Jas-du-it

Jasduit - Just do it !

27 March 2024

Majoriti manusia cenderung mengabaikan kebebasan yang ada dan sia-siakan kreativiti

  Ano Nyme       27 March 2024


Saya yakin semenjak dari zaman kanak-kanak anda sudah pernah dengar kisah tentang Nabi Musa sampaikan perintah Tuhan kepada kaumnya untuk mencari seekor lembu betina untuk disembelih. Urusan itu perlu dilakukan oleh penduduk bagi menguruskan satu kes bunuh yang berlaku di tempat mereka.

Ada 2 perkara besar yang tentu anda ingat dari cerita di surah Al-Baqarah ayat 67 hingga 73 tersebut. 

Pertamanya, yang paling sering orang ingat adalah kisah Nabi Musa pukul lembu yang disembelih itu pada mayat, untuk hidupkannya semula, agar mayat itu memberitahu siapa yang telah membunuhnya.

Keduanya adalah cerita bagaimana sikap orang Yahudi yang jadikan urusan cari lembu betina untuk disembelih sukar apabila mereka minta perincian tentang lembu satu persatu. Sedangkan jika, sebaik saja dengar perintah cari lembu betina, lalu mereka terus pergi cari dan bawa kepada Nabi Musa, urusan akan dapat dilakukan dengan mudah, murah dan pantas.

Untuk cerita yang pertama di atas, bila dah dewasa ni saya dapati andaian Nabi Musa hidupkan balik mayat dan tanya padanya siapa yang bunuh, itu tidak ada sandaran yang meyakinkan. Cerita itu jika anda baca betul-betul Q 2:73, tidak jelas mengatakan begitu. 

Perkataan 'id ri bu hu' atau dalam bahasa kita, arahan 'pukullah dia', dia (hu) dalam Bahasa Arab tadi jelas merujuk kepada gender JANTAN sedangkan nafs (mayat yang disebut pada ayat 2:72 sebelumnya) itu gendernya BETINA. Jelas bahawa andaian ayat itu bermaksud 'pukullah si mati' sebagai yang banyak diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu adalah tidak tepat sama sekali. Apapun, saya tak mahu fokus kepada bab yang agak berlawan arus dari semua cerita yang pembaca dah dengar selama ini. 

Nota: Untuk faham cerita sebenarnya perlu rujuk buku undang-undang Yahudi Deuteronomy 21:1-9, bagaimana Yahudi selesaikan masalah jumpa mayat di kampung mereka tanpa maklumat apa yang berlaku. Dari situ, Ayat Q2:73 di atas nampak lebih bersesuaian maknanya.

Yang nak diberi tumpuan adalah cerita ke-2, bagaimana perkara mudah disusahkan sampai jadi mahal dan mencabar malah membuang masa dan merugikan kehidupan.

Ke mana dulu lepas habis kerja

Saya ada baca dalam satu posting seorang influencer yang kongsikan panduan dari seorang ustaz penceramah selebriti. Dia kata selepas habis kerja nak balik ke rumah, singgah dulu ke mana-mana masjid untuk solat sebentar. Kemudian baru balik ke rumah.

Logiknya adalah, keluar dari masjid, jiwa anda lebih tenang dan bawa balik ke rumah aura tenang itu bersama. Berbanding jika keluar dari tempat kerja terus balik ke rumah, anda bawa balik keserabutan yang ada di dalam rumah tangga.

Bila saya baca, perkara pertama yang muncul dalam kepala adalah, kenapa sampai lepas habis kerja nak pergi mana sekalipun anda perlukan jawapan atau nasihat dari ustaz?

Anda boleh buka mata dan perembang telinga dengar di mana-mana saja, bagaimana orang Islam serahkan semua perincian untuk hidup mereka kepada para ustaz ikutan. Nak ambil vaksin atau tidak, nak bagi zakat kat mana, naka pakai minyak attar apa, bau bagaimana, nak amal bacaan apa untuk jadi macam ustaz itu dan sebagainya

Bagi pengikut kumpulan sufi / tasauf pula amalan dan cara hidup mereka diserahkan pada guru mursyid untuk merangkanya. Kalau Tuhan perintahkan agar sentiasa ingat padaNya, mereka tak puas hati, nak tahu macam mana, baca apa, duduk kat tanah macam mana, pakai baju apa, nak bernafas macam mana masa ingat tu dan macam-macam lagi.

Lihat juga dalam beribadah. Dalam bab solat saja anda boleh tulis satu kitab tebal perincian bagaimana dari awal anda dengar azan, bergerak ke tempat terdengarnya azan, sampai di pintu pagar, nak baca apa, buka kasut kaki mana dulu nak baca apa, masuk tandas, langkah kaki mana baca apa, buat apa dan begitulah seterusnya sehingga masuk dewan solat, baca apa, solat apa, tangan angkat takat mana, jari kepil atau terbuka, ketiak nampak atau tidak, mata pejam atau buka, kepala tunduk atau tegak, kaki terbuka atau tutup lurus .. satu kitab tebal boleh siap dengan semua itu.

Itu apa yang umat Islam telah berjaya lakukan sejak dari dulu sampai sekarang, makin lama makin terperinci arahannya dan semuanya berikan dalil dari hadith dan para ulama muktabar.

Saya boleh bayangkan jika Ibnu Ishaq yang mula kumpul sirah nabi tahun 767 CE (135 tahun selepas rasul wafat) datang dan lihat semua perincian yang dikatakan datang dari rasul, dia akan hairan bagaimana kita mampu dapatkan semua itu sedangkan jarak kita dengan rasul berbanding jarak dirinya dengar rasul adalah sangat-sangat jauh. Paling parah saya risau ada orang Islam yang akan tegur cara dia solat, tak cantik, mungkin?

Kita, umat yang membaca Quran, yang diajar sejak kecil permudahkan, jangan tanya sesuatu urusan yang Tuhan suruh buat sampai jadi susah seperti mana Yahudi tanya pasal lembu betina di atas tadi, akhirnya buat jauh lebih hebat dari apa yang berlaku pada kes lembu betina orang Yahudi itu. 

Saya terfikir jika urusan cari lembu betina itu datang pada kita sekarang apa berlaku?

Barang pasti kita akan tentukan bulu merahnya code apa 870000 atau 5F0000, bulu itu tebal dan lebat macam mana, ekor panjang mana, kuku lembu sama besar atau kiri lebih besar sikit dari kanan atau lebih tajam atau tumpul kukunya, warna hitam atau kelabu kuku tu bagi Code warna lah lebih mudah, puting susu lembu tu warna apa, jarak antara 2 puting berapa, bunyi mengembohnya berapa Hertz, tiap kali dia langkah, kaki mana pijak dulu, anda sendiri boleh bayangkan. 

Abaikan kebebasan

Nampaknya manusia hanya berkata di mulut bahawa mereka cintakan kebebasan agar segala akal, keupayaan berfikir, kreativiti yang Tuhan anugerahkan dapat digunakan sebaik mungkin berdasarkan keperluan masing-masing. Hakikatnya mereka tak mahu gunakan semua itu dan lebih suka menunggu ikutan atau idola mereka yang tentukan.

Lihat apa yang sedang berlaku sekarang. Dalam semua urusan orang kita tidak mahu guna kreativiti mereka sendiri. Memasak ikut Khairul Aming, pakaian ikut Neelofa, Ibadah ikut Wadi Annuar, berhibur anak muda ikut BTS, yang tua puja Siti Norhaliza dan anda boleh buat senarai pendek dalam menggambarkan cara hidup orang Malaysia.

Anda boleh lihat negara yang kurang sekatan terhadap kreativiti melahirkan banyak ciptaan dan perniagaan yang bertaraf dunia. Negara kita sekat seribu satu perkara sampai ke tahap perbankan pun limitkan jumlah bank anchor, apa akan berlaku pada negara kita.

Sejak dari dulu sampai sekarang, banyak perniagaan dikawal pembentukkan kreativiti, TNB masih kekal satu-satunya syarikat pembekal tenaga eletrik yang diswastakan dan asyik dakwa kos naik dan untung teruk dan mahu naikkan tarif dan tiada siapa yang dapat buat apa-apa.

Point yang saya nak beritahu, manusia ni bila anda sekat kreativiti, akan jadi binatang ternakan. Namun yang peliknya, majoriti tidak sedar bahawa mereka sendiri pilih untuk diberi arahan apa nak buat dan apa perlu tidak buat.

Jika anda perhatikan pada hampir semua negara yang majoriti penduduknya beragama Islam, semuanya ketinggalan dalam berbagai sudut. Baik ekonomi, politik, pendidikan, teknologi dan yang berkaitan, semuanya dipegang negara kafir yang umat islam benci. Malah negara yang makin menjadi-jadi kemajuannya sekarang adalah yang tolak agama. Kenapa?

Wallahualam!

Nota: Saya tahu akan ada yg kecam dengan berkata, bab ibadah kena ikut ustaz dan bukan main sondol ikut kreativiti masing-masing. Saya sedar perkara itu tapi masih kekal mahu explore kemungkinan yang ada. Arahan cari lembu adalah bab ibadah juga ..

logoblog

Boleh Like dan Share artikel ini di akaun Medsos anda. Terima Kasih sudi luangkan masa membaca artikel, Majoriti manusia cenderung mengabaikan kebebasan yang ada dan sia-siakan kreativiti

Previous
« Prev Post

No comments:

Post a Comment

Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !