Jas-du-it

Jasduit - Just do it !

28 July 2024

Memahami Yahudi dan kongsi maklumat perang Palestin-Israel di grup wasap dapat bantu Palestin

  Ano Nyme       28 July 2024


Apa yang berlaku kepada Rakyat Palestin di Gaza sekarang memang satu kekejaman luar biasa yang tidak dapat disangkal. Semua orang tahu perkara itu dan rakyat dari berbagai negara, bangsa dan agama mengecam Israel dan menyatakan simpati mereka terhadap rakyat Palestin.

Sehingga hari ini, 28 Julai 2024 sudah cecah 39,324 kematian dan 90,830 kecederaan berlaku kepada rakyat Palestine sejak peristiwa serangan Hamas 7 Oktober 2023 terhadap Israel, peristiwa yang digelar Serangan 7 Oct. Serangan yang mengejutkan seluruh dunia itu dilakukan dari Gaza dan sejak itu, perang berlanjutan sampai ke hari ini.

Sejak itu juga bendera Palestine berkibar depan rumah jiran saya, seorang pemandu teksi yang sentiasa berkopiah. Bukan depan rumah dia saja, malah di segenap pelosok negara. Juga berkibar di sebelah nama profil akaun media sosial kawan-kawan Melayu lain. 

Bermula dari hari itu juga muncul akaun yang tiba-tiba jadi penganalisis konflik Palestine-Israel dan perang Hamas-Israel. Banyak juga timbul akaun yang fokus kepada perkongsian maklumat terkini perang di Gaza. 

Dan sejak dari hari itu juga bermulanya salah seorang ahli grup wasap di kampung saya yang bertukar menjadi jurucakap Hamas di grup wasap kampung. Dia tiba-tiba jadi pakar perang Palestine-Israel, dalam masa yang sama pakar sejarah Yahudi-Zionis. Nanti saya datang balik ke bab ini.

Apa yang membuatkan semua yang saya sebut di atas muncul di negara kita Malaysia?

Saya boleh senaraikan 3 sebab seperti berikut.

  1. Meluahkan apa yang dirasa - Ada orang punya hubungan rapat dengan Palestin, ada ikatan emosi. Mungkin dia ada saudara, kawan, atau kenalan di sana. Mungkin dia berasal dari kawasan sana. Mungkin juga dia pernah ke Palestine. Semua itu membentuk satu ikatan emosi yang membuatkan peristiwa sedih yang terjadi di sana membuatkan dia ingin meluahkan simpati. Maka dia pacak bendera, buat posting di FB atau cat rumahnya dengan warna bendera Palestine.
  2. Memberi isyarat identiti - Ini juga satu dari sebab anda beri tumpuan istimewa dalam menzahirkan sokongan, simpati, kemarahan dan sebagainya. Dengan kerap buat posting pasal Palestine, anda beri isyarat pada orang ramai yang anda insan prihatin, peka sesama muslim, cintai bumi suci bersejarah, ada kaitan agama dan seumpamanya. Tapi hanya untuk Palestine vs Yahudi saja sebab bila kekejaman sama berlaku pada puak Kurdish, puak Houthi di Yaman, di Sudan, Chad, Sunni bunuh Shiah dan Shiah bunuh Sunni serta lain-lain lagi, tak ada yang ambil peduli.
  3. Mencari populariti - Ada yang nampak semua yang berlaku adalah satu peluang untuk dia cipta populariti. Kebetulan pula dia rajin ambil tahu kejadian di sana dan memang tengah struggle cari sesuatu untuk lonjakkan diri, maka segala usaha dibuat untuk ambil faedah buat drinya. Biasanya populariti datang sekali dengan peluang pemasaran. Dia boleh jual audience yang dah ramai mengikutinya kepada produk atau service yang sesuai.

Saya sokong Palestin

Secara peribadi, saya simpati kepada mana-mana kelompok manusia yang tertindas tak kisah dia agama apa atau bangsa apa sekalipun. Sama seperti saya bersimpati terhadap Palestine. Saya sokong apa saja usaha untuk menghentikan kekejaman zionis di sana. Kalau diajak boikot barang Israel, saya ikut. Kalau diajak boikot mana-mana organisasi yang terang-terang bantu negara Israel, saya akan turut ikut aktiviti boikot itu seboleh mungkin.

Saya menunggu bila agaknya para aktivis yang gerakkan usaha boikot entiti perniagaan selama ini seperti McD, Nestle, Starbucks dan sebagainya, yang ramai ikut sampai banyak cawangan mereka yang bungkus, akan turut sama menggerakkan usaha boikot negara Amerika, Britain, German, France dan Australia. Kesemua negara itu terang-terang membantu Israel dalam kancah peperangan sekarang secara terus. Kalau nak boikot, 5 negara itu adalah pilihan utama yang wajib di boikot.

Jika ada seruan yang bermatlamatkan bantu Palestine, lemahkan Israel, saya akan ikuti dan buat pertimbangan dari segi keberkesanannya. Adakah ia lebih mendatangkan mudarat kepada rakyat Malaysia secara segera tanpa memberikan sebarang kesan terhadap Palestine atau Israel, atau memang berkesan. 

Itu saja usaha terbaik yang saya boleh buat. Sebenarnya saya tak pasti samada keputusan yang saya buat terhadap isu politik antarabangsa betul atau tidak sebab apa yang berlaku adalah satu perkara yang amat kompleks. Saya juga yakin semua orang di luar sana, termasuk mereka yang dakwa dia tahu, kononnya ada sumber sahih, dia kaji dan faham apa yang berlaku, turut sama tak boleh dipercayai bulat-bulat.

Jika isu rumit masih boleh diuraikan oleh mereka yang berkemahiran tinggi sebab pemboleh ubah perkara rumit terhad, dan dapat dikawal. Tapi isu kompleks seperti di Palestine tidak ada siapa yang boleh huraikannya secara ringkas dan padat sebab pemboleh ubah yang berikan kesan kepada isu tersebut tidak terbatas. Sedikit saja berlaku perubahan, semua kedudukan turut berubah secara berangkai. Isu kehidupan adalah isu kompleks, memang begitu ujian di dunia dan hanya kehidupan di akhirat saja yang benar. 

Tak ada siapa yang tahu apa sebenarnya yang berlaku. Semua faham berdasarkan kepentingan peribadi dan survival diri sahaja. Bukan realiti. Oleh itu, bagi mereka yang tak ambil pot langsung terhadap apa yang berlaku sebab fokus kepada urusan dan tanggung jawab hidupnya yang lebih mendesak sahaja, saya tak kisah. Malah itu lebih baik dari kepoh terhadap urusan jauh dari ruang lingkup kehidupannya, lebih lagi jika tak ada kesan langsung samada dia ambil tahu atau tidak.

Bantu Tentera Palestine

Jika diajak pergi angkat senjata serang Israel atau masuk pertahankan Gaza dengan tentera Palestin di sana, saya akan fikir panjang. Malah saya yakin dalam masa 20 ke 30 tahun lagi pun tak akan ada gabungan negara anti Israel, khususnya negara yang penduduk muslimnya ramai, pakat sama-sama pergi lawan Israel. Kerjasama sedemikian sudah tidak ada terutamanya sesama negara orang Islam.

Secara logiknya, jika ada usaha gabungan sedemikian, ia sudah jadi urusan negara. Biar ketua dan para pemimpin negara yang tentukan. Kemudian jika PM dan kabinet buat keputusan untuk hantar tentera ke sana, sudah tentu dia akan hantar mereka yang memang tentera, bukan orang awam seperti saya.

Kerajaan juga tak hantar aktivis paling ganas di media sosial sekarang, yang post maklumat apa berlaku di Gaza setiap 5 minit. Hebat macam manapun menjerit, ikat kepala dengan bendera palestin, anjur mogok lapar, pegang poster "Hancur Israel" dan sebagainya, masih tak melayakkan anda pergi angkat senjata lawan Israel. Usaha untuk bantu berikan sokongan terhadap Palestin ada batasnya buat semua orang awam. Itu sangat jelas.

Sama juga pada peringkat negara, walaupun kerajaan Malaysia sokong Palestine, ia hanyalah setakat diterjemahkan dalam polisi hubungan antarabangsa yang pro Palestine. tak lebih dari itu.

Saya bantu Palestin

Semua orang jika di tanya dah tentu jawab dia sokong Palestin, tapi ..

Apa yang anda buat untuk bantu Palestin?

Apa anda buat untuk lawan Israel?

Itu soalan penting untuk tanya pada semua orang yang mengaku dia sokong Palestin dan menentang Israel. Sebab sokong tidak semestinya membantu. Sokong tidak berikan apa-apa kesan kepada kekejaman Israel yang berlaku sekarang. Tidak pengaruhi apa-apa mesyuarat yang berlaku di Palestin tidak juga di Israel.

Jika ada bantuan yang boleh diberikan, paling ada kesan adalah derma duit. Itupun saya tak tau secara pasti apakah benar duit yang saya berikan khas untuk tabung rakyat Palestine itu sampai kepada mereka. Siapa boleh sahkan?

Bantuan paling berkesan sebenarnya adalah yang disusun di peringkat negara, atau aktiviti bukan kerajaan yang diiktiraf oleh kerajaan. Atau aktiviti peringkat antarabangsa yang melibatkan pertubuhan besar yang diiktiraf oleh dunia antarabanagsa.

Itupun, ia tidak akan berjaya hentikan peperangan. Tak akan berjaya pujuk pihak Hamas lupakan hasrat mereka untuk jadikan negara Israel sebagai Palestine. Tidak juga dapat hentikan sikap membuli Israel kepada rakyat Palestine. Begitulah kompleksnya keadaan yang berlaku.

Malah ada yang hanya berserah kepada Tuhan untuk menghukum Israel terhadap segala kekejaman yang mereka buat di sana. Saya juga percaya memang hanya Tuhan yang dapat hancurkan kekejaman Israel.

Share & Like bantu Palestine

Jika ada satu budaya baru yang benar-benar tak berguna malah menyesat dan melekakan manusia di zaman moden ini adalah konsep share & like.

Bila anda share atau like berita tentang kekejaman Zionis di Palestine, maka anda rasa sudah melakukan sesuatu. Hilang rasa bersalah dan terlepas dari dosa tidak bantu saudara sesama agama. Malah mampu timbulkan rasa bangga dapat pamerkan kepada orang lain yang anda sokong Palestine , maka anda seorang muslim yang sejati.

Hakikatnya, aktiviti itu tidak berikan apa kesan kepada Palestine mahupun Israel. Malah ia jadi maklumat berguna kepada mereka yang mengawal segala pergerakan media sosial, maklumat komunikasi dan keseluruhannya, dalam membuat propaganda baru untuk kabur-kelabu dan lekakan lagi manusia kebanyakan.

Share & like tak besarkan satu hun pun tanah Palestine, tak kurangkan jumlah peluru yang ditembak oleh Israel, tak selamatkan mana-mana nyawa kanak-kanak atau penduduk awam yang lemah di Gaza, tak akan sembuhkan luka mereka yang tercedera .. tidak sama sekali.

Melainkan apa-apa gerakan yang ditujukan kepada kerajaan anda sendiri untuk melakukan sesuatu bagi membantu pihak Palestine. Samada demo, petisyen, dan seumpamanya yang digelombang-besarkan bagi menekan kerajaan buat sesuatu. Itu pun saya yakin pihak kerajaan dan para pemimpin di atas sana pikir 2 kali untuk buat keputusan. melainkan keputusan atau gesaan dari rakyat itu ada kelebihan politik untuk kerajaannya kekal, dia akan ikut gesaan tersebut. Jika tidak, dia akan abaikan saja.

Kongsi maklumat Palestin Yahudi

Berbalik kepada ahli grup wasap kampung yang bertukar jadi pakar perang Palestine-Israel dan juga pakar sejarah Yahudi-Zionis, yang saya ada sebut di atas tadi. Saya rasa tentu grup wasap kampung lain atau grup wasap kawan-kawan yang anda ada, terdapat juga seorang dua yang tiba-tiba jadi wakil pejuang Hamas di Malaysia.

Macam yang saya kata, share & like, apa saja berita Palestine-Israel yang anda jumpa dari platform media sosial lain masuk ke grup wasap anda, kononnya dapat membantu Palestine adalah satu delusi peringkat tertinggi yang kronik pada rakyat Malaysia.

Tapi itulah yang kawan kampung saya buat. Tak henti-henti berita perkembangan terkini di kongsikan. Apa saja maklumat tentang Yahudi turut sama di kongsi. Tak lupa juga dengan moto, Palestine Pasti Menang. Dan dia rasa telah membantu Palestine.

Saya yakin itu semua adalah delusi. Sebaliknya apa yang dia dapat hanyalah label bahawa dia amat pro Palestine, dia amat Islamik, amat mengikuti perintah Tuhan untuk bantu sesama Islam, amat pandai tentang perkembangan antarabangsa, pakar rujukan dan lain-lain seumpamanya. Dan semua itu hanya untuk kembangkan rasa syok sendiri saja tanpa sedikitpun beri apa-apa kesan kepada Palestine.

Saya luahkan pendapat untuk hentikan jadi overdose meratib isu Palestine, isu Yahudi dan sebagainya dalam grup silaturrahim kampung dan fokus kepada isu lain yang lebih hampir dalam kehidupan seharian kita di kampung. Bukan bererti tak kesian kat rakyat Palestine, tapi bukan di sini tempatnya untuk syok sendiri.

Maka ini jawapannya yang saya dapat dari pakar konflik Palestine-Israel dan pakar Yahudi di kampung saya ..

-----------------------------------------

Misinterpretation tentang yahudi dan yahudi zionist tu bnyk berlaku (dlm kalangan org2 islam melayu sendiri) dan mereka cepat koyak...main persepsi.. Anak2 muda terkini perlu tahu walaupun dok di penanti maupun di tawau sabah..mereka perlu diberi pendedahan dan updated walaupun kadar sedikit sedikit..._ia tetap akan kesampaian  (end-result)

 Kita jangan terbawa-bawa cara pemikiran  dan risalah penjajah yang telah lama tertanam dlm pemikiran org2 melayu sejak kita di zaman sekolah lagi (60/70/80an).."Barat itu Terbaik"...meletakan urbanisation (pemodenan bandar) itu satu yang paling terbaik (tidak semua lagi waktu2 ini...) dan masih meghalang pemikiran org2 luar bandar supaya terbuka..dulu2 kita cukup hanya mengaji dengan tok2 guru kampong hal2 ugama.. dan dah memadai..hal2 ugama serah pada kerajaan maupun mufti2.. Betoi tu..tapi tak tepat. Zaman berubah dan keperluan ilmu menjangkau suasana yang inklusif..

Sebagaimana kita tahu media antarabangsa dikawal zi0nis (termasuk yahudi G.Soros) yang mengawal Fox News / CNN / amerika / Britain sejak tertubuhnya israhell 78 tahun dulu. Pergerakan mereka licik dan melepasi masa sehingga pembataian beribu-ribu rakyat pelastine tidak didedahkan secara meluas dan mendalam supaya penghapusan bangsa (ethnic cleansing)  dapat diteruskan sehingga hamaZZ bankit menentang. ( total resistance)

Terima kasih pada teknologi  internet yang mereka tidak dapat mengawal kebenaran dan pendedahan demi pendedahan. Kita dapat dilihat dan hadam secara global dan glokal. Terima kasih pada Motaz - pemberita yang mendedah pada dunia kekejaman zi0nis dari mula)

Dengan demikian maka terajadilah gerakan kem2 anti israhell (anti genocide encampment) pelajar2 uni seluruh amerika dan UK. Kebanyakan mereka bukan muslim..tetapi memahami lebih dari kita apa itu genocide dan apartaide occupation (penjajahan secara penghapusan etenik peladtine). kekadang dunia muslim rasa malu plak 🌝

Berkenaan dengan kupasan yahudi zi0nis...kalu nak kupaih cara asas sahaja tidak memadai tanpa mengenal kaum yahudi itu sendiri. Tidak semua yahudi itu zi0nis..kita hanya anti yahudi zi0nis..Jika peperangan berakhir pun ia tetap berterusan sampai kiamat dlm bentuk lain pulak..kita kena sentiasa bersedia walaupun kita dah tak ada..tak perlu obsess dgn isu2 gaZZa israhell...sekadar updating...dan untuk memberi kefahaman piece by piece..lebih2 lagi untuk generasi terkini..sejarah asas berkenaan Nakba dan Intifada perlu difahami sedikit  walaupun ia mengambil masa untuk memahami...jangan putus asa untuk salur maklumat dan info sebab  pengetahuan adalah "on-going" proses hingga anak adam itu mati.

Kita tak boleh buat judgement  atau telahan keatas anak2 kampong kita seolah2 mereka tidak tahu membaca dan memahami. ...yahudi dan yahudi israhell  ada perbedaan..bila kita anti israhell...ia bukan anti-yahudi (anti-semestic)...Tak perlu buat reference pada journal2..academic papers atau makalah-makalah bersabit..kita bukan nak ambik STPM..🌝 cukup sekadar info2 asas yang sedang berlaku..sebab info2 bnyk dlm bahasa inggeris.

Kalu kita rasa jemu dlm penyaluran info2 di gaZza dan pergolakan asia barat kita "cross-fingure" memadai...biar info2 updating dari org2 lain bergerak...sekurangnya penyaluran tidak terhenti.

Kebanyakan org2 bisnes ni tak brapa ambik pot tentang gaZza israhell.. mungkin sebab mereka lebih fokus kepentingan Dollar and Cent supaya tidak terjejas. Blackrock juga satu bisnes tetapi dipolitikan sedemikian rupa.  Terlalu panjang nak kupaih...takuit bawang terkena mata.  🌝

Pelastine tetap akan menang sebagaimana disebut dlm Quran

in shaa ALLAH 🇵🇰

----------------------------------

Saya rasa dia terlalu idealistik nak ajar anak kampung untuk ambil tahu dan faham apa yang berlaku di Palestine-Israel. Dari situ maka anak-anak kampung akan bangun ramai-ramai macam rakyat dari negara lain di luar negara yang bangun berdemo dan sebagainya untuk sokong Palestine.

Saya minta tak payah overdose di grup anak khariah kampung cuba nak jadi pencetus pergerakan anti Yahudi-Zionis level kampung. Kalau nak jalankan usaha itu, buka saja satu grup lain atau usahakan satu platform lain yang lebih sesuai. Bukannya menyemak setiap jam dengan isu Yahudi dan Palestine sampai akhirnya maklumat penting berkenaan orang kampung terlepas pandang. Bila sampah banyak atas jalan, duit yang bernilai terselit akan terlepas pandang. Oleh itu perlu fokus kepada matlamat utama grup kampung untuk merapatkan silaturahim. Dan saya di jawab begini.

😅  jgn rasa KOYAK..siratulrahim adalah menegakkan apa yang bathil dan hak dlm Islam..isu pelastine isu Islamik global ..bukan perihal peribadi seseorang atau jaga tepi kain org lain  ... yang tu tak boleh la 🙃🙂

..misinterprete lagi  

Saya diperkenalkan dengan maksud baru silaturrahim yang kawan itu takrifkan untuk menegakkan hujahnya yang suka beratib yahudi bukan pada tempat yang sesuai. Makna silaturahim dah jadi lain dari kebiasaan. Entah kamus mana dia rujuk saya tak pasti. Tapi kamus dewan tak ada berikan makna sebegitu. 

Dan diulang perkataan KOYAK. Istilah sama yang mereka sering sebut bila seronok viralkan apa-apa perkara tentang Israel. Kononnya Israel koyak. Satu lagi kegemaran mereka yang syok sendiri, bagi label pada orang lain dan tepuk tangan. Sendiri buat lawak sendiri gelak. Delusi ...

logoblog

Boleh Like dan Share artikel ini di akaun Medsos anda. Terima Kasih sudi luangkan masa membaca artikel, Memahami Yahudi dan kongsi maklumat perang Palestin-Israel di grup wasap dapat bantu Palestin

Previous
« Prev Post

No comments:

Post a Comment

Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !