Untuk dapat apa yang anda suka, perlu suka apa yang anda dah dapat. Itu kata-kata selamat untuk hidup dengan baik. Lebih-lebih lagi jika menyentuh hal kejadian semula jadi yang anda dapat hasil dari keturunan atau DNA yang ada pada ayah dan ibu anda.
Dalam keluarga, saya satu-satunya anak lelaki yang berkepala botak. Semua abang-abang lebat rambut mereka. Hanya saya sahaja bila dah masuk umur 30-an ke atas, rambut mula menipis bermula dari bahagian depan.
Kebetulan pula saya memang dari zaman muda jadikan kepala botak sebagai fesyen rambut pilihan. Jadi bila dah dewasa, berkepala botak tidak kelihatan janggal di mata kawan-kawan. Memang jadi satu kebiasaan. Malah jika biarkan rambut tumbuh, jadi pelik dan kawan-kawan akan bertanya kenapa tak cukur.
Membotakkan kepala sudah jadi satu fesyen biasa di kalangan masyarakat sekarang. Jika tidak botak licin keseluruhannya, ramai yang bawa fesyen hampir botak dengan cukur bahagian tepi sekeliling kepala dan hanya bahagian atas kepala sahaja yang dibiarkan ada rambut.
Berbeza dari zaman 80-an atau sebelum itu, fesyen rambut panjang serabai seperti artis kumpulan rock keras jadi kegilaan anak-anak muda. Geng-geng rock veteran dari zaman itu sampai sekarang masih kekal dengan fesyen rambut panjang mereka sebab memang itu sudah jadi identiti rock yang mereka bawa dari zaman muda.
Biarlah fesyen apapun yang anda nak pakai, itu hak masing-masing.
Jangan hina orang kepala botak
Ada sekali saya ziarah rumah jiran dikampung untuk jenguk kawan mak yang sedang uzur. Kebetulan salah seorang menantunya ada di rumah. Dah lama saya tak bertemu dengannya dan kami berbual.
Menantu kawan mak saya tu, saya panggil dia abang Mat. Dia jauh lebih senior dari saya dan masih kelihatan segak bergaya, lebat rambut tegap macam orang muda. Memang abang Mat seorang yang suka bergaya untuk serlahkan lagi muka hensem yang ada padanya.
Sambil gelak kecil dia tegur kepala botak saya bertanya kenapa masih muda dah hilang rambut. Dia bandingkan kepalanya dengan kepala saya. Saya rasa dia sekadar bergurau. Tapu gurauan itu agak kasar. namun saya tenang saja sebab dah terbiasa dengan gurauan kasar begitu.
Saya kata padanya, biasalah kehidupan. Ada orang tuhan ambil rambut terlebih dahulu, maka botaklah kepalanya. Ada orang Tuhan ambil kesihatan tubuh badan dahulu, maka jatuh sakitlah dia. Ada juga yang Tuhan ambil ketajaman mata, maka rabun lah dia. Itu semua ketentuan Tuhan.
Tapi ada juga yang Tuhan tak ambil apa-apa. Sihat segak dan kacak sepanjang masa sehinggalah ke satu tempoh tertentu lalu dengan tiba-tiba diambilNya nya wa sekali gus hilang segala-galanya masuk kubur. Jadi jangan alpa!
Mendengar jawapan saya dia senyum kelat dan mengiyakan apa yang saya kata dan terus ubah tajuk.
Kelebihan kepala botak
Seperti yang saya sebut di mula tadi, kepala saya memang dah botak bila umur masuk 30-an. Suka atau tidak perlu terima hakikat dan tak perlu buang masa cari solusi habiskan duit tanam rambut atau berubat untuk tumbuhkan semula apa yang sudah tiada.
Ambil saja itu sebagai satu latihan untuk belajar suka apa yang anda anda. Maka dapatlah apa yang anda suka. Untuk itu, dengan ambil tahu apa kelebihan yang ada para orang yang berkepala botak, ia dapat membantu anda suka keadaan yang ada sekarang. Jom lihat beberapa kelebihan berkepala botak.
Menjimatkan masa
Kepala botak ini sinonim dengan pantas. Sebab itu ramai pelari yang hebat botakkan kepala mereka untuk melancarkan pergerakan. Dan memang ia sebenarnya membuatkan anda dapat jimatkan banyak masa.
Anda tidak perlu kerap berada di depan cermin untuk melihat keadaan rambut. Tak perlu sikat rambut atau kerap cuba rapikan keadaan rambut.
Aktiviti mandi juga menjadi lebih pantas sebab tak perlu shampo atau susah-susah tenyeh kepala untuk melegakan kulit kepala tu.
Anda juga tak perlu pergi kerap ke kedai gunting. Kalau pergi pun anda duduk dan cakap sekali saja, cukur licin, habis tak payah nak beri penerangan lagi.
Jimat duit
Orang botak tak perlu beli shampo anti kelemumur, tak payah beli sikat, tak perlu ada pomade atau minyak rambut dan lain-lain aksesori untuk rambut.
Zaman sekarang, semua benda tu bukannya murah. Tambah lagi pomade khas untuk kasi rambut kejang tak bergerak tu. Mungkin anda rasa jumlahnya sedikit tetapi duit sikit-sikit tu jika disimpan secara konsisten akan jadi banyak dan berlipat ganda.
Boleh DIY
Untuk menjimatkan lagi duit, anda boleh cukur rambut sendiri. Ini lebih mudah dilakukan jika anda gunakan mesin pemotong rambut beli dari shopee. Mudah digunakan untuk terus licinkan kepala.
Sudah bertahun-tahun saya potong dan cukur sendiri kepala. Anda boleh bayangkan penjimatan yang saya dapat buat. Jika setiap kali ke kedai gunting rambut untuk cukur kepala kosnya adalah RM10, seminggu sekali dah jadi 30 ke 40 ringgit sebulan.
Berketrampilan
Kajian dari University of Pennsylvania yang ditulis dalam The Wall Street Journal mendapati mereka yang botak kepala dilihat lebih hebat dan gagah berbanding orang lain yang banyak rambut.
Mereka juga kelihatan lebih dominan dan punya potensi sebagai pemimpin yang lebih hebat. Faktor ini banyak membantu jika anda berniaga atau membina kerjaya naik pangkat.
Biasanya orang botak kelihatan lebih matang samada muda atau tua.
Bersyukur dengan kelebihan
Biasanya orang lebih suka melihat apa yang dia tidak ada berbanding apa yang dia miliki. Itu sikap yang merugikan. Ia hanya mencetuskan kemurungan dalam kehidupan dan seterusnya merenjatkan pembangunan potensi diri sendiri.
Apapun yang anda ada, bagaimana sekalipun bentuk rupa paras anda, pupuklah semangat cinta dan sukakan diri anda sendiri. Inilah yang dikatakan bersyukur dengan apa yang ada dan gunakan kelebihan yang ada padanya.
Berpeganglah pesan orang tua-tua, “beras secupak takkan jadi segantang”.
No comments:
Post a Comment
Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !