Jas-du-it

Jasduit - Just do it !

11 November 2024

Ini adalah tulisan tentang self-help yang panjang berjela dan paling melalut yang anda pernah baca

  Ano Nyme       11 November 2024


Manusia duduk setempat bercucuk tanam dan memelihara haiwan ternakan bermula sekitar 10 ribu tahun dahulu saja. Sebelum itu dalam jangka masa yang amat lama, selama 2 juta tahun nenek moyang manusia hidup secara berkumpulan berpindah randah. 

10 ribu tahun, tak lama berbanding tempoh manusia berada di muka bumi. Ia bererti, 90% dari sejarah kemanusiaan adalah berkisar tentang merayau dan memburu cari makan secara berkumpulan saja.

Untuk dapatkan gambaran, boleh bermula di tahun di mana anda berada sekarang, 2024. Tengok apa yang ada dan bagaimana manusia hidup, terutamanya diri anda sendiri.

Patah balik 2024 tahun

Cuba patah balik ke belakang selama 2024 tahun, bersamaan dengan tahun 1 masihi, itu zaman kegemilangan Kerajaan Rom yang ketika itu pemerintahnya bernama Kaisar Augustus. Itu juga permulaan era agama Kristian. Menurut sejarah ia merupakan tahun kelahiran Nabi Isa atau dikenali sebagai Jesus of Nazareth di barat. Agama Yahudi sudah lama bertapak ketika itu. Jarak antara nabi Musa dengan Nabi Isa adalah dalam lingkungan 1400 tahun. Semua angka yang saya sebut adalah anggaran sahaja.

Di era tahun 1 masihi juga wujud satu lagi empayar yang kaya dan berjaya di China yang dikuasai oleh Dinasti Han. Masa itu China dah maju dari segi ilmu, teknologi dan perdagangan. Hasil dagangan mereka bergerak melalui laluan sutera pergi ke India, Parsi dan Rom. Mereka amalkan fahaman Konfusianisme dalam kehidupan, pendidikan dan pemerintahan.

Ada satu lagi tamadun penting masa itu di Amerika tengah dipanggil Tamadun Maya. Mereka juga dah maju. Dah ada kelendar mereka sendiri, ada sistem penulisan, sistem pembinaan, anutan agama dan lain-lain yang unik dan tersendiri.

Sebelah Asia pula, termasuklah di kawasan kita tinggal sekarang, Hinduisme sudah berkembang maju dan jadi pegangan manusia di sebelah sini.

Ke belakang lagi 2024 tahun

Jika anda ke belakang lagi hingga tahun 2024 sebelum masihi, akan berjumpa dengan zaman hujung kerajaan Mesir tua di bawah pemerintahan secara berpusat Firaun di mana raja dianggap sebagai Tuhan. Sebutan raja sebagai Firaun sudah bermula di Mesir seribu tahun sebelum itu apabila rajanya berjaya gabungkan Mesir atas dan Mesir bawah di bawah kekuasaannya. Masa tu dah ada Piramid. Ia merupakan permulaan kepada pembentukkan ketamadunan.

Masa itu juga ada kerajaan Mesopotamia yang meliputi kawasan Iraq, Iran, Syria, Kuwait dan Turki. Tempat itu dikuasai oleh Empayar Sumerian dan Akkadian. Ketika ini mereka dah mula buat tulisan, bina sistem pengairan untuk tanaman dan dipercayai roda di cipta di sini.

Di lembah Indus (India, Pakistan) dan di China sedang bermulanya pembentukkan ketamadunan dan dinasti awal. Ringkasnya, manusia dah berkumpul, bercucuk tanam dan kembangkan konsep pertanian dan penternakan secara besar dan tersusun.

Bila manusia mula bercucuk tanam?

Berdasarkan sejarah, semuanya bermula sekitar 10,000 BCE. Sebelum tahun itu, manusia masih tak sibuk bina negara, bina empayar, jadi Raja, dakwa diri mereka Tuhan, gila kuasa dan sebagainya lagi. Manusia baru sibuk buat senjata dan peralatan untuk memburu dengan lebih cekap dan sekali sekala mereka bentuk seni dengan menconteng pada batu dan gua.

Primitif vs Moden

Zaman di mana manusia tidak menetap dengan lama, mereka bergerak dalam kawasan yang luas bergantung kepada kawasan di mana terdapatnya makanan. Sumber makanan mereka adalah apa saja yang boleh dimakan yang ada di muka bumi tempat di mana mereka tinggal. Jika nak makan daging perlu memburu dan kalau nak makan buah, sayuran atau bijirin, merayau dan ambil saja dari hutan.

Bayangkan jika anda hidup di zaman itu. Mungkin itu syurga yang paling indah di muka bumi. Tak perlu kerja keluar rumah pukul 6:30 pagi dan balik semula ke sarang pukul 7:30 malam berulang-ulang setiap hari dari muda sampai ke tua. 

Tak perlu beli rumah berhutang bank yang membuatkan diri terikat kena jadi hamba kerja sampai ke tua juga. Tak perlu minta izin PBT nak renovate rumah yang kononnya kamu dah beli tapi nak ubah suai kena minta izin juga macam rumah itu PBT yang punya.

Sebelum boleh kerja, anda terpaksa belajar di sekolah. Bermula dari umur 5 tahun, masuk pra sekolah, sambung ke darjah satu sampai darjah 6. Sambung lagi dari tingkatan 1 hingga ke tingkatan 5. Ada otak sikit boleh sambung lagi dari tahun pertama ke tahun ke 5 dapat ijazah. Jika pandai lagi, sambung lagi ke peringkat PhD selama 3 ke 5 tahun, malah boleh habis sampai 5 ke 7 tahun bergantung kepada kursus yang anda buat.

Bayangkan manusia habiskan selama lebih 20 tahun belajar dan kemudiannya keluar untuk jadi hamba kerja. Kejam, keras tapi itulah kenyataannya. Mohon jangan sentap jika anda terasa. Memang begitulah kehidupan yang jadi kebanggaan manusia sekarang.

Majoriti besar manusia yang ada dimuka bumi, terutamanya sekarang diatur perjalanan hidup mereka samada secara rela dan sengaja atau secara paksa tanpa disedari. Kurus yang dipelajari, sistem pendidikan yang anda ikuti, kemahiran yang diperolehi, semuanya disusun sedemikian rupa untuk pihak yang bakal menggunakan anda di atas sana. Mereka atur kehidupan manusia untuk mencapai agenda mereka. Untuk mencapai projek membentuk dunia berdasarkan khayalan keinginan mereka.

Semua itu tidak wujud di zaman tok nenek moyang manusia yang saya sebut di atas tadi. Tiada sesiapa yang susun atur dan tentukan bagaimana anda perlu hidup. Tiada jurutera, tiada pakar matematik, tiada cikgu bahasa, tiada drebar dan tiada terma pekerja dalam hidup ketika itu. Malah soalan 'kamu kerja apa?' adalah sesuatu yang sangat asing bagi mereka.

Mana bagus, zaman primitif atau zaman moden?

Terlajak jauh apa yang nak saya ceritakan di sini. Berbalik semula ke tujuan asal cerita cara hidup manusia yang berkumpul dan merayau untuk memburu zaman dahulu sebagai cara hidup mereka.

2 juta tahun jadi pemburu

Manusia zaman itu perlu fokus untuk hidup. Mereka sentiasa berhadapan dengan kemungkinan maut sejak dilahirkan sehinggalah dewasa. Tempoh jangka hayat manusia zaman itu hanya sekitar 45 tahun, dalam 100 orang yang dilahirkan, hanya dalam 26 ke 43 orang sahaja yang berjaya capai umur 45 tahun. Dan jika anda mampu capai umur 45 tahun, anda akan ada peluang untuk terus hidup lagi sehingga ke umur 70 tahun.

Banyak cara untuk membuatkan anda mati. Penyakit adalah salah satu dari cara mudah. Silap makan, atau cedera ketika cari makan. Kena serang binatang buas juga boleh jadi punca mati. Begitu juga dengan serangan puak lain sebab berebut kawasan boleh buat anda mati.

Semua itu buatkan tok nenek moyang perlu peka terhadap apa saja perkara yang belum pernah mereka temui atau hadapi. Untuk semua perkara atau benda yang sudah biasa, mereka boleh abaikan sebab dah tahu tak bahaya dan sudah berjaya dikuasai.

Kenapa saya cerita perkara itu?

Sebab nak beritahu, kenapa anda sentiasa tak hargai semua benda atau perkara yang sudah dimiliki atau dikuasai. Anda lebih cenderung untuk beri tumpuan pada perkara atau benda yang masih belum jadi milik anda lagi. 

Itu jawapan kenapa bila dah kahwin, anda lebih suka tengok perempuan lain yang belum lagi jadi isteri anda. Itu juga punca bila dah dapat kereta Honda Accord akan mula teringin nak beli BMW pulak dan berterusan mahukan apa saja benda yang anda belum dapat sehingga maut datang menjemput.

Untuk sedapkan perasaan, anda namakan itu sebagai impian .. 

Mahu apa yang tiada

Semua orang ada impian. Dia sering mengidam untuk dapatkan apa yang dia tak ada. Ia merupakan satu adaptasi kecenderungan untuk peka terhadap memerhati benda baru yang bukan dibawah kekuasaan atau miliknya lagi seperti yang saya terang kan di atas. Kalau zaman dulu dia berwaspada terhadap semua benda baru sebab ia mampu membunuh, sekarang manusia waspada kepada semua benda baru sebab dia menyeronokkan dapat hilangkan kebosanan terhadap semua benda yang dia dah ada.

Ramai yang tak perasan bahawa apa yang dia miliki sekarang, merupakan segala benda yang suatu masa dulu hanya ada di dalam bayangan impian sahaja. Tapi nak buat macam mana, memang manusia begitu setiap kali dapat apa yang dia mahu, sebulan dua dia akan lupakan dan mula cari benda baru pulak.

Cuba ambil masa sejenak lihat semua yang anda miliki di dalam rumah atau di luar rumah sekarang. Lihat segala harta benda yang anda ada dan fikirkan semula saat anda dambakan kesemua itu suatu masa dulu. Anda tentu ingat ketika kecil dulu banyak perkara yang terlekat dalam kepala lalu anda berazam untuk dapatkannya suatu hari nanti.

Apa impian anda

Bila dah tahu memang begitu sifat anda secara semula jadi, elok pergunakan saja sebaik mungkin. Anda hanya perlu rajin lihat, baca, lawat, jumpa sebanyak mungkin perkara baru. Ini akan berikan idea untuk anda pilih impian selanjutnya. Kecekapan untuk nampak benda baru yang belum anda kuasai memang dah ada sejak dulu, jadi tak perlu nak berlatih bab itu.

Elakkan diri dari pergi tempat yang tak baik atau berkawan dan jumpa orang yang tak baik. nanti anda akan bina impian yang tak ada manfaat pulak.

Dulu saya sering mengidam nak jadi usahawan yang ada pendapatan secara berterusan tanpa perlu berada di tempat kerja. Mahu ada cukup duit untuk jalani kehidupan yang saya mahu tanpa perlu terikat pada kerja. 

Untuk bina idea tersebut, untuk selami bagaimana rupanya impian itu, saya mula berkawan dengan ramai orang yang tak makan gaji. Tengok gaya hidup mereka dan apa yang mereka ada serta bisnes apa yang mereka buat. Begitulah berterusan dan akhirnya memang saya terjun jadi usahawan juga akhirnya.

Point nya kat sini, punyalah panjang cerita dari awal di atas sana adalah nak bagi tau, tentukan apa yang anda mahu dan mula bergerak ke arah itu. Ia tidak susah tara mana pun asalkan anda ada impian dan dapatkan maklumat tentang impian tersebut dengan lebih jelas. Cara bagaimana nak dapatkan impian itu akan datang sendiri, insyaallah.

logoblog

Boleh Like dan Share artikel ini di akaun Medsos anda. Terima Kasih sudi luangkan masa membaca artikel, Ini adalah tulisan tentang self-help yang panjang berjela dan paling melalut yang anda pernah baca

Previous
« Prev Post

No comments:

Post a Comment

Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !