Jas-du-it

Jasduit - Just do it !

28 February 2025

Melabelkan orang sebagai 'Palatao' tanda terperangkap dalam sistem satu aliran satu dunia akhir zaman

  Ano Nyme       28 February 2025

Jika anda sering layan media sosial, tentu pernah terjumpa seseorang yang dilabelkan sebagai 'Palatao'. Atau anda sendiri mungkin pernah kena label sebagai palatao apabila meluahkan pendapat terhadap sesuatu perkara.

Barangkali anda sendiri seorang kaki label orang lain sebagai 'palatao', terutamanya apabila tak suka akan ulasan atau pendapat seseorang yang bertentangan dengan pemahaman anda.

Apapun statusnya, samada anda setuju atau tidak dengan amalan melabelkan orang lain sebagai palatao, yang pastinya, perkataan itu sudah sangat terkenal diguna pakai orang kaki komen di media sosial.

Manusia sekarang, yang pendiam atau yang suka bercakap, bila berada di depan skrin telefon pintar, mudah saja menaip berikan komen. Apatah lagi jika anda menggunakan akaun individu imaginasi ciptaan anda atau lebih tepat lagi fake akaun.

Tiada adab tiada belas dan tiada maaf lagi apabila anda tidak suka terhadap pendapat atau content ciptaan orang lain. Terus belasah melepaskan rasa benci setiap kali ada peluang. Samada orang yang terkena semburan kata-kata kesat anda itu kecil hati, sedih atau rasa nak bunuh diri sudah tidak ada dalam pertimbangan kebanyakan orang zaman moden ini.

Makna Palatao

Perkataan 'palatao' dalam kamus dewan bahasa, masih belum tersenarai lagi. Tapi kalau buat carian di google, akan ada kemas kini dalam wiktionary. Ia disenaraikan sebagai satu perkataan slanga / perkataan kasar / perkataan kesat.

Palatao adalah gabungan dari 'kepala' dan 'tahu'. Dan ejaan yang biasa diguna pakai adalah 'Palatao' atau ada juga yang mengejanya dengan 'palatau'.

Jika anda dipanggil palatao, tandanya seorang yang bercakap atau menulis atau memberi pendapat terhadap sesuatu yang bukan bidang anda, yang anda tidak mahir tapi berlagak tahu.

Sebagai contoh, jika anda seorang ahli fizik, tapi memberikan pendapat terhadap isu antropologi di dalam media sosial, tunggu la sekejap, akan ada nanti orang yang tahu tentang latar belakang anda akan label, palatao.

Itu tandanya anda disuruh diamkan diri tak payah nak pandai-pandai berbicara terhadap topik yang bukan dalam jurusan kemahiran anda. Cakap bab fizik sudah.

Yang menariknya adalah, jika apa yang anda sebut itu berkenan di hati orang yang membacanya, samada ia betul atau salah, anda tidak dianggap sebagai palatao. Saya ambil faham dari situ bahawa perkataan itu direka pakai untuk menghina atau menjatuhkan sesiapa saja yang berpandangan berbeza.

Ke arah satu dunia sama

Jika anda selak semula sejarah perkembangan kemajuan manusia di muka ini, akan temui 6 tamadun yang berkembang secara terasing tanpa ada kaitan antara satu sama lain. Setiap tamadun dibina dan dibangunkan ikut acuan dan cara mereka yang tersendiri. 

Sama seperti setiap bangsa membentuk bahasa pertuturan mereka sendiri, begitulah yang terjadi dalam semua urusan kehidupan manusia di 6 tempat utama tersebut. Lokasi tamadun awal tersebut adalah seperti berikut.

  1. Mesopotamia - 4000 hingga 3500 BC. Terletak di Iraq, Kuwait & Syria sekarang ini. Mereka membina ilmu pengetahuan dalam segenap lapangan kehidupan. Punya sistem nombor mereka sendiri yang berasaskan sistem 60. Ertinya mereka tulis atau sebut nombor 1 hingga 60 secara unik sebagaimana kita buat dari 1 hingga 10 kemudian ulang semula 11 sampai 20. Membawa kepada rekaan sistem waktu 60 saat jadi minit, 60 minit jadi sejam, dan kiraan 360 darjah dalam satu pusingan.
  2. Mesir Kuno - 3100 BC. Kehebatan seni bina dan perubatan mereka masih dikaji hingga sekarang. Mereka punya sistem matematik dan tulisan sendiri dan mencipta sistem 24 jam sehari dan 365 hari dalam Kalendar mereka.
  3. India Kuno - 3300 BC. Tempat lahir agama Hindu yang masih wujud hingga sekarang. Mereka bina sistem kepercayaan berkasta sejak dilahirkan, idea terhadap kelahiran semula selepas mati dan punya kitab suci hindu yang masih wujud hingga sekarang. Sistem pembinaan dan pertanian mereka juga sangat hebat ketika itu.
  4. China Kuno - 2000 BC. Mereka cipta sistem titik perpuluhan, penggunaan abacus, teknologi percetakan dan kemahiran seni bina yang unik tersendiri dan masih ada lagi sampai sekarang. Satu perkara unik China ini adalah keupayaan mereka membina kemahiran memerintah secara berpusat dengan liputan kawalan yang sangat luas.
  5. Peru Kuno - 1200 BC. Tiada sistem tulisan di cipta tapi mereka pakai sistem gambar dan simbol untuk berkomunikasi. Antara kehebatan mereka adalah sistem pembinaan jalan raya yang menghubungkan segenap tempat ketika itu yang menggalakkan lagi kemajuan. Teknik pertanian dan binaan mereka juga unik dengan cara mereka sendiri.
  6. Mesoamerica Kuno - 1200 BC. Lokasinya terletak di Mexico dan Amerika Tengah sekarang ini. Sama seperti semua tamadun lain di atas, mereka juga ada sistem pertanian mereka sendiri, sistem pembinaan dan kiraan waktu dan sebagainya.

Apa yang nak saya tunjukkan di atas itu adalah kemajuan yang dibiarkan bebas berkembang berdasarkan keadaan tempat duduk setiap bangsa yang ada ketika itu. Samada bidang pembinaan, perubatan, pertanian, matematik, penulisan dan sebagainya, masing-masing kembangkan secara bebas bersesuai dengan keperluan hidup mereka.

Bandingkan dengan apa yang berlaku sekarang, manusia hanya ada satu sistem sahaja bergerak dan diguna pakai di seluruh dunia. Sebagai contoh lihat saja sistem perubatan yang diamalkan oleh seluruh negara di dunia, hanya satu, iaitu yang berasaskan dadah.

Jika ada mana-mana negara yang cuba keluar dari sistem perubatan yang dipakai sekarang, akan kena tekanan dari sistem yang menguasainya sekarang. Begitu juga dengan sistem kejuruteraan, ilmu sains, matematik, kiraan pembinaan, dan apa saja.

Malah sampai ke peringkat bahasa dan penulisan juga nampak seperti ke arah satu bahasa sahaja. Buat masa sekarang, Bahasa Inggeris masih lagi jadi rujukan utama dunia selepas menggantikan Bahasa Latin sebagai Bahasa Ilmu terutamanya di Eropah. Lepas ini mungkin Mandarin akan gantikan Bahasa Inggeris.

Apa bahasa sekalipun yang akan jadi bahasa utama dunia, ia tetap akan berkisar kepada satu bahasa satu sistem di seluruh muka bumi. Kemungkinan besar, semua bahasa akan bertumpu kepada Bahasa Digital di mana anda boleh cakap dalam bahasa apa sekalipun dan aplikasi digital akan ubah kepada bahasa yang diperlukan oleh orang lain yang mendengarnya dalam real time.

Semua itu boleh dilakukan kerana segala ilmu yang di guna pakai di seluruh dunia sudah menjurus ke arah satu ilmu standard sahaja. Dikawal oleh satu kumpulan yang sama sahaja dan merekalah yang menentukan mana ilmu yang betul, mana ilmu yang sesat.

Pengamal ilmu yang sesat itu jika tidak dikenakan hukuman secara formal, tetap kena hukum juga secara sosial hasil dari tekanan yang diberikan oleh kumpulan yang berkuasa. Anda akan dipulau dan disingkirkan dari arus semasa yang bakal menyusahkan hidup anda.

Palatao alat propaganda

Salah satu cara kumpulan yang pegang kuasa satu sistem satu dunia ini berusaha untuk kekalkan keadaan itu adalah dengan merangka propaganda yang berkesan sehingga mereka yang menganuti fahaman itu secara tidak sedar menjadi alat propaganda.

Contoh kecil yang nyata depan mata adalah perkataan 'palatao' itu. Ia dicipta sedemikian rupa dan dimasyhurkan bagi menghalang orang yang cuba-cuba memberikan pandangan berbeza dari arus semasa aliran ilmu yang diiktiraf oleh pemegang kuasa.

Sistem satu aliran satu dunia hanya benarkan mereka yang dikawal, ertinya yang dianugerahkan sijil, pengiktirafan, yang keluar dari sekolah pengajian yang mereka rangka, yang ikut segala sistem tersebut secara fasih dan yakin tanpa soal jawab lagi. Contohnya para doktor keluaran sistem perubatan dunia sekarang. Tidak ada orang moden sekarang yang dapat terima seorang doktor yang belajar sendiri, dengan cara perubatannya sendiri sekalipun rawatannya adalah terbukti berkesan, doktor itu akan berakhir dengan masuk lokap.

Ketegasan terhadap bidang perubatan memang  boleh dijangka dengan mudah sebab ia adalah industri yang menjana keuntungan berlipat kali ganda kepada mereka yang memegang kuasa dan monopoli. Tapi untuk bidang ilmu yang kurang menjana keuntungan, kawalannya cukup sekadar memberikan tekanan masyarakat dengan perkataan menghina seperti 'palatao' itu.

Palatao adalah satu amaran dari masyarakat yang sudah tergadai jiwa raga mereka kepada satu sistem satu dunia dan sangat percaya terhadap sistem tersebut sebagai yang terbaik dan memudahkan kehidupan manusia sejagat. Secara tidak sedar orang yang melabelkan orang lain yang tidak sealiran yang bercakap sesuatu yang bukan bidang nya secara formal berdasarkan sistem yang ada, menjadi wira mempertahankan sistem tersebut agar terus berkuasa.

Labelkan saja palatao tanpa perlu memahami terlebih dahulu kenapa orang yang dilabel palatao itu berpendapat begitu. Tapi dengar dan taat apa saja pendapat yang diberikan oleh pakar yang diiktiraf oleh sistem sekalipun ia berjaya dibuktikan sesat.

Bukan semua ilmu yang sudah lama dipegang sebagai betul itu betul dan bukan semua yang dipegang sebagai salah itu salah. Sejarah banyak membuktikan bahawa ilmu sains tidak pernah tetap. Ia berubah-ubah dari satu pendapat ke satu pendapat yang lain. Contoh yang mungkin ramai dah lupa adalah pegangan bahawa matahari pusing bumi dipegang selama 1500 tahun sebelum ia dibuktikan sebaliknya. Dan sekarang semua pegang aliran itu dan dilabelkan bodoh mereka yang percaya sebaliknya. Begitu juga punca kematian bayi akibat doktor tak jaga kebersihan hanya diterima setelah orang yang temuinya jadi gila sebab pendapatnya ditolak mentah-mentah dan ditertawakan.

Bagi penguasa sistem, sementara pegangan nak berubah, yang penting satu fahaman sealiran itu sudah berjaya naikkan dan kaya kan mereka yang berkuasa memegang aliran sistem itu.

Walaupun satu aliran, satu standard nampak macam meyakinkan membantu perkembangan dan kemajuan manusia, tetapi ia tidak banyak membantu majoriti manusia di bawah secara umum. Sebalik nya ia hanya mengikat manusia ramai di bawah menjadi hamba abdi kepada sistem dari sejak dilahirkan sampai mati. Manusia lebih yakin dan berkhidmat tanpa berbelah bagi kepada sistem sekalipun dimulutnya dia kata percaya kepada Tuhan dan berjanji untuk mengabdikan dirinya hanya kepada Tuhan. Apabila berada di persimpangan antara serahkan diri kepada Tuhan atau sistem, dia akan pilih sistem.

logoblog

Boleh Like dan Share artikel ini di akaun Medsos anda. Terima Kasih sudi luangkan masa membaca artikel, Melabelkan orang sebagai 'Palatao' tanda terperangkap dalam sistem satu aliran satu dunia akhir zaman

Newest
You are reading the newest post

No comments:

Post a Comment

Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !