Jas-du-it

Jasduit - Just do it !

01 January 2025

Azam tahun 2025 - Apa yang diceritakan sama dengan apa yang sebenarnya berlaku

  Ano Nyme       01 January 2025


Setiap detik yang berlalu dalam kehidupan anda dipenuhi dengan seribu satu peristiwa yang berlaku serentak. Istilah 'seribu satu' itu pun adalah terlalu sedikit, kerana pada hakikat yang sebenar tak terkira banyaknya berlaku berbagai peristiwa setiap detik.

Semua yang berlaku, di seluruh cakerawala ini tidak anda ketahui melainkan apa yang terjadi di depan mata sahaja. Itu pun jika diberikan perhatian untuk mengarahkan segala deria kepadanya. Dalam itupun, masih ada lagi tapisan terhadap apa yang mampu dilihat dan dirasakan. Bergantung kepada setakat mana anda mampu fahami dan rasai, sebab semua itu adalah gambaran diri anda sendiri, dunia anda sendiri.

Akhir sekali, semua itu hanya bermakna apabila anda membuat satu rumusan dalam bentuk cerita. Kerana manusia hanya mengerti melalui cerita, iaitu gabungan ayat-ayat dan perkataan untuk membentuk makna yang anda dan manusia lain mampu faham. 

Sehingga ada saintis yang merumuskan bahawa dunia ini hanyalah satu cerita yang dapat difahami oleh manusia. Kalau lihat perkataan 'alam' dalam Al-Quran, ia berasal dari perkataan akar ع ل م iaitu 'tahu'. Alam ini adalah apa yang anda tahu, apa yang manusia tahu. Dan anda tahu melalui cerita yang mampu memberi makna.

Bahasa & perkataan

Saya sebut semua rentetan yang bermula dari kejadian sehingga kepada cerita sebab nak beritahu bagaimana anda melihat dan memahami sesuatu kejadian samada yang berlaku kepada diri anda sendiri atau yang anda saksikan.

Cuba bayangkan seekor anjing jantan sedang duduk bersantai di sebuah taman tiba-tiba melihat seekor anjing betina dari baka yang sama dengannya, yang sangat comel hingga menimbulkan berahi, tapi dia tak dapat buat apa-apa sebab anjing betina itu dikawal ketat oleh tuan yang membawanya keluar bersiar.

Bandingkan pula dengan seorang jejaka yang sedang melepak di bawah pokok di taman yang sama, tiba-tiba lalu di depannya seorang gadis yang sangat cantik persis bidadari sedang berjogging bersama ayah dan ibunya, gadis itu kelihatan seperti melirik matanya pada anak muda itu.

Anjing bila bertemu kawan-kawan anjing yang lain tak akan mampu menyampaikan apa yang dia dah saksikan tadi di taman. Tapi pemuda itu bila bersama kawan-kawannya dapat menceritakan semua yang dia saksikan di taman tadi dengan penuh perincian, malah boleh boleh minta kawan-kawan membantunya siasat siapa anak gadis itu sebab dia sudah jatuh cinta.

Itu yang membezakan antara manusia dengan binatang. Keupayaan memberikan nama kepada setiap benda, seperti mana yang disebut dalam Al-Quran; Adam telah diajar nama terhadap segala benda; keupayaan itu membolehkan manusia menceritakan pengalamannya kepada orang lain dengan mudah, dan manusia lain boleh ambil iktibar dari cerita tersebut.

Keupayaan berbahasa yang terbentuk dalam diri manusia sangat penting dalam menentukan tahap intelek seseorang. Dari kajian tentang keupayaan bahasa,"critical period hypothesis" mengatakan kanak-kanak perlu didedahkan kepada bahasa sejak dilahirkan sehinggalah mereka berumur 10 tahun. 

Jika anda terlepas tempoh tersebut, kanak-kanak itu akan menghadapi masalah besar dalam menjalani kehidupan. Kanak-kanak dunia internet mungkin berhadapan dengan masalah ini jika ibubapa diam membisu melayan medsos sepanjang mereka membesarkan anak-anak.

Cerita 'vs' sebenar

Tapi dalam kelebihan itu ada sedikit masalah. Bagaimana mahu pastikan apa yang anda lihat sama dengan apa yang diceritakan?

Anda boleh ceritakan sesuatu peristiwa kepada kawan, tapi ada banyak lompong kelemahan dalam cerita tersebut. Pertama, apa yang anda lihat tak semestinya apa yang berlaku. Macam yang saya sebut di atas tadi, ada terlalu banyak benda yang deria anda tak nampak. 

Kedua, anda mungkin nampak tapi pengetahuan dan pengalaman anda membuatkan cerita yang disampaikan itu tidak seperti mana yang berlaku. Mungkin ada perkataan yang disalah guna, ada nama yang disalah sebut dan sebagainya. Dan mungkin juga kemahiran anda bercerita membuatkan semua orang yang mendengar faham terbalik.

Ketiga, anda mungkin pandai berbahasa, banyak pengetahuan, dapat memberi gambaran yang sangat jelas dan terperinci, tapi yang mendengarnya pulak tidak memiliki ilmu sama tinggi dengan anda dan anda pula tak tahu bahawa mereka sebenarnya tak faham sebagaimana yang anda mahu mereka faham.

Keempat, ada sesuatu yang anda cuba sorok sebab ia tidak menguntungkan, dalam masa yang sama ada sesuatu yang lain ditokok tambah sebab ia menguntungkan. Atau anda sendiri secara tak sedar cuba menggunakan kejadian dan cerita itu untuk kepentingan diri sendiri.

Jelas sekali dalam bab bercerita dan mendengar cerita, terlalu banyak cabaran yang perlu dihadapi. Maka tidak hairanlah manusia samada suka atau tidak akan sentiasa berhadapan dengan seribu satu cabaran hidup, berpecah, bercakaran, bersengketa hanya disebabkan oleh salah atau tidak faham terhadap cerita. Semua itu tak dapat dielakkan sebab manusia sangat bergantung kepada cerita untuk hidup dan bersosial.

Untuk mengelakkan masalah, maka adalah sangat perlu untuk menyemak segala cerita yang anda dengar atau baca. Termasuklah cuba menceritakan apa yang anda nampak dan faham kepada orang lain yang turut sama nampak, untuk melatih diri meningkatkan kefahaman. 

Dengar boleh, tapi sentiasa semak sebelum jadi pegangan dan kepercayaan.

Memahami manusia lain

Tidak ada cara yang lebih berkesan dalam memahami manusia lain selain dari melalui banyak pengalaman bersosial dengan mereka. Itu yang saya sering ingatkan diri setiap kali berkawan dengan orang yang baru dikenali. Perlu beri satu tempoh masa yang mencukupi untuk memahami seorang kawan baru.

Dari semua pengalaman anda bersamanya, dari semua interaksi mendengar segala ceritanya, kemudian dibandingkan pula dengan amalannya, anda perlu membuat rumusan samada segala ceritanya perlu ditambah atau dikurangkan dari gambaran yang dia cuba sampaikan.

Contohnya jika dia kata telah berjumpa seekor biawak sebesar manusia, anda perlu tahu samada biawak yang dia lihat itu perlu dikecilkan atau dibesarkan lagi dari apa yang dia beritahu. Begitulah anda memahami seseorang.

Saya yakin setiap orang yang anda kenal, sudah ada fomula berapa diskaun perlu diberikan terhadap segala cerita yang dia sampaikan. Kebiasannya diskaun yang diberikan adalah hampir tepat.

Ada kawan-kawan yang saya kenal yang sentiasa berlebihan dalam setiap cerita yang mereka sampaikan. Orang yang tidak kenali mereka, sudah pasti akan rasa tertipu dan anggap itu disengajakan. Tapi saya yakin ia sudah jadi amalan kawan-kawan tersebut sejak dahulu akibat tidak ada sesiapa yang cuba betulkan, sehingga mereka tak perasan kesalahan dalam setiap penceritaan yang disampaikan.

Saya sendiri tak tergamak untuk berterus terang kepada kawan-kawan itu takut mereka terasa. Langkah selamat adalah dengar sahaja dan kemudian berikan diskaun yang banyak terhadap segala penceritaannya. Dengan mereka ini, untuk mudah faham adalah lebih baik bertanya fakta berbentuk ukuran, tapi kadang kala ia kelihatan seperti kurang sopan dan mungkin buatkan mereka kecil hati.

Kawan yang sebegitu saya letakkan dalam kategori 'over confident'.

Ada pula kawan-kawan yang saya terpaksa tambah besarkan apa yang dia ceritakan untuk samakan dengan keadaan sebenar. Jika dia beritahu kecil saya terpaksa faham ia sebenarnya besar, mungkin 2 kali ganda atau lebih dari apa yang dia nyatakan. Dengan orang sebegini, perlu tekankan nombor atau ukuran yang tepat bila dia bercerita supaya tak salah faham.

Orang jenis itu saya masukkan mereka dalam kategori merendah diri. Jenis ini tak ramai.

Melatih diri bersikap benar

Ini satu masalah yang sangat besar untuk kebanyakkan orang, malah satu masalah yang sering saya hadapi setiap kali bercerita. Secara sedar saya akan cuba sampaikan cerita terutamanya tentang diri sendiri dan kejayaan agar orang yang mendengarnya kagum. 

Untuk jayakan matlamat itu, semua angka dan ukuran perlu dibesarkan. Tapi anda akan rasa bersalah jika dengan sengaja berikan ukuran yang tak betul. Terang-terang itu namanya menipu. Maka biasanya anda perlu bijak menggunakan ayat dan bermain perkataan agar orang dapat salah faham dan merasakan kejayaan atau diri anda lebih besar dari sebenarnya.

Saya yakin kebanyakan manusia ada sikap sedemikian. Terutamanya dalam posting mereka di media sosial. Malah ada yang benar-benar penipu dan sengaja suka untuk jadikan orang lain yang membaca atau melihatnya rasa iri hati. Jadi, jangan ambil serius sama sekali dengan media sosial. Anggap semua itu adalah palsu tipu daya dunia. Jangan mudah tertipu.

Azam tahun ini adalah untuk sedaya upaya menguasai kemahiran dalam menyampaikan apa yang sebenarnya berlaku sehingga mereka yang mendengarnya tidak salah faham. Dalam pemasaran, jika anda berjaya melakukan perkara tersebut, separuh atau mungkin lebih dari itu, segala masalah kualiti dengan sendirinya selesai. Apa yang anda kata, itulah yang orang dapat .. itu kualiti namanya.

Itu azam tahun 2025 ! moga berjaya diamalkan, insyaallah! Selamat tahun baru untuk pembaca blog ini. Moga hidup anda sukses dunia akhirat hendaknya.

logoblog

Boleh Like dan Share artikel ini di akaun Medsos anda. Terima Kasih sudi luangkan masa membaca artikel, Azam tahun 2025 - Apa yang diceritakan sama dengan apa yang sebenarnya berlaku

Newest
You are reading the newest post

No comments:

Post a Comment

Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !