Jas-du-it

Jasduit - Just do it !

06 October 2024

Bersedih perkara yang kamu tak boleh buat apa-apa adalah satu kebodohan menipu diri

  Ano Nyme       06 October 2024


Cuba bayangkan anda ada seorang kawan rapat sejak di bangku sekolah lagi. Bila dah dewasa, masing-masing membawa haluan sendiri. Anda berhijrah cari makan di bandar, kawan itu pula kekal tinggal di kampung meneruskan hidupnya cara orang kampung.

Jarak antara kampung dengan bandar tempat anda tinggal tak jauh sangat. Kalau memandu, paling cepat ambil masa dalam 3 jam setengah jika trafik tidak berapa sibuk. Jika ada apa-apa hal kecemasan adalah sesuatu yang tidak sukar untuk bergegas balik kampung. Mahu atau tidak saja, anytime boleh balik jika perlu.

Kekal berhubung

Kalau zaman Tok Ayah dulu, dengan kemudahan perhubungan dan pengangkutan yang sukar, mereka bersusah payah balik kampung dengan apa yang ada untuk kekal berhubung. Kalau kenduri kendara, orang kampung habiskan masa dua tiga bulan hanya untuk buat panggilan makan kenduri. Bukan sekadar hantar kad jemputan melalui pos, mereka sendiri membawanya untuk disampaikan berdepan,hand carry kata orang logistik. 

Perhubungan secara fizikal adalah perkara keramat yang membuatkan jiwa mereka saling berkait rapat. Sakit jiran, sakitlah jua semua orang satu kampung. Sakit bekas jiran yang sudah berpindah, sakit juga satu kampung tempat asalnya. Jika tak satu kampung, pasti akan ada wakil yang pergi ziarah.

Urusan perhubungan sebegitu memang sangat membebankan. Tapi bila dah biasa, yang berat menjadi ringan. Alah bisa tegal biasa.

Itu dulu.

Sekarang sudah berbeza. Anda tetap berhubung sepanjang masa dengan kawan lama kampung itu. Anda dan dia dah jadi friend di media sosial. Anda paling kerap post berbanding kawan kampung, namun aktiviti masing-masing kerap di kemas kini. Anda hanya perlu like dan sekali sekala komen, 'hebat!'.

Jika kawan tampal kan keadaan ibunya yang gering di media sosial, pantas anda komen, 'syafakillah!'. Dan bila dia tampalkan posting pemergian ayahnya, pantas juga anda komen, 'Innalillah .. !'

Bila kawan adakan kenduri kendara, anda tak pernah lepas komen juga, 'moga segalanya dipermudahkan. Maaf tak dapat hadirkan diri .. ".

Begitulah prihatinnya anda terhadap kawan rapat di kampung. Anda berasa lega dan bangga kerana manjadi kawan setia yang sentiasa prihatin pada rakan lama di kampung. Tak ada posting musibah yang terlepas begitu saja melainkan diberikan kata-kata yang sesuai yang anda rasa dapat tenangkan jiwa kawan baik anda itu.

Masa saya kanak-kanak dulu, selalu tengok kawan-kawan bapak yang konvoi naik basikal pergi ziarah kawan mereka yang tinggal jauh di daerah lain. Jarak ke sana bukan dekat. Kalau kayuh basikal mahu ambil masa dua ke 3 jam. 

Dengan berpakaian segak, bersongkok hitam baldu, mereka bergerak perlahan untuk kekalkan perhubungan samada kenduri atau ziarah sakit saudara mara. Jika anda berselisih dengan mereka di jalan, muka berminyak dan baju basah dengan percikan peluh. Tapi demi tanggung jawab perhubungan, semua itu perkara biasa.

Cuba bandingkan perbezaan anda dengan kaum bapak di zaman tak ada media sosial dulu. Apakah anda rasa komen di media sosial itu menyumbang samada fizikal atau mental kepada rakan yang anda anggap rapat itu?

Kalau tanya saya, itu ciri-ciri seorang kawan yang celaka!. 

Tertipu dengan dajjal

Ada beberapa makna 'dajjal'. Yang pertama adalah makhluk raksasa berkuasa luar biasa yang umat Islam majoriti percaya akan turun ke bumi untuk menguji manusia antara yang beriman dengan tidak. Dia bermata satu dan pada dahinya tertulis 'kafir laknatullah'. Dia kandar pada bahunya syurga di sebelah kanan dan neraka di sebelah kiri.

Makna dajjal kedua adalah cacian biasa orang Melayu pada orang yang kenakan nya atau yang dia marah. Orang utara akan sebut, 'Dajai hang ni!". Maksudnya lebih kurang jahat lah tu.

Makna satu lagi adalah mengena atau memperdaya. Orang Melayu akan sebut ayat seperti, 'mendajjalkan seseorang', yang membawa maksud mengenakan seseorang.

Saya yakin maksud yang ke-2 dan ke-3 adalah hasil dari maksud yang pertama.

Sebelum ini, saya andaikan dajjal itu adalah telefon pintar. Tetapi setelah memikirkan semula, ternyata ia jauh dari itu. Dajjal adalah apa yang dinamakan kemodenan sebagaimana yang dikejar oleh hampir semua manusia di muka bumi sekarang ini tak kira bangsa, ideologi mahupun agama.

Dalam bahasa yang lebih akademik boleh disebut sebagai Teknologi. Tetapi bukan terhad kepada mesin dan peralatan sahaja, itu hanya sebahagian kecil hasil dari Teknologi. Jika mahu ditakrifkan teknologi sebagaimana yang saya maksudkan, boleh dirumuskan seperti berikut.

Teknologi merupakan satu teknik yang memberi tumpuan terhadap kecekapan dalam mengguna pakai pengetahuan saintifik dalam seluruh kehidupan manusia.

Teknologi telah menjadi satu makhluk hidup yang terbina dan berkembang sendiri tanpa dapat dikawal oleh manusia, malah tidak bergantung kepada manusia lagi untuk berkembang. Ia sentiasa berkiblatkan kepada kecekapan tanpa mengambil kira etika, budaya dan nilai kemanusiaan itu sendiri. 

Sekali teknologi menyerap masuk ke dalam masyarakat, sudah tidak mampu untuk berpatah balik dari tidak menggunakannya lagi. Masyarakat keseluruhan sudah terikat bergantung penuh kepadanya.

Manusia moden mengutamakan kecekapan dalam semua aspek kehidupannya. Semua proses telah menjadi sekata dan seragam (homogen - homogenize) untuk mencapai hasil pengeluaran yang maksimum dalam semua aspek kehidupan termasuk lah pendidikan, perniagaan dan pentadbiran tanpa mengutamakan keperluan manusia dari segi emosi, atau etika.

Teknologi yang membentuk keadaan organisasi dan masyarakat dan manusia duduk di bawah kawalan teknologi tersebut. Teknologi yang mengawal manusia. Malah segala struktur institusi sosial manusia itu, termasuklah negara, ekonomi, keluarga, disusun untuk sesuaikan diri dengan keperluan teknologi dan bukan sebaliknya.

Perkara paling ketara yang manusia alami adalah ilusi, kononnya manusia yang mengawal teknologi dan menggunakannya untuk memperkasa keadaan manusia itu sendiri untuk hidup lebih baik. Hakikatnya dengan teknologi, manusia telah hilang keupayaan dan kebebasannya sebagai individu untuk membuat pilihan tersendiri tentang hidupnya.

Fakta akhir itu yang mahu saya tekankan di sini. Dajjal menipu manusia kononnya dia telah melakukan perkara penting dan telah tunaikan tanggung jawabnya secara individu, pada hal dia hanya diberi ilusi supaya kekal bodoh dan tidak berfungsi melainkan untuk kepentingan teknologi itu sendiri.

Like & share

Mari lihat apa yang berlaku pada perhubungan anda dan kawan kampung yang saya gambar kan di atas tadi.

Anda telah berhijrah ke bandar untuk menjadi salah seorang dari hamba teknologi. Bekerja sebagai pengurus di sebuah kilang pembuatan alat elektronik antarabangsa yang permintaan terhadap barang itu sangat tinggi. Ia adalah hasil dari aktiviti pemasaran yang sangat cekap sehingga hampir semua manusia rasa dia wajib memiliki barang itu dengan apa cara sekalipun untuk jadikan hidupnya lebih baik.

Tidak disedari, anda hanyalah salah satu dari sumber utama yang kilang itu perlukan. Tidak penting dari segi individu sebab kilang anggap anda hanya sebagai satu unit sumber utamanya. Jika anda mati sebab dihempap komuter ketika bergegas ke tempat kerja, organisasi akan ganti anda dengan unit (individu) lain sepantas kilat. Macam tukar spare parts saja.

Sebagai manusia anda perlu berhubung, perlu merapatkan silaturahim, perlu jumpa kawan, perlu balik kampung tengok muka ibu bapa, perlu ziarah pak cik meninggal di kampung, perlu makan kenduri adik kawan kahwin dan lain-lain seumpamanya. Itu semua akan kacau operasi kilang ke arah kecekapan. Kilang perlu pastikan anda masuk kerja dengan rela dan gembira.

Maka untuk kaburkan keperluan anda itu, diberikan telefon bimbit yang anda beli sendiri hasil dari duit gaji dan pakej TM yang cuma perlu subscribe line dan dapat iPhone terkini percuma. Dengan adanya telefon, anda ada akaun media sosial yang lengkap, wasap, fb, ig, linked-in, telegram, twitter X, dan lain-lain.

Anda hanya perlu share & like saja dengan semua kawan-kawan di seluruh dunia dan telah tertunailah tanggung jawab sosial anda. Bukan saja kawan kampung yang jaraknya 3 jam perjalanan, malah kawan setaman yang jarak rumah hanya 50 meter juga tertunai dengan share & like atau hantar mesej di wasap.

Semua kuliah di surau kawan-kawan yang pencen tak ada kerja, tolong hadir. Mereka rakam dan share di grup wasap. Semua maklumat kejiranan juga di kongsi dalam grup. Ada mayat di surau, anda hanya perlu cut & paste, "Innalillah .. kemudian tulis, "Al_fatihah ,, (dibaca) .. ". Selesai tugas sebagai anak khariah surau. Siak dan Imam akan mandi, kafan dan solah serta iring mayat ke kubur dan baca talkin. Anda kekal setia melekat pada mesin di kilang tanpa perlu hadir semua itu sebab dah post respon di grup wasap tadi.

Anda juga tidak kurang hebatnya kongsikan ceramah UAI dan Ustaz Wadi yang anda sendiri dapat dari grup sebelah, maka tertunai lah semua tanggung jawab sosial dan keperluan menuntut ilmu sebagai seorang Islam. Semua itu dapat kekalkan anda untuk terus jadi hamba kilang yang boleh dipercayai bagi membuat barang untuk kebaikan manusia di muka bumi.

Teknik menipu diri antarabangsa

Makin lama anda makin rasa lega sebab kehidupan jadi lebih baik. Gaji meningkat, rumah besar serba lengkap, kereta sport dan seribu satu kemewahan lagi yang mana semua yang anda miliki itu amat jarang digunakan sebab hampir seluruh hidup anda berada dalam kilang. 

Nasib baik ada medsos yang boleh kongsikan semua rumah, kereta, jam tangan, tudung isteri dan lain-lain kepada kawan yang sentiasa memuji kejayaan anda hidup dengan baik dan berjaya.

Untuk luaskan lagi status prihatin di mata kawan-kawan di media sosial, termasuk lah kawan kampung, kawan taman, kawan tempat kerja dan bekas rakan sekolah dan universiti, anda share & like isu antara bangsa terutamanya Palestine, hampir setiap jam di media sosial. 

Ayat paling menggegarkan bangunan kilang tempat kerja anda adalah, 'menitis air mata aku tengok penduduk Gaza di perlaku sedemikian rupa ..!'. Sekali sekala tak lupa buat live untuk menunjukkan keganasan anda dalam menakutkan Zionis supaya segera beredar dari Israel.

Anda rakamkan muka bengis sambil melaung, 'menggigil tangan aku sekarang ini, Yahudi laknatullah .. !'. Jika ketika itu Benjamin Netanyahu sedang memegang gelas dah tentu terlepas jatuh berantakan gelasnya akibat sergahan power tersebut.

Kerap juga, anda beraksi garang memberi amaran untuk menghancurkan Israel dan menjatuhkan kerajaan Arab Saudi yang pro Israel dengan memberi komen, 'babi celaka punya Zionis!'. Anda juga bertindak ganas terhadap Arab Saudi dengan komen, 'setan punya pengikut iblis, sesama saudara seislam tidak dibantu, musuh Islam di sokong'.

Semua itu benar-benar buat anda rasa lega dan tenteram. Tertunai sudah tanggung jawab sebagai rakyat, muslim, jiran, kawan, anak khariah, Melayu dll. Jadi manusia yang berfungsi, berjaya dan baik lah anda. Tahniah!, dapat jadi hamba kepada teknologi dengan tenang. Alhamdulillah.

Begitulah bagaimana teknologi telefon pintar, media komunikasi, media sosial dan lain-lain telah memberikan ilusi supaya anda tidak keluar dari perhambaan sistem teknologi yang saya sebut di atas tadi. Semua teknologi bekerjasama saling kuat menguatkan untuk kepentingan kecekapan pembuatan dan peningkatan kuantiti produk untuk kebaikan kehidupan manusia sejagat.

Palestin jauh, kampung dekat

Dari segi kekerapan, anda nampak nya lebih banyak berkongsikan maklumat antara bangsa terutamanya Palestine berbanding maklumat taman atau kampung anda sendiri. Itu memang dijangkakan sebab memang anda tidak tahu sebab tak ambil tahu dan tak sempat ambil tahu sangat pasal jiran, kampung dan semua perihal berdekatan.

Ada kelebihannya untuk bersikap begitu.

Jika anda kerap cakna perihal Palestine, share & like sudah mencukupi sebab nak buat macam mana jauh sangat. Kalau seludup pergi pun belum tentu dapat masuk Gaza. Lagipun merbahaya. Semua orang tahu perkara itu. Sebab itu semua orang tak kata apa-apa jika anda tak pergi Palestine dan berbuat sesuatu.

Tetapi jika anda ambil tahu dan terlalu cakna perihal jiran taman, perihal kampung, kawan kampung dan lain-lain yang memang boleh sampai kalau mahu secara fizikal, dan jika anda tak hadirkan diri, nampak sangat buruk sikap anda. Jadi pukul tak tau adalah lebih selamat sebab jika tahu, kena hadirkan diri.

Itulah kelebihan untuk bersikap lebih-lebih pada perkara yang memang kamu tak boleh buat apa-apa selain dari share & like berbanding berlebihan cakna terhadap perkara yang sepatutnya kamu boleh buat sesuatu dengan mudah.

Share & like telah menyelamatkan rasa bersalah kamu. Dan paling penting share & like telah membodohkan kamu menjadi hamba teknologi. Hamba Dajjal yang mana kamu telah ikuti dan jadi pengikutnya dan sekarang kamu berada di syurga yang dikandar oleh Dajjal itu.

Berbanding kawan anda di kampung yang tidak ambil tawaran Dajjal, dilabel kolot, tak ada smartphone, duduk kampung, tak ada akaun medsos atau tak berapa aktif, kerja kampung bela lembu tanam sayur, tak mengaji tinggi, ulang alik ke masjid dan surau setiap malam, pergi baca tahlil kenduri arwah orang kampung, gali kubur, solat jenazah, tolong anak jiran kemalangan, bersihkan rumah Tok Lang dimasuki banjir dan sebagainya, tak pernah share & like. 

Malah dia tak tahu tentang zionis, sejarah negara Israel, siapa Hamas, siapa Hezbollah, memang sukar untuk dia bantu Palestine, nampaknya. Tapi dia tak ambil peduli.

Dia hanya fokus pada perkara yang sampai dalam gawangannya. Sentiasa hadirkan diri ziarah dan ringan tulang tolong orang satu kampung. Mungkin dilihat macam duduk dalam neraka Dajjal tadi. Tapi dia lah sebenarnya yang selamat dan tidak bodoh. Jika dia meninggal dunia, memang terasa satu kampung kehilangannya.

Jika anda yang kerap share & like, posting sana sini, hentam yahudi dan sebagainya, mati hari ini, kehilangan anda tak ada siapa yang rasa sangat. Keluarga pun tak berapa sedih sebab selama ini lebih banyak berjuang di media sosial dan pergi serta balik kerja. Apatah lagi orang Yahudi atau Palestin yang anda perjuangkan itu. Ada dengan tiadanya anda sama saja, tidak memberi kesan apa-apa. Dan kilang tempat kerja dapatkan pengganti anda dengan kadar segera.

Sedih yang sia-sia

Apa yang orang tua-tua dulu amalkan, cara kehidupan mereka, aman sentosa perhubungan mereka, damai suasana kampung, kerjasama bermasyarakat dan sebagainya, kini hanya tinggal kenangan. Tewas di tangan dajjal yang saya terangkan di atas tadi. Sekali teknologi di terima, manusia tak akan dapat berpatah balik lagi.

Semua perlu terima hakikat itu dan tak perlu bersedih. Memang hakikatnya dunia bukan menuju kepada keadaan yang lebih baik. Dunia hanya bergerak ke depan menuju kehancuran. Itu adalah sesuatu yang pasti. Manusia semuanya sedang bergerak menuju ke pusat sembelihan yang direncana oleh manusia sendiri yang sedang dikuasai oleh teknologi.

Bersedih terhadap perkara yang anda tak mampu buat apa-apa adalah sesuatu yang sia-sia. Apa yang anda dapat dengan bersedih?

Tiada apa-apa perubahan yang akan berlaku dengan bersedih. Terus layan kesedihan itu akan membuatkan manusia mencipta ritual mengarut sebagai menzahirkan isyarat bahawa dia sedang bersedih. Contohnya berkabung, menangis dan meraung, hentikan kehidupan untuk 3, 5, 7, 10, 40 atau 100 hari dan lain-lain lagi seumpama dengannya.

Apa yang anda dapat dengan memberikan isyarat sedih itu?

Tiada!

Berkabung, meraung menangis, berpakaian hitam, pasang colok kemian dan sebagainya adalah amalan memberikan isyarat bahawa anda sedang bersedih. Mereka yang melakukan semua itu dijanjikan ganjaran kebaikan. Jika anda tanya betul-betul pada diri sendiri, apa kebaikannya, memang tidak ada langsung. Yang berlaku pasti berlaku dan tiada apa-apa yang dapat dilakukan.

Jika zaman dulu, amalan di atas menjadi signal kesedihan. Zaman sekarang media sosial digunakan untuk menzahirkan rasa sedih manusia. Emoji, komen, dan seperti yang saya sebut di atas tadi, like & share.

Jika anda berikan signal sedih kepada posting kawan yang kematian ibunya tapi tidak luangkan masa hadirkan diri uruskan atau bersama orang ramai yang lain menguruskan jenazah sehingga ke liang lahad. Anda memang kawan yang buruk perangai dan tertipu pada isyarat yang disediakan oleh dajjal.

Jika anda like & share pada kesedihan bencana yang berlaku pada negara lain yang beribu kilometer jaraknya sedangkan anda bukan berada dalam posisi untuk dapat melakukan sesuatu, sama juga dengan keadaan di atas tadi. Itu adalah kerja yang sia-sia.

Sia-sia kerana pertama nya anda memang tak boleh buat-apa. Sekadar beri isyarat sedih tidak memberikan kesan langsung terhadap aktiviti anda melainkan rasa selesa dan lega dari perasaan bersalah dari berusaha tak buat apa-apa. Dan itulah paling jahat yang boleh berlaku.

Apabila anda rasa lega, maka segala usaha untuk buat sesuatu akan dengan aman sentosa dihentikan sebab, anda sudah tertipu dengan like & share tadi yang dianggap telah menghapuskan segala dosa tidak membantu.

Rumusannya, jika berada dalam keadaan dapat buat sesuatu, maka segeralah buat sebaik mungkin. Biar perbuatan itu memberi kesan. Jika tak dapat buat apa-apa, tak perlu bersedih. Teruskan saja kehidupan dan tunaikan tanggung jawab yang ada di depan. Bukannya beri isyarat like & share tunjuk prihatin tapi jiran sebelah rumah dilanda musibah anda tak ambil peduli.

Wallahu'alam!

logoblog

Boleh Like dan Share artikel ini di akaun Medsos anda. Terima Kasih sudi luangkan masa membaca artikel, Bersedih perkara yang kamu tak boleh buat apa-apa adalah satu kebodohan menipu diri

Previous
« Prev Post

No comments:

Post a Comment

Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !