Penafian: Apa yang ditulis ini bukan bertujuan untuk mengajar, berdakwah, mengkritik atau menentukan apa yang salah dan apa yang betul untuk pembaca ikut. Isu lesen halal menarik minat saya untuk cuba berfikir tentangnya. Untuk memaksa diri berfikir, maka saya menulis. Baca dan bertanggung jawab terhadap pemikiran dan kefahaman anda sendiri.
Larangan sentuh isu 3R
Halal atau Haram adalah perkara yang menyentuh kepercayaan mereka yang menganut agama Islam sahaja. Tak ada kena mengena dengan agama lain. Maka sudah tentu apabila Mak Cik DAP itu bercakap mengenai isu halal dan haram, terus saja ada laporan polis dan beliau terus disoal siasat.
Kerajaan dah beri amaran agar jangan sesiapa cuba sentuh bab Agama, Bangsa dan Raja. Seperti yang saya sebut di atas tadi, bab halal haram hanya untuk umat Islam, mana boleh cina DAP pandai-pandai sebut nak masuk campur.
Namun begitu, jika anda lihat isu secara keseluruhan, Makcik Cina DAP itu bukan sentuh bab agama kepercayaan dan anutan orang Melayu di Malaysia, sebaliknya dia bercakap tentang usaha untuk jadikan amalan dan kepercayaan agama itu sebagai satu undang-undang sivil.
Bila dah jadi undang-undang, maka semua rakyat Malaysia bakal terlibat dan boleh terbabit dalam kesalahan undang-undang tersebut. Tak kira Cina, India, Melayu, Buddha, Hindu, Kristian, Animisme, Kadazan, Bidayuh, Yahudi atau apa saja. Sebab itu Makcik DAP itu berikan pendapatnya untuk biarkan saja sijil halal kekal jadi pilihan peniaga. Dia bercakap atas dasar dirinya sebagai wakil rakyat yang memahami kesan akibat dari mewajibkan sijil halal.
Sekali lalu pun saya dapat faham maksud bantahan yang disuarakan. Tapi malangnya, ramai cerdik pandai yang jadi pimpinan politik di atas sana cepat benar melenting dan ambil kesempatan untuk tunjukkan pada rakyat Melayu terutamanya yang dia pejuang agama.
Dari apa yang berlaku, satu perkara yang penting yang kerajaan perlu beri perhatian. Sila beri takrifan betul-betul apa yang dimaksudkan jangan sentuh isu Raja, Bangsa dan Agama. Kalau dibiarkan, pasti ada saja pejuang ketiga-tiga isu tersebut akan bingkas bangun masuk balai buat laporan. Akan banyak berlaku buang masa tenaga dan harta, melayan perkara yang tak sepatutnya jadi isu.
Halal & Haram
Secara mudah, halal itu dibolehkan dan haram itu dilarang. Jika anda buat yang haram, akan dapat dosa dan buat yang halal dapat pahala. Sebelum wujudnya kitab-kitab tebal yang menghuraikan mana yang halal dan mana yang haram yang anda boleh lihat sekarang, Al-Quran berikan garis panduan yang sangat ringkas dan mudah tentang apa yang dilarang dan apa yang dibenarkan.
Anda boleh buka dan baca sendiri dalam Quran semua larangan tersebut. Malah saya yakin majoriti besar umat Islam di negara kita sangat jelas tentang apa yang haram dan apa yang halal secara umum. Tambahan pula dunia sekarang yang canggih dengan kemajuan teknologi maklumat, anda hanya perlu luangkan masa sedikit saja untuk buat carian dan dapat jawapan. Kemudian kalau ragu-ragu kefahamannya, rujuklah pada mereka yang lebih 'arif.
Tapi dah jadi lumrah manusia kebanyakkan, mereka tak mahu cari dan rujuk bahan asal untuk dalami dah sahkan apa yang sudah dipelajari. Majoriti lebih selesa jadi pengikut sahaja, dengar dan taat tanpa ada interaksi timbal balas dan bahas.
Mana pendapat paling awal yang dia terima, itulah jadi pegangan sampai mati tanpa persoalkan lagi. Sehingga semua orang anggap persoalkan satu pendapat yang dikeluarkan ulama adalah tindakan yang bodoh, biadap dan sesat. Umat Islam akhirnya hanya perlu tunggu fatwa dari mereka yang berautoriti. Sedangkan sebesar mana pun level ulama yang anda ikut, akhir sekali di depan Tuhan, anda bertanggung jawab dengan apa yang anda terima, bukan ulama, bukan mursyid atau siapa saja.
Di Malaysia sahaja, sejak Majlis Fatwa ditubuhkan pada tahun 1970, dah ada sebanyak 300 fatwa dikeluarkan. Maksudnya secara purata sebanyak 5 ke 6 fatwa dikeluarkan setahun. Itu baru Malaysia, belum lihat keseluruhan dunia Islam lagi dengan beberapa Mazhab yang berbeza yang dah wujud sejak dahulu.
Sejarah halal haram
Sebaik saja jadi utusan Tuhan, panduan hidup yang Nabi ikut adalah Al-Quran, tiada lagi yang lain melainkan Al-Quran dan adalah mustahil bagi Nabi buat sesuatu atau keluarkan pendapat yang bertentangan dengan Al-Quran.
Sebelum turunnya Al-Quran, orang arab sudah jalani cara kehidupan seharian mereka tersendiri untuk hidup berdasarkan budaya dan amalan sejak turun temurun yang sesuai di tanah Arab.
Kemudian Nabi Muhammad (SAW) berpandukan Al-Quran, beritahu pada orang arab agar jangan mengabdikan diri kepada apapun kecuali kepada Tuhan yang Esa, percayakan adanya hari pembalasan dan beramal dengan kebaikan. Itu bukan satu perkara baru, sama dengan apa yang diutuskan kepada para rasul sebelumnya.
Untuk mereka yang ikut seruan nabi, dia akan selamat. Bagi yang tak mahu ikut, Tuhan akan tentukan nasib mereka, sama seperti umat dari para nabi terdahulu. Tuhan utus mereka untuk beri peringatan pada manusia tentang Tuhan yang Esa, hari pembalasan dan bertanggung jawab amalkan kebaikan. Jika umat itu ikut, mereka selamat. Jika tidak, kehancuran akan datang selepas dah diberitahu.
Perkara paling utama adalah pengabdian diri hanya kepada Tuhan, bukan pada rabii, bukan pendeta, bukan penguasa, bukan kerajaan, bukan harta, bukan manusia, atau apa saja, hanya pada Allah. Selepas itu, Al-Quran betulkan sikit saja amalan kehidupan yang dah jadi kebiasaan mereka. Apa yang dah diamalkan teruskan saja. Semuanya halal kecuali jika diharamkan.
Itulah yang Nabi buat sehingga tahun 632 masihi. Selepas kewafatan nabi, tradisi itu diganti oleh Khalifah Abu Bakar (632-634), disambung oleh Khalifah Umar Al-Khattab (634-644) dan Khalifah Uthman (644-656). Kemudian bermula zaman fitnah selepas Saidina Uthman dibunuh. Saidina Ali ganti jadi khalifah yang tidak diikuti oleh semua umat Islam, berlaku perpecahan dan perang saudara yang ketara sehingga akhirnya Ali dibunuh pada tahun 661 masihi.
Orang arab berjaya di satukan oleh nabi Muhammad SAW di Madinah di bawah satu doktrin pengabdian diri hanya kepada Tuhan. Selepas rasul wafat, orang Arab yang selama ini dipimpin rasul berada di persimpangan. Samada terus adakan seorang pemimpin untuk semua orang arab atau patah balik seperti zaman lalu di mana setiap puak lantik dan taat kepada pemimpinnya sendiri.
Di situ Abu Bakar dan Umar memainkan peranan mereka dengan bertegas yang orang arab perlu disatukan di bawah satu pemimpin. Dan mereka berjaya. Dari situ bermula permainan politik yang mencabar berlaku kepada orang arab. Orang yang ada cita-cita nampak betapa besarnya kuasa dipegang oleh orang yang jadi khalifah buat orang arab.
Orang arab berterusan membina kekuatan ketenteraan mereka, meluaskan pengaruh dan kuasa mereka. Dari satu khalifah ke satu khalifah makin membesar kawasan yang tentera orang arab sampai. Zaman 4 khalifah masih tak ada apa-apa aliran mazhab. Malah tiada pemisahan antara agama dengan cara hidup orang arab.
Menyusun atur agama
Jika direnung semula, bagaimana khalifah dibunuh dengan kejam bukan oleh orang kafir tapi sesama Islam. Berlaku peperangan Jamal antara Saidina Ali dan sahabat Thalhah dan Zubair serta Saidatina Aisyah, dan beberapa konflik berat lain, timbul satu tanda tanya, 'apa yang berlaku sebenarnya?'.
Apa masalah pada pemimpin yang bukan calang-calang status sahabat mereka sehingga kata-kata mereka boleh diambil untuk dijadikan hukum agama. Kenapa umat pimpinan mereka masih berantakan dan tak puas hati?
Perkara paling selamat yang boleh dirumuskan terhadap apa yang berlaku adalah, semua urusan itu tak ada kena mengena dengan perkara agama melainkan konflik pengurusan dan politik sahaja. Masing-masing punya pendapat yang mahu dipertahankan. Itu lumrah manusia biasa tak kira samada orang anggap manusia itu keramat hidup atau punya keistimewaan luar biasa berbanding orang lain. Mereka tetap manusia.
Empayar kekuasaan Orang Arab makin membesar dan setiap khalifah yang naik beri tumpuan utama terhadap penyatuan orang arab. Ketika Muawiyyah (661-680) naik jadi khalifah banyak kerja perlu dilakukan untuk satu dan stabilkan orang arab. Masa Yazid ambil alih jawatan khalifah, konflik berterusan berlaku sehingga ke tahun 692, tahun di mana Abdullah Bin Zubair dan tenteranya dibunuh. Itu juga bukan calang-calang, antara nama yang penting dalam agama Islam. Tapi terlibat dalam konflik sesama arab, sesama Islam.
Kenapa?
Itu juga soalan yang mula timbul makin kuat dikalangan orang arab sehingga bermula pergerakan ke arah keagamaan. Antara soalan utama yang ditanya adalah siapakah yang sepatutnya yang layak naik jadi pemimpin?
Awal abad ke-8 mula berlaku pergerakan penyusunan semula ke arah agama dari bawah secara terpisah dari konflik pengurusan dan politik pemerintahan. Selepas itu bermula pergerakan kumpul dan susun hadith di bawah tajaan kerajaan Umayyah dikatakan dimulai oleh Khalifah Umar Bin Abdul Aziz (717-720).
Masa itu juga muncul para ulama yang mula beri tumpuan kepada penyusunan hukum hakam dari hadith seperti Imam Jaafar As-Sadiq (702-765), Imam Malik 713-796, Imam Abu Hanifah 699-767, Hasan Al-Basri 642-728, Imam Az-Zuhri (678-742), Ibnu Juraij (699-768) yang membuka aliran keagamaan mereka ke satu era baru kehidupan orang arab.
Rujukan utama masih lagi Al-Quran, kemudian bagi menjawab persoalan yang berkaitan dengan pengurusan dan politik kehidupan, ada aliran yang cenderung kepada akal dahulu untuk tentukan boleh atau tidak boleh terhadap sesuatu perkara yang baru muncul. Ada pula yang cenderung kepada Hadis terlebih dahulu.
Yang popular di kalangan sunni sampai sekarang dalam bab keputusan berkaitan agama adalah seperti apa yang diperkenalkan oleh Imam Syafie. Beliau berikan dasar hukum yang membentuk mazhabnya kepada 4 perkara iaitu, Al-Quran, Hadis (sunnah), Ijmak para sahabat nabi, dan akhir sekali adalah Kias.
Sehingga sekarang, orang ramai masih tak henti tanya kepada para ustaz atau ulama rujukan mereka terhadap apa saja hukum. Anda boleh lihat video ceramah Ustaz Azhar Idrus contohnya, atau ustaz Abdus Somad, atau aliran baru yang kelihatan lebih moderat tetapi hakikatnya lebih statik tradisional dari imam 4 mazhab, seperti Maza atau Rora, ada saja soalan timbul dari yang serius sampai yang pelik-pelik yang menunjukkan bahawa umat islam berada dalam kegelapan yang teruk seperti sedang meraba-raba ketakutan sebab tak tahu dan tak sanggup ambil tanggung jawab selidik sendiri samada halal atau haram.
Itu juga menunjukkan bahawa semua para ustaz dan para ulama itu perlu ada selagi dunia belum kiamat untuk jawab segala pertanyaan manusia dari kalangan orang awam yang berada dalam kegelapan meraba-raba di dalam kehidupan beragama mereka.
Sekadar contoh, yang saya lihat sendiri dari zaman kanak-kanak sehingga sekarang dah tua, soalan sama berulang-ulang ditanya kepada para ustaz tanpa henti yang hanya menunjukkan generasi demi generasi mahu kekal Islam turut sama seperti tradisi agama Yahudi dan Kristian, sistem kasta keimaman atau kependetaan atau dalam BI 'priesthood'.
Kalau nak cerita betapa agama menjadi sangat terperinci memang tak akan habis. Anda akan dituduh cuba nak ringkaskan agama sebab cuba buktikan bahawa sejak wafatnya Rasulullah (SAW) , makin jauh zaman bergerak, agama makin jadi terperinci makin sulit yang mustahil orang awam dapat tahu semua sekalipun terhadap perkara yang menyentuh kehidupannya.
Anda tentu pernah tengok video seorang ustaz yang berikan markah 95%, dan sebagainya pada cara duduk tasyahud akhir dengan pacak kaki. Itu baru bab pacak kaki saja; dah ada yang salah dan ada yang betul. Dalam solat, anda boleh lihat mereka yang berdiri tegak secara normal, ada pula yang berdiri sambil luruskan dari tumit ke ibu jari tegak menghadap kiblat nampak macam sedikit tonggek untuk buat begitu sebab cuba paksa kedudukan kaki yang tak normal. Tapi dah tok guru mereka kata kena buat begitu, maka ramai yang amalkannya penuh yakin. Macam-macam lagi yang anda boleh perhatikan.
Walau sedalam mana, seluas mana perbincangan halal, haram, dan sudah tentu termasuk yang sunat, makruh dan harus dan syubhah dan sebagainya, ia masih berada dalam ruang lingkup amalan beragama umat Islam. Masih tidak sentuh bab undang-undang selagi ia tidak diserapkan masuk ke dalam perundangan sivil. Paling kuat, ia berada di bawah kuasa perundangan syariah yang berbeza pada setiap negeri yang menyentuh rakyat Malaysia yang beragama Islam sahaja. Agama lain tak terlibat.
Sekarang, Jakim nak sarankan agar Sijil Halal di wajibkan kepada semua kedai peniaga makanan halal. Peniaga arak dan babi dikecualikan, mungkin sijil haram akan dikeluarkan, yang mana peniaga wajib mohon dan buktikan ada babi atau arak dalam kedai supaya sijil akan diberi kepada mereka supaya orang Islam kenal itu kedai haram. Bermulanya era untuk masukkan elemen keagamaan ke dalam perundangan sivil.
Wajib ada sijil halal
Kerajaan sedang pertimbangkan untuk wajibkan peniaga yang jual makanan kepada orang islam untuk ada sijil halal. Itu yang dikatakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang buatkan Makcik DAP luahkan pendapatnya dan pejuang agama Islam melenting dan buat report polis dan semua habis bercakaran.
Saranan itu adalah bab pengurusan untuk kepentingan rakyat Malaysia. Apabila berlaku sesuatu isu yang menyentuh kepentingan orang ramai, maka ia masuk dalam urusan pengurusan undang-undang. Bila kerajaan jadikan undang-undang perlu ada lesen halal jual makanan halal maka ia akan terus sempitkan urusan makan dan minum pengguna beragama Islam terutamanya.
Dalam Islam, semuanya halal selagi ia tidak diharamkan. Bila kerajaan kata kena ada lesen baru halal, maka ia sudah terbalik jadi semuanya haram kecuali jika dihalalkan dengan lesen tersebut. Sempitlah dunia rakyat Malaysia terutamanya yang beragama Islam nak berniaga makanan untuk orang ramai tak kira Islam atau bukan.
Jika peniaga tak ada sijil halal, maka sudah salah dari segi undang-undang. Anda jalankan perniagaan makanan haram sebab tidak dihalalkan oleh sijil halal dari Jakim. Tak pasti pulak samada orang yang pergi makan kedai yang tak ada sijil halal jadi satu kesalahan dan boleh dikenakan tindakan undang-undang. Jika sampai ke tahap itu, lagi teruk jadinya.
Berwaspadalah apabila mendengar satu pihak berkata dia mahu melindungi dan menjaga kepentingan orang ramai. Dalam erti kata lain, sebenarnya dia berkata 'aku mahu kuasa'.
Tujuannya sangat baik. Untuk melindungi umat Islam dari makan makanan yang tak halal. Ia bukan lagi sekadar tanggung jawab setiap individu Islam di Malaysia, kerajaan sendiri sudah ambil pendekatan untuk pastikan rakyat beragama Islam di Malaysia terpelihara diri mereka dari makan benda haram.
Betulkah begitu?
Macam biasa dengar ayat begitu kan!.
Untuk melindungi kepentingan umat Islam, untuk melindungi kepentingan umat Melayu, untuk melindungi kepentingan rakyat, untuk melindungi industri beras negara, untuk melindungi usahawan automotif negara bla bla bla .. semua proses melindungi itu akan disusuli dengan lesen dan hanya puak tertentu saja yang ada keistimewaan keluarkan lesen, dapat lesen dan akhir sekali hanya puak tertentu saja akan kaya raya 7 keturunan.
Biasanya begitulah .. perhatikan betul-betul sejak lepas merdeka sampai sekarang. Bila kerajaan mula guna ayat 'nak jaga kepentingan negara dan rakyatnya', ia adalah permulaan lahirnya jutawan luar biasa.
Bukan saja di Malaysia, malah di seluruh dunia ayat yang sama akan digunakan oleh kaum pemerintah dan penguasa untuk, samada kuatkan lagi kuasa yang ada atau tingkatkan lagi harta kekayaan yang ada.
Sebab itu dalam Al-Quran, Tuhan suruh jangan serahkan diri anda melainkan kepadaNya. Kalau makhluk, dia janji perkara yang sebenarnya dia tak mampu buat pun, tetapi diperdayanya manusia hingga percaya. Sedangkan tujuan sebenarnya adalah untuk kepentingan tukang janji itu sendiri dan bukannya kepada pihak yang ditawarkan janji.
Asal usul sijil halal
Secara ringkas, pensijilan halal adalah satu proses untuk pastikan makanan, barangan atau perkhidmatan dikeluarkan mengikuti piawaian yang berlandaskan syariah. Bahan yang digunakan, cara ia dilaksanakan perlu ikut garis panduan dan hukum hakam Islam.
Kalau kaji sejarah pensijilan ni, anda akan dapati yang ia sudah lama diamalkan bermula dari zaman pertengahan lagi di mana tumpuan utamanya adalah untuk pastikan hasil barang seperti metal, kayu, kain dan seumpamanya, dibuat secara sekata dari segi tahap kualitinya.
Kemudian pelatih yang diajar buat kerja juga perlu ikuti proses dan disemak kemahiran mereka sebelum layak diangkat sebagai mahir. Kemudian masuk era industri ia diamalkan dengan lebih serius dan masuk pula ke abad 20-an menjadi semakin penting atas desakan dari organisasi yang perjuangkan hak pengguna.
Di zaman moden, proses untuk kekalkan kuasa monopoli seseorang atau satu kumpulan dinamakan penyeragaman atau lebih sedap lagi, Standardization.
Itu alasan yang dunia hidangkan kepada manusia moden selama ini, menjaga kepentingan pengguna. Tapi ada lagi satu sudut pandang yang berlainan dari naratif yang mereka sampaikan.
Anda juga boleh melihat itu satu taktik untuk mengawal kreativiti, mengawal barang, mengawal kuasa, mengawal kepentingan golongan tertentu yang memegang monopoli dan seumpamanya. Saya cenderung melihat sebab ke-2 itu yang lebih utama.
Anda dapat saksikan sendiri bagaimana satu dunia sekarang bergerak ke arah satu sistem, satu cara buat kerja, satu ideologi, dan serba satu lagi. Semua ke arah satu standard. Penggunaan tenaga, bahan mentah, mesin, komunikasi, politik, ketenteraan, ekonomi pendidikan ... semuanya mahu disekatakan.
Sebagai contoh, jika ada segolongan manusia yang ada dan mahu kembangkan cara perubatan yang bertentangan dengan apa yang diterima pakai di seluruh dunia, golongan itu akan kena tangkap, atau dihancurkan secara terang atau halus supaya tak sempat berkembang. Hanya satu cara perubatan yang diterima pakai di seluruh dunia. Hasilnya, kemungkinan untuk ada cara perubatan yang lebih bagus, yang lebih selamat, yang lebih natural, yang lebih saksama dan tidak membebankan majoriti manusia, yang tidak mengkayakan sebilangan kecil manusia, berjaya dihapuskan dari muncul dan berkembang.
Jika ada ilmu baru yang bertentangan dengan cara manusia faham tentang dunia sekarang tidak akan berupaya untuk naik. Malah anda akan dilabel sebagai gila, mahu rosakkan orang ramai, sesat, merbahaya dan sebagainya.
Itu cara alternatif, melihat apa yang berlaku terhadap jadikan dunia sekata satu arah, satu cara.
Saya bukan mahu syorkan anda bangun menentang apa yang berlaku sekarang, tapi sekadar menyatakan hakikat yang sedang berlaku dan tiada sesiapa dapat mengubahnya lagi. Itulah yang dikatakan modernisasi. Para pemerintah, penguasa dan kaum kerabat bangsawan di atas sana sudah lama tahu bagaimana kemodenan ini dapat digunakan untuk proses penyaluran kuasa.
Perkara yang sama sudah ditulis oleh Jacque Ellul dalam Bahasa Perancis. Tajuk asal adalah La Technique, bukunya diterjemahkan ke bahasa inggeris bertajuk The Technological Society, seorang pemikir dari Perancis pada tahun 1945. Kalau rajin, pergi cari dan baca untuk membuka minda dan melihat apa yang anda tak pernah terlihat sebelum ini sebab ditutup oleh momokan propaganda kemodenan ke arah globalisasi satu kaum manusia global.
Berbalik kepada sijil halal.
Boleh dibanggakan jika anda rakyat Malaysia sebab menjadi negara awal yang memulakan konsep pensijilan halal secara tersusun dan sistematik. Sehingga sekarang Malaysia mempunyai proses dan sistem pensijilan halal yang dianggap terbaik di seluruh dunia. JAKIM diiktiraf sebagai salah satu badan pensijilan halal yang dihormati dan jadi rujukan dan ikutan negara lain. Kalau barang yang diekspot ke luar negara ada logo halal Jakim, pengguna akan gunakannya tanpa was-was, hebat Malaysia, Tahniah!
Saya sokong penuh usaha untuk pastikan para peniaga dapatkan sijil halal kalau nak pergi jauh merentas benua. Ada kelebihan dan kekuatan pasaran yang sangat bermanfaat kepada anda yang dapatkan sijil halal.
Tapi janganlah diwajibkan pula semua orang yang menjalankan perniagaan ambil lesen halal. Kalau pasarannya hanya sekadar untuk Kampung Guar Petai saja, biarlah para makcik dan pakcik tu berniaga tanpa perlu ada sijil halal, tak ada masalah. Tak ada lagi orang Islam melayu terutamanya yang tanya dulu orang kampung Melayu Islam ada sijil halal atau tidak sebelum masuk makan di kedai kampungnya. Sekadar B2C, punya bisnes, teruskanlah tanpa perlu wajibkan.
Jika makcik pakcik buat bisnes B2B, bekalkan bahan makan minum kepada syarikat atau peniaga lain, elok usahakanlah ambil sijil halal sebab dengan tidak berbuat demikian, anda menghalang atau menyusahkan pelanggan anda nanti jika dia nak mohon sijil halal. Paling tak bagus, anda akan hilang peluang jika dia terpaksa ambil dari pembekal lain yang ada sijil halal.
Untuk orang bukan beragama Islam, Buddha atau Hindu pula, memang tak ada orang Islam masuk makan kedai mereka kalau dah tahu dia cina Buddha atau India Hindu atau Kristian. Kalau masuk pun, paling kuat masuk minum saja, itupun jarang. Terpulanglah kepada pengguna Islam samada dia mahu jaga dirinya dari perkara syubhah atau tidak. Tak ada masalah selama ini. Jika diwajibkan, maka makin banyak kedai makan minum pemilik bukan Islam yang orang Melayu Islam masuk sebab sudah dijamin sijil halal.
Bagi kedai yang dimiliki oleh orang bukan Islam yang besar, kalau dia ada pasaran orang Melayu dan Islam, adalah bodoh jika dia tak usahakan sijil halal. Terutamanya pengilang besar yang keluarkan produk makanan untuk pasaran umum, memang bodoh dan rugi besar tak ambil sijil halal. Para Taukeh ni semua tahu benda tu.
Semua benda nak kawal ni .. apa nak jadi?, Ingat!, manusia yang dikawal, dikurung, akan jadi cacat tidak normal. Berikan ruang untuk manusia berkembang menggunakan keupayaan dan daya kawal diri mereka sendiri supaya Rakyat Malaysia, Melayu terutamanya maju. Tak payah nak jaga sangat kepentingan mereka sehingga akhirnya jadi cacat tak kuat.
Sekian, artikel panjang yang meleret sebab terpaksa membuka banyak artikel lain dan merujuk kepada AI untuk berinteraksi memberikan maklumat yang saya perlukan dalam berfikir mencari idea di tulisan ini. Terima kasih sebab sudi baca sampai sini. Anda memang kaki membaca!
No comments:
Post a Comment
Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !