Antara tanda anda sedang berada di tempat yang ada kemajuan adalah apabila terdapat banyak lampu isyarat di jalan raya kawasan itu. Itu kata-kata yang saya dapat dari seorang kawan otai di kampung satu ketika dulu. Makin jauh terpencil kawasan yang anda masuk, makin kurang lampu isyarat.
Kawasan perlu maju terlebih dahulu baru lampu isyarat akan menyusul. Anda tak dapat jadikan sebuah kampung maju dengan bina lampu isyarat sebab ia adalah kesan dari kemajuan yang buatkan sesebuah kawasan jadi sibuk dengan aktiviti dan kenderaan.
Lampu isyarat ada kalanya menyusahkan perjalanan, itu tandanya ada perkara yang penting dan terdesak perlu anda selesaikan. Ada masanya lampu isyarat sangat membantu, itu tandanya anda tak ada perkara lain yang dikejarkan.
Sepanjang pengalaman berkawan dengan pemandu kereta, ada yang lebih selesa menjauhi jalan raya yang ada banyak lampu isyarat. Ada juga yang hatinya keras, dia menipu lampu isyarat samada dengan tidak mematuhinya atau berpusing masuk ke sebelah jalan yang lampunya hijau. Biasanya orang buat begitu pada tempat yang tak sepatutnya ada lampu isyarat. Saya yakin anda pernah lihat orang buat begitu.
Bagi tempat yang jumlah kenderaan sangat banyak, dengan jalan raya yang bersimpang siur, lampu isyarat perlu ada untuk elakkan kemalangan. Jika anda tinggal di pusat bandar, suka atau tidak, akan terpaksa harungi 5 ke 10 lampu isyarat setiap kali memandu.
Untuk itu, saya senaraikan idea apa yang anda boleh buat apabila berhadapan dengan lampu isyarat merah setiap kali memandu. Perlu ada aktiviti yang bermanfaat supaya lampu isyarat tidak jadi salah satu dari punca hidup anda tertekan.
Jom lihat ideanya di bawah.
1. Rehatkan otak
Jika tak ada lampu isyarat otak terpaksa bekerja keras untuk pastikan kenderaan dapat melintas jalan tersebut dengan selamat. Dengan adanya lampu itu, anda sudah tidak perlu berfikir lagi bila nak jalan atau bila nak berhenti. Semuanya akan ditentukan oleh lampu isyarat.
2. Menambah ilmu
Banyak buah buku santai telah saya habiskan hanya dengan membacanya setiap kali berhadapan dengan lampu isyarat merah di dalam kereta.
Oleh itu, setiap kali naik kereta jangan lupa sediakan sebuah buku santai yang anda mahu baca. Jika buku itu menarik tentu anda sentiasa tak sabar menantikan adanya lampu isyarat di mana banyak kereta berbaris panjang yang anda terpaksa berhenti 2 atau 3 kali. Masa menunggu itu boleh digunakan untuk membaca.
3. Rehat kaki
Kedudukan kaki sepanjang memandu adalah sentiasa menegak bagi menekan pedal minyak. Kedudukan itu menyakit dan melenguhkan tumit. Bila ada lampu isyarat kaki boleh relaks dengan selesa sebentar.
Selain itu, peluang menunggu lampu jadi hijau itu boleh juga digunakan untuk mengeliat, meregang dan mengurut anggota-anggota lain. Lebih bagus lagi jika anda sediakan alat mengurut yang ada banyak dijual di shopee dengan harga murah.
4. Jawab mesej
Sama macam membaca, jika anda lupa bawa buku, boleh buka telefon bimbit baca dan jawab mesej atau edit nombor kenalan dan lain-lain. Ini aktiviti yang paling ramai orang buat ketika menunggu lampu isyarat sehingga sering berlaku lampu dah hijau dan dia masih leka layan telefon.
Pastikan anda bukan kenderaan yang ada di hadapan sekali kalau nak main telefon.
5. Jamu mata
Ini antara perkara paling menyeronokkan ketika menunggu lampu hijau. Berbagai ragam pemandu lain yang anda boleh saksikan. Ada yang terkocoh-kocoh macam najis dan separuh keluar dari dubur nak lepas berak.
Ada yang muka kelat memandang kaku ke depan seperti sedang memikirkan sesuatu yang besar. Ada yang berbual mesra dengan kawan di sebelah. Ada kalanya anda boleh lihat dengan cermin belakang pasangan muda sedang bercinta di belakang sedang bercumbu rayu. Ada yang perasan orang sedang melihatnya berkereta mewah. Ada juga yang perasan dia sangat anggun dan seribu satu pemandangan lagi.
6. Mengasah hafalan
Jika ada doa atau ayat Al-Quran yang anda mahu hafal masa itulah yang paling sesuai untuk asah hafalan. Buat satu salinan dan simpan dalam kereta. Bila berhenti tunggu lampu hijau, ambil dan baca . Bila kereta dah jalan cuba hafal. Nanti ada lagi lampu isyarat, buka semak semula dan begitulah seterusnya sehingga anda akan dapat hafal banyak ayat dan doa.
7. Berlatih pidato
Samada ketika memandu seorang diri atau ada kawan, anda boleh gunakan peluang menunggu lampu isyarat untuk berpidato. Masa kereta berhenti gayakan tangan bebas dan mimik muka anda sambil berucap tentang tajuk-tajuk tertentu yang anda sering bercakap samada untuk tujuan kerjaya atau ketika bersosial.
Selain dari melatih jadi pemidato yang baik, anda juga dapat menghalang pemandu lain buat tak tentu hala sebab risau melihat anda kumat kamit bercakap sambil gayakan tangan dan buat mimik muka seorang diri. Pasti tak ada yang berani cucuk atau potong Q.
8. Potong kuku
Sentiasa sediakan pemotong kuku dalam kereta terutamanya pada hari khamis atau jumaat yang mana potong kuku adalah disunatkan. Kalau barisan kereta panjang dan waktu menunggu lama, kuku kaki juga boleh dipotong kemas.
9. Jaga keterampilan lain
Boleh juga sediakan gunting kecil untuk trim misai atau janggut. Anda juga boleh trim bulu hidung yang tersembul keluar nampak hodoh serta menggelikan jika dibiarkan.
Tak sangka banyak juga perkara yang berjaya saya senaraikan yang anda boleh buat setiap kali bertembung dengan lampu isyarat. Anda mungkin ada lagi idea tambahan lain yang lebih menarik. Kalau ada kongsikan pada ruang komen.
No comments:
Post a Comment
Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !