baik tidak dapat masalah sangat selepas kahwin. Walaupun dipenuhi kejutan terhadap persepsi, cara fikir dan gaya hidup yan berbeza, saya berjaya sesuaikan diri dan buat perubahan untuk sesuaikan diri terhadap apa yang saya dapat.

Bayangkan jika kejuatan yang ada dapat adalah terlalu besar dan tak boleh nak sesuaikan diri langsung. Tentu akan menimbulkan masalah besar dalam melayari kehidupan berumah tangga.

Itu semua dapat dielakkan jika budaya orang-orang tua dulu dipelajari dan cuba diamalkan sebaik mungkin. Biarlah orang nak label kolot atau sebagainya. Dengan berbuat begitu, insyaallah anda akan dapat pasangan dari keluarga yang punya fikiran sama dalam megamalkan apa yang baik dan betul yang sudah lama di amalkan oleh generasi terdahulu.

logoblog

Boleh Like dan Share artikel ini di akaun Medsos anda. Terima Kasih sudi luangkan masa membaca artikel, Jangan lupa untuk merisik terlebih dulu sebelum bertunang dan seterusnya berkahwin

Previous
« Prev Post

No comments:

Post a Comment

Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !