Ini merupakan sambungan dari artikel yang sebelum ini di sini.
Dalam tulisan yang lalu, saya buat andaian 2 kemungkinan yang jadikan manusia ubah cara hidup dari nomad kepada duduk setempat. Dari memburu kepada pertanian dan penternakan.
Andaian pertama mungkin secara terancang, hasil dari munculnya idea pada seseorang lalu diusahakan dan berjaya, sehingga akhirnya jadi ikutan ramai.
Kemungkinan kedua adalah semua itu berlaku secara tidak sengaja. Amalan merayau cari makan lalu berjumpa kawasan yang mengandungi tumbuhan gandum. Mereka berhenti sebentar sementara menghabiskan gandum yang ada di situ sebelum beredar. Manusia akhirnya terperangkap dengan makanan tersebut tanpa mereka sedari. Jenis bijirin yang manusia makan bergantung kepada kedudukan geografi di mana mereka tinggal. Ini teori penulis buku Sapiens.
Teori Yuval Noah Harari itu nampak lebih logik. Tapi timbul satu lagi soalan kenapa baru 10 ribu tahun lalu manusia terperangkap dengan tumbuhan gandum. Kenapa sebelum itu tidak berlaku?
Satu-satunya jawapan yang boleh diandaikan adalah sebelum itu manusia tak makan gandum atau bijirin lain seumpamanya. Hanya 10 ribu tahun lalu sahaja gandum di makan. Ertinya spesis muncul pada ketika itu adalah spesis awal manusia dari kalangan Homo Sapiens.
Homo Sapien itulah berkemungkinan merupakan Adam yang disebut dalam Quran. Tuhan berikan panduan kepada Adam supaya jauhkan diri dari menghampiri sejenis tumbuhan. Dalam surah Q2:35, disebut pohon atau tumbuhan ( ٱلشَّجَرَةَ ) dan tidak dinyatakan tumbuhan apa.
Kemudian dalam ayat lain Q20:120 Syaitan memperdaya Adam supaya makan tumbuhan yang dia namakan sebagai Pohon Abadi. Perkataan Kuldi ( ٱلْخُلْدِ )'eterniti' atau 'abadi'.
Bila syaitan ajar Adam makan hasil dari tumbuhan tersebut, akhirnya manusia terperangkap seperti yang diandaikan oleh Noah Harari tadi. Ada logiknya juga, Wallahu'alam.
Apapun, yang pastinya manusia mula amalkan cara hidup bertani dan kemudian menternak pada 10 ribu tahun yang lalu. Aktiviti itu membuatkan hasil makanan jadi berlebihan mampu menyara jumlah ahli setempat dengan lebih ramai.
Kemudian jumlah kelahiran dan kekerapan makin tinggi dan begitulah seterusnya jumlah manusia makin ramai sebab makanan banyak walaupun makanan itu dari segi kualiti adalah rendah berbanding apa yang manusia makan ketika tidak bertani dahulu.
Buat apa yang anda cekap
Bila berada dalam jumlah yang ramai sebegitu, masing-masing mungkin ada ladang tanaman mereka sendiri, ada kandang ternakan mereka sendiri ikut keluarga masing-masing. Dengan cara hidup sebegitu, perkembangan teknologi masih agak perlahan.
Proses inovasi mula rancak dikatakan mula berlaku apabila manusia mula sedar bahawa setiap orang ada perkara yang berbeza dari segi kecekapan melakukan sesuatu perkara. Ada orang lebih cekap usahakan tanaman, ada yang lebih pandai bertukang, ada pula yang lebih pandai tangkap ikan dan begitulah seterusnya.
Katakan A pandai bertani menghasilkan jumlah yang jauh lebih besar, jauh mencukupi bukan saja untuk dirinya sendiri malah mampu juga membekalkan untuk keluarga lain. Ramai dari kalangan keluarga lain tak mampu tandingi kehebatannya dalam bab bercucuk tanam.
Keluarga B pula lebih pandai dalam bertukang. Kalau orang lain perlukan masa setahun untuk membina sesuatu, keluarganya hanya ambil masa dua atau 3 bulan saja. Tapi B lemah dalam pertanian, banyak masa habis tapi hasil tiada.
Adalah lebih bijak untuk biarkan keluarga A tumpu pada pertanian dan keluarga B pula selesaikan masalah keluarga A dalam bab pembinaan yang diperlukan olehnya. Manakala bab makanan atau bekalan dari hasil pertanian, A akan selesaikan untuk B. Macam konsep bater. Asalnya mungkin begitulah.
Jika setiap orang hanya tumpukan pada kecekapan yang dia ada, maka dia mula makin cekap dalam membuat pembaharuan dan lonjakan terhadap hasil kerjanya. Masing-masing akan jadi lebih cekap dalam kerja masing-masing dalam keadaan saling bertukar keperluan. Dalam keadaan itu inovasi jadi makin laju.
Terciptanya duit
Kemudian terciptanya duit yang dapat selesaikan masalah pertukaran yang masih tidak diperlukan. Maksudnya, keluarga A tadi berikan hasil tanamannya kepada keluarga B tapi dia masih tidak perlukan apa-apa kerja pembinaan dalam masa terdekat. Jadi keluarga B nak bagi apa kepada keluarga A sebagai pulangan dari apa yang dia telah ambil?
Untuk selesaikan isu tersebut, perlu ada konsep simpan atau tangguh guna. Mungkin pada asalnya dibuat dalam bentuk janji mulut. Tapi jika begitu, hanya tuntutan janji yang tertangguhnya itu hanya sah untuk A dan B sahaja. Bagaimana kalau A perlukan kasut yang dibuat oleh C sedangkan C tidak perlukan hasil pertanian tetapi dia perlukan kemahiran B dalam pembinaan. Akan berlaku pusingan pertukaran kepada 3 pihak pula. Masih terkawal jika masih dalam lingkungan yang kecil, bagaimana nak besarkan lingkungan itu agar tersebar kepada kampung lain pula lebih ramai lagi.
Idea terbaik adalah simpan segala perkara tertangguh itu dalam satu bahan yang bernilai dan nilainya di akui dan dipersetujui oleh semua orang yang mahu menyimpan keperluan tertangguhnya di situ untuk digunakan di mana saja pada masa mana sekalipun. Maka terciptalah duit.
Semua orang punya banyak masa untuk lakukan apa yang dia cekap, tukar dengan duit yang dia boleh simpan untuk guna bila-bila saja. Pertukaran kemahiran dan keperluan akan jadi lebih rancak dan lebih luas hasil dari inovasi tersebut. Duit boleh digunakan oleh semua orang untuk mendapatkan apa saja, duit menggandakan lagi proses inovasi sehingga manusia jadi makin maju.
Duit buat manusia makin ligat tukar barang, tumpu pada kerja yang dia pandai, makin ramai tukar barang, makin banyak berlaku inovasi, makin banyak inovasi, makin banyak orang ada duit, makin banyak boleh ditukar dengan barang dan begitulah berpusing-pusing memajukan kehidupan manusia. Duit satu idea yang sangat hebat.
Alat jadi matlamat
Semua orang mahu duit sebab duit boleh ditukar dengan semua barang. Lalu ada otak geliga muncul bagaimana nak ada duit walaupun tanpa apa-apa kemahiran untuk buat barang yang orang mahu. Anda hanya perlu pergi cari kawan yang anda kenal minta pinjam duit dan berjanji untuk bayar lebih 3% dari apa yang dipinjam. Tentu kawan suka sebab duit dia akan bertambah.
Bila dapat duit, pergi cari orang yang nak pinjam duit berikan pada mereka. Syaratnya hanya perlu bayar semula 6% dari jumlah yang dipinjam. Tentu ramai yang suka sebab duit itu ajaib dan boleh buat macam-macam benda.
Dengan bermula tanpa ada duit, anda ambil RM10 ribu dari kawan dan beri orang hutang, bayar semula padanya RM10,300 sekarang dan ada ada RM300 sekarang sebab orang hutang tadi bayar RM10,600. Tak ada duit, tak ada kemahiran buat barang, anda tiba-tiba mampu buat duit.
Dan akhirnya duit itu sendiri jadi produk. Anda beli duit dengan harga yang lebih rendah dan jual semula duit dengan harga lebih tinggi. Lebih parah lagi jika sebenarnya anda tak ada duit pun, hanya jual dan jual duit yang anda tak ada supaya orang bayar semula nanti. Apa yang anda jual hanyalah kepercayaan. Orang percaya yang anda ada duit saja lalu setuju berurusan.
Dalam keadaan itulah berlakunya kehancuran ekonomi sebab jual dan beli duit tidak ada proses penambahbaikan sedikitpun. Buit yang lebih cantik tidak janjikan apa-apa manfaat untuk manusia berbanding produk fizikal yang lebih besar atau lebih banyak dengan harga yang makin rendah hasil dari inovasi nilai tambah yang berlaku pada barang. Sedangkan duit hanyalah sekadar nilai ilusi atau nilai imaginasi yang dipersetujui oleh masyarakat sahaja.
Manusia sampai sekarang sudah terperangkap dengan tipu daya beli dan jual duit yang bukannya memberi nilai tambah kepada manusia kebanyakan, sebaliknya menghancurkan ramai orang termasuklah meranapkan ekonomi sesebuah negara hanya disebabkan mainan duit, untung dan rugi serta riba. Main forex, main beli dan jual hutang, cetak duit yang tiada ikatan kukuh pada barang dan sebagainya.
Begitulah lebih kurang apa yang berlaku yang membawa manusia makin lama makin hancur. Punca utama kehancuran adalah apabila alat untuk menjalani kehidupan yang baik itu sendiri sudah menjadi produk yang jadi tujuan manusia hidup. Duit hanya alat untuk tujuan hidup manusia sahaja, jangan jadi gila duit.
Saya dengar satu komen menarik dari Tun Mahathir ketika kes seorang pemain bola sepak negeri Selangor di simbah asid hingga cedera teruk. Tun M kata sukan itu baik sebab ia membentuk manusia yang kompetitif sanggup bersaing dan membina jati diri. Itulah matlamat sukan samada menang atau kalah, ia perlu berlaku dalam semangat kesukanan dengan cara yang dipersetujui, jangan main tipu.
Bila manusia kompetitif, punya jati diri yang tinggi, sanggup berhadapan dengan kegagalan sebelum berjaya, maka dia akan berusaha untuk menjadi yang terbaik dalam urusan kehidupannya. Tun M tegur kenapa sampai sukan dicemari oleh unsur jenayah dan keganasan. Ia lari dari matlamat asal sukan tersebut.
Saya terfikir betul kata Tun M itu. Tetapi malangnya manusia sudah jadikan sukan itu sendiri sebagai matlamat. Ia bukan lagi alat atau cara yang digunakan untuk membentuk peribadi orang ramai. Tapi dah jadi sumber cari makan untuk hidup dan mati kerana sukan. Maka tak hairanlah sukan jadi rosak.
No comments:
Post a Comment
Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !