Antara iklan bergambar yang melekat dalam kepala, dan saya yakin terhadap apa yang digambarkan itu adalah iklan berus gigi. Cuba ingat kembali iklan berikut di bawah.
Gambaran bagaimana setiap urat berus yang halus itu masuk ke celahan gigi lalu menolak keluar segala sisa makanan dan lain-lain yang ada membuatkan otak anda terbayang perkara sama seandainya berus gigi itu anda guna untuk gosok gigi.
Potensi untuk beli dan memakainya adalah sangat besar. Anda beli, guna setiap malam sebelum tidur. Setiap kali gigi digosok anda bayangkan apa yng sedang berlaku di celahan gigi anda itu sebagaimana yang telah digambarkan dalam iklan tadi.
Pakai punya pakai, selepas beberapa lama, gigi sakit dan anda pergi jumpa doktor. Didapati ada lubang yang perlu ditampal. Gigi anda berlubang sebab dihakis asid yang berlaku apabila kuman menukarkan bahan makanan dicelahan gigi itu kepada asid.
Anda mula tertanya-tanya samada berus gigi itu benar-benar buat seperti mana yang anda lihat dalam gambar tadi?
Iklan solusi masalah organ dalaman
Satu lagi iklan bergambar yang sangat berkesan dan diguna pakai secara meluas sekarang adalah solusi terhadap masalah dalaman seperti otot, tulang, atau apa saja organ dalam badan lain yang sering memberikan masalah.
Saya berikan pengalaman yang dihadapi sekian lama terhadap masalah tulang belakang, pinggang, kaki bahu dan sebagainya sejak dulu lagi bertahun-tahun. Perkara biasa yang ramai orang hadapi apabila umur meningkat tua.
Saya pula jenis aktif bersukan dan lasak tak duduk diam sejak di sekolah rendah lagi. Tulang yang ada di dalam itu benar-benar lunyai diguna pakai sambil umur meningkat. Masa muda, tak ada apa yang dirasai. Tapi bila dah masuk umur ke kategori 4 siri, ditambah dengan gaya kerja yang dah makin banyak duduk berbanding bergerak, sakit mula terasa di sana sini.
Ada masanya sakit datang dalam tempoh yang pendek. Rasa sengal di bahu, seminggu kemudian hilang. Kemudian sengal pada bahagian belikat pulak. Sapu minyak panas, suruh kawan tekan urut sikit, seminggu dua hilang. Lepas tu bahagian pinggang pula, kemudian pinggul, kemudian, peha, betis.
Begitulah silih berganti dilayan ketika sakit datang dengan urut, sapu minyak panas, buat senaman regangan dan seumpamanya dan bila sakit hilang semua usaha senaman itu dihentikan.
Sehinggalah umur makin meningkat dan pusingan seperti di atas datang seperti biasa tapi semakin kerap dan makin lama melekat tak hilang-hilang. Senaman regangan, urut, rehat dan lain-lain nampaknya sudah tidak berkesan macam dulu lagi. Apa yang berlaku?
Nasib baik ada youtube, saya cari maklumat setiap kali berlaku masalah otot atau tulang di situ. Semua panduan yang diberikan sangat meyakinkan sebab mereka berikan gambaran otot yang merah sebagai tanda bermasalah, digambarkan juga urat yang tersangkut pada tulang belakang dan sambungan sendi, dan bagaimana ia dapat diselesaikan.
Apa yang gambar itu tunjukkan membuatkan saya rasa perkara sama akan berlaku sebijik seperti itu jika saya lakukan apa yang dia ajar. Tapi malangnya, ia tidak semudah itu. Mungkin saya perlu pergi jumpa pakar.
Jumpa tabib pakar betulkan tulang
Ini permulaan pertama saya keluarkan duit yang agak besar untuk betulkan susn atur tulang dalam tubuh badan saya. Kebetulan tabib itu adalah abang seorang kawan yang secara tak sengaja saya pergi bersama kawan itu. Dia pun tak pernah beritahu pasal abangnya. Kami singgah sebab dia perlu hantar sesuatu pada abangnya.
Bila saya lihat rumah tersergam besar, lapang, ada banyak kenderaan, saya hairan apa kerja abang dia ni. Bila saya tanya dia beritahu abangnya adalah tabib merawat tubuh badan pesakit yang bermasalah. Saya masuk dan dapat lihat kesibukan tempat tersebut.
Pesakit datang macam-macam ragam. Ada yang senget sebelah, ada yang hencot, ada yang patah, ada yang lumpuh, ada yang tak boleh angkat sebelah tangan dan macam-macam lagi. Lelaki ada dan perempuan pun ada.
Jika lelaki, maka ia dirawat oleh tabib dan pembantunya dari kalangan lelaki juga. Jika pesakit perempuan, isteri tabib dengan pembantu perempaun akan merawatnya. Yang menarik adalah kesemua 4 orang isteri tabib jadi pembantunya merawat pesakit di situ.
Pakej betullakn semua tubuh badan, kalau tak silap saya masaitu bila saya tanya adalah RM6 ribu!. Saya tak ambil pakej lengkap tu sebab nak cuba terlebih dulu, tapi kena beribu ler jugak. Itupun agak murah dari orang lain (itu yang dia beritahu saya ler) sebab saya kawan adiknya. Masa tu saya dah berniaga, jadi duit bukanlah masalah sangat.
Macam mana saya boleh keluarkan duit banyak begitu?
Dia memang pandai mengayat. Mula-mula saya diperiksa secara terperinci. Dilihat retina mata saya kedua-dua belah, ada mesin lagi. Dilihat setiap jari jemari tangan saya. Disuruh saya berdiri dan di lihat kedudukan 2 bahu saya dan sebagainya.
Rumusannya saya ada masalah. Tulang dah lari. Kalau tak dibetulkan, saya akan makin senget, makin bongkok dan tua sebelum nak mati nanti mungkin saya dah tak jalan macam manusia lain yang tegak lagi. Perghhh!, saya terus on!.
Maka saya berulang beberapa kalai mendapatkan rawatan dari pusat rawatan tersebut. Rawatan yang diberikan lebih kurang sama dengan rawatan chiropraktik yang tunbuh macam cendewan selepas hujan sekarang ini. Cuma mereka pakai lebih dari seorang untuk tarik, tolak dan rentap segala tulang kaki, tangan dan badan saya. Power dan menakutkan ketika itu.
Saya tak tahu adakah ia berkesan betulkan masalah kedudukan tulang saya semua. Tapi memandangkan saya masih tetap alami masalah tak habis-habis bersilih ganti, membuatkan saya rasa terfikir mungkin kalau tak pergi, saya tetap sama saja. Bezanya adalah duit tu saya simpan atau guna bawa keluarga jalan-jalan ambil pakej cuti mewah di Terengganu tentu lebih bermanfaat.
Saya sebenarnya habiskan duit bukan untuk selesaikan masalah, sebaliknya sebab penjelasan yang diberi pakar sangat meyakinkan. Saya sambung lagi nanti jumpa pakar beri penjelasan lain pula yang penjelasan mantap tapi ia kekal sekadar penjelasan saja.
No comments:
Post a Comment
Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !