Jas-du-it

Jasduit - Just do it !

23 March 2025

Jika ada RM100 orang Cina peruntukkan RM99 untuk pendidikan dan RM1 saja untuk Tokong

  Ano Nyme       23 March 2025


Ada satu video pendek yang saya tonton memaparkan bicara seorang pemuda berbangsa Cina yang bahasakan dirinya sebagai Apeque. Saya yakin itu video orang Malaysia sebab Cina tu berbicara dalam Bahasa Melayu yang fasih.

Apeque tu tekankan bahawa orang Cina sejak dari dulu lebih utamakan pendidikan dalam kehidupan mereka berbanding perkara berkaitan keagamaan. Sebagai contoh dia ambil sikap seorang ayah yang ada duit sebanyak RM100 akan belanjakan RM99 duit itu untuk pendidikan anaknya dan baki RM1 barulah pergi kepada perkara agama. Itu pun jika masih ada baki.

Dia juga tekankan betapa orang Cina memandang serius terhadap pendidikan sejak zaman dulu kala lagi di negeri China sana. Satu-satunya kerajaan yang menentukan kelayakan para pegawai istana melalui sistem peperiksaan. Memang betul tu, ia bermula secara tersusun ketika pemerintahan Dinasti Tang (618 AD - 907 AD), menurut wikipedia, itu adalah lanjutan dari Dinasti Sui (581 AD - 618 AD).

Itu fakta yang sangat menarik!.

Jika anda tak kisah jika pendidikan itu sebagai satu sistem tersusun, satu hala, satu cara, satu aliran, satu doktrin, dan seumpamanya, maka sama seperti Apeque tadi, dia merasakan sistem peperiksaan yang diadakan dalam menentukan kelayakan jadi pegawai itu sebagai bukti bahawa orang Cina zaman dulu mementingkan pendidikan.

Tapi saya tidak melihat tujuan utama Dinasti Tang China adakan peperiksaan itu adalah untuk memartabatkan pendidikan. Tujuan utama dibuat begitu adalah supaya Maharaja yang berkuasa ketika itu mahu saksamakan semua pegawai di bawah pemerintahannya satu kepala, satu doktrin, satu cara, satu hala. 

Ertinya ia lebih bertujuan untuk satukan cara pemerintahan dan kekalkan kekuasaan terhadap rakyat selama mungkin. Sistem pendidikan yang mereka susun dijadikan sebagai satu keperluan untuk tingkatkan darjat dan naik pangkat dalam masa yang sama ia berfungsi sebagai satu sistem penapisan membezakan antara yang taat pada Maharaja dengan yang engkar. Segala silibus atau ajarannya adalah doktrin yang Maharaja itu mahu terapkan masuk ke dalam kepala pegawai dan seterusnya kepada rakyat. 

Jika ada rakyat bertungkus lumus belajar dan kuasai ilmu yang diajar tersebut, tidak lain tidak bukan adalah sebab ada balasan syurga dari Maharajanya. Bukan atas faktor orang Cina cintakan ilmu, tapi sebab mereka faham bagaimana sistem tersebut berfungsi dan dapat menjamin kehidupannya.

Pendidikan vs agama

Untuk melihat dengan jelas apa yang sebenarnya berlaku dalam memilih keutamaan antara pendidikan dan agama dalam kehidupan, elok diperjelaskan terlebih dahulu apa yang dimaksudkan dengan pendidikan dan agama. Perlu diberikan pencerahan manalah tahu mungkin ada yang terlepas pandang dan keliru antara pendidikan dengan ilmu dan antara agama dengan Tuhan.

Pendidikan adalah satu proses dalam memberikan arahan secara tersusun dan sistematik dalam urusan memberikan ilmu. Tujuan utama di sini adalah ilmu pengetahuan, bukan pendidikan atau sistem persekolahan atau lain-lain cara yang tersusun dan sistematik.

Dari ilmu pengetahuan itu diharapkan anda dapat menggunakan akal untuk berfikir dengan bebas dan cekap dalam menjalani kehidupan sebagai seorang insan yang baik, berjaya dunia dan akhirat. Jika anda ingat kembali bagaimana Tuhan tunjukkan pada Malaikat kelebihan Adam adalah keupayaannya mengenal semua nama benda. Itu lah permulaan ilmu.

Pendidikan perlu ke arah memastikan pelajar kenal benda, kenal perkara, kenal konsep, dapat melihat apa yang berlaku dan kenal pasti kedudukan kejadian tersebut sebab dia kenal nama kejadian itu, kenal sifat kejadian itu, kenal proses kejadian itu dan mengklasifikasikannya dengan jelas. Sebab itu perlu kepada keupayaan untuk kenal nama.

Jika anda buat tanya ChatGPT untuk berikan sejarah pendidikan manusia sejak dulu kala, anda akan dapati evolusi manusia mendapatkan ilmu berubah-ubah dan berperingkat. Zaman awal dulu sekolah hanya untuk anak-anak bangsawan sebab mereka nak jadi pemimpin. Semua ilmu yang dipelajari bertujuan untuk kekal jadi ketua, jadi bangsawan. 

Anak-anak orang kampung atau rakyat biasa belajar dari ayah mereka dan orang kampung saja secara amali. Mereka diajar kemahiran, bagaimana nak hidup. Itu matlamat utama. Anak kampung di zaman itu tak ada duit pun boleh belajar, dan kalau tak nak belajar pun kena belajar juga. Tiada sekatan cara, sekatan ilmu, tiada sistem selaras dan sebagainya. Semua bebas mencipta ilmu atau apa saja jurusan baru. Tanya masyarakat zaman itu apa tahap pendidikan mereka, tentu mereka tak akan faham apa yang anda maksudkan. Tidak ada sesiapa yang kawal ilmu atau cara sebarkan ilmu.

Agama pula adalah satu proses yang tersusun dan sistematik dalam urusan untuk mendekati dan menyerahkan diri secara total kepada Tuhan semata-mata. Anda boleh lihat ada berbagai agama di muka bumi ini terbentuk dari zaman dulu hingga sekarang. 

Semuanya mendakwa bahawa agama masing-masing merupakan cara yang betul untuk menjadi hamba Tuhan. Semua percaya agama mereka itulah yang Tuhan suruh ikut untuk menuju kepadaNya. Ada yang bina Tokong, ada yang bina kuil, ada yang kalung bunga pada pokok besar, ada yang bina bangunan, ada yang buat tiang dan macam-macam cara. Mereka bina tempat khas untuk memuja Tuhan mereka. Adakah dengan bagi duit untuk buat semua itu memberi erti anda menyumbang untuk mendekatkan diri kepada Tuhan? ... anda fikirlah sendiri.

Berdasarkan Al-Quran yang saya percaya adalah, Tuhan suruh manusia menjadi individu yang menyerahkan dirinya kepada Tuhan 100% dan percaya adanya pembalasan di akhir nanti. Itu satu-satunya doktrin (Deen) yang Tuhan terima. Dengan penyerahan dan pengabdian diri secara total kepada Tuhan itu, anda dijanjikan dengan pasti terhadap keselamatan dan kejayaan di dunia dan akhirat dan tidak akan berlaku penyesalan dan dukacita sepanjang hidup mahupun ketika mati. 

Cari makan & pendidikan

Berbalik kepada pendapat Apeque di atas tadi. Seorang ayah yang habiskan duit RM99 untuk pendidikan anak-anaknya tidak semestinya kerana dia utamakan ilmu. Tapi lebih kepada taat terhadap sistem manusia di dunia dia berada supaya peluang untuk kejayaan dan keselamatan hidupnya lebih terjamin.

Sama seperti orang Cina ketika Dinasti Tang dulu pulun belajar dapatkan pendidikan supaya dapat ambil peperiksaan dan lulus kemudian dapat jadi pegawai kerajaan. Yang mereka pentingkan bukan pendidikan itu atau ilmu yang diajar itu sangat. Tapi hasil dari nya, iaitu pangkat dan harta yang Maharaja janjikan. 

Sama juga dalam dunia moden ini, malah lebih ketara berbanding zaman Dinasti Tang dulu, berlaku kepada setiap individu di seluruh dunia. Manusia menghabiskan masa mendapatkan pendidikan yang sama, satu sistem, satu aliran dalam hampir semua jurusan ilmu yang direka sebab ada jaminan kejayaan, peluang pekerjaan, keselamatan hidup dan jika bernasib baik peluang kumpul harta. Tahap kejayaan bergantung kepada sejauh mana anda taat mengejar dan mentaati sistem yang kaum bangsawan, para pelabur hartawan dan para elite di atas sediakan untuk anda di bawah.

Anda mungkin masuk sekolah, pandai menulis dan pandai membaca kemudian mula menggunakan akal untuk berfikir secara sendiri, dengan membaca, melihat, mengkaji, mengalami, mendalami dan sebagainya lalu meningkatkan keupayaan berfikir melebihi semua orang lain. Tapi anda tak akan kemana-mana seandainya tidak berfikir dan punya pendapat sebagaimana pihak atasan lokal atau global mahu anda berfikir. Silap hari bulan anda mungkin akan masuk penjara. 

Sila buka kembali dan lihat sejarah mereka yang dikurung dan dipenjara sebab cara fikir yang berbeza. Tapi golongan sedemikian makin lama makin kepupusan. Pemikir berkecuali makin hilang dari radar. Yang makin ramai adalah pemikir yang selari dengan apa yang pihak di atas mahu anda fikir. Dan kecekapan sistem pendidikan yang ada sekarang sangat cemerlang kerana melahirkan makin ramai manusia yang tidak mampu untuk berfikir secara kritis di seluruh dunia. Majoriti bersedia untuk ikut cara, siapa saja yang sistem lambung naik ke atas, berfikir, Kim Kardashian, Lee Min-Ho, Justin Bieber, Khaby Lame, Lionel Messi, Khairul Aming .. dan lain-lain lagi, semua kata-kata dan gaya hidup mereka jadi ikutan.

Saya tidak nampak sistem pendidikan dunia sekarang bertujuan untuk kebaikan manusia  dan alam secara umum. Lihat ilmu perubatan, ilmu pertanian, ilmu makanan, ilmu pembuatan, ilmu kewangan, ilmu ekonomi dan panjang lagi senarainya, kebaikannya mungkin ada sedikit, tapi yang pasti ia membawa kehancuran kepada manusia dan dunia sebenarnya. 

Semua pendidikan di rangka oleh penguasa di atas untuk memenuhi agenda mereka sahaja. Jika golongan penguasa baik, hanif, maka baiklah sistem yang dibina, jika penguasa jahat, syaitan, maka buruklah sistem yang dibina. Anda teka sendiri penguasa bagaimana di atas sana yang membina sistem yang dunia ada sekarang. Kecekapan sistem yang ada sekarang ternyata sangat berjaya memimpin manusia terjun masuk ke dalam api.

Jika anda masih tak nampak saya tak tahu anda buat apa selama ini. Makanan diubah dan direka dan fakta diputar belit supaya makanan syarikat gergasi yang ada dapat kuasai pasaran dan buat kekayaan dengan pastikan manusia ketagihan dan tak dapat hidup tanpa makanan mereka. Ada ubat-ubatan di reka dan dikatakan jalan penyelesaian untuk masalah kesihatan manusia tapi hakikatnya ia solusi yang lebih menguntungkan pembuat dan pemilik ubat tersebut. 

Sistem perubatan yang ada sekarang sangat cekap sehingga tidak ada seorang pun yang terlepas dari tidak sihat, lalu memerlukan solusi yang mereka cipta. Jika anda sihat tanpa mengguna pakai cara atau sistem mereka, anda dianggap scammer, penipu, tidak bertauliah, tidak layak dan berkemungkinan besar akan digelapkan kewujudan anda jika anda mula membina pengikut. Teknologi direka untuk kemudahan hidup manusia kononnya, sebagai contoh kenderaan, lampu, telefon dan lain-lain sehingga akhirnya manusia tak boleh hidup tanpa semua rekaan dan benda tersebut.

Rekaan manusia secara asasnya didakwa sebagai solusi untuk jadikan hidup manusia lebih mudah. Bila manusia dah mula pakai dan memang hidup jadi mudah, mereka akan dikenakan bayaran, sebab dah terikat hidup dengan benda itu, manusia terpaksa kerja untuk dapat duit supaya boleh bayar benda yang sudah mengikatnya itu. Dan untuk jadikan hidup lebih sedih, anda tak boleh beli dan pakai versi lama setiap benda yang direka, perlu 'upgrade' ikut perkembangan terkini benda itu sebab model lama akan jadi tidak relevan dan tak boleh pakai lagi. Anda terperangkap begitu sampai mati selagi tidak kuat untuk keluar dari sistem yang memerangkap kehidupan anda selama ini.

Sebaliknya, segala kejadian Tuhan untuk kegunaan manusia adalah amat sempurna. Makin diguna pakai dengan baik, makin stabil, makin kuat, makin bertambah mencukupi. Makanan asal tanpa diproses terbukti merupakan jalan penyelesai kepada keperluan tenaga anda dan dalam masa yang sama penyelesai kepada keperluan kesihatan anda. Sebab kejadian Tuhan itu sempurna dan seimbang. Tapi hampir seluruh dunia tinggalkan makanan alami secara sengaja atau tidak. Ramai yang tahu perkara ini, tapi sekadar tahu saja sebab terkurung dalam sistem dan tak boleh nak keluar. Jika anda keluar juga, samada dimasukkan ke wad gila atau diabaikan duduk dalam hutan seorang diri.

Agama dan Tuhan

Apa yang saya lihat mungkin amat sensitif untuk dihuraikan secara panjang di sini. Tapi cukuplah jika saya katakan sebagai mana pendidikan digunakan sebagai alat untuk orang awam taat kepada pihak pemerintah, penguasa dan bangsawan, begitu juga agama digunakan untuk tujuan yang sama. 

Pendidikan diburu bukan untuk mencari ilmu dan mengasah keupayaan berfikir manusia, sebaliknya diburu untuk pendidikan itu sendiri bagi cari makan. Pendidikan itu sendiri bertukar jadi matlamat dan bukan lagi ilmu. Manakala agama dipelajari dan diamalkan bukan untuk mendekati Tuhan, sebaliknya agama itu sendiri jadi alat cari makan, untuk menaikkan martabat, untuk dihormati, agar tidak disingkir dalam masyarakat, agar tidak dipulau dan sebagainya. Agama itu sendiri menjadi matlamat, bukan lagi Tuhan.

Urusan mengajak kepada penyerahan diri kepada Tuhan, percaya kepada hari akhirat dan jalani hidup dengan berbuat kebaikan adalah kerja para nabi dari awal hingga akhir dari dulu sampai ke nabi terakhir. Itu bukanlah urusan atau kerja yang memerlukan upah. Jika anda perlu bayar upah kepada orang yang mengajak kamu kepada Tuhan, ada sesuatu yang tak kena. Semua ayat ini dalam Al-Quran menegaskan kerja ajak kepada kebenaran adalah kerja yang tak perlukan upah, 10:72, 12:104, 25:57, 26:109, 26:127, 26:145, 26:164, 26:180, 34:47, 38:86. Sila pergi baca dan semak satu persatu. Tapi anda sendiri dah dengar segala alasan mereka yang mendakwa buat kerja tersebut melalui agama, dalam masa yang sama dapat upah, dibayar tinggi dan ramai yang kaya raya luar biasa.

Ramai agamawan selebriti di luar sana yang punya pengikut masing-masing dalam jumlah yang sangat ramai. Mereka berjaya kumpulkan kuasa, kumpulkan pasaran yang besar, itu satu sumber ekonomi yang sangat kuat. Untuk bezakan aliran masing-masing supaya pengikut tidak keliru terhadap agamawan dan aliran ikutan mereka, nama yang jelas diberikan. Aswaja, Wahabi, Plural, Liberal, Habib, Mahdi, Mufti bla bla, Geng Solawat, dan macam-macam lagi. 

Perkara sama juga berlaku pada agama lain seperti Hindu, Buddha, Kristian, Yahudi, Scientology, Humanisme, Atheist, dan sebagainya. Masing-masing ada fahaman, identiti dan amalan tersendiri dan jadi sumber rujukan para pengikutnya. Jika zaman pertengahan dulu, atau zaman sebelumnya, raja-raja dianggap wakil Tuhan dalam menentukan takrif kebaikan dan kejahatan, zaman sekarang, fungsi wakil Tuhan itu telah digantikan oleh para pemimpin agama.

Tinggalkan agama & pendidikan?

Adakah saya mahu syorkan supaya pendidikan ditinggalkan? TIDAK!

Adakah saya syorkan supaya agama ditinggalkan? TIDAK

Saya hanya mahu berikan peringatan bahawa apa yang berlaku pada kebanyakkan manusia sudah jauh tersasar dan perlu muhasabah semula tujuan anda dapatkan pendidikan. Jangan keliru antara pendidikan dengan ilmu berfikir.

Juga perlu muhasabah dan buat refleksi semula terhadap fahaman anda terhadap agama yang dianuti, adakah ia selari dengan apa yang Tuhan berikan panduan di dalam Al-Quran atau sudah tersasar jauh, adakah anda luang kan masa mencari kefahaman terhadap agama yang dianuti selama ini. Jangan keliru antara taat kepada agama dengan taat kepada Tuhan.

Mungkin ada yang berkata kalau tiada agamawan, bagaimana aku dapat kenal Tuhan. Tapi anda sendiri tahu bahawa tak ada seorang pun agamawan yang sangat tahu dan sangat kenal tentang Tuhan. Apa yang anda tahu dan mereka tahu sama sahaja. Tuhan itu ada, dan tiada sesuatu pun yang setara, serupa atau sama dengan Tuhan. Apa yang susah sangat untuk faham perkara itu?

Jadi jika anda ada RM100 dalam poket sekarang berapa perlu diberikan kepada Masjid dan berapa perlu dibelanjakan untuk pendidikan anak-anak?

Jika anda faham apa yang Tuhan suruh, anda akan utamakan pendidikan anak-anak terlebih dahulu sebab itu tanggung jawab utama anda sebagai seorang bapak. Terutamanya pendidikan asas menulis, membaca, mengira dan keupayaan untuk berfikir. Dengan berbuat demikian anda sedang berada di jalan Tuhan kerana menunaikan tanggung jawab anda sebagai waris.

Jadi masjid macam mana?

Kalau ada lebih, berikan lah. Itupun jika anda tahu masjid memang gunakan duit tersebut untuk manfaat masyarakat sekeliling menjalani kehidupan dengan baik. Jika masjid pun hanya melahirkan para taksub yang tampar bangsa lain sebab bangsa lain makan ketika dia sedang berpuasa, tak bagi pun tak apa .. 

Jadi, betul apa yang Apeque tu kata ..

logoblog

Boleh Like dan Share artikel ini di akaun Medsos anda. Terima Kasih sudi luangkan masa membaca artikel, Jika ada RM100 orang Cina peruntukkan RM99 untuk pendidikan dan RM1 saja untuk Tokong

Newest
You are reading the newest post

No comments:

Post a Comment

Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !