Kenapa timbul persengketaan antara suami dengan isteri?
Saya yakin soalan di atas akan mula bermain di kepala pasangan yang sudah mendirikan rumah tangga sebaik saja tempoh berbulan madu habis, sedikit demi sedikit bunga-bunga tak puas hati mula berputik. Jika anda peka dan kenal kawan yang dah beberapa bulan mendirikan rumah tangga, terutamanya perempuan, anda boleh perhatikan posting mereka di media sosial dalam tempoh setahun pertama selepas berkahwin. Sudah pasti akan ada posting meluahkan rasa tak puas hati yang anda tahu ia ditujukan kepada pasangannya.
Sebagai makhluk yang bersosial, anda tak dapat lepas dari menjalinkan perhubungan dengan orang. Sebaik saja dilahirkan, perhubungan ini akan mula terjalin. Mulanya , antara anda dengan orang yang ada hubungan keluarga seperti ibu ayah, adik dan kakak, kemudian dengan saudara mara.
Semakin membesar, hubungan yang anda jalin makin meluas. Dari sesama keluarga dan saudara, bertambah ke jiran, kemudian besar lagi kepada masyarakat tempat tinggal, bila masuk belajar, meluas lagi dengan rakan satu sekolah, satu kolej atau universiti. Bila dah mula bekerja, jaringan makin besar kepada rakan sekerja dan kenalan dalam urusan kerjaya dan seterusnya dalam urusan kehidupan keseluruhannya.
Di zaman moden internet ini, ditambah lagi dengan kenalan fizikal kepada kenalan digital. Ada banyak aplikasi media sosial dan perhubungan yang menghubungkan anda dengan samada manusia real atau yang palsu. Semua ada di dunia cyber sekarang.
Jika dilayan semua aktiviti perhubungan itu, akan jadi berlebihan. Dah lumrah kehidupan, apa saja yang berlebihan walaupun yang baik, akan bertukar menjadi racun jika tidak dikawal dengan betul.
Manusia memang dicipta sebagai makhluk yang perlu sentiasa duduk dalam keadaan antara senang dengan susah. Keluar dari sempadan itu akan jadi kacau bilau. Jika senang sangat akan rosak, susah sangat pun rosak juga. Jadi kena duduk di dalam antara keduanya baru terbina untuk jadi lebih baik. Ada teori menarik tentang sifat kehidupan ini yang dinamakan sebagai 'anti-fragile', sila google dan baca, menarik.
Kita beri tumpuan terhadap perhubungan fizikal terlebih dahulu di sini.
Hubungan dengan kawan
Dalam banyak-banyak perhubungan yang anda jalin, perhubungan yang paling selesa adalah dengan kawan-kawan. Selalunya anda ada lebih kurang dalam 5 orang kawan yang paling akrab. Tempat mengadu dan luahkan suka dan duka.
Kemudian ada kawan baik yang anda sering jumpa dan jalankan aktiviti bersama dalam 15 orang. Selepas itu ada kawan dalam lapisan ketiga dalam 50 orang yang anda kenal baik dan bertemu sekali sekala.
Dan akhir sekali lapisan terakhir yang berjumlah dalam 150 orang yang anda masih kekalkan perhubungan panggil makan kenduri atau berhubung ketika musim perayaan atau seumpamanya.
Kawan-kawan yang paling selesa dan jarang ada masalah dalam perhubungan adalah yang 5 orang di lapisan pertama di atas tadi. Kawan-kawan di lapisan kedua juga. jarang ada masalah. Asasnya, bila dimasukkan ke dalam senarai sebagai kawan, jarang-jarang ada masalah tak puas hati yang berpanjangan dan tak putus-putus.
Persengketaan
Perhubungan yang tak masuk kategori kawan, kebiasaannya lebih kerap ada masalah tak puas hati.
Kenapa boleh terjadi seperti itu?
Contohnya bila dah mendirikan rumah tangga, mulalah sang isteri kumpulkan rasa kebenciannya pada suami dan begitu juga sebaliknya. Dalam keluarga pula, ada anak-anak yang himpun rasa benci pada ibubapa, ada juga ibubapa yang bertanggung jawab tanam rasa tak suka pada anak. Di sekolah pula ada anak murid yang benci cikgu tertentu dan ada juga berlaku sebaliknya.
Apa bezanya perhubungan di atas yang saya sebut tadi dengan yang dijalinkan sesama kawan. Sebab apa jarang berlaku benci membenci sesama kawan. Contohnya, anda boleh berborak bersama dengan kawan-kawan sampai berjam-jam tanpa rasa jemu. Tapi tak boleh buat yang sama di perhubungan lain.
Anda juga boleh kembara sesama kawan dalam suasana yang amat menyeronokkan. Malah sentiasa boleh hadapi cabaran sesama kawan-kawan dengan mudah dan penuh dengan semangat kerjasama yang memuaskan.
Anda sentiasa rasa lega bila dapat berkongsi masalah dengan kawan-kawan walaupun mereka sekadar mendengar tanpa memberikan apa-apa bantuan. Sebaliknya, masalah jadi lebih besar bila anda cuba luahkan pada keluarga atau pada pasangan hidup. Kenapa?
Prinsip pilihan
Rahsia kenapa sesama kawan-kawan anda sentiasa rasa selesa adalah disebabkan dalam berkawan, anda sering amalkan prinsip pilihan. Prinsip itu bermaksud anda berikan ruang pilihan kepada kawan-kawan menerima, menolak atau tak ambil kisah terhadap apa saja pilihan mereka secara sukarela tanpa sebarang kekangan atau desakan.
Sepanjang berkawan, anda tidak pernah memaksa kawan untuk berbuat sesuatu tanpa kerelaannya. Seandainya kawan tidak sependapat, anda menghormati pendapatnya walaupun mungkin pendapat tersebut adalah salah mengikut perkiraan anda. Malah berhujah jadi pertukaran idea yang santai dan menyeronokkan sekalipun pendapat jauh berbeza seumpama langit dan bumi.
Bagi kawan yang baik, anda cuba usahakan agar pendapat kawan yang salah tersebut dapat diperbetulkan tetapi bukan secara paksaan. Matlamatnya adalah untuk membuatkan kawan anda faham sebagaimana anda sendiri faham. Anda boleh tunggu dia berubah dan menerima pendapat secara sukarela. Anda amalkan prinsip pilihan dengan sentiasa memberi ruang pada kawan-kawan agar membuat sendiri pilihan mereka tanpa paksaan. Perhubungan sesama kawan jadi amat lancar sepanjang berkawan.
Prinsip paksaan
Jika anda amalkan prinsip paksaan dalam berkawan, perhubungan kawan akan mula jadi retak. Ia berpunca daripada kepercayaan pada kekerasan untuk orang menurut kehendak anda.
Cuba fikir sejenak, prinsip mana yang diguna pakai dalam perhubungan dengan pasangan, keluarga atau seumpamanya yang bukan kawan-kawan. Selalunya selain kawan, anda akan guna pakai prinsip paksaan.
Dalam kes hubungan suami dan isteri. Si suami memaksa isteri menurut segala kehendak dan arahannya atas kepercayaan dia betul. Si isteri pula mendesak suami agar ikut kehendaknya sebagai tanda sayang lantaklah samada kehendaknya itu bernas atau tidak. Dah tentu akan timbul masalah tak puas hati.
Dalam kes hubungan anak dan ayah juga anda percaya anak wajib ikut segala suruhan ibu dan bapa samada secara paksa atau rela. Begitu juga dalam kes perhubungan majikan dengan orang bawah, hubungan ketua dengan pengikut, hubungan guru dengan pelajar, hubungan abang dengan adik dan lain-lain. Dalam kes tersebut kuasa dan paksaan digunakan dalam apa saja perkara.
Jika anda berjaya membuatkan orang ikut kehendak anda walaupun secara paksa, maka anda terpaksa mengorbankan perhubungan akrab dan menjauhkan rasa keselesaan dalam perhubungan.
Bila jadi begitu, akhirnya anda beralih arah pada kawan-kawan yang tidak pernah memaksa, untuk luahkan apa saja yang terbuku dalam dada. Nasib bak ada kawan-kawan begitu!.
Guna prinsip pilihan dalam semua hubungan
Mungkin ada yang beranggapan sebagai ketua, anda lebih tahu mana yang baik dan mana yang buruk. maka bila mengarah pengikut, mereka wajib menurut samada rela atau paksa. Perkara yang sama juga terjadi pada ibubapa, guru, orang tua dan lain-lain. Anda percaya perkara baik perlu dipaksa untuk dibuat dan yang tak baik perlu dipaksa untuk ditinggalkan.
Sedangkan agama pun tidak ada paksaan, apatah lagi selain dari itu?
Jadi tak perlu paksa-paksa. Beritahu, sampaikan dengan cara yang terbaik untuk orang faham dan berikan pilihan untuk mereka terima atau tolak.
Setiap orang ada akal yang sempurna untuk memilih dan seterusnya mengambil tanggung jawab penuh atas pilihan mereka. Apabila anda tunaikan tugas menyampaikan dengan jelas pilihan-pilihan yang ada beserta akibat-akibat yang bakal berlaku pada setiap pilihan yang diambil, mungkin suasana perhubungan jadi lebih bermakna.
Nota: Prinsip Pilihan tidak sesuai diamalkan dalam keadaan peperangan atau konflik getir yang melibatkan nyawa .. anda pun tahu kan!
No comments:
Post a Comment
Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !