Ketika sedang baring melegakan otot di pinggang tadi, saya cuba beri tumpuan untuk merasakan pernafasan yang berlaku pada tubuh badan. Amalan itu, sejak kebelakangan ini kerap saya amalkan untuk ingatkan diri bahawa saya sedang hidup.
Saya tak pasti tentang anda yang sedang membaca ini, samada turut sama lalui apa yang saya lalui dari dulu sampai sekarang.
Saya sering tak perasan bahawa saya sedang bernafas. Ada hari-hari yang berlalu 24 jam tanpa sedikitpun terlintas untuk fikir pasal pernafasan pun. Samada pernafasan saya perlahan, atau pantas, berbunyi kuat atau perlahan tak boleh dengar. Samada tarik lebih panjang dari lepas dan lain-lain. Saya sendiri tak pernah ambil peduli semua itu.
Begitulah betapa perkara paling penting untuk hidup itu sering diremehkan sebab memang dah ada semula jadi. Apa yang manusia ada biasanya dia tak nampak. Sebaliknya dia sibuk mencari benda yang dia tak ada.
Apa yang akal sering buat adalah untuk bawa anda samada ke depan atau kebelakang. Ada saja yang tak kena dengan tempat di mana anda sedang berada sekarang.
Sebab itulah saya sekerap mungkin memaksa minda untuk berikan tumpuan pada aktiviti pernafasan yang sedang berlaku ketika saya baring atau duduk. Jika sedar saya sedang bernafas, tarik dan hembus keluar, rasakan perut kembung dan kempis, maka sudah pasti saya sedang berada di tempat yang saya sedang berada.
Namun begitu, sekejap saja tiba-tiba fikiran anda melayang tanpa disedari. Minda sengaja bayangkan untuk anda sepatutnya sedang berada di pejabat selesaikan kerja yang ada, atau buat sesuatu yang lebih penting di pejabat sana.
Bila jadi begitu, aktiviti yang sedang anda lakukan mula terganggu. Rasa tak selesa dan perasaan bersalah muncul dalam minda. Berlaku pergolakan dalaman cuba untuk merasionalkan kenapa tak perlu risau untuk ke pejabat dan kenapa okay untuk teruskan apa yang sedang anda buat.
Ketika perkara itu berlaku pada saya tadi, secara spontan saya bayangkan yang saya sedang berada di pejabat. Saya sedang buat-buat sibuk cari itu dan ini, yang biasanya berakhir dengan melayari internet, baca email, kejap-kejap buka tiktok pada telefon dan kejap-kejap buka twitter atau FB atau IG dan tersadai buang masa 2 ke 3 jam berlalu begitu saja.
Kemudian saya bayangkan ketika menyesal berkecamuk dengan perasaan bersalah di pejabat itu, saya berharap yang saya sepatutnya sedang berada di rumah berbaring buat senaman otot pinggang sambil praktis memberi tumpuan pada minda untuk berada di tempat yang saya sedang berada.
Dan bila saya buka mata-mata, ting!, saya memang sedang berada di rumah.
Terbalikkan keadaan
Itu yang saya temui pagi tadi, tentang cara bagaimana nak balikkan semula perasaan tak suka berada di tempat yang anda sedang berada.
Bila secara tiba-tiba anda rasa sepatutnya anda berada di tempat lain, segera bayangkan yang anda benar-benar berada di situ ( di tempat lain itu).
Anda sendiri tahu, bila ada di situ, minda akan bawa anda ke tempat lain pula sebab tak mahu ada di situ. Bayangkan yang minda bayangkan anda sepatutnya sedang berada di mana anda berada ketika itu. Dan buka mata, ting! anda memang ada di situ.
Begitulah minda akhirkan sedar yang anda sedang permainkan dia. Latih diri anda yang sedar untuk kuasai kehidupan. Biar sedar kuasai minda dan bukannya minda yang kuasai sedar.
No comments:
Post a Comment
Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !