Jas-du-it

Jasduit - Just do it !

12 May 2024

Bertanggung jawab penuh terhadap semua perkara yang anda sendiri buat pilihan.

  Ano Nyme       12 May 2024


Ada beberapa falsafah berbeza dalam bab membuat pilihan yang sehingga sekarang masih tetap dibahaskan. Pertamanya, ahli falsafah yang percaya bahawa manusia sebenarnya tidak punya keupayaan untuk memilih. Semua yang berlaku, termasuk apa yang anda pilih bukan di bawah kawalan diri sendiri.

Ada satu lagi aliran percaya bahawa memang hakikatnya manusia tak ada keupayaan memilih. Anda cuma rasa seolah-olah anda yang membuat pilihan itu. Untuk mudahkan kehidupan, manusia perlu beranggapan bahawa dia punya keupayaan memilih dan bertindak dari premis tersebut.

Aliran berikutnya pulak percaya setiap orang ada kemampuan untuk membuat pilihan. Sebab itu dia bertanggung jawab terhadap semua yang berlaku pada dirinya. Ini aliran yang biasa dipegang dari kalangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Aliran ini berpendapat anda hanya berada dalam situasi terpaksa jika ada unsur luar yang menyebabkan anda tidak mampu buat pilihan sendiri. Contohnya ugutan bunuh jika enggan buat sesuatu. Dalam keadaan itu sahaja baru anda dianggap melakukan sesuatu bukan dengan pilihan sendiri yang rela.

Saya ambil aliran ke-3 di atas dalam penerangan selanjutnya di bawah ini.

Memilih untuk serabut

Ada kalanya anda tentu berada dalam keadaan serabut. Jika dilihat dari sudut aliran ke-3 di atas, maka secara logik anda punya pilihan samada untuk teruskan rasa serabut itu atau abaikan saja dan buat pilihan lain. Anda boleh pilih untuk tenang-tenang saja.

Jika difikirkan betul-betul, tak ada sesiapa yang paksa anda untuk jadi serabut. Malah orang lain tak mau ambil peduli pun keadaan anda sama ada serabut atau tidak. Dia sendiri ada banyak perkara yang mahu difkirkan.

Lalu kenapa kebiasaannya tiap kali perasaan serabut itu datang, kenapa anda tetap gagal memilih untuk jadi tenang?

Untuk dapat gambaran yang lebih jelas, mari lihat contoh berikut.

Apabila telefon berdering, apakah yang anda lakukan?

Kalau anda sedang santai, tentu anda akan capai telefon, tengok siapa yang buat panggilan, atau anda mungkin juga terus jawab, Hello!

Jika ditanya kenapa anda jawab telefon itu, tentu anda jawab, “sebab ia berdering!"

Apa yang berlaku secara ringkasnya hanyalah 2 perkara seperti berikut.

  • Telefon berdering – ini hanyalah sekadar maklumat. Maklumat yang memberitahu bahawa ada panggilan masuk. Maklumat itu langsung tidak memaksa anda untuk berbuat sesuatu padanya, hanya sekadar maklumat yang tiada apa daya upayapun.
  • Menjawab panggilan – ini merupakan pilihan yang anda buat. Ia tidak sepatutnya dikaitkan dengan telefon berdering sebab itu hanyalah maklumat yang tidak memaksa untuk anda jawab.

Dari penerangan di atas, Nampak jelas bahawa setiap kali telefon berdering anda boleh saja fikir sejenak samada ..

  1. Jawab telefon
  2. Biarkan saja ia memekak
  3. Minta orang lain jawab
  4. Campakkan telefon ke dalam bilik atau sumbat dalam kain baju.
  5. Matikan terus telefon
Dan banyak lagi pilihan yang anda boleh fikirkan sendiri.

Hidup dalam sedar

Anda yang berjaya menyedari keadaan di atas sebenarnya sudah berjaya hidup dalam sedar. Anda mengambil tanggung jawab penuh ke atas pilihan yang dibuat, lanjutan dari maklumat yang anda terima, berlaku di sekeliling.

Apabila keputusan dibuat, anda tidak menyalahkan faktor luar kononnya ia telah mengawal pilihan yang anda boleh buat.

Anda boleh aplikasikan contoh di atas dalam semua keadaan. Contohnya dalam perhubungan seharian dengan anak-anak, pasangan, kawan, jiran dan yang lain. 

Contohnya apabila pasangan anda merungut dan ucapkan kata-kata pedih tentang diri anda. Itu hanyalah maklumat sahaja. Bergantung pada anda sendiri nak buat apa dengan maklumat itu. Abaikan saja, tutup telinga, tengok dan senyum, ketawa terbahak-bahak, menyanyi lagu P Ramlee dan banyak lagi pilihan.

Atau anda boleh juga pilih untuk bertindak balas dengan maklumat itu samada untuk berbincang, mengamuk, merajuk atau tumbuk dinding. Pilih sendiri dalam keadaan sedar bahawa ia tidak ada kena mengena dengan maklumat yang anda dapat tadi. Maklumat sifatnya tidak pernah memaksa.

Jangan salahkan sesiapa bila anda buat keputusan salah dan dari keputusan itu anda mengalami tekanan hidup. 

Kesilapan yang sering manusia lakukan adalah apabila meletakkan dirinya seperti mesin yang tidak ada pilihan melainkan melaksanakan algorithm yang telah diprogramkan padanya sahaja. Anda bukan mesin.

Antara andaian salah yang sering berlaku adalah seperti di bawah.

  • Bila telefon berbunyi maknanya kena jawab telefon – salah, banyak lagi pilihan lain.
  • Bila anak tak dengar cakap, maknanya dia melawan dan perlu dihukum – salah, banyak lagi pilihan lain.
  • Bila isteri mengamuk ertinya dia tak hormat dan perlu diajar – salah, ada banyak lagi pilihan lain.
  • Bila kereta hilang ertinya anda ada masalah besar dan perlu bersedih atau takut – salah, banyak lagi pilihan lain
  • Bila business gagal ertinya anda bodoh dan tak boleh berniaga lalu berhenti berniaga – Salah, banyak lagi pilihan lain.

Berhenti sejenak

Perlu amalkan budaya berhenti sejenak dan bertanya apakah pilihan yang ada?

Pilihlah yang terbaik dan ambil tanggung jawab penuh dengan pilihan tersebut.

Cabar reaksi spontan anda terlebih dahulu. Ia hanyalah kebiasaan yang secara automatis berlaku dalam fikiran daripada maklumat yang diperolehi. Tidak semestinya apa yang difikirkan itu betul. 

Sementara masih hidup anda masih boleh memilih. Bila dah mati sudah tidak ada keistimewaan untuk memilih lagi.

Di akhirat nanti ada yang menyalahkan Syaitan atas apa yang berlaku pada dirinya, tapi dengan pantas Syaitan melepaskan dirinya dengan berkata, "aku hanya beri cadangan, engkau sendiri yang buat pilihan, jangan sesekali libatkan aku terhadap apa yang engkau pilih." 

Ikut Tok Guru atau Syaitan

Saya kongsikan komen dari pembaca di artikel saya yang lalu.

"Kita faham agama ikut fahaman para ulama' pendahulu kita. Jika kita cuba nak fahamkan agama ikut fahaman sendiri, memahamkan terus dari dalil dalil secara literal, mudah tersilap; tak jadi wahabi, jadi liberal, dua aliran popular hari ni. Isu ni dah banyak ustaz ustaz kita bincang. Sebabnya ulama' kita semuanya berguru, dan makan masa lama belajar agama dari asasnya hinggalah ke tahap mereka masing masing."

- Anon

Pandangan itu sangat popular di kalangan majoriti umat Islam di negara kita. Saya dengar sejak zaman kanak-kanak dulu hinggalah sekarang dah lebih dari separuh abad tidak ada perubahan.

Sering kali berlaku pada mereka yang pegang pandangan seperti di atas adalah dia ikut saja semua amalan yang dia diberitahu bahawa itu adalah apa yang para Tok Guru telah turunkan. Dia tak pernah tanya siapa tok guru tu, tak pernah tahu hujung pangkalnya dan percaya saja berdasarkan apa yang orang ramai di tempatnya membesar dan hidup amalkan. Itu jalan paling mudah dan paling ramai buat.

Ramai yang amalkan banyak perkara dalam hidupnya tak tahu menahu samada amalan itu datang dari siapa, pengasasnya siapa, datang dari Quran, Hadith, Ijmak atau Qias, ke, ada perbezaan pendapat ke, pendapat popular ke, adakah itu perkara asas atau perkara ringan dan sebagainya lagi.

Dia amalkan sebab itulah yang dia diajar dan itu juga masyarakatnya amalkan. Dalam masa sama dia pertahankan pegangan seperti komen di atas berterusan sehinggalah maut datang kepadanya.

Jika dia lahir dan dibesarkan serta hidup di kalangan Ahli Sunnah Wal Jamaah, dia akan mati dalam pegangan yang sama juga iaitu Ahli Sunnah Wal Jamaah. Sebab amalkan pegangan tersebut di atas. Mereka yang pegang fahaman ini yakin 100% para tok guru betul dan mereka juga pasti betul.

Keyakinan sama dipegang oleh penganut aliran lain juga seperti Wahabi umpamanya yang disebut oleh anon di atas, Syiah dengan berbagai cabangnya, Qadariah, Muktazilah, ajaran Ahmadiah, aliran Sufi, mistik dan sebagainya.

Seandainya anda dilahirkan dibesarkan dan hidup di kalangan Syiah, dengan pegangan itu juga anda akan berakhir mati nanti dalam keadaan Syiah. Dia juga yakin 100% para tok gurunya betul dan dia juga tentu betul, sama macam sunni tadi. Syiah juga ada ramai alim ulama besar mereka yang turut sama dimuliakan oleh sunni contohnya Imam Jaafar As-Sadiq. 

Tapi sunni akan kata Syiah sesat, kalau tak ubah mati dalam sesat. Syiah jua kata Sunni sesat dan kalau tak ubah, mati dalam sesat. Keduanya amalkan pegangan sama jangan nak memandai faham dalil sendiri sebab ulama' semuanya berguru, dan makan masa lama belajar agama dari asasnya hinggalah ke tahap mereka masing masing.

Dan begitulah seterusnya berlaku kepada penganut Kristian, Hindu, Buddha, Yahudi, Majusi, Sikh, Ahmadi, Zaidi, Animisme, Pagan, dan lain-lain lagi. Dengan pegangan bahawa hanya orang tertentu, bijak pandai, rahib, sami, elders, scholars, guru, yogi, tok cha dan sebagainya, sahaja yang tahu dan faham perkara berkenaan agama. Anda hanya perlu ikut saja. Anda akan mati kekal dalam keadaan agama yang sama sebagaimana anda lahir dan dibesarkan.

Semua yang saya sebutkan di atas punya sikap yang sama, jangan memandai-mandai nak guna akal sendiri. Apa yang para ilmuan agama dan teologi terdahulu tunjukkan sudah jelas dan betul. Ikut saja dan anda akan selamat. Semua mereka ada senarai panjang tok guru cerdik pandai yang mendalami agama masing-masing sehingga mencapai tahap tok guru masing-masing.

Di padang mahsyar nanti setiap orang, baik pagan, majusi atau nasrani dll akan disoal kenapa amalkan apa yang diamalkan ketika di dunia. Boleh saja jawab bahawa aliran anda adalah aliran terbukti betul diajarkan oleh bijak pandai terdahulu dan jadi amalan tok nenek sejak zaman berzaman.

Adakah dengan jawapan itu anda akan selamat?

Adakah Sunni akan selamat dengan jawapan itu. Jika anda sunni dah tentu anda kata ya, selamat insyaallah. Jika anda syiah, anda kata ya juga selamat. Jika anda Majusi, ya juga jika Yahudi, ya juga jika Kristian ya juga .. semua yakin dia betul sekarang. Tapi bukan anda yang tentukan semua itu nanti.

Para bijak pandai, hatta alim ulama sekalipun akan berlepas diri dari ambil tanggung jawab terhadap apa yang anda amalkan. Anda sendiri yang pilih untuk terima dan amalkan. Ada akal fikiran kenapa tak gunakan, jangan nak salah orang lain.

Adakah alasan bahawa, jika baca sendiri biasanya salah sebab Quran bukan untuk semua orang, hanya untuk para Tok Guru saja, kami yang bawah ikut tok guru saja, anda rasa boleh terima ke alasan itu?

Malangnya, majoritinya tak pernah renungkan perkara ini. Malah ramai yang tak sedar bahawa dia langsung tak pernah mencuba dan tak pernah berusaha malah dia lebih selesa jadi salah seorang dari mereka yang kuat menghalang orang lain yang mahu mencuba dan berusaha. 

Namun begitu, anda yang selesa jadi pengikut saja dan tegar berpegang bahawa akal yang Tuhan kurniakan tidak cukup untuk cuba fahami Quran dan tak berupaya membuat pilihan sendiri, tak perlu risau sebab memang majoriti yang sangat besar adalah pengikut yang sama macam anda. Hanya satu dalam seribu, mungkin kurang dari itu yang melawan arus. Biasanya mereka tak peduli apa yang anda fikir dan pilih untuk percaya. Mereka hanya ambil berat terhadap diri sendiri dan apa yang mereka percaya.

logoblog

Boleh Like dan Share artikel ini di akaun Medsos anda. Terima Kasih sudi luangkan masa membaca artikel, Bertanggung jawab penuh terhadap semua perkara yang anda sendiri buat pilihan.

Previous
« Prev Post

No comments:

Post a Comment

Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !