Jas-du-it

Jasduit - Just do it !

16 March 2024

Kuat kuasa undang-undang menyeluruh pertahan akidah rakyat Malaysia beragama Islam

  Ano Nyme       16 March 2024


Dalam bab beragama, saya lihat hanya ada 2 pendekatan utama dalam menentukan kebebasan manusia terhadap memilih agama atau kepercayaan mereka, sila betulkan jika saya salah.

Pertamanya adalah sekular. Ini pendekatan yang ramai tahu banyak negara barat amalkan. Contoh negara sekular adalah seperti Amerika Syarikat dan Perancis. 

Anda mungkin terkejut jika saya katakan negara Turkey dari segi perlembagaan adalah sebuah negara sekular tapi nampaknya tidak begitu. Begitu juga negara India yang perlembagaannya adalah pemerintahan sekular, namun negara itu tidak asingkan antara pemerintahan negara dari agama.

Negara China, Jepun, Vietnam, Sweden, Norway dan Denmark juga amalkan sistem sekular. Berbeza dengan negara seperti Turkey atau India yang dianggap sekular tetapi berikan kelebihan terhadap agama tertentu, ada negara seperti China, Vietnam, Cuba, Korea Utara dan beberapa negara bekas Soviet yang menyekat amalan beragama.

Sekular yang saya faham bermaksud segala perkara yang berkaitan tentang keduniaan atau kebendaan tanpa melibatkan agama, kepercayaan, kerohanian, mistik dan seumpamanya. Secara umumnya, sekolah awam adalah sekular manakala sekolah agama sudah tentu tidak sekular.

Bagi negara yang amalkan sekular tulin, kerajaan tak masuk campur apa anutan rakyatnya. Nak ikut atau percaya apapun ikut suka rakyat, kerajaan tak suruh dan tak larang. Semua dilayan secara saksama tanpa ambil kira anutan mereka.

Dari situ, boleh nampak bahawa negara yang pilih agama tertentu adalah tidak sekular. Begitu juga negara yang sekat kebebasan agama juga tidak sekular.

Satu lagi pendekatan adalah tidak sekular yang cenderung terhadap agama. Di mana sesebuah negara memilih untuk berikan keutamaan terhadap agama tertentu pilihan mereka. Kebanyakan negara di Timur Tengah tidak sekular, begitu juga contohnya Afganistan yang dengan jelas dalam perlembagaan ambil Islam sebagai agama formal negaranya.

Kedudukan antara sekular tulin di hujung sebelah kiri dan agama di hujung sebelah kanan menjadikan keadaan negara-negara di dunia berada di antara kedua titik hujung tersebut. Ia bukan satu perkara yang mudah untuk diringkaskan.

Elok saya patah balik untuk hanya  fokus kepada negara Malaysia sahaja sekarang supaya tak lari jauh dari isu yang nak saya fikirkan seperti yang dinyatakan dalam tajuk di atas.

Malaysia negara sekular

Samada negara kita sekular atau tidak adalah satu perkara yang agak sukar untuk dinyatakan. Anda boleh lihat bahawa kerajaan berikan perhatian terhadap urusan agama atas dasar ia termaktub dalam perlembagaan bahawa Islam adalah agama persekutuan. 

Bukan itu saja, kerajaan setiap tahun berikan peruntukan lebih RM1 Billion untuk urusan yang melibatkan hal ehwal agama Islam. Banyak upacara formal dan tidak formal kerajaan akan libatkan upacara keagamaan. Boleh dirumuskan bahawa ia menjadi satu amalan formal dalam kerajaan Malaysia.

Tapi dari segi undang-undang, mahkamah sivil punya kedudukan yang paling utama dalam semua perkara yang melibatkan rakyat Malaysia secara keseluruhannya. 

Mahkamah Syariah wujud tapi hanya khas untuk rakyat beragama islam. Itu boleh dilihat bahawa mahkamah syariah tak akan boleh sama sekali duduk di atas mahkamah sivil sebab rakyat Malaysia bukannya 100% beragama Islam. 

Mungkin atas dasar itu, sistem mahkamah paling tinggi negara adalah sekular?

Pertahankan akidah

Khas untuk umat Islam pula ada sistem mahkamah syariah untuk setiap negeri di Malaysia yang berdiri atas negeri masing-masing.

Salah satu dari urusan mahkamah syariah adalah dalam bab pertahankan akidah umat Islam. Sekali di lahirkan muslim, maka anda terikat dengan mahkamah syariah dan paling penting tak boleh lagi keluar dari agama islam untuk anuti agama lain.

Aliran agama Islam yang dipertahankan pula adalah spesifik, iaitu aliran Sunnah. Selain dari itu, adalah satu kesalahan dan boleh dikenakan tindakan undang-undang syariah. Maknanya, Mahkamah syariah mahu pastikan semua orang Islam di Malaysia kekal ikut Islam aliran Sunnah dan jauhi pemikiran sekular, Syiah, liberal atau yang lain.

Penekanan diberikan lebih spesifik lagi apabila Mazhab Shafie digunakan sebagai aliran hukum utama. Perkara ini nampak ketara apabila isu pegang anjing sentiasa jadi isu hangat setiap kali video orang Islam pegang anjing jadi viral.

Semua usaha kuat kuasa dilakukan melalui peruntukkan yang ada pada undang-undang syariah, hasil dari tafsiran perlembagaan bahawa Islam adalah agama persekutuan dan juga peranan raja-raja sebagai penjaga agama dan rakyat beragama Islam. 

Walaupun dalam perlembagaan ada dinyatakan bahawa rakyat bebas mengamalkan agama masing-masing, ia hanya untuk mereka yang bukan beragama Islam. Sebaik saja anda sah identiti sebagai seorang muslim, anda sudah tidak bebas untuk memilih agama lagi.

Saya nak tulis ringkas saja bab pertahankan akidah umat Islam ni, tapi nampaknya, jadi panjang bila saya rujuk dan baca maklumat berkenaan peranan dan usaha kerajaan dalam pertahankan akidah umat Islam di Malaysia.

Secara ringkasnya, mereka yang berkuasa dan berkepentingan dalam bab agama Islam percaya bahawa ulama dan pemerintah wajib pastikan ada 2 usaha berterusan untuk pertahankan umat islam dari terjebak ke dalam agama atau kepercayaan lain. Usaha itu adalah 1. Pendidikan dan 2. Undang-undang. Ia adalah satu kerja agama sebab umat islam di perintahkan untuk menganjurkan kebaikan (ajar kefahaman agama) dan mencegah kemungkaran (halang umat Islam dari dosa dan murtad dengan undang-undang).

Usaha pencegahan

Jika anda lihat dalam laporan akhbar, dalam ceramah, dalam radio, dan di mana saja, akan pasti jumpa nasihat tegas dari para ustaz dan ulama agar umat Islam tidak terjebak kerja makan gaji dalam industri yang tidak dibenarkan dalam Islam. 

Industri yang biasa di larang adalah seperti kilang arak, bank konvensional, kedai yang menjual benda haram dan segala aktiviti ekonomi yang terlibat dalam perkara haram. Ini adalah usaha untuk jauhkan umat Islam dari kemungkaran dan jatuh berdosa.

Ajaran sesat diperangi agar tidak membesar dengan penangkapan pemimpin yang menyebarkannya. Ia sudah lama berlaku sejak dulu lagi. Dah ramai pemimpin ajaran sesat berjaya ditangkap dan didakwa. 

Dalam dunia internet sekarang, kemunculan fahaman yang salah dalam agama Islam makin terbuka secara meluas. Rakyat makin terdedah kepada maklumat yang membolehkan mereka lari akidah. Kerajaan sudah pasti akan sekat portal sedemikian untuk pastikan umat islam tak terjebak.

Macam-macam kerajaan dan ulama dah buat tetapi nampaknya kemunculan mereka yang tersasar dari akidah makin rancak dan luar biasa. Saya selalu tengok di TikTok Ustaz Lepat berceramah bab hakikat dengan hebat diikuti oleh ramai peminatnya. 

Baru-baru ini muncul fahaman yang percaya Nabi Muhammad berasal dari Petra, Jordan dan tempat tunaikan haji sebenar adalah di Petra dan bukan di Mekah. Sekali pemimpin dia live, puluhan ribu orang masuk. Malah ketuanya cabar untuk berdebat kalau nak cari kebenaran.

Nampaknya usaha pendidikan yang saya lihat beratus kali ganda lebih kuat berbanding zaman saya kanak-kanak dulu tidak berkesan. Perlu ada langkah yang jauh lebih tegas lagi untuk pastikan akidah umat Islam tidak terjejas dan sentiasa patuh kepada apa yang para ulama dan ustaz mahu rakyat pegang dan percaya dengan yakin.

Umat Islam perlu diasingkan agar tidak dapat berhubung dan berurusan dengan apa saja aktiviti yang tidak islamik. Kedai, bangunan, pusat rekreasi, pusat pelancongan dan lain-lain perlu di gazetkan sebagai islamik dan tidak islamik. Yang Islamik saja umat islam di Malaysia boleh masuk.

Pergaulan juga perlu dibataskan antara umat Islam dengan bukan Islam. Perhubungan anak-anak orang Islam dengan anak-anak bukan Islam perlulah dilarang kerana ia akan menyebabkan umat Islam bertolak ansur dengan kepercayaan kawan-kawan mereka. 

Perhubungan antara umat Islam dengan para rahib atau sami dan seumpama dengannya dari kalangan orang kafir yang jelas sesat akidahnya wajib di larang dan di halang serta diasingkan.

Para pemimpin wajib kawal kemunculan mereka dalam apa saja majlis yang bertentangan dengan agama Islam, samada elakkan terus atau buat secara tertutup tanpa disiarkan secara umum agar rakyat tidak terpengaruh.

Mereka juga wajib pastikan pertemuan dengan ketua agama lain tidak disiarkan terdedah kepada pandangan umum dalam media massa supaya umat Islam tidak lihat dan terpengaruh untuk lakukan perkara yang sama.

Kemunculan pemimpin agama lain dikhalayak ramai yang bukan Islam wajib dikawal. Undang-undang perlu pastikan kemunculan mereka tidak dapat dilihat oleh umat Islam agar pengaruhnya dapat dibendung. Mungkin perlu ada pengasingan mereka dari umat Islam atau berikan syarat agar identiti mereka tidak dapat di ketahui oleh siapapun.

Bagi rakyat Malaysia yang beragama Islam, perjalanan mereka ke luar negara wajiblah di kawal dengan ketat agar tidak pergi ke negara kafir lalu terpengaruh dan terdedah kepada fahaman selain dari agama Islam. Sebelum dibolehkan, temuduga untuk pastikan kekuatan akidah mereka adalah cukup kuat. Kalau tidak dapat kuasai ilmu akidah dan ilmu agama yang kukuh, perjalanan mereka wajib di larang.

Asingkan umat Islam

Penempatan yang 100% islam perlu diadakan untuk umat Islam di Malaysia sikit demi sedikit hingga akhirnya umat Islam ada tempat mereka sendiri dan berjaya dijauhkan dari penganut agama lain di Malaysia. Seterusnya negara akan ada 2 kawasan yang mana satunya adalah 100% Islam dan satu lagi adalah 100% kafir.

Begitu juga dengan sistem internet, perlu dikawal dengan ketat supaya umat Islam tidak dapat masuk ke mana saja portal maklumat yang menyesatkan. Mereka hanya dibolehkan melayari portal yang Islamik saja dari zaman kanak-kanak hingga ke liang lahad.

Dengan adanya teknologi yang amat canggih sekarang, kerajaan perlu pantau setiap penganut agama islam secara peribadi sepanjang masa agar mereka tidak melakukan sebarang kesalahan yang mampu membawa kepada kesesatan dan berdosa. Mungkin perlu tanam chip pengintipan pada setiap orang yang beragama Islam sebaik saja mereka akil baligh.

Panjang lagi kalau nak tambah apa yang kerajaan dan ulama boleh lakukan kalau mereka benar-benar mahu jaga umat Islam agar tidak sesat dan seterusnya, seperti kata Tuan Guru Haji Hadi, mereka mahu pastikan semua umat Islam di Malaysia masuk surga dan dijauhkan dari neraka.

Saya yakin 100% jika kerajaan ada kesanggupan buat begitu, maka Malaysia akan melahirkan sebuah negara yang rakyat beragama Islamnya akan 99.9% masuk syurga. Insyaallah.

logoblog

Boleh Like dan Share artikel ini di akaun Medsos anda. Terima Kasih sudi luangkan masa membaca artikel, Kuat kuasa undang-undang menyeluruh pertahan akidah rakyat Malaysia beragama Islam

Previous
« Prev Post

No comments:

Post a Comment

Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !