Jas-du-it

Jasduit - Just do it !

26 August 2024

Bagaimana anda boleh keluar dari zon selesa untuk buat penambahbaikan pada diri sendiri

  Ano Nyme       26 August 2024


Pada awal pagi ini ketika saya dalam sesi “soul searching”, saya mendapat ilham untuk cuba berkongsi ilmu yang Allah pinjamkan pada saya tentang sesuatu yang mungkin kita semua pernah alami dalam kehidupan seharian—keinginan untuk berada dalam "comfort zone" atau zon selesa.

Penulisan ini lahir setelah saya cuba merenung diri sendiri, menyedari betapa seringnya saya (dan mungkin juga anda) terperangkap dalam situasi yang selesa, sehingga sukar untuk melangkah keluar dan menjadi versi diri yang lebih baik.

Saya ingin berbicara mengenai bagaimana zon selesa ini boleh menjadi penghalang kepada potensi diri kita.

Otak dan Zon Selesa: Peranan Amygdala

Melalui sedikit pembacaan yang saya buat ketika dalam perjalanan (saya suka jadikan masa perjalanan ketika menunggu dan menaiki keretapi, menunggu dan menaiki bas atau menunggu serta menaiki kapal terbang, waktu untuk menelaah buku dan artikel), ada satu bahagian otak kita yang memainkan peranan besar dalam menjaga kita berada dalam zon selesa. 

Bahagian ini dikenali sebagai “amygdala.”

Amygdala ini bertanggungjawab mengawal emosi kita, terutama dalam situasi yang melibatkan rasa takut atau ancaman.

Ketika kita menghadapi sesuatu yang baru atau mencabar, amygdala akan segera memberi isyarat kepada otak kita untuk "berhati-hati" dan "kembali ke zon selamat". Ini mungkin baik dalam keadaan yang melibatkan risiko fizikal, tetapi dalam konteks perkembangan diri, ia sebenarnya boleh menjadi penghalang.

Oleh kerana fungsi amygdala ini, kita sering berasa ragu-ragu untuk mencuba perkara baru, membuat perubahan, atau mengambil risiko dalam hidup. Namun, jika kita hanya mendengar amygdala setiap masa, kita akan terus berada di tempat yang sama, selesa tetapi statik. Jadi, bagaimana kita boleh mengatasi halangan ini dan melangkah keluar dari zon selesa?

Cara keluar zon selesa

Saya kongsikan 5 Cara Untuk Keluar Dari Zon Selesa.

1. Mulakan Dengan Perkara “Simple” dan Kecil

Jangan terlalu cepat membuat perubahan besar. Mulakan dengan langkah-langkah kecil yang secara perlahan-lahan membawa kita keluar dari zon selesa. Contohnya, jika anda sukar nak exercise, mulakan dengan membuat exercise yang mudah selama 5 minit atau 10 minit setiap hari di rumah.

2. Kenali Apakah Yang Kita Tak Selesa

Sedarilah bahawa mengetahui tahap “ketidaklesesaan” adalah sebahagian daripada proses pembelajaran. Ketika kita berhadapan dengan ketakutan, tanyakan pada diri sendiri, "Apakah yang paling buruk boleh terjadi?" Selalunya, kita akan dapati bahawa ketakutan kita sebenarnya tidak sebesar yang kita bayangkan.

3. Bayangkan Episod Kejayaan

Bayangkan diri kita berjaya melakukan perkara yang anda takuti. Visualisasi adalah cara yang berkesan untuk mengubah minda kita dan mempersiapkan diri untuk menghadapi cabaran. Bayangkan kejayaan itu dan bagaimana ia akan mengubah hidup kita insyAllah.

4. Tentukan Matlamat yang Jelas

Keluar dari zon selesa memerlukan tujuan yang jelas. Tetapkan matlamat yang spesifik dan nyata untuk diri sendiri, dan fokus kepada bagaimana langkah-langkah kecil ini akan membawa kita lebih dekat kepada tujuan tersebut.

5. Kelilingi Diri Dengan Orang Positif

Sokongan daripada orang sekeliling sangat penting dalam usaha untuk keluar dari zon selesa. Dikelilingi oleh mereka yang positif dan memberi inspirasi akan memotivasi anda untuk terus berusaha walaupun terasa sukar.

Meninggalkan Zon Selesa Untuk Kejayaan

Islam sendiri menggalakkan kita untuk sentiasa bergerak ke arah kejayaan dan meninggalkan perkara-perkara yang boleh melemahkan jiwa. Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW bersabda:

Barang siapa yang hari ini lebih baik daripada hari semalam, dialah orang yang beruntung; barang siapa yang hari ini sama dengan hari semalam, dialah orang yang merugi; dan barang siapa yang hari ini lebih buruk dari hari semalam, dialah orang yang celaka. (HR. Hakim)

Hadis ini mengingatkan kita bahawa kejayaan bukanlah hasil daripada berdiam diri dan berada dalam zon selesa, tetapi datang melalui usaha yang berterusan untuk memperbaiki diri. Allah juga telah menegaskan bahawa usaha kita akan dinilai, dan tiada yang lebih manis daripada kejayaan yang datang daripada keluar dari kesukaran dan cabaran.

Zon selesa memang kelihatan seperti tempat yang baik dan aman, tetapi ia juga boleh menjadi penghalang terbesar dalam perjalanan menuju kejayaan. Dengan mengenali bagaimana otak kita bekerja dan mengamalkan cara-cara untuk mengatasi halangan ini, kita dapat melangkah ke hadapan, memperbaiki diri, dan mencapai potensi tertinggi.

Semoga kita semua sentiasa berada dalam jalan kejayaan, tidak hanya untuk diri sendiri, tetapi juga untuk ummah dan demi Allah SWT.

3 buku cadangan untuk dibaca

Saya akan kongsikan 3 buku yang anda boleh cuba baca bila ada masa terluang. Ketiga buku-buku ini dapat membantu anda keluar dari zon selesa dan memahami cara untuk menghadapi ketakutan serta mengatasi halangan mental.

a. "Atomic Habits" oleh James Clear

Buku ini sangat membantu untuk membina tabiat kecil yang boleh membawa perubahan besar dalam hidup. Ia memberikan panduan praktikal untuk memecahkan tabiat buruk dan membina tabiat baik yang membantu anda keluar dari zon selesa.

b. "The Power of Now" oleh Eckhart Tolle

Buku ini memberi penekanan kepada hidup dalam masa kini dan tidak membiarkan ketakutan serta kebimbangan menghalang anda dari bertindak. Ia adalah bacaan yang baik untuk memahami bagaimana minda boleh menjadi penghalang untuk perubahan dan bagaimana untuk mengatasinya.

c. "Daring Greatly" oleh Brené Brown

Buku ini membincangkan tentang kerentanan dan keberanian untuk menghadapi ketidakpastian dalam hidup. Brené Brown menunjukkan bagaimana kita perlu berani untuk menjadi tidak sempurna dan mengambil langkah keluar dari zon selesa untuk mencapai kejayaan sebenar.

Ketiga-tiga buku ini memberikan perspektif yang baik tentang bagaimana untuk berdepan dengan rasa takut, ketidakpastian, dan kebiasaan yang menghalang kita daripada berkembang.

Segala yang baik dan manfaat daripada artikel ini adalah ilmu Allah; segala pujian-pujian untukNya dan segala kekurangan adalah kelemahan saya sendiri. 

Semoga kita sentiasa diberi kekuatan untuk keluar dari zon selesa dan menuju kejayaan yang lebih besar, insyaAllah. 

Artikel Asasl: Keluar dari Zon Selesa: Mencari Diri - Azad Jasmi l 26 Ogos 2024

logoblog

Boleh Like dan Share artikel ini di akaun Medsos anda. Terima Kasih sudi luangkan masa membaca artikel, Bagaimana anda boleh keluar dari zon selesa untuk buat penambahbaikan pada diri sendiri

Previous
« Prev Post

No comments:

Post a Comment

Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !