Jas-du-it

Jasduit - Just do it !

13 October 2024

Jangan hidup sebatang kara seorang diri dari muda hingga ke tua, nanti mati terputus zuriat

  Ano Nyme       13 October 2024


Pejabat syarikat pest control saya terletak di unit no 2 deretan bangunan kedai satu setengah tingkat di sebuah pekan kecil di Shah Alam. Bangunan itu kepunyaan rakan kongsi syarikat saya. Dia punya beberapa bangunan komersial di sekitar pekan itu yang semuanya di sewa oleh orang lain untuk perniagaan.

Pejabat saya di bahagian bawah. Di atasnya tempat tinggal adik ipar rakan kongsi saya. Itu jadi alasan kuat kenapa bila saya minta nak beli keseluruhan bangunan itu, adik iparnya dijadikan sebagai alasan.

"Nanti Andy mau tinggal mana?" itu soalan yang dia sering ulang, yang buatkan saya terdiam dan tak pernah bertanya lagi.

Andy, nama adik ipar rakan kongsi saya itu, asalnya bekerja dengan syarikat asal milik suami kepada rakan kongsi saya tadi. Selepas mendiang suami rakan kongsi saya meninggal, perniagaan makin menurun dan akhirnya saya ambil alih syarikatnya. Dah lama kami kenal dan berurusan bisnes secara telus dan adil. Apa saja yang tak puas hati atau tak paham kami akan lepas cakap secara terus terang. Cara itu buat kami kekal tak ada masalah.

Hidup seorang diri

Sejak syarikat di ambil alih, Andy tak kerja apa-apa. Saya tak pasti dari mana sumber sara hidup Andy. Pernah rakan kongsi saya tanya samada saya boleh ambil Andy bekerja tapi saya tolak sebab dia dah berumur. Biarlah dia rehat kata saya. Tapi bila ada kerja-kerja yang sesuai, Andy akan dipanggil. Dia rajin dan senang bawa bincang.

Andy tinggal seorang diri. Jadi keperluan hidupnya tidak seberapa. Ada masanya saya tanggung semua makan minumnya. Pergi makan dan suruh kedai catit saja. Cukup bulan saya pergi bayar. Malah ada beberapa kedai makan yang memang bagi saja Andy makan tanpa bayar.

Setiap kali saya lihat Andy, saya tertanya-tanya bagaimana dia boleh hidup seorang diri begitu. Jalan ke kedai, duduk makan, layan beberapa kawan-kawannya di sekitar kawasan itu berbual dan bila malam balik ke rumahnya di atas pejabat saya itu, dan tidur. 

Tentu sunyi dan kosong hidupnya, itu andaian saya berdasarkan apa yang saya bayangkan ikut kesesuaian cara hidup saya sendiri. Bila sakit demam nanti siapa yang akan tengok dia. Macam-macam yang saya bayangkan setiap kali bertembung dengan Andy.

Baru-baru ini, saya bergegas nak balik sebelum magrib, nak berbuka di rumah. Andy turun bawah dan panggil saya dari grill pintunya. Dia minta saya buka grill itu sebab tak ada kunci. Saya terkejut dan bertanya di mana kunci, jawabnya ada kontraktor yang nak renovate biliknya di atas tu ambil.

Setahu saya memang tak ada apa-apa aktiviti renovasi kat atas tu. Kalau ada tentu kakak iparnya akan beritahu saya terlebih dahulu. 

Saya tak ada kunci pintu pagarnya itu. Tapi saya boleh buka ikut pintu pejabat saya dan dia boleh keluar melalui pejabat saya. Cuma malam nanti dia nak masuk macam mana, itu soalan saya padanya. Andy kata tak apa sebab malam nanti dia boleh tembus lalu terus tanpa halangan melalui besi atau batu atau apa saja. Dia berhalusinasi agaknya.

Oleh sebab nak cepat, saya buka saja dan biarkan dia keluar, tutup semula pejabat dan kunci lalu bergegas balik ke rumah. Dalam perjalanan saya telefon kakak iparnya cerita apa yang berlaku pada Andy.

Andy mati mengejut

Seperti yang diduga, memang tak ada apa-apa kerja baik pulih bilik atas tu. Saya beritahu padanya yang Andy nampak pelik dari biasa. Dia cakap merapu. Nak kata mabuk minum, saya tak bau apa-apa seperti arak ketika berbual dengannya tadi. Saya minta iparnya tengok apa jadi pada Andy.

Diringkas cerita, esok pagi iparnya call saya dan beritahu Andy dah meninggal. Dia diambil oleh adiknya bawa balik ke sebuah pangsapuri untuk tidur di sana. Awal pagi, sebelum fajar agaknya, Andy keluar tanpa diketahui oleh sesiapa dan jatuh tangga dan pecah mukanya lalu mati seorang diri di tangga pangsapuri itu.

Berakhirlah kisah Andy dan terjawablah segala persoalan saya selama ini. Dia mati secara mengejut. Tak ada susahkan sesiapa untuk menjaganya jika terlantar sakit. Bila masanya sampai, dia terus mati. 

Tolak jatuh tangga, pecah muka dan mati, saya berharap kematian saya juga pantas bila datang masanya tanpa perlu terlantar sakit bertahun-tahun dan tersiksa menahan kesabaran. 

Saya lihat sendiri ramai yang hidup lama tapi masa habis hanya terbaring di atas katil bertahun-tahun tak mati-mati. Pesakit sendiri hilang sabar dan orang yang menjaganya juga hilang sabar. Habis berdosa semua yang terlibat kerana hilang sabar. Itu satu bala, minta Allah jauhkannya dari saya.

Mati tanpa legasi

Apa yang tak berapa lengkap adalah kematian tanpa meninggalkan sebarang legasi. Jika dibuat carta keturunan yang membawa sampai kepada Andy, carta itu akan terhenti pada Andy, tiada lagi sambungan. Satu kehilangan total zuriat yang keluar dari Andy.

Jika dilihat dari perspektif manusia, Andy telah gagal melaksanakan tugasnya sebagai penyambung legasi keturunan manusia. Maka dia dan juga semua potensi yang ada untuk keturunannya perlu disingkirkan, atau boleh juga difahami dia sendiri yang singkirkan keturunannya. Hanya manusia berjaya laksanakan tugas utamanya sahaja akan berterusan wujud di muka bumi ini selagi ia belum kiamat.

Tugas manusia sebaik saja dia wujud, dari segi biologi hanya ada 2. Pertama adalah untuk pastikan dia mampu hidup. Jika itu berjaya, dia perlu beralih pada tugas ke-2 iaitu, dia hendaklah mencari pasangan untuk melahirkan anak. Bila dapat anak, dia perlu pastikan anaknya hidup, mampu terus hidup dan berkahwin. Begitulah berterusan berlaku pada spesis manusia yang berfungsi.

Bagi anda yang masih terjebak dengan hidup hanya mahu happy happy, biar tak kahwin asal happy happy, fikirkan semula kegagalan yang bakal anda hadapi apabila lenyap tiada langsung legasi keturunan. Jika tak mahu kahwin, elok mati awal saja ketika masih muda. Jika anda terpaksa hidup lama sehingga ke tua, siksaan hidup kesunyian sudah bermula ketika masih ada di atas dunia.

Samada anda percaya atau tidak, suka atau tidak, ada lagi kehidupan selepas mati. Dalam kehidupan kedua itu mati sudah tiada. Yang ada hanya kekal selamanya, dalam keadaan selesa bahagia, atau terseksa sengsara yang tiada penghujungnya.

Samada bahagia atau sengsara, bergantung pada keputusan ujian yang anda jalani ketika dilahirkan dan hidup sebagai manusia di atas dunia ini. Ujian itu berdasarkan cara anda tunaikan dorongan semula jadi untuk hidup dan melahirkan zuriat yang saya sebut di atas tadi. Jika dorongan itu anda tunaikan dengan jayanya, maka bahagia lah ketika kehidupan kedua nanti. Jika tidak, anda akan sengsara selamanya.

Orang yang berkahwin, tunaikan kewajipan sebagai pasangan samada suami atau isteri, kemudian tunai kewajiban sebagai ayah atau mak, sebenarnya dianugerahkan akses mudah hidup bahagia di sana nanti. Jangan sia-siakan peluang itu. Berkahwinlah, dapatkan anak dan besarkan mereka.

Wallahu'alam!

logoblog

Boleh Like dan Share artikel ini di akaun Medsos anda. Terima Kasih sudi luangkan masa membaca artikel, Jangan hidup sebatang kara seorang diri dari muda hingga ke tua, nanti mati terputus zuriat

Previous
« Prev Post

3 comments:

  1. Bila free buat kan cerita sikit macam mana partner business dengan bangsa lain, dari cerita diatas partner cina kan? Mesti partner tu bagus, terima kasih.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Ya, semua bisnes yg saya ada sekarang buat dengan partner berbangsa Cina. Insyaallah jika ada kesempatan saya tulis nanti. Terima kasih komen.

      Delete
    2. Terima kasih ini yg kita nk baca..pada saya business ni kena universal baru boleh kita pergi jauh, ini tidak duk condemn bangsa ni, sepatutnya kita belajar trade secret dengan dia orang ni, terima kasih sekali lagi.

      Delete

Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !