Cerita balik beraya di kampung.
Bila ada di kampung baru-baru ini, satu perkara yang sangat ketara saya lihat adalah, penampilan kawan-kawan semua menandakan mereka dah masuk fasa terakhir sebelum ke lot batu 2, tanah lapang sebelah masjid.
Jika itu yang saya nampak pada diri mereka, sudah tentu mereka juga melihat perkara sama pada saya. Kami semua dah jadi orang tua, kalau saya kekal duduk di kampung mungkin nama saya juga akan masuk dalam senarai ajk masjid seperti mereka sekarang. Saya agak yakin begitu sebab dari dulu sampai sekarang orang yang samasecara sukarela berkhidmat dalam aktiviti kemasyarakatan, orang yang sama juga tidak aktif, orang sama juga yang lebih banyak mulut dari tulang 4 kerat, dan yang sama juga tak ambil kisah apa yang berlaku. Saya rasa perkara sama berlaku di mana-mana di kebanyakan tempat atau kampung di negara kita.
Satu perkara yang jelas kelihatan bila anda dah masuk peringkat tua adalah, terkeluarnya semua pegangan atau doktrin yang tersimpan dalam benak kepala anda sejak sekian lama. Semua dizahirkan, dah tak main simpan-sorok terlebih dulu untuk tengok keadaan sebelum dedahkan apa yang anda rasa di dalam hati.
Bila dah sampai fasa berumur, dah tak boleh nak berlakon percaya lain, cakap lain dan buat lain. Sudah tak ada masa untuk jadi hipokrit apabila anda sudah tak ada apa-apa lagi untuk rasa rugi, 'nothing to lose' kata orang putih. Kata orang tua-tua, hidup bermula ketika umur 40 tahun. Saya ambil faham ayat itu yang anda mula jadi diri sendiri setelah 40 tahun tiru-tiru, ikut-ikut dan cuba mencuba. Jika lepas 40 tahun masih tiru meniru, cuba mencuba, anda sebenarnya terencat dalam pembesaran dan tak pernah jadi matang.
Beli rempah Baba's
Hari ke-2 raya, saya ke pasar basah di Pekan Penanti untuk beli rempah kari nak buat gulai ikan. Itu masakan wajib bila balik kampung yang saya akan minta adik perempuan tolong masakkan. Hanya dia yang ada sentuhan arwah mak dalam semua masakan yang saya suka.
Rempah kari yang saya akan beli adalah cap Baba's. Dalam banyak-banyak jenama, itu yang jadi pilihan berdasarkan rasa yang saya mahukan. Dah cuba berbagai jenama dan akhirnya Baba's juga yang menang.
Dulu ada pengganti yang sedap, saya beli di Market Kepala Batas. Rempah campur Ali, seorang mamak dari India yang jual segala rempah ratus di pasar tersebut. Dia campur secara manual apa saja jenis rempah yang anda mahukan dan timbang. Rempah ikan, rempah kari daging, ikan masin, dalca, beriani, pesamah dan apa saja akan dicampur dengan baik dan hasilnya akan jadi lazat bila anda balik masak di rumah. Malah dia siap bagi resepi lagi cara terbaik untuk buat masakan yang anda minta.
Tapi sejak Ali dah tak ada digantikan oleh anak dia, campuran dah mula berubah dan saya beralih semula kepada Baba's. Bapak mereka balik India, itulah yang diberitahu apabila saya tanya mereka.
Pagi raya ke-2 tu saya ke kedai runcit kecil dalam pasar ikan di Pekan Penanti dan terus ambil sebungkus rempah kari Baba's bersaiz sederhana. Kebetulah ada kawan kampung, senior sikit dari saya dan dia pencen dari kerja cikgu. Saya kenalinya sebagai seorang yang pendiam dan tak banyak cakap.
Tapi seperti yang saya kata di atas tadi, bila masuk umur tua, anda dah tak boleh nak sorok cara berfikir lagi. Itulah yang berlaku bila dia nampak saya pegang bungkusan rempah kari Baba's.
"Rempah orang kita ada kenapa beli rempah tu?" dia tegur saya didengari oleh semua orang yang sedang sibuk buat pembelian di situ.
"Dalam bab makan, perkara utama yang diambil kira adalah halal atau haram dan sedap atau tidak. Orang kita atau bukan tak ada dalam perkiraan", saya jawab sama kuat dengan tegurannya tadi.
"Beli yang tu, tanda sokong depa .. " makin kuat pula dia bantah apa yang saya cakapkan.
Bila nampak dia bersungguh dan bertegas, saya hanya senyum, bayar, dan berniat untuk berhenti dari melayan pantun yang dia cuba jual pada saya dan bergerak menuju ke parkir. Saya cakap secara berbisik, entah dia dengar atau tdak saya tak tahu, "itu cara fikir yang salah .. ".
Bangsa Malaysia yang gagal
Sambil memandu kereta balik ke rumah, suara kawan, cikgu pencen itu terngiang-ngiang bermain di kepala. Apa yang saya fikirkan adalah bagaimana seorang cikgu, bekas cikgu kerja sebagai cikgu dari muda sampai tua, boleh ada pemikiran sedemikian.
Apa doktrin pendidikan yang dia telah sebar dan serapkan kepada semua bekas anak muridnya selama ini?
Aras pemikiran yang sangat rendah apabila anda punya fikiran, beli barang orang bukan Melayu tandanya sokong bukan Melayu. Bekas cikgu diatas sendiri bersikap hipokrit apabila kopiah, baju melayu, kain pelikat, dompet duit, kenderaan, rumah dan segala peralatan yang dia ada, malah masjid dan semua isinya yang dia rajin bersolat, 99% dari semua bahan yang diperlukan untuk buat semua itu dikeluarkan oleh bukan Melayu. Ertinya dalam dia tegas dengan doktrin beli bukan Melayu tanda sokong bukan Melayu, 99% dari transaksi hidupnya menunjukkan dia sokong bukan Melayu. Kalau tidak dia terpaksa berbogel saja untuk ke pasar setiap hari dan berjalan kaki.
Perkataan 'sokong' yang cikgu pencen itu maksudkan saya andaikan sebagai, sokong bangsa dan agama pengasas, pemilik syarikat Baba's iaitu R. Pagalavan yang memulakan perniagaan ketika masih muda di tahun 1970an dahulu. Dia bermula dari berniaga dengan sebuah van kecil berpusing seluruh taman perumahan di Lembah Klang dan akhirnya berjaya sampai terbentuk jenama Baba's.
Apa yang R. Pagalavan buat itu adalah apa yang Tuhan anjurkan dalam Al-Quran, buat baik, berusaha, selesaikan masalah orang, jangan menipu, jaga kualiti dan sebagainya yang mana terbukti berhasil bila melihat apa yang berlaku kepada perniagaannya. Dia juga sediakan peluang pekerjaan, peluang perniagaan jadi ajen jual produknya, bayar cukai, dan lain-lain yang mana semua rakyat ambil faedah dari segala sumbangan itu.
R. Pagalavan tak suruh orang sembah tokong atau suruh masuk agama Hindu, tak suruh orang tak percayakan Tuhan, dan tak suruh buat jahat. Bab kepercayaannya dia simpan secara peribadi sebagai hak individu yang dilindungi oleh perlembagaan negara.
Jadi kat mana salah jika anda beli rempah Baba's?
Kawan saya, cikgu pencen itu dan semua orang Melayu yang berfikiran sepertinya masih tidak dapat terima wujudnya negara Malaysia yang berbagai bangsa menumpang sementara di bumi Tuhan ini untuk cuba hidup secara aman.
Saya dengar ucapan Lee Kuan Yew dalam forum antarabangsa tentang membina negara yang berjaya. Untuk pastikan negara naik, pemimpin tak boleh abaikan satu pun lapisan masyarakat yang ada dalam negara itu dari segi status kedudukan sosial, bangsa, etnik atau agama. Semua lapisan itu perlu dinaikkan sama-sama berdasarkan kedudukan masing-masing.
Maksudnya, semua orang, asalkan mereka sah kerakyatan, tidak melanggar undang-undang, berusaha secara sah dan halal, tidak boleh disingkirkan dari mendapat peluang maju yang sama rata. Meritokrasi adalah alat semula jadi yang dapat membantu kemajuan setiap orang yang ikhlas mahu berjaya dalam hidup. Buat produk sebaik mungkin untuk dapatkan pasaran dan bersaing secara sihat. Bukan dengan sabotage jiran atau pesaing.
Tak salah mahu jadikan bangsa sendiri gagah dan berjaya. Sama baiknya dengan sikap seorang ayah yang mahukan keluarganya jadi hebat, terkenal, berbakti dan disegani dengan kejayaan yang luar biasa. Tapi cara untuk jadi gagah dan berjaya itu perlu betul.
Dalam perniagaan, orang Melayu tidak boleh paksa semua orang beli produk atau servis yang mereka buat hanya atas dasar itu produk bangsa Melayu. Lebih-lebih lagi dalam keadaan aman damai dan tiada persengketaan politik atau ekonomi berlaku. Yang ada hanyalah sekadar persaingan yang sudah pasti sentiasa wujud untuk memaksa setiap orang berusaha jadikan hari ini lebih dari hari semalamnya.
Apa yang orang Melayu perlu buat adalah berusaha sebaik mungkin jadikan produk atau servis mereka sangat bagus sehingga semua orang terpaksa beli produk buatan mereka sebab sangat bagus. Bukan sebab itu produk Melayu.
Itu kunci perniagaan, itu kunci persaingan yang sihat. Seperti yang saya sebut tadi, dalam bab makan, kriteria utama pemilihan adalah Halal atau Haram, Sedap atau Tidak. Dalam semua produk dan perniagaan, kriteria pemilihan pelanggan adalah Sah atau Tidak dan Berkualiti atau Tidak.
Dalam perlumbaan lari, anda tak boleh pujuk semua peserta lain pastikan lari kurang laju dibelakang supaya anda dapat jadi pemenang nombor satu. Itu kerja lawak dan jika semua orang setuju dengan cara anda, hancurlah masyarakat, hancurlah negara ..
Saya tak pasti samada bangsa lain di negara kita ada sikap lebih utamakan bangsa sendiri sebagai kriteria utama atau tidak. Tapi setakat yang saya alami bila berniaga, saya tak nampak itu berlaku secara terbuka. Dalam bab produk, mereka pilih kualiti, begitu juga dalam bab kerja, pemilihan vendor dan sebagainya. Bukti jelas boleh tengok dalam bab makanan, orang Cina beratur beli makanan Melayu sebab hanya orang Melayu yang lebih pandai buat makanan Melayu. Orang Cina Pulau Pinang juga beratur beli nasi kandar sebab makanan tu kepakaran mereka. Kalau Cina Bukit Mertajam buka kedai nasi kandar saya sangsi orang Cina akan pergi beratur sama macam mereka buat di Line Clear.
Tapi malangnya orang Melayu, syarikat Melayu, pekerja Melayu, produk Melayu dan hampir semua yang Melayu, sering kalah dengan yang bukan Melayu dalam banyak lapangan secara umum.
Apabila bukan Melayu tidak beli atau memilih yang Melayu, maka tuduhan pertama yang dilemparkan kepada bukan Melayu adalah, mereka memang benci Melayu. Sedangkan secara umumnya, mereka sama seperti semua bangsa lain yang waras, mereka bencikan produk, servis dan kerja yang tidak berkualiti.
Dalam satu keluarga, anak yang paling dimanjakan oleh ibubapa akan berakhir susah hidupnya bila dewasa nanti. Mungkin itu yang berlaku pada orang Melayu. Wallahu'alam.
No comments:
Post a Comment
Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !