Kenapa anda sentiasa berada dalam keadaan risau?
Punca utama yang membuatkan manusia sentiasa berada dalam kerisauan adalah disebabkan oleh keupayaannya memahami konsep masa lalu, masa sekarang dan masa hadapan.
Dari pengalaman yang telah dilalui di masa lalu, anda beranggapan ia bakal berulang di masa hadapan jika keadaannya lebih kurang sama.
Keupayaan membentuk bayangan masa depan itu hanya ada pada manusia. Dari situ anda faham tentang esok, tentang akan adanya kematian, akan berlaku kiamat dan akan berhadapan dengan kebangkitan selepas mati di padang mahsyar dan sebagainya.
Bila makanan tak ada di dalam rumah anda bayangkan kelaparan esok, Bila duit tak ada dalam bank anda bayangkan kesukaran hidup esok. Anjing atau haiwan lain tak ada semua keupayaan fikir begitu.
Keupayaan terhadap konsepsemalam, sekarang dan esok juga membuatkan manusia mampu menyediakan diri bagi berhadapan dengan kemungkinan apa saja yang berlaku di hari esok. Manusia buat rumah untuk berlindung, korek longkang besar untuk persediaan musim hujan supaya kampung tidak tenggelam oleh banjir dan berbagai-bagai kehebatan lagi yang mampu manusia lakukan.
Ringkasnya, konsep masa adalah satu kelebihan untuk memudahkan hidup anda. Dalam masa yang sama ia juga menyusahkan jiwa anda.
Takut tak ada duit
Untuk mudah jom ambil contoh duit.
Dalam kehidupan moden ini, tekanan yang disebabkan oleh tak ada duit adalah yang paling berat sekali dalam semua tekanan hidup yang ada.
Orang yang ada duit cukup makan kais pagi makan pagi kais petang makan petang sentiasa risau samada esok dia mampu cari duit yang mencukupi untuk meneruskan kehidupannya seperti biasa.
Anda ingat orang susah saja yang risau pasal duit. Sebenarnya orang kaya juga risau jika duit yang dia ada makin berkurangan hingga akhirnya habis. Sebab itu dia kedekut. Orang miskin jarang kedekut sebab dia dah biasa tak ada duit, jadi mudah saja bagi duit pada orang yang memerlukan duit itu lebih dari dirinya.
Kelebihan haiwan berbanding manusia adalah dalam bab memahami peralihan masa tersebut. Monyet tak pernah risau pasal esok nak jadi apa. Dia ada simpan maklumat tentang pengalaman lalu, tapi hanya digunakan pakai untuk keadaan semasa saja. Bukan untuk bayangkan masa depan seperti manusia buat.
Monyet kalau jumpa pokok buah, dia makan sampai kenyang kemudian berhenti. Bila lapar nanti datang semula. Tapi manusia bila jumpa makanan, dia akan makan sampai kenyang, ambil simpan untuk esok, untuk orang lain, untuk jual buat duit dan sebagainya. Sebab dia ada bayangan esok dalam kepalanya.
Sebab bayangan esok juga manusia cipta peti sejuk, gudang, lori, kapal dan sebagainya.
Orang tua vs orang muda
Biasanya orang tua akan kelihatan lebih tenang berbanding orang muda dalam menjalani kehidupan sehariannya. Kalau anda jadi orang tua, anda dapat lihat pada riak muka setiap orang muda yang sedang berjalan, sedang memandu dan seumpamanya untuk ke tempat kerja misalnya, muka masing-masing pudar penuh risau.
Orang muda pula akan dapat lihat ketenangan pada riak muka orang tua. Biasanya orang tua akan beri nasihat untuk bertenang dan jangan tergopoh gapah. Tak akan lari gunung di kejar. Memang kalau dah rezki anda, tak akan ke mana.
Ketenangan orang tua juga adalah hasil dari keupayaan memahami konsep semalam, sekarang dan esok. Dia faham esok yang ada padanya di atas dunia ini makin pendek. Dan sudah dia lalui segala kerisauan tentang hari esok di zaman mudanya, yang ternyata dia sedar sebenarnya sentiasa tertipu dengan kerisauan yang tak berasas.
Orang muda pula melihat esoknya masih panjang, masih banyak yang dia mahukan, masih besar perkara dan benda yang mahu diisi untuk esoknya. Maka dia sentiasa risau berbanding orang tua.
Pedoman dari Al-Quran
Bagi menghadapi kerisauan yang dah pasti ada pada setiap diri manusia, maka Tuhan utuskan para rasul untuk terangkan apa yang bakal berlaku di hari esok pada manusia. Jika manusia tidak diberikan maklumat pasal esok, dia akan reka macam-macam berdasarkan imaginasi dirinya sendiri.
Tuhan kata hanya perlu percaya, yakin dan serahkan diri bulat-bulat padaNya. Tak payah risau dan jangan ragu-ragu sebab semua urusan rezki, jodoh, hidup dan mati Dia yang uruskan. Semuanya dah termaktub dengan kemas dan rapi.
Apa yang anda perlu buat hanyalah fokus pada tanggung jawab di atas dunia ini. Tanggung jawab sebagai hamba Allah, sebagai anak, sebagai ayah atau ibu, sebagai abang atau adik, sebagai, kawan, jiran, majikan atau pekerja dan lain-lain seumpamanya.
Tunaikan semua tanggung jawab anda dan abdikan diri hanya pada Tuhan. Bukan pada Tok Sheikh, buka pada kerajaan, bukan pada duit, bukan pada nafsu, bukan pada patung, bukan pada bangsa, bukan pada apa dan siapa saja. Hubungan anda dengan semua selain Tuhan adalah hubungan tanggung jawab sahaja dan tunaikannya lillahitaala.
No comments:
Post a Comment
Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !