Saya ada seorang kawan yang memiliki sebuah rumah teres di hujung sudut tepi atau biasa disebut ‘corner lot’, maksudnya dia ada kemampuan yang lebih baik dari mereka yang memiliki lot tengah. Dia juga memiliki sebuah kereta BMW 5 series, selain dari 2 buah kereta tambahan iaitu sebuah Myvi dan sebuah Alphard.
Dari gambaran apa yang dia miliki itu, anda tentu dengan mudah boleh kategorikan dia sebagai seorang yang berada. Jika dia dapatkan semua itu secara hutang sekalipun; yang memang biasa diamalkan di zaman di mana semua hartanah adalah milik pihak bank, dia tetap masih berada dalam golongan yang punya pendapatan tinggi. Tak ada bank yang akan beri pinjaman besar sebegitu jika dia tidak punya pendapatan tetap yang besar.
Dia juga mempunyai seorang isteri serta dikurniakan seramai 2 orang anak. Dia menggajikan seorang pembantu rumah dari Indonesia untuk kerja-kerja selenggaraan rumah dan masak memasak supaya isteri tak perlu buat apa-apa kerja rumah. Secara keseluruhan, rumah itu didiami oleh seramai 5 orang sahaja.
Pada pendapat anda, adakah semua benda yang disenaraikan di atas tadi diperlukan oleh kawan saya itu?
Kalau anda berfikir seperti seorang 'production planner' di sebuah kilang, saya yakin anda akan rumuskan semua kelengkapan dan kemudahan yang dia ada adalah 'underutilisation'. Orang kampung kata kurang pakai, ustaz kata membazir. Tapi majoriti dari masyarakat moden sekarang akan berkata, 'best nyer!'.
Nak beli Alphard
Baru-baru ini, seorang kawan saya yang lebih sederhana kehidupannya beritahu yang dia sedang mencari sebuah Alphard atau Vellfire, bila saya sebut Alphard, ertinya samada Vellfire atau Alphard, saya sendri tak pernah ambil tahu apa yang membezakan antara 2 model tersebut, biarlah begitu.
Berbalik kepada kawan tadi, dia bertanya kalau-kalau saya ada kenal mana-mana kawan yang ada akses bagi mendapatkan Alphard recond yang ok.
Disebabkan saya memang kenal dia jenis yang sederhana, berkira dan biasanya berfikiran pragmatis, saya bertanya kenapa dia nak beli Alphard?
Adakah kenderaan yang dia ada sekarang masih tak cukup ke, itu soalan yang timbul dalam fikiran saya. Mereka sudah punyai 2 buah kereta sekarang. Kedua-dua buah kereta tersebut dan habis bayar tapi masih elok dan berfungsi dengan cekap. Sebuah untuk dia dan satu lagi untuk isterinya.
Alasannya untuk mendapatkan sebuah Alphard adalah disebabkan keluarga mereka sudah besar. Mereka berdua ditambah dengan 3 orang anak yang sedang membesar membuatkan kenderaan sedan biasa yang ada menjadi terlalu sempit. Walaupun kereta sedan memang muat untuk 5 orang tapi atas faktor keselesaan dia rasa perlu ada Alphard.
Kami berbincang secara keperluan Alphard dari segi praktikal. Soalan pertama adalah berapa kali dia rasa Alphard tersebut betul-betul diperlukan. Atau lebih tepat lagi berapa kali dia akan diganggu oleh perasaan sempit itu dalam tempoh setahun.
Setelah mencongak kami sepakat untuk merumuskan dalam setahun dia perlukan Alphard tersebut sebanyak sekurang-kurang 4 kali sahaja seperti berikut.
- Ketika raya puasa
- Ketika raya haji
- Ketika cuti sekolah
- Ketika mana-mana yang sesuai untuk makan angin di dalam negara
Semuanya bertujuan untuk balik kampung atau bercuti yang mana biasanya setahun sekali sahaja.
Bayangkan kos untuk menyara Alphard tersebut semata-mata untuk mendapatkan keselesaan yang sebanyak 4 kali sahaja setahun.
Kami mula mencongak kos mendapatkan Alphard recond.
- Bayaran muka RM20,000
- Bayaran bulanan selama 7 tahun RM2,000
Tanpa mengira kos bayaran muka, dia terpaksa mengeluarkan wang sebanyak RM24,000 setahun. Seandainya dia hanya menyewa sahaja Alphard atau kenderaan yang seumpamanya, kos adalah seperti berikut.
- Raya puasa 5 hari (RM600x5=RM3,000)
- Raya haji 3 hari (RM600x2=RM1,200)
- Cuti sekolah 5 hari (RM3,000)
- Jalan-jalan 3 hari (RM1,200)
Dengan membuat perbandingan jumlah keseluruhan menyewa di atas iaitu sebanyak RM8,400, cuba bandingkan dengan kos yang terpaksa dikeluarkan untuk membeli sebuah Alphard. Ternyata dengan hanya menyewa anda dapat menjimatkan kos yang cukup banyak.
Jadi kenapa perlu beli Alphard.
Brainstorming antara saya dengan kawan itu membuatkan kami berfikir panjang terlebih dulu sebelum simpan impian nak beli Alphard, atau apa saja benda yang popular dibeli oleh orang ramai di luar sana hasil dari promosi dan aktiviti pemasaran berkesan para penjual.
Memang kawan itu tak jadi beli Alphard manakala saya pula rasa lega sebab berjaya hilangkan tekanan nak beli Alphard juga seandainya dia jadi beli.
Sebab lain beli Alphard
Dalam era moden di mana manusia kaitkan siapa mereka berdasarkan apa yang dimiliki dan digunakan, pembelian barang atau perkhidmatan bukan sekadar buat menyelesaikan masalah dan keperluan. Tapi ia juga merupakan satu usaha untuk memberikan isyarat kesamaan, satu geng.
Kasta pemilik Alphard ada lingkungan jaringan mereka sendiri. Jika anda tak ada apa yang semua ahli kumpulan ada, akan berlaku keciciran dalam anyak aktiviti. Itu yang memberi tekanan untuk anda berusaha juga dapatkan Alphard.
Orang yang ada Alphard juga dilihat berada dalam kasta yang berbeza dari mereka yang tak ada. Yang pasti anda bukan lagi duduk di kalangan kasta rendah B40. Itu juga satu dorongan untuk memilikinya sebagai lambang kejayaan.
Semua persepsi di atas asalnya adalah ciptaan propaganda pemasaran yang nampaknya sangat berjaya dalam membina persepsi manusia di muka bumi sekarang untuk berfikir apa yang para ahli pemasaran mahu manusia fikir.
Bagi saya semuanya adalah permainan minda. Ia adalah tipu daya dunia sahaja yang tidak memberikan gambaran kepada kehidupan sebenar yang baik. Hanya sebilangan kecil sahaja manusia yang berjaya lepaskan diri dari tipu daya dunia. Jadi pastikan anda sentiasa semak setiap keputusan yang diambil supaya ia tidak semata-mata hanya satu ikut-ikutan.
Tidak perlu mengikut apa yang orang lain buat. Takut-takut nanti jika mereka terjun masuk lubang najis, anda akan turut sama terjun.
No comments:
Post a Comment
Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !