Jas-du-it

Jasduit - Just do it !

26 December 2024

Antara hidup lama dengan hidup berkualiti - Mana satu pilihan anda?

  Ano Nyme       26 December 2024


Hari Isnin baru-baru ini, lelaki paling tua di dunia berdasarkan Guinness World Records (GWR), John Tinniswood meninggal dunia di rumah jagaan orang tua di Southport, England. Tinniswood dilahirkan pada 26 Ogos 1912. Dia berumur 112 tahun ketika meninggal dunia.

Secara ringkas, dia melalui dan menyaksikan banyak peristiwa penting dunia berlaku. Yang bermula dengan meletusnya Perang Dunia pertama yang berlaku dari tahun 1914 ke tahun 1918, ini merubah keadaan politik dan sempadan dunia. 

Dari situ juga bermulanya kejatuhan empayar Uthmaniyah yang bertahan selama 600 tahun dan akhirnya kecundangan selepas kalah dalam perang dunia pertama itu. Dan tak lama kemudian, pada tahun 1922,  negara baru yang bernama Republik Turki menggantikan nama kerajaan Uthmaniyah di tubuhkan oleh Mustafa Kamal Ataturk.

Dia juga melalui peristiwa kejatuhan Empayar Rusia dan tertubuhnya Soviet Union pada tahun 1922 dan bermulanya penyebaran ideologi komunisme secara meluas di seluruh dunia. Dia juga menyaksikan peristiwa masalah ekonomi yang amat teruk bermula di Amerika merebak ke seluruh dunia. Tahun 1949 juga melihat penubuhan negara Komunis China dibawah Mao Zedong.

Kemudian pada tahun 1935 tercetus pula perang dunia kedua hingga tahun 1945. Dari situ USA dan USSR mula menjadi 2 kuasa besar dunia dan konflik atau perang dingin bermula antara kedua kuasa besar dunia itu sehingga ke tahun 1991 di mana USSR tersungkur dan pecah kepada 15 negara yang merdeka dari Soviet Union.

Bermula dari situ Amerika dan sekutunya mula mencipta musuh mainan bagi menipu dunia timur tengah terutamanya dalam usaha menguasai sumber tenaga yang ada banyak di sana. Direkanya Al-Qaeda, dirancang serangan bom berani mati pada 11 september untuk melancarkan lagi alasan kekuasaan mereka di timur tengah.

Pada tahun 2008 pula berlaku masalah kewangan global yang teruk dan akhirnya pada tahun 2019 pula berlaku wabak Covid-19 di seluruh dunia.

Itu antara senarai peristiwa penting yang berlaku sejak tahun 1912 di mana tahun John Tinniswood dilahirkan sehinggalah tahun 2024 di aman dia meninggal. Memang banyak sungguh dia lalui. Cuma tak tahu di mana dan apa berlaku pada dia dan kehidupannya ketika semua peristiwa tersebut terjadi.

Yang paling menarik adalah melihat perubahan teknologi dan cara manusia melakukan aktiviti hidup mereka seperti berkomunikasi, bekerja, mengembara dan sebagainya. Dia dapat tengok semua perubahan itu dan sudah tentu turut sama merasainya dan membuat perbandingan kehidupan sebelum dan selepas perubahan.

Rahsia panjang umur

Bila ditanya apa rahsia dia boleh panjang umur, dia sendiri beritahu yang dia tak tahu. Pendapatnya adalah semua orang terpaksa terima sahaja apa yang dia dapat samada hidup lama atau hidup umur pendek. Tak boleh nak buat apa-apa untuk ubah semua itu.

Cuma pesannya pada orang muda adalah sentiasa buat semua perkara secara sederhana. Makan, minum, main, kerja, jalan, dan lain-lain seumpamanya perlu dibuat secara sederhana. Jika berlebihan, anda akan merana.

Dalam perkara lain seperti membantu, mengajar, atau mengajar, buatlah secara bersungguh-sungguh atau jangan buat langsung kalau nak main-main. Itu pesan penting yang saya dapat faham kenapa dia berikan nasihat sedemikian.

Saya boleh rumuskan yang dia dapat rasa bahawa mengumpul kebendaan, melayan nafsu serakah makan minum dan nikmat hidup tidak bawa kemana-mana dalam membentuk kualiti hidup anda. Buat semua itu sekadar keperluan saja jangan berlebihan. Sebaliknya amalan jiwa yang terbentuk dalam usaha membina pengetahuan dan kefahaman diri, kepuasan dalam memberikan sumbangan kepada orang lain adalah paling utama dalam hidup.

Hidup lama vs kualiti

Saya dengar di radio BFM tadi mereka buat survey minta pendapat pendengar; antara panjang umur hidup lama dengan hidup berkualiti mana satu yang jadi pilihan.

Rata-rata memilih untuk jalani kehidupan yang berkualiti lebih utama berbanding panjang umur. Malah ramai yang tak mahu hidup lebih lama dari orang lain. Untuk rakyat Malaysia, kalau capai umur sampai 80 tahun ke atas dah dikira satu bonus yang besar. Sekalipun anda masih sihat dalam umur tersebut, tetapi majoriti atau hampir semua rakan baik anda sudah tentu dah lama pergi meninggalkan anda keseorangan. Itu yang ramai tak sanggup hadapi.

Saya bersembang dengan kawan-kawan rapat, kebanyakkan dari mereka tak mahu hidup lama atau panjang umur lebih dari kebiasaan. Biarlah mati awal secara purata ikut umur rakyat Malaysia antara 70 ke 75 tahun. Masa tu ramai kawan dah tiada. Jika ditambah dengan tahap kesihatan yang buruk, ia bukanlah satu kehidupan yang berbaloi.

Buat diri saya sendiri, setiap kali merenung bebanan tanggung jawab yang perlu ditunaikan terutamanya kepada isteri dan anak-anak, kerisauan sering menyelubungi perasaan. Sering tertanya-tanya adakah esok masih ada kemampuan untuk terus memberi kepada mereka. Dalam keadaan isteri yang tak pernah lupa minta duit belanjanya setiap hujung bulan tak kira samada saya ada atau tak ada duit, ditambah lagi dengan segala keperluan hidup satu rumah terpaksa disediakan untuk semua, mati awal adalah lebih menyenangkan buat saya.

Sebab itu jika sesekali ada rasa sakit dada, atau tak sihat macam nak mati, bisikan kecil dari sudut hati sering mengalu-alukan kedatangan mati itu. Biarlah mati dalam keadaan masih lagi belum gagal memberikan apa yang ada kepada anak dan isteri dari hidup berhadapan tekanan tak dapat lagi memberi sebab semuanya sudah habis dari simpanan. Saya tak pasti jika para ayah diluar sana ada alami perasaan yang sama. 

Makna hidup berkualiti

Saya tak pasti apa yang dimaksudkan sebagai hidup berkualiti oleh para pendengar radio BFM tadi. Para DJ juga tak berikan takrifan apa yang mereka maksudkan sebagai hidup berkualiti.

Kualiti dari segi amalan mungkin berbeza antara anda dengan saya. Tapi kualiti dari segi kesihatan saya yakin semua punya fahaman yang sama. Elemen sihat wajib ada untuk jadikan kehidupan anda berkualiti. Tak guna panjang umur sampai 90 tahun tapi tempoh 20 tahun terakhir anda habis atas katil menyusahkan semua orang dari nurse, doktor sampai ke anak dan saudara mara. Itu memang satu kifarah besar jika anda orang Islam.

Ertinya, jika anda mahu hidup berbaloi, penjagaan kesihatan seperti John Tinniswood kata di atas tadi adalah wajib diberikan perhatian. Jaga makan, minum aktiviti dan semuanya secara sederhana, tak lebih tak kurang. Bersenam untuk pastikan anggota tubuh badan masih elok dipakai selagi anda masih bernyawa.

Bila dah sihat, baru masuk usaha kedua untuk jadikan hidup berkualiti. Sama macam John Tinniswood kata tadi, belajar, mengajar, bantu orang secara sepenuh hati jangan main-main atau bak kata pepatah melepaskan batok di tangga.

Saya boleh rumuskan berdasarkan apa yang Al-Quran berikan panduan kepada manusia yang percaya kepada Tuhan dan hari akhirat, untuk hidup berkualiti, atau dalam istilah Al-Quran disebut Muttaqin, anda perlu pastikan segala kewajiban anda dalam hidup ditunaikan.

Anda sendiri tahu kewajiban diri, semua orang tahu kewajiban masing-masing bergantung di mana dia berada dan siapa dirinya. Kewajiban sebagai hamba Tuhan, sebagai anak, sebagai ayah / mak, sebagai suami / isteri, sebagai kawan, sebagai jiran, sebagai ahli khariah, sebagai warga negara, sebagai abang, adik kakak, sebagai majikan / pekerja, tak lupa juga kewajiban terhadap diri anda sendiri .. setiap fungsi anda di dunia ini ada kewajiban yang perlu ditunaikan. Jadi berusahalah untuk lunaskan semua tanggung jawab tersebut. Itu kualiti namanya.

Bagaimana nak laksanakan segala kewajiban itu?

Tuhan sebut dalam Al-Quran, segala bekalan atau rezki yang dia berikan, baik masa, fizikal, mental, bakat, harta dan sebagainya, pergunakan sebaik mungkin untuk tugasan tersebut. Jika selepas digunakan, masih ada lebihan, luaskan lagi penggunaannya supaya lebih jauh. Itu hidup berkualiti.

Dan pastikan anda sedar bahawa semua itu dilakukan adalah semata-mata untuk pengabdian diri kepada Tuhan 100%. Biar apa manusia nak kata, biar tidak dihormati atau tidak dihargai atau tiada ucapan terima kasih, buat juga sebab itu tanggung jawab anda. Anda buat sebab taat kepada Tuhan. Itu kualiti.

Dengan berbuat begitu, yakin kepadaNya, anda dijanjikan kejayaan dunia dan akhirat. Moga Tuhan panjangkan umur dalam keadaan sentiasa mampu untuk jalankan kewajiban yang dipikul dalam hidup hendaknya .. amin ya Rob !

logoblog

Boleh Like dan Share artikel ini di akaun Medsos anda. Terima Kasih sudi luangkan masa membaca artikel, Antara hidup lama dengan hidup berkualiti - Mana satu pilihan anda?

Newest
You are reading the newest post

No comments:

Post a Comment

Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !