Apa yang anda faham tentang perkataan adil?
Saya buka kamus dewan untuk tengok apa yang diterangkan terhadap perkataan adil, jawapannya adalah seperti di bawah, panjang dan lengkap.
Definisi :
- menyebelahi pihak yg benar (bkn sesuatu, seseorang, tindakan, undang-undang, keputusan dsb): raja yg ~; tindakan yg ~; hakim itu ~ keputusannya;
- meletakkan sesuatu pd tempatnya yg betul (bkn sesuatu, seseorang, tindakan, undang-undang, keputusan dsb): pelantikan seseorang yg ahli dlm bidangnya adalah satu pelantikan yg ~;
- menepati hak seseorang atau sesuatu: kadar taksiran mestilah ~ dan tidak menjadi satu beban kpd penduduk; para pekerja mendapat layanan dan ganjaran yg ~, setimpal dgn pengorbanan yg dilakukan kpd organisasi;
- tidak menyebelahi mana-mana pihak (bkn layanan terhadap seseorang dsb), tidak berat sebelah: tugas ibu bapa ialah berlaku ~ dlm sesuatu pemberian kpd anak-anak dgn tidak melebihkan seorang drpd yg lain; mengadili menimbangkan dgn saksama serta memutuskan (dlm mahkamah dsb), memeriksa dan menghukum orang dgn adil: ~ dan menghukum orang-orang yg melanggar undang-undang;
Itu makna yang ada dalam kamus dewan. Untuk semak samada makna itu adalah menyeuruh atau tidak, anda perlu cari satu saja contoh yang bertentangan dan tidak menepati satu pun dari definisi yang diberikan di atas tadi.
Tuhan ‘tidak adil’
Ada sekali dulu saya menonton berita TV bersama dengan satu keluarga bangsa arab di Perancis. Ada laporan memaparkan gambar kanak-kanak di Ethiopia yang kurus kering kebuluran menunggu mati.
Melihat gambar yang menyedihkan itu, pak arab itu secara spontan bersuara mengkritik.
'Apa yang Tuhan sedang buat?' pertanyaan keras keluar dari mulutnya sambil kedua belah tangan diangkat. Memang gaya orang arab begitu bila bercakap. Ia sebagai isyarat bagi menekankan lagi maksud percakapannya.
'Tengok kanak-kanak yang tidak berdosa itu?'. Sambungnya lagi sambil berpaling pada semua orang Dia menagih sokongan dari yang lain yang ada bersama.
Saya tergamam. Sudah tentu saya tak setuju dengan apa yang dia sebut itu. Tapi macam mana nak terangkan kesalahan yang diutarakan oleh pak arab itu.
Jika dirujuk pada definisi kamus dewan di atas tadi, adakah boleh dirumuskan bahawa Tuhan tidak adil. Atau definisi itu hanya khas di tahap makhluk saja?.
Pak Arab tadi punya logik, kanak-kanak tidak ada apa-apa dosa pun yang dia buat, tiada apa-apa kesalahan yang melayakkan mereka dihukum sedemikian rupa. Keadaan kanak-kanak itu jelas tidak berada dalam kedudukan yang sepatutnya untuk mereka.
Walaupun dia berani kritik Tuhan, masih jelas bahawa Pak Arab itu masih percaya adanya Tuhan. Sebab itu dia bertanya apa Tuhan buat ketika kanak-kanak tidak bersalah itu tersiksa. Bukankah untuk keluarkan kanak-kanak itu dari sengsara adalah perkara mudah bagi Tuhan.
Soalan yang sama sering diguna pakai oleh penulis, pembahas, pejuang kemanusiaan terkenal, yang tak percaya kewujudan Tuhan, Christopher Hitchens. Dia jadikan kejadian seperti itu sebagai bukti bahawa Tuhan tidak ada. Jika memang Tuhan benar-benar wujud, sudah tentu semua itu tak akan berlaku.
Saya sering juga layan ceramah dan tulisan Christopher Hitchen dan 3 orang lagi atheist terkenal di abad ini, Richard Dawkins, Sam Harris dan Daniel Dennett. Cara mereka fikir yang tak ada sempadan ketakutan itu sangat membuka minda untuk menyemak kefahaman dan kepercayaan anda tentang Tuhan. Apa saja yang mereka utarakan adalah permulaan asas kepada apa yang Tuhan tegaskan dalam Quran, 'Tiada Tuhan ..'
Maksudnya, para atheist itu sudah banyak membantu anda untuk merungkai maksud pertama penegasan 'Tiada Tuhan .. ". Mereka hanya kurang bahagian kedua kepercayaan saja, iaitu ' .. melainkan Tuhan', yang ada pada saya dan pada manusia lain yang percaya kewujudan Tuhan.
Rumusan para atheists di atas yang mengatakan, Tuhan, jika wujud, tetapi tidak selesaikan masalah seperti kanak-kanak tidak berdosa mati kebuluran tadi, maka sudah tentu Tuhan itu tidak adil.
Soalan itu boleh dijawab jika mereka setuju bahawa segalanya masih belum berakhir. Dunia masih ada bersambung. Jika dunia musnah, dah segalanya habis begitu saja, maka mereka betul. Jika ada lagi sambungan, maka mereka salah. Malangnya mereka hanya akan sedar akan kesalahan mereka di sana nanti dan segalanya sudah terlewat.
Bukankah Tuhan dah janji adanya pengadilan di padang mahsyar nanti!. Jadi kenapa mereka rumuskan sesuatu yang masih belum tamat. Seolah-olah anda menonton kejadian di depan mata sekerat jalan, lalu terus berlalu dan merumuskan penamatnya tanpa tunggu sampai habis. Mana boleh begitu.
Makna Tak Adil
Untuk faham apa itu adil, adalah lebih mudah untuk menjelaskannya secara bertentangan, iaitu makna perkataan tak adil. Seseorang itu berlaku tidak adil apabila dia melakukan salah satu dari 2 perkara yang berikut.
- Mengambil sesuatu yang bukan kepunyaannya.
- Melanggar ketentuan atau undang-undang yang dibuat oleh entiti yang ada autoriti untuk tentukan mana boleh dan mana tak boleh.
Sekarang cuba tanya samada wujud sesuatu yang bukan kepunyaan Tuhan?
Jawapannya: TIADA
Maka dalam hal tersebut ternyata Tuhan sentiasa adil.
Cuba pula tanya samada ada entiti yang ada autoriti untuk tentukan mana yang Tuhan boleh buat dan mana yang tak boleh?
Jawapannya: TIADA
Tidak ada yang lebih berkuasa selain Tuhan. Sekali lagi ternyata bahawa Tuhan sentiasa adil dalam hal kedua itu.
Rumusannya tidak adil adalah mustahil berlaku kepada Tuhan.
Bersikap adil
Tidak adil hanya boleh terpakai pada makhluk saja. Anda diberi pilihan untuk berlaku adil atau tidak dengan faham makna tak adil yang saya sebut di atas tadi.
Seandainya anda ikut suka hati ketuk kepala orang lain tanpa sebab, maka anda telah mengambil haknya untuk tidak disakiti. Anda telah berlaku tidak adil.
Begitu juga jika anda melanggar lampu isyarat merah. Anda telah berlaku tidak adil kerana melanggar undang-undang yang ditentukan oleh mereka yang berautoriti. Jangan ingat anda boleh buat sesuka hati di dalam masyarakat.
Jangan melanggar sebarang undang-undang yang ditentukan oleh mereka yang berhak menentukannya. Biarlah orang tuduh anda pengecut. Pegang perinsip untuk sentiasa berlaku adil.
Dalam masa yang sama anda perlu mempelajari apakah hak-hak diri anda sendiri. Perlu juga tahu hak orang lain, anak-anak, ibubapa, pekerja dan lain-lain dan pastikan hak mereka jangan diambil. Dengan sedar di mana kedudukan anda, anda dapat sediakan diri untuk tunaikan kewajiban dalam hidup ini.
Manusia berfikir guna emosi dan logik akal serta pengalaman yang belum tentu betul tetapi orang yang beriman berfikir guna hidayah dan petunjuk daripada Allah SWT..jawapannya pasti betul terutama melibatkan keadilan
ReplyDeleteBetul tu tuan. Tuhan bimbing siapa yang Dia mahu dan sesatkan siapa yang Dia mau ..
Delete