Jas-du-it

Jasduit - Just do it !

02 October 2024

Tak ada sesiapa tahu bagaimana dunia dalam kepala anda - Hanya mampu terangkan sahaja

  Ano Nyme       02 October 2024


Setiap orang mempunyai dunianya yang tersendiri. Semua berkisar tentang apa yang ada di dalam kepala masing-masing. Apa yang anda tahu dan yang tidak tahu serta bagaimana anda melihat sesuatu perkara adalah berbeza dengan orang lain.

2 orang yang melihat satu kejadian yang sama berlaku di depan mereka, punya 2 tafsiran dan pemahaman yang berbeza terhadap kejadian itu. Ia bergantung pada tahap pemikiran serta pengalaman yang setiap orang itu lalui sepanjang hidupnya. 

Anda boleh ceritakan dalam bentuk perkataan, ayat, gambaran kepada dan sebagainya dalam usaha berkomunikasi terhadap apa yang telah anda lihat. Namun begitu, orang yang mendengarnya akan serap semua maklumat itu masuk ke dalam otaknya dan membina gambarannya yang tersendiri berdasarkan kefahaman dalam dunia pengetahuan dalam dirinya.

Saya yakin anda tentu dah tahu makna perkataan 'alam'. Orang Islam akan sebut perkataan alam ni setiap hari sekurang-kurangnya 17 kali ketika membaca surah Al-Fatihah.

ٱلْحَمْدُ لِلَّـهِ رَبِّ ٱلْعَـٰلَمِينَ

Segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam

Adalah menarik untuk renungkan perkataan alam ini berasal dari kata akar ع ل م yang bermakna "tahu".

Saya bukan mahu bahaskan perkataan alam di sini. Semua itu sekadar mukadimah untuk mengajak pembaca berfikir dan menyelami pengalaman anda bersama kanak-kanak dan memahami bahawa dunia dalam kepala anda tidak sama seperti dunia dalam kepala mereka.

Alam kanak-kanak berbeza

Bagi anda yang telah berumah tangga dan dikurniakan anak, tentu dan lalui pengalaman bagaimana anak-anak bertanya berbagai soalan bertubi-tubi sepanjang masa anda bersama mereka.

Sekali sekala memang seronok layan kerenah soalan mereka. Tapi ada masanya gagal juga. Gagal meletakkan diri berada dalam keadaan mereka. Atau lebih tepat lagi gagal ingatkan diri bahawa apa yang ada dalam kepala mereka jauh tidak sama dengan apa yang ada dalam kepala anda.

Antara pengalaman yang berulang kali dilalui adalah ketika menaiki kereta sekeluarga untuk menuju ke satu destinasi. Selepas kereta bergerak meninggalkan kediaman, tidak sampai 30 minit mereka dah mula bertanya soalan yang mengejutkan bagi orang dewasa.

Antara soalan kerap dikemukakan adalah seperti, “dah sampai ke ayah?”, “jauh lagi ke ayah?”

Bayangkan jika perjalanan yang memakan masa 3 atau 4 jam. Anda akan ditanya dengan soalan yang sama berkali-kali sehinggalah sampai ke destinasi. Soalan itu sebenarnya sangat menguji kesabaran orang dewasa yang gagal meletakkan diri mereka dalam keadaan kanak-kanak.

Jika anda lupa bahawa jarak umur orang dewasa dengan anak-anak yang jauh, bersama pengalaman yang telah dilalui sepanjang hidup serta kefahaman yang dipelajari selama itu, maka anda akan merasakan seolah-olah mereka sengaja mahu buatkan anda marah.

Anda mungkin lupa bahawa, pengalaman berjalan ke serata tempat dan kemampuan mengenal pasti ‘landmark’ pada tempat yang dituju tidak ada dalam dunia atau kepala anak-anak. Begitu juga kemampuan untuk mengukur dan memahami masa perjalanan berbanding masa yang diperlukan untuk sampai ke destinasi tidak dimiliki oleh mereka.

Langkah kawal diri

Untuk membiasakan diri mengawal keadaan dan seterusnya menjadikan ia satu tabiat yang baik, ada beberapa perkara perlu diberikan perhatian.

  1. Berhenti sejenak sebelum memberikan respon - Jangan terburu-buru nak jawab nanti anda akan terus melenting setiap kali soalan, yang anda anggap bodoh itu ditanya. Sedangkan ia sebenarnya langsung tidak bodoh.
  2. Letakkan diri kita dalam keadaan mereka - Bayangkan keadaan anda semasa kecil-kecil dulu. Berapa umur anda sebelum mampu mengenal dan membaca waktu pada jam. Bagaimana anda dapat tahu apa dan faham semua itu. Tanya pada diri anda berapa lama masa yang anak-anak anda perlu ambil untuk mempelajari semua itu. Berikan mereka tempoh masa yang mencukupi. Tak perlu nak kejar masa dan berharap mereka seorang genius.
  3. Pecahkan soalan pada beberapa langkah yang perlu - Dalam contoh perjalanan di atas, soalan utama yang perlu diketahui adalah masa yang perlu diambil untuk sampai ke destinasi. Seterusnya apakah tanda-tanda yang menunjukkan anda sudah menghampiri destinasi. Ajar mereka ilmu itu supaya perbualan jadi lebih menarik dan banyak cerita boleh disuntik masuk ke dalam perbincangan. Biar otak mereka jalan laju dan segala neuron di dalam otak berkembang dan berhubung dengan pantas.
  4. Berikan tunjuk ajar - Terangkan pada mereka bagaimana perlu berfikir untuk memahami pecahan kepada soalan-soalan yang anda kemukakan. Contohnya tanya mereka jam berapa anda mula bergerak keluar dari rumah tadi. Dan tanya pula jam berapa sekarang. Beritahu bahawa tempoh sudah berlalu dalam 30 minit dan perjalanan akan sampai dalam tempoh 5 kali dari tempoh yang sudah dilalui. Kemudian anda boleh berikan tunjuk ajar yang asas seperti melihat tanda jalan, maklumat batu tanda dan lain-lain yang penting untuk mereka menjalani kehidupan.

Sebenarnya selain daripada anak-anak kecil, anda juga sering berhadapan dengan soalan-soalan yang dianggap bodoh daripada orang lain tak kira tua atau muda. Contohnya jika anda seorang jurujual sesuatu produk. anda akan sering berhadapan dengan soalan yang anda rasa sepatutnya mereka tahu. Sedangkan mereka jujur tak tahu.

Adalah sangat penting dalam hidup ini untuk sentiasa ingatkan diri bahawa apa yang telah anda lalui sebenarnya tidak pernah sama dengan orang lain. Apa dan bagaimana anda fikir sebenarnya tidak sama dengan apa yang orang lain fikir. Apa yang anda nampak pada satu-satu perkara tidak pernah sama dengan cara orang lain. Dunia dalam kepala anda adalah dunia yang asing tidak pernah ditempuh oleh orang lain.

Jika anda sedar semua itu, kehidupan menjadi lebih bermakna dan selagi mampu bersabar dan memahami, anda sentiasa dapat memberikan khidmat terbaik pada sesiapa sahaja. 

Peluang bersabar dan berkhidmat sentiasa ada pada semua orang sebab itu hanyalah satu ujian untuk melihat siapa yang benar-benar beriman dan bertaqwa. Jika anda tak mahu ambil peluang melabur untuk saham akhirat itu, akan sentiasa ada orang lain yang akan merebutnya. 

logoblog

Boleh Like dan Share artikel ini di akaun Medsos anda. Terima Kasih sudi luangkan masa membaca artikel, Tak ada sesiapa tahu bagaimana dunia dalam kepala anda - Hanya mampu terangkan sahaja

Newest
You are reading the newest post

No comments:

Post a Comment

Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !