Di taman tempat saya tinggal ada seorang auntie berbangsa Cina yang agak berumur. Saya tak pasti sudah berapa tua umurnya, mungkin dalam lingkungan lewat 60-an atau paling tua pun awal 70-an. Dia tinggal sederet dengan bangunan rumah saya selang 4 buah rumah.
Auntie itu memang sangat peramah. Suka menegur dan ajak bersembang. Dia lebih ke arah suka gossip mengata pada jiran yang tidak disukainya. Setiap kali berselisih ketika nak turun ke padang berjogging, dia akan tahan. Sudah pasti ada perkara yang mahu digossipkan. Selalunya saya hanya dengar, senyum dan angguk saja tanpa menokok tambah atau memberi sebarang isyarat membenarkan apa yang dia kata.
Nasihat tak boleh pakai
Ada masanya, dia akan tahan saya untuk beri nasihat kesihatan. Satu nasihatnya yang saya tak setuju adalah tentang bersenam. Dia suruh saya bersenam saja dalam rumah. Belilah apa-apa alat bersenam untuk diletakkan dalam rumah. Itu lebih baik dari apa yang saya sudah amalkan sejak berpuluh tahun, bersenam di padang keliling taman. Alasan utama adalah udara luar tidak sihat, katanya.
Dia terikut-ikut dengan larangan ketika wabak covid 19 yang lalu untuk berada di luar rumah. Kuman akan mudah menjangkiti saya jika terus amalkan cara bersenam di kawasan terbuka.
Untuk membantah nasihatnya saya malas. Tapi saya berikan alasan bahawa apa yang saya mahu adalah untuk merasakan belaian angin yang lembut dan sejuk menyentuh kulit saya setiap pagi. Mendengar bunyian kicauan burung dan melihat lambaian dedaun pokok menghijau juga adalah perkara yang tidak ada di dalam rumah. Sambil berjalan kaki melintasi setiap rumah di kejiranan, saya sempat menegur dan bertanya khabar setiap orang yang saya jumpa. Semua itu adalah sebab utama saya lebih suka berada di luar bersenam di waktu pagi.
Dia masih tidak bersetuju dan saya abaikan saja cadangannya itu.
Bawa kereta laju
Secara umumnya, auntie itu ok saja. Cuma dia ada satu sikap yang saya tidak selesa ketika dia memandu. Cara pemanduannya agak merbahaya sebab agak laju walaupun memandu di jalan taman. Kalau masuk simpang, dia langsung tak perlahankan keretanya, berdesup masuk simpang. Orang yang berselisih dengannya perlu mengelak supaya tidak berlanggar.
Orang rumah saya selalu mengadu tentang cara dia bawa kereta berdesup tidak sopan. Setiap kali dengar komen orang rumah saya abaikan saja. Kata hati saya, biarlah dia begitu. Orang tua memang ada peel pelik yang buang masa saja untuk cuba ditegur. Mereka tak akan berubah.
Satu pagi, saya sedang berjalan kaki di lorong sempit antara bangunan nak ke taman, ketika berada di hujung lorong, tiba-tiba dia masuk simpang itu dengan laju menghampiri saya tanpa sedikitpun menekan brek. Saya tersepit tak ada tempat nak ke tepi berikan laluan dan dia kelihatan terus laju seperti mahu melanggar saya.
Dengan bersusah payah, saya kecilkan diri dan melompat ke celahan antara dia kenderaan yang parkit di tepi lorong itu dan alhamdulillah selamat dari dilanggar. Dia dengan selamba, terus ke depan dengan kelajuan yang sama seperti tak ada apa-apa yang berlaku. Itu sudah melampau. Darah naik membuak dengan sikapnya itu, saya pujuk perasaan untuk abaikan saja.
Sambil terus ke depan berjalan menuju ke taman, saya jenguk ke belakang beberapa kali melihat auntie itu sedang parkir di hujung sebelah sana lorong tersebut. Rasa mahu saja serbu ke sana dan mencarut kebiadabannya, tapi akhirnya saya lupakan saja dan teruskan niat jogging di taman.
Mohon maaf, melawak
Keesokkan harinya saya lalu di tepi rumahnya sekali lagi untuk ke taman dan dia segera datang mendapatkan saya tersenyum-senyum.
"Semalam saya bergurau mau tengok kamu mau buat apa, saya main-main saja", itu dakwaannya yang saya 100% tidak percaya sebab dia kelihatan bersedia untuk langgar saja saya jika tidak melompat ke tepi mengelak dari keretanya yang laju ke arah saya tanpa tekan brek.
Saya mengangkat jari telunjuk dan menidakkan apa yang dia kata dengan isyarat sahaja tanpa berkata-kata, teruskan berjalan sekalipun dia cuba ekori saya, abaikan saja cubaannya untuk minta maaf atas alasan mahu bergurau nak langgar saya.
Saya berikan isyarat bahawa saya marah dengan apa yang dia telah buat.
Keesokkan harinya, waktu petang ketika saya balik dari beli barang dapur, sekali lagi dia kelam kabut berjalan kaki meluru ke arah saya sambil gelak-gelak. Dia kata dia hanya gurau-gurau mahu lihat saya kelam kabut mengelak. Dia kata sorry!
Saya kata, samada dia memang sengaja begitu dan itu yang saya rasakan sebab saya lihat cara dia memandu dari dulu sampai sekarang tidak pernah mengelak, perlahankan kereta ketika berselisih dengan kenderaan lain ketika masuk simpang, atau dia mahu bergurau dengan gurauan yang bahaya, kedua-duanya saya tidak boleh terima. Dan saya berlalu abaikan dia begitu saja.
Memang saya tidak dapat maafkannya sama sekali. Nak balas atau bertindak kasar memang tak akan saya buat, tapi untuk berbaik dan bertolak ansur dengannya sudah tidak ada lagi dalam diri saya.
Di satu segi, rasa bersalah juga sebab tidak dapat lembutkan hati ini maafkan saja. Tapi sampai sekarang saya masih mencari alasan yang kukuh kenapa saya perlu jauhkan diri dari auntie itu dan tidak lagi anggap dia seorang jiran yang boleh dilayan seperti seorang jiran yang baik.
Adakah saya bersalah?
No comments:
Post a Comment
Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !