Saya mula tahu berkenaan orang asli bushmen ini ketika tengok filem tersebut. Kisah seorang lelaki dari puak itu yang sedang berjalan di padang pasir kalahari bertembung dengan botol Coca-Cola yang jatuh baru dibuang dari sebuah kapal terbang kecil yang sedang melintas padang pasir Kalahari.
Lelaki itu percaya yang botol tersebut adalah milik Tuhan dan berhasrat untuk kembalikannya semula kepada Tuhan. Dia lalu memulakan perjalanan ke hujung dunia untuk menyerahkan kembali botol itu kepada Tuhan.
Sejak itu, Kalahari menjadi salah satu tempat yang menarik minat saya.
Cabaran hidup primitif
Baru-baru ini di TV ada dokumentari berkenaan orang asli di Kalahari. Mereka merakamkan cara hidup orang San, bagaimana mereka penuhi aktiviti kehidupan dan cari makan di sana.
Saya sering bayangkan alangkah indahnya jika dilahirkan di Kalahari bersama puak San ini dan membesar di sana. Hidup dalam suasana yang masih primitif dengan budaya lama, bebas merayau di atas mukabumi mencari makan untuk teruskan kehidupan.
Saya bayangkan di Kalahari sana mereka hidup merdeka tanpa terikat dengan kemodenan di mana majoriti manusia menjadi hamba kepada pekerjaan, hamba kepada kapitalis dan segelintir kecil kumpulan mahakaya di peringkat global di atas sana.
Rencana itu menarik minat untuk saya layan bagi menghayati keindahan sebenar yang hanya sekadar di dalam imaginasi saya sahaja selama ini.
Jika anda buat carian tentang orang San di wikipedia akan temui maklumat tentang mereka dan budaya yang masih diamalkan oleh kaum itu yang mana ia merupakan cara hidup lama paling purba yang masih lagi bertahan diamalkan di muka bumi ini hingga sekarang.
Kehidupan mereka, seperti kehidupan kaum pribumi lain di seluruh dunia diancam oleh kemodenan dan manusia moden yang memacu kemodenan tersebut. Anda tentu terkejut bagaimana kerajaan Afrika Selatan satu ketika dahulu keluarkan lesen untuk diberikan kepada para pemburu bagi memburu kaum San ini bagi menghapuskan mereka.
Kaum ini dibunuh oleh kaum penjajah sebab mahukan tanah tempat tinggal mereka. Kerajaan British pernah cuba ubah kaum ini untuk beralih arah menjadi petani tapi tidak berjaya. Mereka tetap amalkan cara hidup bebas memburu dan merayau untuk cari makan dan jalani kehidupan seharian. Kesimpulannya mereka kekal mahu merdeka dan tak ada apa yang mampu mengubah pilihan tersebut.
Satu perkara yang dapat saya rumuskan tentang mereka adalah, DEGIL. Sikap itu perlu ada pada manusia yang mahu hidup dengan membuat pilihannya sendiri. Besar pengajaran yang boleh diambil dari sikap orang San ini.
Bushmen keluar memburu
Dalam rencana itu, host rancangan berpeluang mengikuti kumpulan para pemburu terbaik orang San untuk keluar mendapatkan protein. Makanan mereka ada dari tumbuhan liar di sekitar penempatan tempat mereka tinggal. Sesekali mereka akan keluar memburu untuk mendapatkan daging di padang yang luas itu.
Alat memburu mereka hanyalah panah yang kecil. Anak panah disapu racun bagi memastikan haiwan yang terkena panah tewas dengan lebih mudah. Cukup dengan satu anak panah kecil sahaja, melekat pada mana-mana bahagian haiwan buruan, untuk membuatkan mereka rebah.
Mereka keluar dari kampung dan mula merayau di padang pasir Kalahari yang berbeza dari padang pasir lain di Afrika sana kerana di situ ada tumbuhan dan haiwan liar yang banyak. Termasuklah haiwan mangsa dan haiwan pemangsa.
Tiada apa-apa peralatan canggih untuk menjejaki laluan haiwan yang mahu diburu. Mereka hanya guna mata dan deria yang ada. Melihat tapak kesan laluan haiwan mereka sudah tahu apa haiwannya, bila haiwan berada di situ dan ke mana arah laluan haiwan itu pergi. Mereka berjalan kaki berhari-hari menjejaki binatang buruan untuk dijadikan makanan.
Sebelum melangkah lebih jauh, mereka berhenti sebentar di satu kawasan belukar yang mana mereka tahu dari tanda-tanda, ada burung. Lalu beberapa perangkap di pasang sebelum mereka meneruskan perjalanan.
Masih tak ada kelibat haiwan buruan mereka yang sedang dijejaki, iaitu sekumpulan lembu liar. Bila malam menjelma, mereka berhenti membuat unggun api dengan menggunakan teknik purba sebagai persediaan untuk tidur. Mereka akan bergilir berjaga sebagai langkah berhati-hati dari haiwan buas.
Malam itu salah seorang pemburu menceritakan pengalamannya keluar berburu. Satu malam dia tertidur dan bila terjaga di sedang dikelilingi oleh sekumpulan singa. Dia merasakan itu malam terakhirnya sebelum dibaham oleh kumpulan singa tersebut. Tapi umurnya masih panjang, kumpulan singa itu berlalu begitu saja tanpa melakukan apa-apa.
Bila ditanya samada itu kejadian pertamanya, dia menjawab bahawa kejadian sebegitu adalah perkara biasa bagi mereka sebagai pemburu.
Ertinya mereka sedar akan bahaya yang sedang menunggu di hadapan setiap kali keluar memburu tapi tetap keluar juga untuk cari makanan. Pemburu itu berkata mereka tak boleh takut dan cuba mengelak dari keluar memburu sebab itu adalah tanggung jawab mereka untuk keluar mencari makanan buat anak dan isteri di kampung. Bahaya atau tidak, susah atau senang, tanggung jawab tetap tanggung jawab. Ia mesti dilaksanakan.
Keesokkan harinya mereka sambung perjalanan dan akhirnya bertemu sekumpulan kecil lembu liar. Bermulalah aksi pemburuan sebenar dengan disaksikan oleh host yang turut sama menuruti bagaimana mereka mendekati kawanan lembu itu perlahan-lahan. Bila dah hampir anak panah dilepaskan secara serentak dan kawanan lembu itu melarikan diri.
Untuk pastikan sama panahan terkena atau tidak mereka perlu pegi ke lokasi lembu tadi dan mencari semula anak panah yang telah dilepaskan. Jika ada anak panah yang patah, ertinya ia telah melekat pada daging lembu tersebut. Ada satu anak panah yang diyakini telah terkena.
Lembu itu tak akan mati terus sebaik saja dipanah. Kesannya ambil masa. Mereka terpaksa menjejaki semula kawanan lembu tersebut sehingga berjaya bertemu semula. Menjejaki adalah kerja mudah bagi para pemburu yang handal itu, cukup dengan melihat kesan tapak sahaja.
Makin lama mereka kesan ada seekor lembu yang langkahnya sudah nampak berbeza akibat dari kecederaan yang akhirnya ia telah terkeluar dari kumpulan kawan-kawannya. Mereka mula jejaki seekor lembu itu sahaja.
Untuk dipendekkan cerita, jejak lembu cedera itu akhirnya dikaburi oleh jejak tapak kawanan lembu lain yang lebih banyak dan mereka kehilangan jak lembu cedera itu. Dan pemburuan itu terpaksa dihentikan kerana sudah terlalu jauh dari kawasan mereka.
Lembu cedera itu nampaknya akan menjadi rezki kepada haiwan pemangsa lain. Dan mereka balik dengan tangan kosong. Ternyata pemburu yang paling handal juga biasa balik dengan tangan kosong. Itu perkara biasa kata mereka.
Mereka kembali ke tempat di mana perangkap telah dipasang sebelum itu, dan rezki mereka mendapat seekor burung kecil untuk dibawa pulang. Jadilah sikit ..
Hidup atas dasar kewajipan
Mendengar perbualan dan cerita mereka, melihat apa yang dilalui oleh orang San itu membuatkan saya insaf dan mula faham bahawa saya hanya perlu kekal di mana tempat saya berada sekarang. Tak perlu berangan-angan untuk jadi orang San dan pindah duduk dengan mereka.
Hidup bukannya untuk senang lenang, tapi sebaliknya adalah untuk jalani kehidupan selagi hayat dikandung badan dan berusaha menunaikan segala kewajipan yang ditanggung badan. Itulah prinsip orang-orang San. Itu yang membuatkan mereka tetap keluar memburu cari makan dalam keadaan tidak pasti akan berhasil atau tidak. Yang penting, berusaha.
Saya bandingkan kesukaran dan cabaran hidup orang San di Kalahari dengan apa yang saya alami hidup d dalam dunia moden ini. Lapangannya berbeza, cara perjalanannya juga berbeza, tapi matlamatnya sama sahaja.
Bukan cara hidup dan bukan perjalanan yang perlu diberikan perhatian, tapi kewajipan itulah tumpuan utama. Tuhan berikan akal, kekuatan, masa, bekalan dan persediaan. Gunakan segala nya untuk tunaikan tanggung jawab anda. Akhirnya di sana nanti itulah yang anda akan dipersoalkan.
Hadap semua kesukaran itu, hadap semua ketakutan dan kerisauan itu dan berusahalah. Mohon dan minta pertolongan hanya kepadaNya sebab Dia lah yang menyediakan semua keperluan untuk manusia, yakinkan diri dan serahkan diri bulat-bulat kepadaNya. Berjaya atau tidak, usaha anda sudah pasti ada balasannya.
Rumusannya, saya mahu kekal di mana saya berada sekarang dan terus berusaha lunaskan segala kewajipan hidup, membesarkan anak-anak, menyara diri dan keluarga, membantu saudara yang memerlukan jika ada lebihan, menderma kepada yang membutuhkan bantuan jika ada lebihan .. itu yang utama. Selagi anda mampu tunaikan semua kewajipan itu, kekal di situ. Kecuali hanya dengan berpindah sahaja anda dapat lunaskan kewajipan, maka berpindahlah.
Kalau tak ada keperluan, bertahan di situ dan berusaha sehingga maut menghampiri anda. Wallahu'alam!
No comments:
Post a Comment
Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !