Pernah dengar nukilan dari Confucius di atas?
Kalau tak pernah, sekarang anda dah membacanya dan sudah tahu. Cuma apa sebenarnya yang dia maksudkan, tentu tidak semudah membacanya. Saya berikan kata-kata di atas dalam Bahasa Inggeris di bawah yang mungkin lebih biasa ditemui dalam penulisan.
"Signs and symbols rule the world, not words nor laws.”
― Confucius
Ayat itu saya jumpa dalam satu buku tebal yang membuat analisa tentang Al-Quran secara perkataan demi perkataan dengan menggunakan Al-Quran itu sendiri sebagai kamus dan pemberi makna. Satu buku yang tersangat menarik, khas hanya untuk mereka yang berani melanggar larangan tradisi untuk elakkan diri mengkaji Al-Quran tanpa berguru.
Sejak bertemu dengan kata-kata itu, ia melekat dalam kepala sebab saya sentiasa cuba memahami apa yang mahu disampaikan oleh Confucius tentang tanda dan simbol yang menguasai dunia. Rasa macam faham, tapi mungkin tak faham. Sehinggalah beberapa kejadian yang akan saya ceritakan di bawah.
Lampu isyarat tundukkan manusia
Beberapa hari yang lalu saya memandu kereta balik ke rumah ikut jalan biasa dari Shah Alam potong ikut jalan belakang masuk ke USJ. Kebiasaannya jalan itu agak lenggang kecuali di persimpangan lampu trafik kawasan taman perindustrian teknologi tinggi Subang. Selepas dari situ, semuanya lancar sehinggalah ke hujung USJ menuju ke Puchong.
Hari itu, jalan jem bermula dari USJ 5 lagi. Kereta beratur panjang dan bergerak sikit kemudian berhenti dan begitulah seterusnya dalam tempoh masa yang lama. Saya cuba menduga apa sebenarnya yang ada di depan sana, mungkin ada berlaku kemalangan.
Setelah bergerak perlahan-lahan dalam tempoh masa yang meruntun jiwa, akhirnya punca sebenar kelihatan. Lampu trafik di USJ 12 menjadi punca kenapa berlaku jem yang amat panjang luar dari biasa. Saya rasa lampu itu telah alami kegelongan sebab hanya membenarkan beberapa buah kenderaan saja melaluinya kemudian bertukar ke warna merah semula.
Kejadian itu membuat otak saya berfikir, betapa hebat lampu dan tiang yang tidak bernyawa dan tidak punya apa-apa kuasa, tiada perasaan, tiada kesedaran, bukan sesuatu yang hidup, dapat mengawal semua manusia di dalam kenderaan yang banyak itu, yang bijak belaka, yang punya akal dan kesedaran, ada perasaan, ada kehidupan, tetapi taat dan akur kepada lampu isyarat dengan penuh kesabaran.
Saya yakin semua yang berhadapan dengan keadaan itu sedar bahawa lampu itu sedang gelong, lampu itu telah menyusahkan dan membuang masa mereka, taat kepadanya adalah sesuatu yang pelik, tapi mereka tetap putuskan untuk kekal taat secara berjemaah seperti semua yang lain. Tanda dan simbol yang sepatutnya dipancarkan oleh lampu itu telah sesat dari jalan yang sepatutnya, tetapi ia kekal dituruti.
Beri isyarat tapi tak masuk
Kejadian kedua ini biasa berlaku pada semua orang yang biasa memandu kenderaan di jalan raya. Yang paling kerap terjadi adalah pemandu yang masuk simpang tanpa memberikan lampu isyarat mahu membelok terlebih dahulu. Ini antara perkara yang paling dibenci oleh hampir semua pemandu di atas jalanraya. Anda jadi marah sebab merasakan jika dia dari awal berikan tanda isyarat nak masuk, tentu dari awal tadi anda dah dapat keluar simpang.
Amalan tak bagi signal di atas sering berlaku. Tapi kali ini, saya mengalami keadaan terbalik yang jauh lebih membahayakan. Pemandu kenderaan yang berikan isyarat tanda nak masuk simpang tapi ternyata dia tidak mengikuti apa yang di-isyaratkannya.
Saya sedang menunggu di kepala simpang, mahu ke kanan dan memerhati agar kenderaan kosong untuk keluar. Ada sebuah lori sedang bergerak perlahan dan kelihatan dia memberikan isyarat mahu masuk ke kiri. Jadi itu petanda yang saya boleh keluar dari simpang tersebut memandangkan tiada kenderaan lain di belakangnya.
Saya mula bergerak sikit ke depan sementara lori itu makin menghampiri simpang. Sebaik saja saya mahu tekan maju ke depan lagi, tiba-tiba lori itu teruskan saja tanpa memesong masuk ke simpang itu. Tersirap darah terkejut, nasib baik sempat tekan brek. Saya perhatikan pemandu lori itu sedang leka dengan bergaya berbual di telefon bimbitnya.
Peristiwa itu membuatkan saya yakin bahawa rasa sesal selama ini kepada pemandu yang masuk simpang tapi tak berikan isyarat tak diperlukan. Sikap tunggu terlebih dahulu yang kenderaan di depan benar-benar belok secara fizikal baru yakin yang dia mahu membelok adalah sikap yang betul dan selamat samada dia berikan signal atau tidak.
Sebab kebanyakan manusia memang suka berikan isyarat sebagai petanda dia melakukan sesuatu atau sebagai pancaran identiti dirinya, tetapi dia sebenarnya tidak betul-betul mahu amalkan apa yang dia isyaratkan.
Tanda dan simbol
Saya mendapat satu kefahaman baru terhadap apa yang Confucius mahu sampaikan. Manusia yang dikatakan berada dalam dunia beradab sebenarnya sentiasa di kuasai oleh tanda dan simbol. Bukanlah kata-kata atau hukum yang menguasai manusia pada dasarnya.
Ia dimulakan dengan idea, kemudian kata-kata, selepas itu hukum dirangka dan akhirnya simbol dan tanda akan dibentuk mewakili semua itu. Dan akhirnya simbol dan tanda melekat hingga ke anak cucu sekalipun ia sudah tidak relevan dan tidak membawa makna asal di mana kali pertama ia direka satu ketika dahulu.
Kaum elite, penguasa dan pemerintah di atas tahu semua perkara ini, sudah menjadi darah daging mereka keturunan demi keturunan untuk menggunakannya. Merekalah yang merangka segala hukum dengan kata-kata hebat kemudian berikan simbol kepada semua kata-kata dan hukum tersebut supaya rakyat atau manusia bawahan mengikutinya setiap kali terserempak dengan simbol dan tanda yang diberikan.
Tetapi anda sendiri dapat perhatikan dalam masa yang sama mereka jugalah yang melanggar dan tidak mematuhinya. Ia adalah ciptaan untuk manusia di bawah ini. Agar terus diperbodohkan oleh segala simbol dan tanda yang dicipta oleh mereka di atas.
Ia berlaku dalam kehidupan seharian, dalam politik, dalam agama dan di segenap sudut kehidupan. Manusia dek sekian lama dilatih untuk memahami dan taat pada tanda dan simbol, sehingga akhirnya menjadi amat mudah diperbodohkan oleh perkara itu. Sejak dari kecil manusia beradab dibesarkan dengan pendedahan kepada tanda dan simbol.
Melihat biawak melintas, ada lah satu petanda. Melihat warna kuning ada petanda dan maknanya, melihat, garisan 3 baris di dahi, melihat kain terlilit kemas pada kepala, melihat selembar kain menutup mulut dan hidung, melihat kalungan bunga pada perdu akar pokok, semua adalah satu simbol dan tanda dan seribu satu macam lagi yang menguasai tindakan manusia.
Semua itu membuatkan saya terfikirkan ayat berikut dalam Al-Quran di surah Al-Baqarah ayat 177:
۞ لَّيْسَ ٱلْبِرَّ أَن تُوَلُّوا۟ وُجُوهَكُمْ قِبَلَ ٱلْمَشْرِقِ وَٱلْمَغْرِبِ وَلَـٰكِنَّ ٱلْبِرَّ مَنْ ءَامَنَ بِٱللَّهِ وَٱلْيَوْمِ ٱلْـَٔاخِرِ وَٱلْمَلَـٰٓئِكَةِ وَٱلْكِتَـٰبِ وَٱلنَّبِيِّـۧنَ وَءَاتَى ٱلْمَالَ عَلَىٰ حُبِّهِۦ ذَوِى ٱلْقُرْبَىٰ وَٱلْيَتَـٰمَىٰ وَٱلْمَسَـٰكِينَ وَٱبْنَ ٱلسَّبِيلِ وَٱلسَّآئِلِينَ وَفِى ٱلرِّقَابِ وَأَقَامَ ٱلصَّلَوٰةَ وَءَاتَى ٱلزَّكَوٰةَ وَٱلْمُوفُونَ بِعَهْدِهِمْ إِذَا عَـٰهَدُوا۟ ۖ وَٱلصَّـٰبِرِينَ فِى ٱلْبَأْسَآءِ وَٱلضَّرَّآءِ وَحِينَ ٱلْبَأْسِ ۗ أُو۟لَـٰٓئِكَ ٱلَّذِينَ صَدَقُوا۟ ۖ وَأُو۟لَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلْمُتَّقُونَ ١٧٧
"Bukanlah perkara kebajikan itu kamu menghadapkan muka ke pihak timur dan barat, tetapi kebajikan itu ialah berimannya seseorang kepada Allah, dan hari akhirat, dan segala malaikat, dan segala Kitab, dan sekalian Nabi; dan mendermanya seseorang akan hartanya sedang ia menyayanginya, - kepada kaum kerabat, dan anak-anak yatim dan orang-orang miskin dan orang yang terlantar dalam perjalanan, dan kepada orang-orang yang meminta, dan untuk memerdekakan hamba-hamba abdi; dan mengerjanya seseorang akan solat serta menunaikan zakat; dan perbuatan orang-orang yang menyempurnakan janjinya apabila mereka membuat perjanjian; dan ketabahan orang-orang yang sabar dalam masa kesempitan, dan dalam masa kesakitan, dan juga dalam masa bertempur dalam perjuangan perang Sabil. orang-orang yang demikian sifatnya), mereka itulah orang-orang yang benar (beriman dan mengerjakan kebajikan); dan mereka itulah juga orang-orang yang bertaqwa." - Q2:177
Anda boleh juga merujuk kepada surah Al-Munaafiquun ayat pertama.
Cuba lihat di cermin belakang kereta ramai orang yang memaparkan berbagai ayat dan pengakuan yang boleh dilihat sebagai satu simbol dan tanda yang memberi isyarat siapa pemandu di dalamnya, tapi tindakan dan perbuatan mereka langsung tidak menggambarkan apa yang di-isyaratkan oleh semua simbol dan tanda tersebut.
Ayat Q2:177 di atas terang-terang menekankan bahawa isyarat tidak memberi apa-apa makna sehinggalah ia benar-benar dilakukan. Sama juga pada ayat Q63:1 tadi, setakat sebut di mulut tidak semestinya ia benar.
Ada yang buat upacara penyerahan cek duit sebesar meja makan, paparkan gambar pakai kasut but meredah air dan lain-lain seumpamanya tidak punya apa-apa makna yang membuktikan satu kebaikan telah dilakukan.
Saya sering berjogging melalui sebuah rumah di taman yang sebelah rumah itu ada sebatang pokok yang perdu akarnya besar, ada ranting berjuntai dari atas turun ke bawah dan suasananya redup sekali. Di tengah pokok itu penuh dengan kalungan bunga baru dan lama. Saya boleh ambil faham bahawa penghuni rumah sebelah pokok itu kuat amalan dan kepercayaan agamanya. Tapi itu hanyalah isyarat yang dia berikan. Adakah dia benar-benar percaya di dalam dadanya dan pada segala perbuatannya?.
Dulu ada gambar viral seorang pemuda sado selfie bersama kumpulannya berjuang menghampiri Hajarul Aswad untuk melakukan ciuman. Dari gambar itu dia memberikan isyarat kebaikannya dan kesungguhan mendekatkan dirinya kepada Tuhan dengan cubaan mencium batu hitam tersebut. Adakah dia benar-benar seperti isyarat yang disampaikan?
Saya lihat satu ketika dahulu seorang penceramah dengan seribu satu janji kepada rakyat Malaysia dihamburkan di atas pentas dan semua percaya termasuk saya sendiri. Adakah anda lihat penceramah itu benar-benar laksanakan isyarat yang dia telah sampaikan ketika beraksi di pentas ceramahnya dulu?
Simbol dan tanda memang dapat menipu manusia, dan memang sejak dahulu kala digunakan untuk satukan, atau takutkan manusia, tetapi hanyalah untuk manusia, anda tak boleh tipu Tuhan dengan bermain simbol dan tanda.
Tanda & simbol dalam pemasaran
Sifat manusia yang amat mudah dikuasai oleh segala tanda dan simbol diguna pakai oleh penggiat pemasaran dengan meluas. Begitulah manusia dikuasai oleh tanda dan simbol dalam kehidupannya dari awal hingga akhir. Bukan saja ahli pemasaran, malah scammer juga tahu semua kelemahan manusia pada simbol dan tanda ini.
Pakaian berjenama, cincin di jari, potongan rambut, janggut sejemput, kereta berkuasa tinggi atau berprestij, rumah, perabot dan seumpamanya boleh kelabukan akal manusia untuk ditipu dengan mudah.
Industri menipu ini berjaya megaut duit orang ramai di negara kita dengan jumlah yang amat banyak. Tahun lepas saja sebanyak RM 53.34 Billion, sama dengan 3% GDP negara. Itu laporan tentang jumlah duit yang para scammer berjaya kaut dari rakyat Malaysia.
Dalam media sosial tanda dan simbol ini digunakan secara meluas dan rancak. Peluang diberikan kepada semua orang untuk menggunakannya sebagai isyarat menyatakan identiti. Di gambar profile, anda boleh pilih kalungan bendera hijau umpamanya, dan anda jadi pejuang isu alam sekitar.
Tanda like, follow, dan seribu satu ikon lagi direka untuk teruskan kelekaan manusia pada tanda dan simbol supaya kebaikan dan tindakan sebenar makin menjauh dari manusia sehinggalah dibangkitkan semula di padang mahsyar nanti dan ternyata syaitan membuktikan sumpahnya untuk sesatkan anak-anak Adam dilaksanakannya dengan jaya.
Hanya dengan mengelirukan manusia terhadap simbol dan tanda sehingga tidak dapat lagi bezakan dengan amalan dan tindakan, manusia akhirnya leka dan rasa amalan dan sumbangannya terhadap kebaikan telah melayakkan dirinya pahala sebesar gunung uhud di akhirat nanti.
Adakah simbol dan tanda itu salah?
Sudah tentu tidak, malah ia diperlukan oleh manusia dalam kehidupannya. Yang salah adalah tipu daya, kekeliruan dan seumpamanya yang terhasil dari simbol dan tanda itu sendiri yang tidak disedari oleh kebanyakan manusia.
No comments:
Post a Comment
Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !