Jas-du-it

Jasduit - Just do it !

28 August 2024

5 sebab kenapa tak perlu habiskan duit KWSP untuk ubah suai rumah anda sekarang

  Ano Nyme       28 August 2024


Adakah perlu untuk ubah suai rumah yang anda beli?

Budaya ubah suai rumah ini cukup meriah di kalangan warga kota yang tinggal di kawasan perumahan. Baik dari kalangan kaum Cina, India maupun Melayu, semuanya ada kecenderungan untuk ubah suai rumah sebaik saja ada duit lebihan.

Kerap saya lihat di kawasan perumahan USJ dan Subang Jaya, ada di kalangan pemilik rumah di sana, bukan setakat ubah suai, malah diruntuhkan habis keseluruhan rumah untuk bina sebuah rumah yang serba baru. Seolah-olah pemiliknya hanya mahu tapak tanah itu sahaja.

Bagi yang tak berkemampuan, meleleh air liur tengok rumah yang masih elok tanpa ada apa-apa kecacatan diruntuhkan begitu saja. Kenapa tak jumpa pemaju dari awal masa beli dulu minta mereka tak perlu bina rumah, beritahu pemaju yang dia nak bina rumahnya sendiri, kan senang.

Ada juga pemilik rumah yang habiskan duit untuk ubah suai rumah supaya kelihatan hebat dari luar. Berbagai jenis jubin serta hiasan ditampal pada dinding. Cat warna menarik dan glamour disapu, dinding kukuh penuh hiasan ditambah pula dengan tiang ala Roman terpacak megah menongkat bumbung.

Pemilik perlu keluar dari rumah untuk lihat keindahan binaan rumahnya dari luar sebab duduk di dalam rumah tak nampak semua itu. Barangkali dia memang buat jadi cantik begitu untuk orang dan bukan untuk dirinya. Kos buat semua itu bukan murah. 

Untung juga sekarang ramai kontraktor dari kalangan pendatang yang menawarkan harga rendah terutamanya kontraktor bebas dari Indonesia. Kontraktor dari Bangladesh ada ramai juga, tapi harga mereka biasanya lebih mahal dari pendatang Indonesia. Walaupun boleh dianggap murah, tapi ianya tetap mahal untuk mereka yang tidak berada.

Habis duit untuk estetik

Antara perkara yang saya tak faham adalah ada orang yang ubah suai rumah, duit dihabiskan hanya untuk mendapatkan nilai estetik sahaja. Sedangkan rumah yang dah diubah suai itu saiznya begitu juga, susun aturnya sama saja, jumlah biliknya masih 3 buah dan sama seperti asal sahaja.

Cuma ada sedikit perubahan dari segi hiasan dalaman yang semua itu hanya untuk sedapkan mata yang memandang. Selain untuk tuan punya rumah melihat terkebil-kebil puas atau untuk para tetamu dan jiran memuji keindahannya. Tidak ada kegunaan lain. Malah langsung tak ada perubahan dari segi kegunaan fizikal yang bermakna.

Ubah suai rumah sepatutnya diutamakan untuk kegunaan praktikal seperti saiz, susun atur dan sebagainya. Nilai estetik datang kemudian. Jika tidak ada perubahan praktikal, lebih elok biarkan saja kekal original.

Jika anda masih belum buat apa-apa ubah suai pada rumah yang anda tinggal sekarang, saya syorkan agar tak payah ubah suai. Jika dah ada niat, pertimbangkanlah semula keinginan untuk keluarkan duit KWSP untuk dicampakkan buat ubah suai rumah.

Berikut saya berikan 5 alasan kenapa tak perlu ubah suai rumah.

1. Tak ada beza saiz rumah

Jenis ubah suai rumah sebegini memang perlu ditinggalkan terus. Keluasan sama, susun atur dan bentuk rumah kekal macam tu juga terutamanya dari dalam. Cuma bahagian luar saja yang diubah.

Kenapa bazirkan wang sebegitu semata-mata untuk sedapkan mata memandang saja. Cantik atau tidak rumah anda paling besar dipengaruhi oleh kebersihan. Bukan sebab warna atau ada tiang Roman. Jika ada semua itu, rumah macam kandang babi, berterabur, buat apapun tetap nampak huduh.

Kalau nak cantik, keluarkan sikit saja duit untuk kerja pembersihan dan penyimpanan barang. Bukan ubah suai rumah.

Antara alasan popular ubah suai rumah adalah disebabkan anak-anak dah besar dan perlukan ruang. Biasanya perkara itu hanya untuk sementara waktu sahaja. Tak payah tunggu lama anda akan kesunyian dengan rumah besar dan anak-anak bawa halusn mereka masing-masing. Tinggal anda laki bini melaung berirama mendengar pantulan suara dari dinding rumah yang kosong.

2. Simpan duit beli rumah baru

Jika anda kekalkan keadaan rumah macam original, tidak ada apa-apa nak dimalukan. Biar jiran ubah suai habiskan duit, tak perlu ikut mereka. Kalau nak rumah yang lebih bagus simpan duit itu sehingga modal cukup, beli rumah baru yang lebih sesuai dan lebih besar.

Anda boleh jual rumah lama dan pindah ke rumah baru bila ia dah siap. Duit ada, rumah pun baru. Itu lebih menjimatkan dari ubah suai. Biasanya sebaik saja anda ubah suai, duit akan terlajak dikeluarkan untuk tukar habis benda lain supaya nampak semua baru. Dari bajet RM100 ribu biasanya akan naik ke RM200 ribu.

3. Guna duit untuk perkara wajib

Bagi anda yang beragama Islam contohnya, gunakan duit niat nak ubah suai itu untuk tunaikan haji yang merupakan perkara wajib. Bagi yang bukan beragama Islam, cari benda wajib lain yang perlukan duit dan gunakan untuk itu.

Jika dah tunaikan semua yang wajib, simpan terlebih dulu duit yang ada tu sebab nanti akan ada perkara wajib datang.

4. Buat kerja kebajikan

Antara kata-kata Hamka yang sangat bijak adalah berkenaan duit yang anda belanjakan. Bila anda beli barang, duit akan dapat pada orang lain. Barang lama-lama pakai hilang keterujaannya dan akhirnya kembali ke asal. Jika duit tak digunakan, bila mati, semua jadi harta pusaka untuk waris. Anda tak dapat apa-apa juga. 

Tapi jika duit disedekahkan, atau digunakan untuk urusan kebajikan lain, ia merupakan hak mutlak kepunyaan anda di akhirat nanti.

Itu falsafah yang sangat bijak.

5. Jangan jemput perompak

Rumah dihias dengan megah beserta pagar yang mewah memberikan mesej yang salah pada orang jahat. Bagi mereka itu alamat tuan punya rumah banyak duit sehingga tak tahu nak buat perkara yang lebih bermanfaat. Dari dibiarkan tuan rumah membazir lagi lebih baik dia masuk rompak dahulu.

Ada rumah yang saya beli tapi tak ubah suai langsung. Isi barang asas saja di dalam rumahnya tiada TV atau internet di rumah tu. Pagar dan pintu besi depan rumah pun kekal ori. Jiran kiri kanan depan belakang ubah suai cantik dan besar. Semua rumah jiran pernah kena pecah dan kena rompak. Ada yang lebih dari sekali. Rumah saya tak pernah kena lagi setakat ini walaupun rumah itu tak ada orang duduk. Saya hanya ke sana sebulan sekali saja santai di hujung minggu.

Bukan nak sombong, minta Allah pelihara rumah yang tak ada apa-apa itu dari kerja gila perompak. Tapi nak beritahu beza rumah elok dengan rumah asas sangat memberi kesan di mata orang jahat untuk merompak.

Kuatkan jiwa tahan diri

Jika anda kuat jiwa dan mahu hidup sederhana tapi bermakna, ubahsuai rumah memang langsung tak perlu. Tak perlu perasan jiran asyik fikirkan tentang rumah anda yang tidak seindah rumahnya, tak ada masa orang nak fikirkan tentang diri anda tu.

Latihlah diri untuk menggunakan akal fikiran bagi menentukan apa yang baik untuk diri anda sendiri. Elak dari mengikut amalan orang ramai sebab takut kena pulau. Tak ada orang kampung yang akan pulaukan anda semata-mata rumah anda kecil tidak diubah suai.

Lagipun, sikap berlumba siapa lebih hebat membuatkan anda menjadi murung dan kecewa. Kalau nak berlumba juga, lumba saja dengan diri anda sendiri dengan pastikan diri anda hari ini lebih baik dari semalam.

logoblog

Boleh Like dan Share artikel ini di akaun Medsos anda. Terima Kasih sudi luangkan masa membaca artikel, 5 sebab kenapa tak perlu habiskan duit KWSP untuk ubah suai rumah anda sekarang

Previous
« Prev Post

No comments:

Post a Comment

Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !