Jas-du-it

Jasduit - Just do it !

11 August 2024

3 perkara yang mempengaruhi cara ibu bapa besarkan anak-anak mereka dari dulu hingga sekarang

  Ano Nyme       11 August 2024


Bulan May hari tu, kecoh laporan terdapat lebih 10 ribu pelajar tak ambil peperiksaan SPM tahun 2023. Jumlah itu adalah lebih kurang 2.65% dari keseluruhan pelajar yang sepatutnya menduduki SPM.

Kemudian tular pula cerita seorang pempengaruh yang label degree sebagai ilmu bocah. Ertinya ilmu budak-budak. Dia juga beranggapan tak guna masuk belajar untuk dapatkan degree sebab status atau kelayakan degree itu dibeli. Dia samakan beli degree dengan beli donat.

Tambah pempengaruh itu lagi, orang masuk pusat pengajian tinggi bukan untuk belajar. Tapi mereka mahu dapatkan pekerjaan, nak kerja makan gaji. Dia sendiri tak mahu dapatkan degree sebab dia tak mahu makan gaji. 

Bila digabungkan semua kenyataannya, boleh dirumuskan bahawa orang bukannya nak belajar tapi nak layakkan diri dapat kerja. Untuk dapat pekerjaan, majikan mahu lihat ada degree, baru layak. Maka pusat pengajian tinggi jual degree dan pelajar pergi masuk dan beli, dan tunjukkan degree pada majikan.

Semuanya nampak macam logik juga. Bukankah itu yang berlaku secara meluas dengan sistem kehidupan sekarang?

Pusat pengajian berniaga

Secara umum, sistem pendidikan di pusat pengajian tinggi dan seumpamanya lebih berorientasikan perniagaan. Ada satu institusi pengajian yang tawarkan kursus degree kepada anak saya yang baru lepas SPM, Ibunya kelam kabut bayar RM300 untuk pastikan dapat tempat itu. Kemudian baru mereka rujuk pada saya.

Saya beritahu itu pusat pengajian swasta, kena bayar. Kursus yang anak saya mahu ambil pulak saya tak setuju sebab ia bidang pengurusan. Saya lebih suka anak-anak ambil kursus yang belajar bidang kemahiran. Pusat pengajian itu buat follow up berkali-kali memujuk anak saya masuk. Duit RM300 itu tak akan dikembalikan jika dia batalkan pendaftaran. Saya kata biarkan saja, sedekah saja pada pusat pengajian itu. Mereka memang berniaga.

Berbalik kepada sambung belajar selepas SPM, saya lebih suka anak-anak belajar kemahiran teknikal. Tak kisah apapun asalkan ia kemahiran teknikal yang boleh dipraktikkan samada sendiri atau berkumpulan. Bertukang, mereka bentuk, bertani, jurutera, ahli kimia, arkitek atau lain-lain lagi seumpamanya. Lepas dah kuasai kemahiran, boleh terus kerja. Kalau tak dapat kerja boleh kerja sendiri amalkan kemahiran yang dah dipelajari itu.

Sekarang ada lambakan pekerja dalam bidang pengurusan. Saya sering buat iklan untuk cari kerani akaun di media sosial dan portal cari kerja. Tak sampai sejam ratusan pemohon hantar resume. Dari yang berpengalaman kerja lama sehingga yang baru tamat pengajian. Yang ada master, yang dah berumur, dah pencen semua berminat nak jadi kerani akaun. 

Bila saya buat iklan juruteknik lapangan, cari entomologist, seminggu berlalu, hanya beberapa orang saja yang hantar resume. Pening juga nak cari pekerja yang ada hard skill beserta pengalaman yang mencukupi.

Dalam keadaan begitu pun, pihak pengurusan pengajian tinggi, yang jumlahnya juga sudah berlebihan di negara kita, masih tetap memburu pelajar lepasan SPM untuk masuk belajar kursus yang sudah ada lambakan berlebihan. Siapa nak ambil semua lepasan jurusan pengurusan yang terlalu ramai itu?

Yang jadi tanda tanya, kenapa orang ramai, kenapa ibubapa masih mahu anak-anak mereka sambung belajar bidang business studies. Ramai yang anggap lepas SPM, perlu masuk pusat pengajian tinggi. Biarlah bila habis belajar nanti kerja mengarut pun tak apa janji ada diploma, ada degree, sekalipun kelulusan mereka adalah jurusan yang mungkin mengarut.

Saya baca laporan di sini, kursus yang sangat laris dan paling ramai pelajar berdasarkan statistik dari kementerian pendidikan pada tahun 2019 adalah kursus berikut.

  1. Social science: Linguistics, Anthropology, Psychology, Political Science, Archeology, Criminology
  2. Business: Business Administration, International Business, Marketing, Finance
  3. Law: Criminal Law, Civil Litigation Law, Tort Law, Tax Law, Environmental Law, Construction Law, Corporate/Commercial Law

Dalam 3 jurusan di atas, Business sangat ramai yang ambil kemudian habis belajar tak ada kerja. Bagi saya dari sambung belajar kursus business itu, adalah jauh lebih baik dan praktikal jika kerja kerani atau apa saja kerja yang berkaitan sebaik saja tamat SPM. Anda akan belajar jauh lebih banyak pasal bisnes dan pengurusan bisnes dengan kerja kerani sambil belajar PJJ atau seumpamanya.

Ibu bapa mungkin kabur dengan iklan dan usaha gigih pemasaran yang dilakukan oleh semua pusat pengajian tinggi terutamanya yang swasta. Mereka kejar pelajar untuk masuk pusat pengajian mereka sebab nak buat duit. Bukan duit mak bapak, tapi duit para pelajar yang terpaksa buat hutang untuk sambung belajar. Belum tahu cari duit dah diajar pandai berhutang.

Evolusi cara didik anak

Saya buat pencarian sikit tentang, bagaimana manusia besarkan anak-anak mereka di zaman pertengahan dulu. Zaman pertengahan bermaksud antara tahun 500 masihi ke 1500 masihi. Ketika itu dunia masih belum masuk era moden seperti apa yang dialami sekarang. 

Secara umum, cara manusia mendidik anak mereka sangat dipengaruhi oleh 3 perkara berikut.

  1. Budaya amalan setempat - Lain tempat lain cara mereka bermasyarakat dan saling berinteraksi. Ada yang pakai sistem kasta, ada yang biasa dengan poligami, ada yang suka berjudi, ada yang suka berhibur dan sebagainya. Pendidikan dipengaruhi oleh semua amalan ini.
  2. Agama pegangan manusia - Pegangan dan amalan asas serta pendidikan moral bergantung kepada agama anutan masyarakat
  3. Kelas sosial mereka - masyarakat masa tu terbahagi kepada kepada golongan pemerintah, bangsawan, petani dan rakyat biasa. Cara didikan tak sama antara 2 golongan tersebut.

Jika anda tahu pegangan agama, budaya amalan dan kedudukan sosial sesebuah masyarakat, anda boleh agak bagaimana kelompok manusia dari berbagai negara di dunia ini dari dulu dan sekarang membesarkan anak-anak mereka.

Perkara itu juga memberi satu lagi maklumat yang sangat penting terutamanya kepada golongan elite pemerintah dan bangsawan. Dan saya yakin golongan di atas tahu perkara tersebut. Ia secara langsung dapat merumuskan bahawa kuasa ada pada mereka yang dapat mengatur dan mempengaruhi agama, budaya dan kedudukan sosial manusia.

Ketua agama ada kuasa yang besar, ketua budaya amalan juga ada kuasa yang besar. Begitu juga ketua setiap kelas sosial manusia memegang kuasa yang besar. Maka tidak hairanlah orang yang tahu perkara tersebut berusaha untuk berada di kelompok kepimpinan dalam ketiga-tiga perkara tersebut. Kalau tak dapat jadi ketua, bekerjasama rapat atau menjadi kroni atau punya kaitan rapat dengan kelompok berkuasa tersebut punya kelebihan yang sangat besar.

Soalan yang penting untuk dijawab sekarang adalah, apakah pegangan agama, amalan budaya dan kelas sosial yang ada di negara kita Malaysia sekarang. Apakah pegangan itu akan berubah di masa yang akan datang dan jika ya, ke arah mana?

Anda perlu tahu perkara tersebut untuk menentukan cara didikan yang sesuai untuk anak-anak. Samada mahu ikut aliran majoriti jika anda rasakan semua pegangan itu baik. Atau melawan norma yang ada jika anda rasa pegangan yang ada itu membawa kepada kehancuran.

Jika apa yang anda mahu pada anak anak adalah kuasa dan seterusnya harta, tidak dapat tidak ikutlah aliran dunia agama, budaya dan kelas sosial sekarang dalam mendidik anak-anak agar mereka berjaya naik ke atas duduk dalam kalangan kelompok yang memegang kuasa agama, budaya dan kelas sosial tersebut. Itu formula yang ringkas yang dapat saya rumuskan.

Kajian yang perlu diperincikan sekarang adalah 3 perkara penting tersebut. Dengan memahami semua ini, anda dapat agak apa akan jadi pada masyarakat kita dalam tempoh 30 ke 40 tahun lagi dari sekarang. Anda perlu kaji, Agama, Amalan Budaya dan Kelas Sosial rakyat Malaysia sekarang dan akan datang.

Sekarang anda tahu kenapa maklumat tersebut amat penting perlu ada pada para pemimpin yang mahu melihat dan mencatur arah pembangunan dan pembinaan negara kita. Majoriti besar rakyat terutamanya rakyat biasa, hanya ikut saja aliran agama dan budaya yang pemerintah bawa.

Orang dulu didik anak

Yang saya maksudkan orang dulu-dulu adalah golongan zaman pertengahan bermula dari tahun 500 Masihi hingga tahun 1500 Masihi. Kalau buka buku sejarah, sepanjang 1000 tahun tersebut, masyarakat di semenanjung melalui beberapa pemerintahan kerajaan kuat seperti Kerajaan Langkasuka, Kerajaan Kedah Tua dan Empayar Srivijaya. Nak tahu detail sila rujuk di sini

Pegangan agama pula berubah dari Hindu, Buddha dan Islam. Selepas Islam tersebar meluas di semenanjung, pertukaran kepada agama lain terhenti. Walaupun penjajah Eropah yang beragama Kristian datang, Islam kekal jadi agama pegangan sehingga sekarang. Dari segi pendidikan moral dan amalan kehidupan, pengaruh agama berubah dari hindu, buddha dan akhir sekali Islam.

Selain dari agama, cara didik anak-anak di zaman itu juga amat banyak dipengaruhi oleh status sosial. Hanya ada 3 kelas sosial saja. Kelas pemerintah, Kelas Bangsawan dan Kelas Rakyat Biasa. Pendidikan formal yang ada hanya bertumpu pada kelas pemerintah dan kelas bangsawan. Golongan ini kekal senang walaupun jahat dan bodoh. Sampai sekarang begitulah keadaannya. Tak perlu fokus pada 2 kelas atas tersebut.

Cerita mereka dari zaman Langkasuka sampai sekarang adalah yang paling banyak dicatit dan disejarahkan. Cerita orang biasa macam saya, atau mungkin anda yang sedang baca artikel ini, tak ada sesiapa yang lapaq nak ambil tahu atau jadikan tulisan yang dibukukan. 

Cerita rakyat biasa macam anda di catit jika berlaku perkara luar biasa seperti si tanggang, cerita badang, atau cerita dongeng budak kampung kahwin puteri raja. Itu pun sekadar dongeng khayalan untuk lekakan rakyat bawahan supaya lupakan sebentar kesengsaraan hidup susah mereka selama berkurun berabad itu. 

Saya mahu fokus kepada dunia orang biasa, rakyat marhaen sahaja. Di zaman dulu, bagi rakyat biasa, apa yang bapa dia jadi, itulah yang anak dia akan jadi. Jika bapa tanam padi, anak juga akan jadi pesawah padi. kalau bapa nelayan, anak juga nelayan atau jika bapa kerja masuk hutan dan bawa keluar hasil hutan, anaknya juga akan diajar dan buat kerja sama. 

Semua kerjaya itu, termasuklah kerjaya tukang kayu atau pandai besi dan seumpamanya adalah kerjaya turun temurun. Mereka tak bandingkan antara satu sama lain. Tak timbul mana yang lebih hebat, lebih bagus samada nelayan atau petani atau kerja masuk hutan. Masing-masing bangga dengan keturunan dan cara mereka hidup dan cari makan.

Budak lelaki zaman dulu, umur belasan tahun sudah dewasa jadi pembela keluarga dan kelompok mereka serta keluar cari makan. Umur remaja pun dah berkahwin dan biasa saja berlawan dan mungkin dah pernah bunuh orang. 

Untuk kaum wanita pula lebih mudah. Ibunya akan didik cara untuk jadi wanita, cara menguruskan rumah tangga dan bela anak. Tak sekolah pun tak apa asal tahu semua perkara tersebut. Kalau nasib baik, ada rupa paras yang sangat indah, boleh jadi gundek golongan bagsawan. 

Orang sekarang didik anak

Untuk rakyat biasa, pendidikan zaman sekarang adalah bermula di awal umur lagi. Masuk sekolah, dari umur 5 tahun, kemudian ambil SPM ketika umur 17 tahun, iaitu selama 12 tahun kerja pergi balik dari rumah ke sekolah belum lagi wujud. Kalau otak geliga, budak zaman sekarang akan sambung lagi selepas SPM sampai diploma lagi 3 tahun, atau degree lagi 5 tahun atau perubatan lagi 7 tahun. Kemudian sambung master, lepas tu phd. 

Maksudnya orang moden habiskan masa antara 12 ke 20 tahun pergi dan balik dari rumah ke kelas darjah. Nenek kepada nenek saya akan terbeliak mata jika dia tengok ada anak muda di zamannya buat macam tu. Tak masuk akal, tentu ayat itu terpancul dari mulutnya.

Budak sekarang, umur 21 tahun mak masih suap makan. Itu berlaku sama naik kepada anak lelaki dan anak perempuan. Sama kuat berulang alik dari rumah ke sekolah dari kecil sampai tua. Ada ramai anak-anak yang mak bapak terpaksa bela sampai umur 25, sebab tak habis-habis sambung belajar.

Secara umum, rakyat di negara kita sekarang dibahagikan kepada kelas seperti berikut. Kelas ini paling besar pengaruhnya terhadap cara anak-anak diberikan pendidikan dari kecil hingga dewasa.

  1. Kelas atasan - Ini golongan yang saya sebut di atas tadi yang kekal kaya sekalipun bodoh dan jahat. Mereka adalah golongan raja dan bangsawan, golongan taikun perniagaan besar yang kaya gila nak mampus, golongan ahli politik turun temurun dan kroni kepada semua golongan kelas atasan tersebut. Ada juga pegawai atasan kerajaan yang lepas pencen tetiba jadi chairman syarikat GLC atau korporat besar atau tiba-tiba memiliki saham syarikat besar.
  2. Kelas Pertengahan Atas - Golongan ini samada profesional seperti doktor, peguam, arkitek, pegawai atasan kerajaan yang lepas pencen dilantik jadi chairman syarikat perniagaan, ahli perniagaan atau yang seumpamanya yang juga kaya raya. Tapi tidaklah sekaya macam golongan atasan di atas tadi. Ramai kroni bawahan dua atau 3 lapis ahli politik berpengaruh juga masuk kumpulan ini jika tidak berada di kumpulan atas tadi. 
  3. Kelas Pertengahan - Ini kelas makan gaji seperti cikgu, pengurus syarikat korporat, atau usahawan kecil sederhana, yang punya pendapatan stabil dan mampu jalani kehidupan yang selesa.
  4. Kelas Pertengahan Bawah - Ini golongan pekerja yang ada pendapatan mencukupi tapi tidak selesa. Kedudukan kewangan mereka ketat tidak mampu melabur atau buat simpanan untuk hasilkan pendapatan pasif. Kalau kena buang kerja, habis jem. Mereka kerja kerani, juruteknik dan seumpamanya.
  5. Kelas Pekerja - Ini golongan pekerja makan gaji rendah yang kerjanya kais pagi makan pagi kais petang makan petang. Kalau kerajaan naikkan harga beras tersekat juga tekak mereka nak telan air liur. Apa lagi jika kerajaan naikkan kos minyak, kos letrik, harga barang harian runcit dan sebagainya, golongan ini teruk terkesan. Mereka kerja kilang, kerja juruwang pasaraya, jaga stor dan seumpamanya.
  6. Kelas Pekerja Miskin - Ini golongan yang masih ada sumber pendapatan, ada kerja tapi gajinya rendah. Mereka sentiasa hadapi masalah kewangan dan kemungkinan besar nama mereka ada dalam senarai AEON Kredit.
  7. Kelas Bawahan - Ini paling teruk. Tak ada kerja, atau ada tapi tak tetap. Mereka cari makan cari duit ikut nasib. Sapu saja apa kerja yang boleh asalkan dapat beli makanan untuk diri sendiri atau keluarga di rumah. Tapi sentiasa tak cukup jika tak ada bantuan dari agensi kebajikan atau derma dan sedekah orang yang simpati.

Anda duduk di kelas mana satu?

Agak-agaknya, Mat pempengaruh yang kata degree itu sama macam donat, duduk di kumpulan mana? 

Orang ramai yang marah mat tu pula duduk kumpulan mana?

Yang pastinya, mereka yang ada di kumpulan 6 dan 7 jika ada anak-anak, perkara paling melegakan dalam hidup mereka adalah apabila anak tak habiskan sekolah dan terus kerja cari duit supaya dapat mereka bernafas semula dan rasa lega untuk teruskan hidup. Saya tak pasti samada wujud mereka dari kumpulan ini yang jadi pempengaruh di media sosial.

Kewujudan kelas sosial baru

Sekarang sudah muncul kumpulan baru yang membentuk kelas sosial tersendiri yang belum pernah lagi wujud zaman dulu. Kelas sosial ini adalah dari kalangan mereka yang terlibat dalam teknologi terkini dan industri kreatif.

Kelas ini melahirkan jutawan yang sangat kaya raya dalam masa yang sangat pantas secara tiba-tiba. Sebagai contoh ada anak-anak muda yang hidupnya hanya main game dan berjaya dapat duit beratus-ratus ribu dalam usia yang masih muda. Ada usahawan yang buat software tertentu dan reka perniagaan berkonsepkan perkongsian di aplikasi dan jadi kaya raya di usia muda.

Pempengaruh media sosial yang ada ratusan dan ada yang sampai cecah jutaan pengikut juga masuk dalam kategori kelas sosial baru ini. Hanya buat content secara kreatif dan kongsikan di media sosial mereka seperti di tiktok dan sebagainya untuk jadi kaya. 

Kumpulan ini menjana pendapatan tinggi, cara kerja yang tidak terikat dan sangat glamor serta memberikan pengaruh besar kepada masyarakat.

Satu lagi kelas baru adalah mereka yang terlibat dalam ekonomi gig. Suka kerja keluar, tak suka kerja sambung tidur. Rajin dapat banyak duit, malas dapat sekadar cukup makan. Tapi yang seronok adalah mereka boleh masuk dalam industri itu sebagai pekerja dalam masa yang pantas tanpa perlu ada sebarang kemahiran teknikal.

Ini juga beri kesan kepada cara masyarakat memilih didikan untuk anak-anak mereka. Jika dipaksa anak-anak belajar, tetapi anak tak mahu sebab dalam usia masih muda dia dah berjaya jadi gamer dengan menjana 500 ribu atau lebih, mak bapak tak dapat nak kata apa-apa.

logoblog

Boleh Like dan Share artikel ini di akaun Medsos anda. Terima Kasih sudi luangkan masa membaca artikel, 3 perkara yang mempengaruhi cara ibu bapa besarkan anak-anak mereka dari dulu hingga sekarang

Previous
« Prev Post

No comments:

Post a Comment

Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !