Jas-du-it

Jasduit - Just do it !

01 August 2024

Sekali lagi nyaris kena langgar kereta ketika tengah jogging di jalan taman perumahan

  Anonyme       01 August 2024


Dalam artikel lalu saya ada tulis peristiwa nyaris kena langgar auntie yang bawa kereta laju tanpa sedikit pun perlahankan keretanya bila terserempak dengan saya yang sedang jogging di waktu pagi. Saya yang terkial-kial perlu elakkan diri dari dilanggar. Jalan sempit dan saya memang jalan ke sudut paling tepi semampu mungkin.

Itu bukan kejadian pertama nyaris kena langgar. Sebelum itu, juga ketika sedang jogging atas jalan di taman perumahan tempat saya tinggal, hampir dilanggar oleh pemandu kereta yang setiap hari saya jogging lalu depan rumahnya. 

Berdesup dia jalan sekalipun nampak yang saya tengah jogging di situ. Bukan jogging tengah jalan pun, memang berada di bahagian yang paling tepi. Keluasan yang ada lebih dari cukup untuk dia ambil simpang, tapi dia himpit sehingga hampir menghentak saya ke tepi. Nasib baik saya lompat selamatkan diri.

Selamba saja dia terus jalan seperti tiada apa-apa yang berlaku. Saya rumuskan dia tak cekap bawa kereta dan simpan maklumat itu untuk masa akan datang. Pemandu itu, juga seorang perempuan Cina, saya senaraikan sebagai pemandu bahaya.

Semalam, juga ketika jogging waktu pagi, jogging bahagian tepi jalan, sekali lagi hampir dilanggar oleh sebuah kereta, juga jiran yang setiap pagi saya jogging melintas depan rumahnya. Juga pemandu perempuan. Bezanya kali ini berbangsa Melayu.

Sama juga macam kejadian di atas, dia jalan terus seperti tiada apa-apa yang berlaku sedangkan saya terhegeh-hegeh mengelak dari terkena himpitan kereta tersebut. Apa yang boleh saya buat melainkan melihat kereta berlalu pergi dan cuba rasional kan pemikiran kenapa jadi begitu.

Beri tumpuan baiki diri

Hasil dari semua kejadian di atas, satu perkara yang makin lama makin tertanam kuat dalam pemahaman saya tentang hidup ini adalah untuk berikan perhatian utama terhadap usaha membaiki diri sendiri.

Jika diikutkan rasa hati, bisikan nafsu amarah, ingin saja kejar kereta yang saya fikir sengaja nak langgar saya, biadap dan sombong. Atau ambil sekutul batu dan campak ke arah cermin kereta biar berderai. Baru tersedar, berhenti kereta dan lihat apa yang berlaku. Dapatlah saya lepaskan rasa marah, bergaduh, cuba buktikan bahawa mereka bersalah. Biar mereka mengaku salah dan rasa menyesal terhadap diri sendiri.

Tapi saya 100% tahu tidak ada sesiapa yang akan mengaku dia salah dalam semua kejadian sebegitu. Kalau adapun terlalu sedikit. Semua orang berjuang untuk menang, untuk buktikan bahawa semua orang bersalah kecuali dirinya. Ertinya cubaan untuk bertindak semata nak bagi rasa pua hati adalah usaha yang sia-sia dan membuang masa.

Jika ada niat baik yang mungkin boleh diterima adalah, kononnya nak beri pengajaran pada orang lain yang saya rasakan telah melakukan kesilapan, agar mengubah diri mereka menjadi seorang insan yang lebih baik.

Ideanya nampak bernas, nak ajar orang jadi baik. Tapi saya dah lama hidup atas mukabumi ini untuk faham bahawa, perkara paling sukar dalam dunia ini adalah cubaan untuk ubah orang lain jadi baik. Usaha itu hanya berkesan jika orang sanggup berikan bayaran tinggi untuk mendengar nasihat anda. Itu pun dia hanya mendengar tanpa rasa marah saja, nak amalkan belum tentu.

Yang paling berkesan hanyalah berusaha untuk betulkan diri sendiri supaya jadi baik. Perbuatan buruk orang lain buat samada pada anda atau dilihat berlaku pada orang lain, perlu diambil sebagai iktibar cerminan diri. Jangan buat macam tu.

Jika orang buat buruk pada anda, sekalipun berupaya untuk membalas dan kenakan semula kepada si pelaku itu, abaikan saja. Cukup sekadar beri teguran mulut dan berlalu. Jika lihat berlaku pada orang lain yang lemah, jika ada kekuatan, bantu si lemah itu dengan tangan sendiri atau hubungi pihak berkuasa.

Mati sendirian ke mahsyar

Dalam Quran, dengan membaca surah pertama, anda akan nampak dengan jelas bahawa ia merupakan satu perjanjian antara diri dengan Tuhan yang menjadikan diri anda. Tuhan yang memiliki hari kebenaran, hari akhirat di mana anda akan menghadapi pengadilanNya.

Perlu berpegang pada janji bahawa hanya kepadaNya anda mengabdikan diri, dan hanya kepadaNya anda minta tolong. Dengan berpegang pada janji itu, anda minta agar Tuhan tunjukkan jalan yang lurus. Jalan mereka yang terpilih yang mendapat nikmat. Bukan jalan mereka yang dimurkai dan bukan jalan mereka yang sesat.

Ayat no 5 Al Fatihah itu adalah ayat yang sangat BESAR.

إِيَّاكَ نَعْبُدُ وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ

Apa saja anda lakukan adalah dengan tujuan untuk mengabdikan diri kepadaNya. Muhasabah diri, baiki diri, sentiasa fokus untuk berada di jalan yang lurus, sentiasa berusaha menghampiri Tuhan. Jika anda bantu orang, itu untuk Tuhan, jika buat baik samada pada orang atau pada diri sendiri, itu juga adalah demi pengabdian diri hanya kepada Tuhan. Itu maksudnya.

Jika itu difahami, maka tak perlu jadi instafamous, tak perlu jadi influencer beri nasihat dengan ratusan ribu pengikut. Tak perlu kongsikan amalan baik di media sosial, tak perlu harap pujian, tak perlu tunjukkan kat orang segala kebaikan yang anda lakukan. Simpan semuanya untuk diri sendiri sebagai bekalan di hari pengadilan nanti.

logoblog

Boleh Like dan Share artikel ini di akaun Medsos anda. Terima Kasih sudi luangkan masa membaca artikel, Sekali lagi nyaris kena langgar kereta ketika tengah jogging di jalan taman perumahan

Previous
« Prev Post

2 comments:

  1. tuan sepatutnya jogging di tempat yg sesuai.contohnya di taman2 atau di padang.Kalau di tepi jalan saya sendiri akan salahkan orang yg berjogging sebab mereka dah menganggu laluan kenderaan.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Kalau di lebuhraya bertola dan berpagar saya bersetuju sebagai bukan tempat yang tidak sesuai berjogging, jalan kaki atau sebagainya. Tapi jika jalan di taman perumahan, saya tak rasa ia hanya kenderaan saja yang berhak berda di situ untuk digunakan. Pejalan kaki, orang jogging, basikal, dan lain-lain juga berhak ke atas jalan itu. Jika orang jalan kaki tidak punya hak berada di jalan taman perumahan, saya yakin kita sedang hidup di dunia yang sudah tidak siuman ..

      Delete

Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !