Jas-du-it

Jasduit - Just do it !

09 May 2024

Hukuman masyarakat sangat berat jika anda punya pendapat berbeza dari mereka

  Ano Nyme       09 May 2024

Saya yakin ramai yang dah tonton temubual antara Harith Iskander dengan Prof Tajuddin Rasdi terutamanya anda yang boleh faham Bahasa Inggeris dengan baik. 

Saya tengok 2 versi. Satu yang pendek di tiktok, iaitu keratan dari temubual panjang dari versi youtube. Kemudian saya baca sekali lalu komen yang ada banyak di bawah video tersebut.

Majoriti komen dibuat dalam Bahasa Inggeris. Sekali sekala ada komen dalam Bahasa Melayu. Boleh dirumuskan majoriti besar yang dengar dan komen temubual itu sependapat dengan apa yang prof Tajuddin lontarkan.

Memang tak boleh nak pastikan samada individu yang komen itu berbangsa Melayu Islam, bukan Melayu Islam atau bukan Melayu bukan Islam. Anda tak akan dapat kenal pasti identiti seseorang yang hadir dalam dunia cyber secara tepat. 

Andainya ada monyet yang boleh menulis, dan buat posting di media sosial, anda tak akan tahu dia ialah seekor monyet. Itu salah satu sebab kenapa teknologi blockchain diketengahkan, untuk atasi masalah identiti di dunia cyber ini.

Berbalik kepada identiti mereka yang komen, saya nak kata bahawa ramai dari kalangan bukan Melayu dan mungkin juga bukan muslim yang berikan komen. Dan sudah tentu mereka cenderung untuk bersetuju dengan prof Tajuddin.

Ia melibatkan mereka yang bukan Islam sebagai jiran kepada orang Melayu Islam di negara ini. Berjiran dengan orang yang tertutup akalnya atau lebih tepat lagi bodoh, sangat menyusahkan kecuali jika anda sanggup jadi lebih bodoh dari mereka.

Point yang nak saya sampaikan adalah, jika temubual itu dibuat dalam Bahasa Melayu, sudah pasti jumlah komen yang kecam prof itu adalah jauh lebih tinggi.

Melayu kurang membaca

Prof Tajuddin berpendapat salah satu punca yang menyebabkan orang Melayu Islam sentiasa merasakan diri mereka diserang oleh semua orang yang bukan Islam adalah masalah kurang membaca.

Ada juga orang Melayu Islam yang elakkan diri mereka dari membaca kitab agama tanpa ada bimbingan dari seorang guru. Saya dah tulis bab ini sebelum ini persepsi ramai bahawa baca kitab tanpa guru akan mudah jadi sesat kerana syaitan yang akan jadi gurunya.

Selain dari elakkan diri membaca kitab ilmu agama, ramai juga yang mengelak terus dari aktiviti membaca.

Masalah kurang membaca memang rakyat Malaysia tak dapat dinafikan kebenarannya jika dibandingkan dengan negara lain. 

Saya kongsikan maklumat terkini senarai negara yang rakyatnya paling kuat membaca di seluruh dunia. Malaysia tiada dalam senarai, tak tahu kenapa. Yang pastinya kalau tiada itu bermaksud tak banyak membaca lah.


Apakah benar kurang membaca yang ada pada Melayu Islam jadi punca terhadap sikap merasa sentiasa terancam terhadap penganut agama lain?

Jika anda perhatikan, sikap skeptikal umat Islam terhadap bangsa yang berlainan agama bukanlah spesifik untuk orang Melayu sahaja. Fenomena ini ada pada semua orang Islam di seluruh dunia tak kira bangsa apa.

Apakah majoriti umat Islam tidak suka membaca?

Kuat agama, lemah Math & sains

Saya tak jumpa lagi kajian tabiat membaca berdasarkan agama setakat ini. Yang paling hampir adalah kaitan penguasaan matematik dan sains berbanding tahap kepercayaan agama sesebuah negara. 

Kajian itu mendapati semakin kuat pegangan agama sesebuah negara, semakin lemah pencapaian rakyatnya dalam bidang sains dan matematik. Tak kisah apa agama yang sesebuah negara itu tekankan, ia tetap berikan kesan terhadap keupayaan rakyatnya berfikir secara kritis jelas dan tersusun. 

Itu bukanlah sesuatu yang mengejutkan sebab sains dan matematik adalah jurusan yang memerlukan daya akal yang kritis, jelas dan tersusun, manakala kebanyakkan daripada doktrin agama menolak semua itu sebab asasnya adalah percaya dan taat.

Anda tentu sering dengar ada ustaz atau agamawan yang menempelak orang ramai dengan ayat, 'bab agama ni bukan boleh pakai logik akal ..'. Tentu ada maksud yang lebih mendalam terhadap kenyataan itu, tapi hakikatnya dalam hal tertentu, penganut agama Islam perlu terima dan taat saja tanpa banyak soal tentang logik hukum.

Sudah tentu ada 2 kategori percaya dan taat itu. Pertama adalah golongan awam yang dianggap jahil, tidak ada ilmu dan tak ada keupayaan untuk gunakan akal bagi memahami segala pegangan agama. Golongan ini perlu dengar dan taat saja apa yang golongan kedua, iaitu para ilmuan yang ada semua jawapan terhadap segala hukum hakam. 

Makin hampir jarak para ilmuan ini dengan masa hidupnya Nabi, makin tepat ilmu dan pemahaman mereka terhadap agama. Sekalipun ada berbeza-beza pendapat antara para ilmuan tertinggi, semuanya dianggap betul. Ada level kedua pula yang ada autoriti untuk pilih pendapat mana yang orang awam perlu ikut.

Untuk orang awam sampai ke tahap mampu buat pemahamannya sendiri (dalam istilah dipanggil mazhab) dia perlu sampai ke tahap Mujtahid. Untuk sampai ke tahap itu mungkin hanya seorang dalam sejuta. Maka akhirnya, supaya lebih mudah, orang awam hanya perlu dengar, ikut dan taat saja.

Saya berikan contoh apa yang berlaku kepada agama Islam sebab itu yang saya sendiri lihat. Sebenarnya, anda boleh lihat dalam semua agama, perkara sama berlaku kepada para penganutnya. Ada lapisan kasta dari segi tahap kefahaman agama anutan mereka. 

Anda boleh lihat sendiri pada agama Hindu, Kristian. Yahudi, Buddha, atau apa saja. Paling ramai adalah penganut biasa yang bersedia amalkan apa saja para ilmuan mereka suruh. Terlebih kuat lagi diamalkan jika dengan berbuat begitu penganut biasa akan jadi kaya atau ada jaminan mudah ke syurga.. 

Satu sistem yang teratur dari segi pengiktirafan telah dirangka oleh para ilmuan dalam setiap agama itu sendiri untuk mengiktiraf mereka sebagai para ilmuan khusus. Tak ikut sistem itu, anda berada di jalan yang sesat. Tak ada orang yang dapat diiktiraf sebagai pandai dalam bab agamanya dengan hanya belajar sendiri semua ilmu agama dari buku tanpa ada satu aliran yang diturunkan oleh gurunya.

Lihat bagaimana ketat aliran dan kepercayaan dalam beragama dipelihara oleh mereka yang diiktiraf sebagai pelindung agama itu sendiri. Hampir mustahil untuk keluar dari normalisasi itu terutamanya selagi anda masih hidup bermasyarakat. SEbab itu mereka yang tolak agama dan berfikiran skeptik anggap agama adalah alat mengawal manusia.

Anak-anak orang Melayu majoritinya dihantar masuk ke sekolah kebangsaan yang jumlah mata pelajaran berkaitan agama jauh lebih banyak dari sains dan matematik. Itu yang berlaku di Malaysia sekarang sejak sekian lama. 

Tidak sama seperti zaman saya dulu, seluruh sekolah saya hanya perlu seorang saja Ustaz sebab hanya 2 jam seminggu subjek agama. Sekarang subjek agama makin lama makin bertambah durasinya. Tidak hairan lah anda boleh lihat jumlah orang Melayu hantar anak mereka masuk sekolah vernakular Cina setiap tahun meningkat.

Kajian terkini dikeluarkan oleh bank dunia merumuskan tahap pencapaian Malaysia dalam sistem pendidikan adalah membimbangkan. Saya tak baca laporan itu secara terperinci untuk lihat samada kajian berdasarkan pencapaian sekolah kerajaan atau termasuk sekali sekolah vernakular dan sebagainya. 

Sekali lalu nampak seperti negara semakin kuat mahu menerapkan identiti agama kepada rakyatnya terutama kepada orang Melayu, menjurus kepada benarnya kajian di atas tadi bahawa semakin kuat pegangan agama sesebuah negara, makin lemah pencapaian matematik dan sains rakyatnya, mungkin?

Kuat baca tak jamin otak kritis

Apapun, saya tidak rasa budaya membaca memberi kesan besar kepada orang Melayu. Banyak atau kurang membaca tidak dapat membantu untuk anda buat rumusan tepat terhadap apa berlaku kepada seseorang itu. Tambahan pula bahan bacaan yang banyak ada di pasaran adalah bahan popular berorientasikan hiburan dan keuntungan sekarang.

Banyak atau kurang membaca tidak mampu lahirkan pembaca yang berfikiran kritis, perlu dilihat apa bahan bacaan terlebih dahulu. Jika anda hanya hadkan pada buku tertentu sahaja terutamanya beraliran pemikiran atau falsafah, tak banyak baca buku pun akan buatkan akal anda sangat aktif digunakan setiap kali berada dalam masyarakat.

Lagipun kat Malaysia ada badan yang akan tapis buku apa yang boleh dan tak boleh dibaca oleh rakyatnya. Majoriti rakyat akan punya fikiran sebagaimana yang kerajaan atau pemerintah mahu sahaja. Ada juga sekatan terhadap kebebasan berikan buah fikiran. Anda boleh ditangkap jika silap cakap sesuatu yang bertentangan dari pemikiran biasa. Lihat kes Kassim Ahmad, anda akan dapat gambaran bagaimana negara mahu rakyatnya berfikir.

Hukuman masyarakat lebih berat

Apa yang paling besar pengaruhnya terhadap aliran pemikiran orang Melayu, terutamanya, di Malaysia adalah cara masyarakat berfikir dan mahu semua orang berfikir. Dan bagaimana cara rakyat berfikir dikawal oleh sistem pemerintahan dan undang-undangnya. 

Paling kuat mengawal adalah sistem yang wujud dalam institusi agama itu sendiri, seperti yang saya terangkan di atas tadi. Saya bagi contoh Melayu dan amalan agamanya.

Hampir keseluruhan hidup orang Melayu diikat kuat oleh agama anutannya. Ia sudah jadi amalan kehidupan orang Melayu seperti yang mereka sering sebut bahawa Islam itu adalah cara hidup. Bermula dari lahir sampai mati, anda perlukan masyarakat untuk hidupkan amalan agama yang anda percaya.

Kenduri buat tahlil, kahwin buat marhaban, akad nikah cari tok kadi, mati cari imam dan tok siak, pergi haji baca yasin, bulan puasa solat tarawih, more perlu jumpa siak, kena sampuk cari ustaz, belajar quran cari imam, malam jumaat baca yasin, solat subuh berjemaah, kaya pergi Haji atau umrah buat kenduri doa selamat, dan macam-macam lagi.

Kalau anda cari pasal untuk punya aliran fikiran yang berbeza dari masyarakat, hidup anda akan lumpuh dan terkeluar dari aliran kebiasaan. Kenduri orang tak pergi, mati tak ada orang nak uruskan jenazah. 

Jika anda terang-terang zahirkan amalan agama anda yang berlawanan dari amalan biasa masyarakat, silap hari bulan akan ada aduan dan tak lama kemudian anda akan diambil bawa ke pihak penguat kuasa.

Tak ada siapa yang sudah biasa hidup bermasyarakat sanggup berhadapan dengan rasa sunyi dipulau oleh orang ramai di kampung tempat anda tinggal. Monyet pun akan bunuh diri bila dia disingkir oleh kawan-kawannya. Bila anda berbeza pemikiran, anda perlu diam untuk selamatkan diri.

Berbeza pula bagi mereka yang mahu ambil faedah terhadap masyarakat. Jika anda mahu pamerkan diri sudah kembali kepada jalan yang lurus, setelah separuh abad tungging terbalik, anda hanya perlu ikut semula amalan biasa masyarakat, sokong aliran pemikiran mereka, kongsikan selalu ceramah tok guru pilihan masyarakat, buat posting tentang Palestine sejam sekali, anda akan terus dianggap sudah jadi kuat agama. Mati anda sudah tentu akan diuruskan dengan baik, insyaallah.

Majoriti besar manusia lebih suka hanya jadi pengikut dan paling penting mereka ingin kelihatan sama antara satu sama lain. Itulah masalah utamanya.

Hanya mereka yang ada kuasa dan pengaruh sahaja yang lebih berupaya menjadikan sesuatu masyarakat itu baik atau buruk sebab majoriti besar sentiasa bersedia untuk jadi pengikut, bukan untuk jadi pemikir. Sebab semua nabi diutuskan untuk berikan peringatan dan amaran kepada para penguasa dan pemimpin dalam masyarakat.

Prof Tajuddin kata semua orang punya tanggung jawab untuk cari kefahaman, cari ilmu dan bina keupayaan berfikir masing-masing dalam menentukan mana baik mana buruk. Tak boleh salahkan pemimpin.

Bagi saya itu memang sesuatu yang ideal tapi malangnya realiti tidak begitu. Sejak zaman Firaun sehingga sekarang, majoroti manusia hanya suka mengikut dan terlalu sedikit yang mahu berfikir.

Pemerintah dan penguasa yang paling kuat kemampuannya untuk ubah masyarakat, bukan perlu tunggu semua orang sedar dan bangun baru negara akan berubah. Sampai kiamat tak jadi begitu sebab dalam Quran ada sebut jika anda ikut kebanyakan manusia, anda akan disesatkan Al-An'am: 116

logoblog

Boleh Like dan Share artikel ini di akaun Medsos anda. Terima Kasih sudi luangkan masa membaca artikel, Hukuman masyarakat sangat berat jika anda punya pendapat berbeza dari mereka

Previous
« Prev Post

4 comments:

  1. Who are we , ASWAJA (supposed to be / should be)?
    "Org org yg mendengar perkataan perkataan (bnyk pendpt dan pndgn), mk mereka mengikuti yg terbaik antaranya. Mrk itulah org org yg diberi hidayah oleh Allah (swt), dan mrk itulah org org yg berakal sempurna." (QS 39:18).

    ReplyDelete
    Replies
    1. Penerangan dari Muhammad Asad dalam tulisannya di The Message of The Quran berkenaan ayat QS 39:18 ini menarik untuk di renungkan. Terima kasih komen

      Delete
    2. Kita faham agama ikut fahaman para ulama' pendahulu kita. Jika kita cuba nak fahamkan agama ikut fahaman sendiri, memahamkan terus dari dalil dalil secara literal, mudah tersilap; tak jadi wahabi, jadi liberal, dua aliran popular hari ni. Isu ni dah banyak ustaz ustaz kita bincang. Sebabnya ulama' kita semuanya berguru, dan makan masa lama belajar agama dari asasnya hinggalah ke tahap mereka masing masing.

      Delete
    3. Di M’sia ada yg lahir dan membesar di kalangan Syiah, ada juga Bahai, jika ikut panduan ini patuh pd ulama terdahulu dr aliran mereka, kekallag mereka hingga mati dgn fahaman sama. Jika orang Bali Indonesia pula yg lahir dan membesar dgn fahaman Hindu, kekal lah mereka dan mati sebagai Hindu ..

      Delete

Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !