Jas-du-it

Jasduit - Just do it !

26 June 2024

Perbezaan masyarakat antara sebelum dan selepas wujudnya dunia internet - Siri 2

  Ano Nyme       26 June 2024


Dalam artikel yang lalu, saya berikan gambaran bagaimana keadaan masyarakat satu ketika dahulu ketika Malaysia secara umum masih tidak terdedah kepada teknologi internet secara meluas.

Apa yang paling ketara ketika itu dari pemerhatian saya adalah, setiap individu dikenali secara sebenar berdasarkan apa yang dia pamerkan dalam kehidupan seharian. Agak sukar untuk berlakon membawa 2 watak berbeza dalam masyarakat.

Mungkin boleh ada 2 watak berbeza. Satu, ketika bermasyarakat di kampung dan kemudian satu lagi watak lain bersama kawan-kawan rapat di waktu tertentu. Tapi keadaan itu tak mungkin dapat dikekalkan dalam tempoh masa yang lama. Akhirnya rahsia akan pecah juga sebab masyarakat ketika itu sangat aktif berinteraksi sesama mereka. 

Agak sukar untuk jadi kera sumbang dalam kampung ketika itu. Ia dianggap tidak normal walaupun ia memang wujud.

Internet buka ruang dunia baru

Sekarang, semua berubah. Setiap orang boleh berada di 2 alam berbeza. Satu, alam bersama masyarakat secara fizikal dan satu lagi alam masyarakat maya, iaitu dunia internet.

Anda boleh tunjuk alim, waraq ulang alik ke masjid dan surau setiap hari. Tapi secara diam-diam anda boleh buka satu akaun palsu di dunia internet media sosial dan pamerkan watak berbeza yang kotor atau jahat tanpa siapa pun sedar.

Anda juga boleh dikenali di mata masyarakat secara fizikal sebagai seorang yang lemah lembut baik berbahasa dan kurang bercakap. Tapi di bunia internet anda buka satu lagi watak berbeza, menjadi keyboard warrior dengan bahasa kesat lucah dan biadab dan tak henti berikan pendapat dalam apa saja topik.

Mana satu diri atau sikap sebenar anda adalah sangat meragukan. Mungkin kedua-duanya betul. Anda seorang yang baik di depan mata orang dan syaitan di dalam dunia maya yang suka layan perkara lucah, main judi dan ganggu orang.

Semua itu dapat berlaku dalam tempoh yang lama selagi anda bijak merahsiakan identiti dan tidak salah langkah timbulkan rasa syak wasangka dari orang lain sehingga ada orang jejaki IP atau sebagainya.

Dunia internet membuka ruang baru kepada individu untuk zahirkan apa saja yang terpendam di dalam dirinya selama ini tanpa kawalan. Sifat biadab maki hamun orang lebih berumur atau orang tua boleh dilakukan bila anda berinteraksi di dunia internet.

Anda juga boleh maki hamun, kritik, mencarut pada siapa saja yang tak dikenali ikut suka hati asalkan posting individu itu lalu di skrin telefon pintar anda. Atau boleh juga masuk mana-mana media sosial dan pilih secara rawak siapa saja untuk jadi mangsa kemarahan dan kebencian yang sedang meluap dalam dada anda selama ini.

Semua itu dapat dilakukan dengan menggunakan identiti palsu yang dapat melakonkan watak jahat yang terpendam dalam diri anda di dunia nyata yang tak mampu atau tak tergamak dipamerkan.

Kera sumbang jana duit

Seorang yang bersikap kera sumbang di zaman dulu akan sukar jalani kehidupan dalam masyarakat. Nak cari makan sendiri masuk hutan atau redah sungai bakal dedahkan diri anda dengan keadaan yang bahaya. Silap haribulan boleh bawa maut.

Kera sumbang masih dapat hidup selagi ada saudara yang sanggup jaga dan beri makan. Jika hidup keseorangan, jangkahayatnya mungkin tak lama.

Sebaliknya, seorang kera sumbang zaman internet sekarang masih mampu jana duit secara online. Dia boleh setiap hari menghadap komputer atau telefon pintar buat content atau sertai apa-apa program affliate untuk jana pendapatan. 

Tak perlu kawan secara fizikal. Hanya perlu kawan cyber untuk berinteraksi dan mendapatkan maklumat dan berjual beli secara maya. Kera sumbang dah boleh hidup berdikari sekarang. Buat duit online dan beli barang juga secara online.

Dah tak perlu skodeng lagi

Bagi kaki mengendap yang terpaksa bangun awal pagi untuk mengendap anak dara orang atau mana-mana perempuan mandi di subuh atau malam hari, dah tak perlu buat kerja susah dan bodoh itu lagi.

Anda hanya perlu buka akaun fake dan boleh layan mana-mana portal lucah untuk puaskan kegemaran anda terhadap perkara lucah selama ini. Tak ada sesiapa nak ganggu lagi selagi anda dapat hindari diri dari tertangkap dan didakwa atas akta miliki bahan porno.

Malah anda boleh turut sama sertai mana-mana aplikasi yang khayalan dan imaginasi lucah dan berinteraksi dengan akaun palsu orang lain. Nak puaskan diri boleh beli apa saja peralatan geli-geli palsu secara online.

Begitulah dunia internet telah membuatkan apa saja sisi gelap manusia dapat dilahirkan secara rahsia.

Semua orang boleh terkenal

Perkataan 'influencer' satu ketika dahulu jarang sekali didengari. Bukan senang nak jadi seorang yang mampu memberi pengaruh dengan teknologi komunikasi zaman sebelum internet. Anda perlu ada akses kepada TV atau Radio, atau akhbar dan majalah untuk jadi terkenal dan tarik ramai pengikut.

Anda perlu ada sokongan dari pihak lain seperti penerbit, wartawan dan seumpamanya sebelum boleh diangkat naik jadi terkenal di tambah dengan bakat yang anda ada yang benar-benar cemerlang. Untuk jadi terkenal perlu ada kumpulan yang saling ambil faedah terhadap populariti anda.

Tapi sekarang dengan adanya akses kepada internet dan media sosial, sesiapa saja boleh jadi pemberi pengaruh. Tak perlu ada team, cukup anda mulakan seorang diri buat content yang luar biasa. Luar biasa pula tak kisah samada sangat teruk atau sangat bagus. Kalau biasa-biasa saja memang tak akan ke mana. Anda perlu mampu mengundang pencinta dan pembenci untuk naik jadi influencer.

Macam-macam platform ada sekarang untuk jadi terkenal dan yang paling laku keras sekarang adalah tiktok. Paling ramai saya lihat followers adalah pada akaun kaum hawa yang samada cantik atau berani, berdesup orang follow dan paling menarik, boleh buat duit.

Semua itu membuatkan makin lama makin ramai yang hanyut buang masa dan hidup dalam khayalan. Kongsikan apa saja yang mampu tarik peminat tak kisah samada real atau lakonan.

Hilang upaya tumpuan

Ini membawa kepada penyakit paling berat yang masyarakat sedang hadapi sekarang, iaitu kurang upaya daya tumpuan. Latihan demi latihan membiasakan diri kepada nikmat hiburan pantas dan sementara, keupayaan membaca atau fokus terhadap sesuatu subjek secara mendalam dalam jangka masa yang lama makin terhapus.

Semua aksi berasaskan internet adalah bermatlamatkan hiburan dan pengiktirafan. Anda boleh kerap kongsikan maklumat sekerat yang kontroversi atau yang menyentuh emosi untuk berikan isyarat bahawa anda seorang pencinta agama. Itu semua berlaku terutamanya dalam grup wasap anak-anak khariah kampung.

Untuk tunjukkan anda waraq, hanya perlu kerap share ceramah atau apa saja kata-kata hikmat keagamaan kepada ahli grup seolah-olah ahli grup lain tak ada akses kepada internet. 

Hakikatnya semua tahu akses kepada semua content yang anda inginkan berada di hujung jari semua orang. Jadi jika anda masih tetap nak share juga tidak ada maksud lain, samada sedar atau tidak nak beri isyarat anda kuat agama. Itu saja. 

Ada ramai kawan-kawan yang kerjanya set secara automatik hantar setiap hari satu ayat Al-Quran bersama tafsirnya. Samada dia sendiri baca atau tidak boleh dipersoalkan sebab untuk mengerti dan ambil pelajaran dan pemahaman ayat Quran bukan semudah baca satu ayat. Anda perlu lihat konteks surah, baca ayat sebelum dan selepasnya, perhatikan setiap perkataan dan merujuk kepada ayat lain yang ada ulang perkataan sama, untuk kuatkan lagi fahaman. Tapi ramai yang ingat kefahaman Al-Quran hanya dengan sehari baca satu ayat.

Ada juga yang setiap hari share satu hadis. Huraiannya panjang lebar dipetik dari berbagai kitab dan huraian dari ulama terdahulu. Ada pula yang share hukum hakam atau fatawa serta amalan keagamaan bersama nas dan komentar para alim ulama dalam grup wasap atau medsos lain. Harapannya adalah untuk mendapat ganjaran dan paling penting untuk berikan isyarat bahawa dia kuat agama.

Kalau zaman dulu, isyarat anda kuat agama adalah apabila istiqamah pergi dengar kuliah hari minggu ustaz terkenal di kampung. Sekarang tak perlu lagi susah payah. Duduk depan TV dan buat posting untuk dikongsikan di medsos.

Ketagihan terhadap aktiviti memberi isyarat siapa diri anda kepada semua orang menjadi-jadi dalam semua isu baik ekonomi, pendidikan, politik mahupun agama. Anda hanya perlu ubah profile pakai serban Palestine untuk pamerkan bahawa anda sudah jadi peyumbang besar terhadap perjuangan bebaskan Palestin dari Yahudi Zionis, dengan menggunakan platform yang dikuasai oleh Yahudi itu juga. Ada seorang ahli anak khariah kampung saya kerjanya kongsikan isu Palestin setiap jam dalam grup wasap. Kemungkinan besar dia adalah wakil rakyat Palestin di media kampung saya adalah sangat tinggi.

Hilang upaya bertukang

Seingat saya, masa kat kampung dulu, umur 7 tahun saya dah mula pegang parang atau golok. Sehari boleh dikatakan saya akan guna golok atau parang 2 atau 3 kali. Tapi cuba tanya anak-anak muda sekarang sejak dia kecil sampai besar berapa kali pegang golok?

Anak saya cekap bina rumah atau bangunan dengan pakai aplikasi mainan bina bangunan. Malah permainan lego pun mereka dah tak layan sekarang. Apatah lagi nak pegang merton, playa atau skru driver atau golok.

Masa saya sekolah rendah, dah boleh bina reban ayam dengan menggunakan kayu-kayu lama yang ada di rumah. Bina pangkin atau kerusi lepak untuk dijadikan pot menyembang adalah perkara biasa. Buat pondok pakai kayu dan daun di dalam hutan belukar juga adalah perkara biasa termasuklah buat perangkap untuk tangkap burung.

Sekarang semua itu adalah rare. Jika anda ada kelebihan tersebut, boleh buat content di medsos dan akan ada ramai pengikut.

Ada jiran saya yang stress sebab anak lelaki dan perempuannya yang sudah remaja boleh duduk diam dalam bilik tak keluar rumah berminggu-minggu. Cukup ada talian internet saja untuk mereka duduk diam dah mampu lupa makan dan minum.

Anak-anak kecil di mana-mana saja kelihatan asyik layan telefon pintar yang ibubapa berikan supaya anak kecil itu duduk diam tak buat hal sambil ibunya juga layan media sosial. Cuba ambil telefon pintr itu dari tangan anak tersebut dan lihat apa berlaku.

Dajjal mata satu di akhir zaman

Masa kanak-kanak dulu ketika mengaji dengan Tok Guru di Masjid, dia selalu ingatkan di akhir zaman akan muncul Makhluk bernama Dajjal yang bermata satu, tahu semua kejadian dan sentiasa memantau pergerakan anda. Dajjal itu besar dan berkuasa buat macam-macam magik, saya bayangkan itu adalah raksaksa.

Tapi sekarang saya sedar dajjal itu di pegang oleh semua manusia di muka bumi ini khayal dengan syurga yang dajal itu janjikan. Dajjal yang berupa telefon pintar itu juga bermata satu, iaitu kamera yang lihat dan menjejaki apa saja yang anda buat, sebut dan lain-lain.

Jika anda tak mau ikut dajjal, dia akan siksa. Ertinya kalau anda putuskan penggunaan segala telefon pintar, sudah pasti akan akan hidup bagai di neraka dan dipulau oleh majikan dan semua orang yang hidup bergantung kepada benda dajjal tersebut.

Dajjal sudah muncul .. tak payah tunggu lagi. Samada anda sudah jadi pengikutnya atau tidak saja, boleh cuba renungkan.

logoblog

Boleh Like dan Share artikel ini di akaun Medsos anda. Terima Kasih sudi luangkan masa membaca artikel, Perbezaan masyarakat antara sebelum dan selepas wujudnya dunia internet - Siri 2

Previous
« Prev Post

No comments:

Post a Comment

Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !