Jas-du-it

Jasduit - Just do it !

13 February 2025

Di usia berapa anda mula tergerak untuk belajar ilmu agama yang diajar oleh para Tok Guru & Ustaz

  Ano Nyme       13 February 2025


Majoriti orang Melayu di Malaysia membawa identiti agama Islam sejak dilahirkan. Semuanya bermula sejak ayah anda pergi mendaftar kelahiran di Pejabat Pendaftaran. Anak kepada ibubapa yang  Islam secara automatik didaftarkan sebagai Islam juga.

Mungkin ramai yang tak sedar bahawa itu sekadar identiti. 'Anda' dan 'Identiti' merupakan dua perkara yang berbeza. Identiti yang anda bawa pada kad pengenalan, surat beranak dan seumpamanya itu sebenarnya milik kerajaan. Setiap negara di dunia sekarang mempunyai kerajaan yang memberikan identiti kepada setiap rakyatnya berdasarkan perundangan. 

Hakikatnya diri anda yang sebenarnya itu bukanlah milik kerajaan atau mana-mana pihak di dunia ini. Perkara atau kesedaran ini tidak disukai oleh mana-mana kerajaan pun yang mana mereka mahu semua rakyat percaya bahawa anda adalah milik mereka.

Saya mahu ingatkan bahawa anda perlu sedar, selagi anda tidak izinkan, anda bukan milik sesiapa. Anda milik diri anda sendiri, bertanggung jawab terhadap diri anda sendiri, sebaik saja kesedaran dan akal fikiran terbentuk dalam diri anda. Semua hubungan antara anda dan kerajaan adalah ikatan perjanjian suka sama suka, anytime boleh dibatalkan.

Anda juga bukan milik ibubapa, tetapi hanya dibawah tanggung jawab mereka, yang menjaga dan membesarkan anda dan pastikan anda dewasa mampu uruskan diri sendiri. Ada ikatan antara anda dan ibubapa yang setiap pihak perlu tunaikan.

Agama anutan masyarakat

Setiap orang tidak dapat memilih agama masyarakat dan ibubapa di mana dia dilahirkan. Di bawah jagaan ibubapa, jika mereka beragama Islam, maka anda akan didedahkan kepada ilmu dan amalan asas agama supaya tidak jadi janggal di dalam masyarakat.

Itulah sebab utama anda belajar tentang agama Islam, belajar baca Al-Quran, belajar solat, belajar puasa, kenal surau, kenal masjid, kenal imam dan tahu semua perkara asas berkaitan amalan agama di kalangan masyarakat. Semua itu anda buat ketika kanak-kanak bukan sebab anda memilih untuk jadi penganut agama Islam.

Jika ibubapa liberal atau free thinker sekalipun, dia tak dapat bebaskan anda dari amalan masyarakat sekeliling tempat anda dibesarkan. Dari sudut lain, boleh juga dirumuskan bahawa apa yang anda belajar dan beramal, baik agama atau budaya, berlaku atas desakan masyarakat supaya anda tidak jadi anak khariah yang janggal dan tersingkir. Manusia memang begitu, sentiasa ada ikatan saling rasa kebersamaan. Hukuman disingkir masyarakat adalah satu siksaan yang sangat besar. Perasaan itu tertanam dalam DNA anda sejak dilahirkan, malah ada pada DNA semua manusia normal.

Jika anda lahir di India di kalangan masyarakat beragama Hindu, anda tak dapat lari dari mendapat pendedahan awal terhadap agama Hindu. Jika lahir di Rome, dah pasti anda jadi Kristian, jika lahir di Nepal anda tentu seorang Buddha, jika di Kelantan, maka anda dah tentu Islam. Kemungkinan untuk ubah pegangan agama sangat nipis. Tak akan berlaku anak yang dilahirkan ibubapa Buddha pergi daftarkan anaknya sebagai Islam.

Kajian menunjukkan dalam 10% ke 25% orang akan ubah pegangan yang berbeza dari agama di mana dia dilahirkan. Itu agak tinggi, berlaku di negara yang berfahaman bebas atau sekular terhadap agama. Saya tak pasti statistik di Malaysia, tapi saya pasti jumlah orang yang lahir sebagai muslim dan ubah agama bila dewasa dah tentu sangat terpencil jarang berlaku sebab anda dikawal oleh undang-undang syariah.

Jika anda lahir sebagai muslim di Malaysia, identiti anda di miliki oleh dua institusi. Pertamanya adalah kerajaan dan keduanya Institusi di-Raja atas dasar agama dalam kad pengenalan. Kedua-dua institusi itu mahu anda kekal sebagai muslim, tiada pilihan lain. Tak boleh ubah sebab identiti itu hak mereka, tak boleh lawan sekalipun hakikatnya anda sendiri berpegang kepada doktrin Zoroastrian atau orang Melayu panggil Majusi. Lawan pun tak guna sebab anda sesekali tak boleh tukar apa yang kerajaan atau institusi agama mahu anda jadi.

Nampak tak perbezaan antara 'diri anda sendiri' secara hakikatnya, berbanding diri anda sebagai 'identiti pendaftaran'. Tentu anda pernah baca maklumat, jika jumpa kad pengenalan atau pasport, sila serahkan kepada pemiliknya iaitu kerajaan, dia tak suruh serahkan kepada orang dalam kad pengenalan tu.

Siapa anda sebenarnya

Jika anda sedar bahawa anda bukanlah identiti yang kerajaan berikan tanpa rela, maka anda perlu mencari siapa diri anda, mula bertanya anda milik siapa, siapa yang jadikan, siapa yang tentukan hidup dan mati anda, kenapa anda diwujudkan dan seribu satu soalan lagi.

Semua itu satu soalan yang besar tetapi malangnya ramai yang tak pernah tanya dan mencari jawapan. Sebab utama adalah dia tak dapat keluar dari diikat oleh identiti yang dia bawa selama ini. Dia yakin dan percaya semua soalan itu sudah dijawab oleh institusi yang memiliki identiti dirinya. Dan itulah yang dimahukan oleh institusi yang memiliki identiti anda.

Ramai percaya 100% bahawa dia adalah apa yang di nyatakan dalam identiti kad pengenalan dan surat beranaknya. Apatah lagi kerajaan dan institusi yang memiliki identiti anda sangat giat mengawal segenap penjuru undang-undang untuk kekalkan keadaan itu. Identiti yang anda pegang itu adalah satu aset bagi mereka. Keupayaan untuk pastikan anda percaya yang anda adalah identiti itu dan terus kekal begitu amat penting buat mereka. Ada nilai ekonomi dan politik pada identiti tersebut.

Berbeza dengan orang Islam, penganut agama lain di Malaysia diberikan kebebasan terhadap agama anutan dan kepercayaan mereka. Kerajaan tidak ambil identiti spiritual dan kepercayaan yang bukan Islam pegang. Identiti fizikal mereka saja dipegang dan identiti spiritual mereka bebas. Kesempatan itu direbut oleh orang lain selain kerajaan untuk memiliki identiti spiritual anda, biasanya ia menjadi milik ketua-ketua agama, yang berada di bawah institusi agama masing-masing. 

Banyak negara hanya mahu memiliki identiti fizikal anda sahaja, kepercayaan, bangsa, agama dan seumpamanya diberikan kebebasan. Anda bebas nak percaya agama apapun, ideologi apapun, asalkan patuh kepada undang-undang yang mengikat identiti fizikal anda tadi. 

Singapura misalnya benarkan apa saja fahaman anda, asal jangan kacau fahaman agama lain dan tidak cuba untuk paksa orang lain ikut agama anda. Sebab itu mereka tak terima Zakir Naik atau Ismail Menk. Kerajaan seperti Singapura itu bukan saja mahu anda miliki sendiri fahaman dan kepercayaan hidup anda, malah mereka mahu pastikan hak itu dipertahankan untuk setiap individu yang berada di bawah negara itu. Sebab itu orang yang kutuk, rendahkan agama lain, galakkan kebencian dan perpecahan akan disingkirkan dari Singapura.

Jika anda lihat dari sudut yang saya sebut di atas, ternyata sekular adalah lebih menarik sebab kerajaan hanya mahu mengikat identiti diri fizikal anda sahaja dan bukan apa yang anda anuti. Itu tidak berlaku di Malaysia sebab identiti agama juga dimiliki oleh kerajaan. Logo Halal, tatacara muslim mahu pergi acara non-muslim, buku yang bertentangan dengan fahaman yang dibenarkan, mazhab syiah dan seumpamanya dikawal atas nama mahu menjaga pegangan muslim dan rakyat. 

Mereka sebenarnya mahu kawal identiti yang menjadi milik mereka itu. Mereka perlu buat begitu untuk pertahankan apa yang menjadi milik mereka. Anda memang tak dapat lawan atau bantah apa aliran yang mereka pilih sebab identiti agama dalam kad pengenalan anda adalah milik mereka.

Belajar ilmu agama Islam

Oleh kerana identiti dan agama adalah milik kerajaan, maka semua aktiviti penyebaran ilmu agama dikawal dan diuruskan oleh institusi yang berkaitan. Sejak kecil anda akan hantar anak-anak belajar bab agama. Masuk sekolah ada subjek agama, dijelaskan fahaman mana yang betul mana yang salah dan apa aliran yang dibenarkan di sini, berterusan begitu sehinggalah anda tamat tingkatan 5.

Selepas itu anda dianggap sudah punya pegangan asas yang diperlukan untuk meyakinkan bahawa anda seorang penganut agama Islam.

Semua aktiviti menanam kepercayaan dan amalan itu berlaku sejak anda dilahirkan sehinggalah anda dewasa. Berlaku juga kepada agama lain tapi tidak sehebat apa yang berlaku pada agama Islam. Kepercayaan yang anda pegang adalah kepercayaan masyarakat tempat anda dibesarkan. Ia tersimpan kemas dalam kepala anda sampai bila-bila.

Jika anda perhatikan betul-betul, setiap orang serahkan fizikal dirinya kepada kerajaan, dan kepercayaannya kepada institusi keagamaan. Diri anda dan pegangan hidup anda menjadi milik kerajaan dan institusi.

Malah sistem kepercayaan yang terbina membolehkan anda rasa lega dan yakin selamat sebab anda duduk dalam kategori orang awam. Jadi hanya perlu ikut fahaman, ajaran dan fatwa para alim di atas sahaja. Ada pula sistem syafaat dari anak yang dihantar jadi tahfiz, syafaat dari ulama yang anda taat, syafaat dari sheikh mursyid dan seumpamanya. 

Sama macam niat solat jenazah, kalau tak tau siapa mati, di depan tu, anda hanya perlu niat solatkan jenazah sebagaimana yang imam kat depan tu niatkan. Mudah dan ringkas. Biar saja imam atau alim ikutan anda jawab semua hal kepercayaan dan fahaman serta amalan. Anda boleh beri tumpuan pada apa yang semua manusia lain buat, iaitu cari makan.

Kemudahan sebegitu dalam urusan kehidupan anda selepas mati ternyata jauh lebih mudah dari kehidupan di dunia. Untuk dapat hasil kerja yang bagus di dunia ini, anda perlu berusaha, belajar, gigih, tidak mudah putus asa, cuba dan cuba sehingga berjaya. 

Jika anda ada kebun buah, ketekunan dalam mengusahakan kebun itu, bermula dari awal memilih benih, tanam dan jaga setiap masa menentukan hasil yang bakal dinikmati. Perlu tahu, perlu belajar, perlu buat, perlu faham, perlu ada penglibatan sepenuhnya, 100%, seolah-oleh serahkan diri anda pada usaha itu.

Tapi kejayaan di akhirat tak seteruk itu. Tak perlu tahu, tak perlu dalami, tak perlu pastikan betul atau salah, tak perlu semak samada benar Tuhan sebut dalam Quran atau tidak, lepaskan saja kepada orang alim yang layak dan anda yakin lebih pandai dari diri anda sendiri. Sedangkan para alim itu juga sebenarnya pegang apa yang gurunya pegang, dia cuma ulang balik saja untuk disampaikan pada anda. Sebab itu dalam pengajian agama, yang sangat besar hujahnya adalah apabila disebut bahwa, 'berkata sheikh, al Fadhil, Al Alim ... bila satu ulama terkenal sebut begitu, anda tak perlu faham pun, ambil dan pegang saja.

Sambung belajar agama

Keadaan itu membuatkan majoriti besar penganut agama Islam di negara kita, malah saya lihat berlaku di seluruh negara umat Islam lain tidak pernah bertanya dan menyelidiki apa sebenarnya yang dia percaya. Majoriti hanya photocopy apa yang semua orang lain buat, insyaallah syurga menanti selepas mati nanti.

Majoriti besar kumpulan itu, anggap dah faham bab agama, tak sambung belajar, amalkan ala kadar saja selepas masuk dunia cari makan. Dia sibukkan diri berusaha untuk hidup, kahwin, dapat anak, besarkan anak-anak dan pastikan hidup di masa tuanya terjaga. Itulah yang majoriti besar buat.

Ada satu lagi kumpulan minoriti, mereka kekal sambung mendalami aliran agama. Masuk universiti dalam jurusan agama, sambung ke Tanah Arab, ambil Phd dan begitulah seterusnya balik dan masih kekal dalam aliran agama dengan menjadi ulama, atau paling rendah Ustaz. 

Mereka bukan teruskan pencarian mencari kebenaran atau membuat semakan dengan menggunakan keupayaan akal yang ada, tapi gunakan sistem yang terbentuk itu sebagai sumber cari makan. Boleh dikatakan mereka adalah ajen institusi yang memiliki identiti rakyat atau orang ramai di bawah.

Orang awam yang majoriti besar tadi menjadikan kumpulan minoriti ini sebagai imam solat jenazah yang saya sebut tadi. Niat sahaja sebagaimana yang imam niatkan.

Jujur mencari kebenaran

Ada satu lagi golongan manusia, ini kumpulan yang paling sedikit terus mencari kebenaran dengan ikhlas sebab dia nak tahu dan nak faham. Dia rasa mahu ambil tanggung jawab ke atas apa yang dipercayainya.

Kumpulan ini, cari makan tidak dengan menggunakan sistem atau institusi agama, tapi berterusan mendalami kefahaman agama. Untuk itu mereka tak boleh tidak terpaksa ikuti aliran yang tersedia di dalam sistem dan institusi agama.

Ilmu apapun, jika anda rajin belajar, gunakan akal, dan sentiasa bertanya dan buat perbandingan, asalkan memang dah ada niat mencari kebenaran, lama kelamaan anda akan jumpa mana yang benar mana yang salah.

Sebab kebenaran itu sifatnya perlu dan boleh dicabar. Jika ia memang benar, cabar lah bagaimana pun ia tetap benar. Dan jika ia tercabar tidak dapat dibuktikan benar, maka ternayata ia tidak benar, jadi ubah saja haluan dan ikuti mana yang lebih benar. Itulah anutan Nabi Ibrahim, 'hanif' sentiasa cenderung untuk memilih mana yang lebih benar. Mencari kebenaran adalah satu proses dan bukan satu destinasi.

Jika anda rasa kebenaran itu adalah destinasi, maka anda akan berhenti seperti mana majoriti besar umat Islam yang berhenti belajar agama selepas tingkatan 5. Kemudian bila masuk umur tua secara tiba-tiba dia mula rajin share dan forward habis apa saja ceramah, salam subuh, doa itu dan ini, kelebihan solat berjemaah, kelebihan puasa dan seribu satu lagi maklumat yang dia simpan selama ini sejak di tingkatan 5.

Bila jadi begitu, ia adalah satu isyarat bahawa orang tua itu sedang bersedia untuk mati dlm keadaan baik sebagai seorang penganut agama Islam yang dia rasa dia faham. Sebab dia rasa untuk dapatkan hasil yang baik di akhirat tidak sepayah untuk dapatkan hasil kebun yang baik di dunia. 

Jika tidak berusaha mencari, tak akan bertemu jawapan hakikat dirinya adalah milik siapa ..

Wallahu'alam!

logoblog

Boleh Like dan Share artikel ini di akaun Medsos anda. Terima Kasih sudi luangkan masa membaca artikel, Di usia berapa anda mula tergerak untuk belajar ilmu agama yang diajar oleh para Tok Guru & Ustaz

Newest
You are reading the newest post

No comments:

Post a Comment

Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !