Jas-du-it

Jasduit - Just do it !

08 March 2025

Rasa kekok bila buat kelainan dalam mendekati Al-Quran sepanjang bulan Ramadan tahun 2025

  Ano Nyme       08 March 2025


Setiap kali masuk bulan Ramadan jadual kehidupan seharian sudah pasti berubah tak seperti hari-hari biasa. Baik pada mereka yang taat menunaikan amalan puasa, mahupun pada yang masih tidak mendapat kelembutan hati untuk mengamalkannya.

Untuk yang berpuasa, kesan dari tinggalkan aktiviti makan dan minum, banyak mengubah jadual rutin harian. Makan ketika sarapan pagi, rehat minum jam 10 pagi, makan tengahari dan makan petang sebelum balik kerja, jika dicampur semuanya mahu habis lebih kurang 2 jam atau lebih. 

Itu satu jumlah masa yang banyak jika dinisbahkan kepada waktu bekerja, lebih kurang 25% dari keseluruhannya. Jika boss benarkan balik awal memang sangat patut sebab ada 2 jam lebih digunakan lebih dari biasa untuk kerja. Dengan syarat anda tak keluar rehat waktu tengahari ke masjid dan letakkan tangan atas dahi berbaring di salah satu sudut damai yang ada di sana.

Bagi yang tak berpuasa sebab tak tahan atau dengan apa alasan sekalipun, makan jadi satu faktor yang ubah jadual bulan puasa juga, berbanding hari biasa. Sarapan, makan tengahari dan makan petang, masa yang lebih terpaksa diambil sebab proses nak makan jadi lebih panjang.

Pertama, kena keluar ke kedai beli diam-diam sebungkus makanan. Selepas itu, kena cari port berlabuh untuk sorok-sorok makan pula. Jika hari biasa makan 2 jam untuk semua urusan itu, bulan puasa mahu jadi 3 jam atau lebih. Jika yang tak berpuasa boss minta jangan balik awal dan tambah waktu kerja, rasanya memang sangat patut.

Mendekati Al-Quran

Selain dari bab makan dan minum di atas, Ramadan juga mengubah rutin mereka yang mengamalkannya dari segi amalan dan perhubungan dengan Al-Quran. Anda tentu tahu bahawa bulan mulia itu memang tak dapat dipisahkan dari Al-Quran.

Hampir semua masjid dan surau mengadakan majlis tadarus Al-Quran secara berkumpulan. Di surau taman perumahan tempat saya tinggal, amalan ini masih lagi kekal. Dari dulu sampai sekarang hanya orang yang sama sertai tadarus, dan orang yang sama juga tidak sertai tadarus. Saya anggap mereka lebih selesa bertadarus seorang diri di rumah.

Di tahun-tahun sebelum ini saya turut serta bertadarus selepas tamat kerjakan solat Tarawih. Jika tak joint tadarus berkumpulan di surau, saya habiskan satu juzu' membacanya seorang diri di rumah. Tak sempat habis waktu malam, sambung di waktu siang keesokkan harinya. Sasaran sehari satu juzu' cuba dipenuhi setiap kali masuknya bulan puasa.

Amalan ini dah saya buat sejak duduk di kampung dulu ketika belajar mengaji semula dengan arwah imam kampung, yang juga tok guru mengaji masa zaman kanak-kanak, juga tok guru lebih separuh dari anak-anak kampung dari mereka yang senior di atas hingga kepada yang lebih muda di bawah.

Selepas balik semula ke kampung setelah lebih 5 tahun menghilang, hari pertama, saya pergi solat asar berjemaah ke masjid. Selesai solat, semua orang beredar. Seperti biasa imam, Pak Ndak Mud duduk menghabiskan wiridnya. 

Saya menghampiri beliau, beritahu niat untuk mengaji semula berlaga lutut dengannya. Dia suruh ke rumahnya waktu malam sebab ada beberapa orang dewasa yang sedang belajar mengaji setiap malam. Saya kata tak mau turut serta dengan orang lain, hanya mahu saya dan dia berdua saja.

Dia kata boleh, dan bertanya bila nak mula. Saya terus jawab, 'sekarang!'. Lalu dia suruh pergi ambil naskah Al-Quran. Hari itu juga saya mula membaca Al-Quran di depannya kembali. Dia suruh baca surah Fatihah saja sampai habis dan dia diam mendengarnya. Kemudian disuruhnya saya baca kembali, lalu dia menegur sebutannya satu persatu.

Begitulah berterusan hari ke-2, 3, 4 dan kekal hanya ulang baca fatihah sampai seminggu. Saya ikut saja apa yang dia suruh buat. Selagi dia tak puas hati dengan bacaan saya, saya ulang dan buat yang terbaik. Sehinggalah dia puas hati dengan berkata, 'haaa, dah boleh jadi imam'. Saya anggap dia berseloroh.

Sejak hari itu saya baca Quran di depannya setiap hari selepas asar sampai habis 30 juzuk. Masuk ke surah-surah lazim, dia suruh saya hafal semuanya. Saya hafal dan hanya ubah ke surah seterusnya selepas dia puas hati. Semua proses itu membuatkan saya dapat kuasai amalan membaca Quran dengan baik standard budak kampung saja, bukan qari atau level para imam hufaz atau ustaz bertauliah. 

Saya boleh baca dengan tajwid yang betul tapi jangan tanya saya tentang hukum atau namanya, saya tak tahu satupun nama hukum tajwid tu sebab belajar secara dengar dan ikut saja dari Tok Imam. Habis 30 juzuk, saya kekal ulang baca dengan Pak Ndak Mud seperti biasa.

Masuk bulan puasa saya baca satu juzuk sehari selepas asar. Dia dengar masa permulaan beberapa helai saja sementara dia habiskan wirid rutinnya. Bila selesai wirid, dia beredar dan saya kekal sambung baca sampai tamat satu juzuk. 

Begitulah amalan membaca Quran saya kekalkan jadi rutin harian sekalipun sudah berhijrah ke Lembah Klang selepas itu. Hari biasa saya baca sehelai atau 2 helai muka surat dan bulan puasa saya baca sejuzu' sehari.

Ubah cara dekati Al-Quran

Semua berubah bila saya mula tak puas hati sebab rajin baca berulang-ulang khatam demi khatam tapi sehabuk pun tak paham apa yang di baca. Setakat lancar sahaja rasanya tak mendatangkan apa-apa manfaat terhadap pemikiran dan pegangan hidup saya berpandukan isi sebenar Al-Quran. 

Mulanya ada rasa bangga juga sebab lancar baca, memang kebanyakan orang terutamanya yang baca merangkak akan kagum pada mereka yang lancar. Tapi bila fikir semula, tak perlu nak bangga apa-apapun. Jika anda baca Kitab Veda dalam Bahasa Vedic Sanskrit hari-hari selama 10 tahun tanpa jemu, Sami Hindu pun akan kagum. Tapi kagum sebab mampu baca sajalah, apa yang dibacakan langsung tak tahu.

Maka saya mula beri tumpuan kepada membaca maknanya pula. Kemudian melarat membaca tafsir atau huraian pula dan begitulah berterusan saya buat seorang diri setiap hari. Tapi masih kekalkan bertadarus setiap kali masuknya bulan ramadan.

Sehinggalah tahun ini saya tak bertadarus lagi seperti biasa sebab mahu beri tumpuan kepada kerja menyalin semula setiap ayat Al-Quran dari Al-Fatihah sehingga habis. Itu niatnya, yang saya dah mulakan sedikit demi sedikit sejak setahun lalu. Pergerakannya sangat perlahan sebab tidak berapa istiqamah. Masuk ramadan tahun ini, peluang untuk saya berikan tumpuan secara beristiqamah.

Apa yang saya buat adalah membaca setiap ayat, kemudian merujuk setiap perkataan dalam ayat yang saya baca itu jika diulang pada ayat lain satu persatu. Tujuannya adalah untuk melihat dan memahami maksud sebenar ayat tersebut dari segi konteks ayat. Saya juga buka kamus untuk cuba faham makna dan huraian setiap perkataan. Apa yang saya buat adalah untuk memahami Al-Quran secara direct tanpa dipengaruhi oleh apa pun selain dari apa yang ada dalam Al-Quran sahaja.

Asasnya adalah keyakinan saya bahawa Quran itu datangnya dari Tuhan. Sudah pasti setiap perkataan, setiap ayat, segala susunan, segala ulangan, segala perincian dan segala maksud yang ada di dalamnya adalah satu seni halus yang luar biasa seperti sebuah puzzle yang saling lengkap melengkapi terbina siap tanpa meninggalkan satupun bahan lebih dan sedikitpun tidak kurang. 

Ditambah lagi dengan jaminan Tuhan bahawa ia tidak dapat diubah, membawa kepada keyakinan yang anda boleh cuba twist satu perkataan untuk memenuhi agenda politik atau kepentingan diri dengan memberikan makna yang bertentangan dari apa yang Quran maksudkan. Sebab makna perkataan dalam semua bahasa sentiasa berevolusi berdasarkan zaman, contohnya makna Gay di zaman JWW Birch dulu langsung tak sama dengan maknanya sekarang. Tapi atas jaminan Tuhan, setiap perkataan dalam Quran itu tak kan mampu diubah selagi anda merujuk pada semua ulangan di ayat lain, anda sudah pasti akan dapat temui maksud aslinya.

Untuk makluman, jika anda baca tafsiran atau terjemahan Al-Quran dalam Bahasa Melayu atau Bahasa Inggeris, bila ada tambahan huraian makna dalam kurungan, itu adalah tambahan yang biasanya tak disebut dalam ayat yang dibaca itu. Maksudnya jika anda buka aplikasi terjemahan Quran word to word akan ada perbezaan antara makna yang diberikan.

Semua itu saya kesan sejak mula mendekati Al-Quran secara perkataan demi perkataan dan membandingkan tafsiran-tafsiran lain yang ada di luar sana baik dalam BM atau BI. Saya juga buka Tafsiran atau Terjemahan Muhammad Assad yang saya rasa satu terjemahan yang paling baik berbanding terjemahan lain yang ada.

Jika saya hanya baca dan buat rujukan demi rujukan begitu saja, rugilah segala usaha untuk pemahaman diri saya sendiri sahaja. Sebab itu saya terfikir perlunya saya buat bacaan secara bersistematik dan mencatit semua yang saya temui. UNtuk buat perkara tersebut maka saya terjemahkan semula satu persatu dan berikan nota terhadap makna yang saya temui jika ia berbeza dari makna yang popular selama ini bersama dengan hujah dan rujukan dari ayat Quran lain kenapa saya berikan makna tersebut.

Itulah kelainan yang berlaku pada bulan ramadan kali ini. Rasa agak kekok tidak sertai tadarus sebab dah terbiasa sehingga jadi mainan emosi ketidakpuasan hati itu. Emosi memang bahaya, ia sering membuatkan anda keliru antara kebenaran dengan kebathilan. 

Moga usaha ini mendapat ganjaran dariNya dan melatih diri saya untuk belajar memahami makna melakukan sesuatu hanya untukNya tanpa ambil peduli apa orang lain nak cakap. Umur pun dah meningkat, masuk fasa terakhir sebelum ditelan bumi. Jadi segala usaha untuk mengambil tanggung jawab 100% terhadap pegangan hidup perlulah dipergiatkan sebab hidup hanya sekali dan tiada lagi peluang untuk membuat pencarian selepas mati. Tuhan lah yang pimpin, dan Tuhan juga yang sesatkan, maka kepadaNya saja aku berserah.

logoblog

Boleh Like dan Share artikel ini di akaun Medsos anda. Terima Kasih sudi luangkan masa membaca artikel, Rasa kekok bila buat kelainan dalam mendekati Al-Quran sepanjang bulan Ramadan tahun 2025

Previous
« Prev Post

No comments:

Post a Comment

Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !