Jas-du-it

Jasduit - Just do it !

05 December 2024

Pengalaman berucap pada hari terakhir di tempat kerja yang sukar untuk dilupakan

  Ano Nyme       05 December 2024


Bagi anda yang makan gaji terutamanya di syarikat swasta, tentu dah pernah bekerja dan berhenti di lebih dari satu majikan. 

Tiap kali nak pindah tempat kerja dan berkhidmat kepada majikan baru, anda perlu terlebih dahulu letak jawatan sebagaimana syarat yang telah anda persetujui ketika menerima jawatan di awal mula masuk kerja dulu. Kena buat surat hitam putih, bertarikh, berkuatkuasa bila dan sebagainya dan perlu ditanda tangan.

Kalau jawatan anda dah disahkan, selalunya paling cepat perlu beri notis sebulan. Kalau jawatan lebih tinggi, atau syarikat yang lebih besar, perlu beri notis 2 atau 3 bulan. Semua bergantung kepada tahap pentingnya jawatan yang anda pegang dan kesannya kepada perjalanan syarikat tersebut.

Sepanjang kerja makan gaji sebelum mulakan perniagaan dulu, saya dah berkhidmat kepada lebih dari satu majikan. Kalau nak diikutkan secara keseluruhan ada lebih banyak majikan jika dicampur sekali dengan semua kerja yang tidak ada surat perlantikan, contohnya kerja dengan taukeh cina tarik kabel komunikasi yang saya buat ketika cuti belajar dan ketika habis belajar tapi tak ada kerja.

Saya fokuskan pada kerja yang formal sahaja di sini, iaitu yang ada surat perlantikan, gaji bulanan, ada kwsp dan sokso dan lain-lain kemudahan.  

Dalam banyak-banyak majikan yang pernah saya kerja, ada satu yang istimewa yang saya sangat selesa bekerja di situ. Banyak pengalaman yang diserap masuk hasil dari suasana kerja yang teratur di tempat tersebut.

Sekalipun saya suka dan selesa di situ, akhirnya saya letak jawatan juga sebab nak cuba kerja sendiri pula.

Saya kongsikan sikit pengalaman itu di bawah.

Mula kerja

Saya masuk kerja di syarikat pembuat telefon bimbit antarabangsa sebagai pembantu ‘planner’. Duduk di bawah pemantauan seorang eksekutif yang juga seorang kawan. Kawan saya itu lah yang bawa saya masuk ke situ.

Mungkin disebabkan memang dah jadi perangai saya yang suka cari jalan bagaimana dapat diringkaskan semua kerja agar jadi lebih mudah dan cekap, maka saya meloncat naik pangkat beberapa kali sehingga akhirnya, mengetuai sekumpulan 12 orang eksekutif duduk di bawah saya. Ketika itu boss saya ialah ‘Sales & Logistic Director’ yang merupakan seorang Mat Saleh berbangsa Sweden.

Kedudukan itu membawa maksud yang saya telah mengetuai keseluruhan jabatan ‘sales and operation planning’. Kawan yang bawa saya masuk dan jadi bos saya pada awal dulu telah menjadi orang bawah saya pula. Semua itu saya lakukan dalam tempoh 2 tahun saja. Saya letakkan pencapaian itu kepada amalan sentiasa berusaha untuk meringkaskan apa saja tugasan yang ada agar kalau tak jadi lebih cekap pun, kekal sama cekap tapi lebih ringkas dan mudah.. Jika anda fokus kepada usaha sebegitu, tak perlu tunggu masalah timbul baru nak buat perubahan. Anda akan sentiasa peka dan cari jalan untuk buat perubahan.

Letak jawatan

Dalam mengecapi keselesaan dan kenaikan pangkat, tiba-tiba satu hari yang damai, saya serahkan  surat letak jawatan kepada boss Mat Saleh Sweden itu. Dia ternganga sebab terkejut dan tak faham kenapa saya nak berhenti tanpa ribut atau sebarang tanda.

Dia tanya, 'kenapa?'

Saya jawab ringkas saja, 'saya nak jadi usahawan'.

Mat Sweden itu simpan surat saya selama 2 bulan secara diam tanpa ceritakan kepada sesiapapun. Setiap hari bila berselisish, dia cuba yakinkan bahawa saya perlu terus bekerja dan timba pengalaman lagi sebelum cuba jadi usahawan.

Setiap kali itulah juga saya jawab, ‘keputusan saya sudah muktamad dan tidak akan berubah lagi’

Dia sentiasa ulang jawab, ‘saya tak akan putus asa memujuk kamu’.

Akhirnya tempoh notis 2 bulan yang diperlukan sudah tiba. Hari itu saya hadir di mesyuarat seluruh jabatan yang diketuai oleh Mat Saleh Sweden itu. Ada lebih kurang 15 orang para pengurus yang majoriti terdiri daripada kawan-kawan berbangsa Cina.

Ucapan henti kerja terakhir

Hari itu Boss saya, namanya Stefan, umumkan pada semua yang itu adalah hari terakhir saya datang kerja di syarikat itu.

Semua terkejut tidak percaya dengan apa yang Stefan umumkan. Masing-masing tanya kenapa pada Stefan. Why! why! why!

Bos saya hanya menjawab ringkas ‘tanyalah sendiri pada dia, selama 2 bulan saya cuba pujuk untuk dia ubah fkiran tapi gagal!’.

Ketika itu semua mata tertumpu ke arah saya. Mereka nak dengar kenapa saya berhenti. Samada saya tak puas hati atau ada sebab lain-lain lagi. Maka saya bangun dan berikan penjelasan lebih kurang begini isinya.

  • Saya langsung tak ada masalah dalam melaksanakan tugasan di syarikat ini. Malah boss seorang yang hebat dan menaruh kepercayaan tinggi pada saya. Banyak yang telah saya belajar daripada semua orang terutamanya boss dan semua pengurus yang lain. Meninggalkan tempat yang hebat ini merupakan satu keputusan yang amat berat buat saya.
  • Namun begitu, saya ada impian yang terpendam untuk menjadi seorang usahawan, yang punya perniagaan saya sendiri. Saya teringin nak merasakan bagaimana cabarannya menjadi seorang usahawan.
  • Peluang hidup di dunia ini hanya sekali dan tempoh tamat perjalanan saya tidak ada siapa yang tahu. Mungkin sesaat lagi, mungkin sehari dan mungkin sebulan. Bagi memastikan saya tidak mati putih mata, maka saya lepaskan semua jawatan untuk buat apa yang saya idamkan.
  • Sekurang-kurangnya ketika saya tahu saya masih hidup, saya tidak sia-siakan kehidupan dengan mencuba apa yang saya inginkan dan melihat apa yang disediakan di depan sana. Jika esok saya mati, saya masih boleh rasa puas kerana saya mati dalam permulaan untuk menjadi seorang usahawan.
  • Saya tak bermaksud makan gaji itu tidak bagus, tak ada kena mengena baik atau buruk. Cuma saya ingin jadikan perniagaan sebagai cara menyara kehidupan saya dan masa itu telah tiba. Semua orang ada jalan tersendiri yang dia pilih, saya juga ada jalan saya sendiri dan ambil jalan tersebut sekarang.

Semua dengar senyap sunyi, nampaknya setiap orang seperti menghayati apa yang cuba saya sampaikan. Sebaik saja saya habis bercakap, mereka semua secara spontan tepuk tangan dengan kuat termasuk Stefan.

Saya tersenyum, rasa puas. Paling penting ucapan itu seumpama perbuatan membakar jambatan yang memungkinkan saya berpatah balik. Ia satu ucapan yang meletakkan saya dalam keadaan tiada pilihan melainkan menjayakan apa yang saya dah cakap tadi.

Itulah ucapan terakhir saya ketika makan gaji dulu. Sekarang dah lebih dari 20 tahun saya berniaga dan alhamdulillah, makan dan minum untuk saya dan keluarga masih tetap ada. memang benarlah, rezeki itu Tuhan yang berikan, tak perlu nak fikir atau nak risau sangat. yang penting berusaha buat sesuatu dengan apa yang anda ada.

logoblog

Boleh Like dan Share artikel ini di akaun Medsos anda. Terima Kasih sudi luangkan masa membaca artikel, Pengalaman berucap pada hari terakhir di tempat kerja yang sukar untuk dilupakan

Previous
« Prev Post

No comments:

Post a Comment

Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !