Jas-du-it

Jasduit - Just do it !

22 April 2025

Kenapa P Ramlee sering gambarkan ayah sebagai seorang yang kedekut dalam berbelanja?

  Ano Nyme       22 April 2025


Bagi anda yang sezaman dengan saya, tentu masih ingat keistimewaan hari jumaat malam sabtu. Itu merupakan malam di mana filem klasik Melayu ditayangkan. Di zaman itu, rumah saya tak ada TV, malah tak ramai orang yang ada TV di kampung saya zaman tu. 

Itulah satu-satunya hari di mana saya akan bertandang ke rumah jiran untuk menonton TV. Mak akan siapkan saya pakai berish-bersih, berbedak dan kemudian saya akan dihantar ke rumah Cikgu Raman, nama panggilan jiran kami yang pemurah benarkan saya berada di sana setiap minggu, hari jumaat malam sabtu.

Dua jenis cerita yang tak pernah saya lupa, pertama cerita kependekaran. Aksi bersilat yang ditonton bakal jadi modal untuk saya buat bila bermain dengan kawan-kawan d siang hari. Saya akan tiru bunga tari silat yang hero buka. Tapi bila masuk bab lompat dan terbang, tak dapat la nak tiru.

Keduanya adalah cerita lawak P Ramlee. Entah berapa kali saya menonton cerita P Ramlee dari dulu sampai sekarang, filem yang sama dah tahu semua jalan cerita, namun tetap akan tertawa juga setiap kali masuk bab lawak.

Watak bapa kedekut

Entah hanya saya saja yang terlekat imej seorang bapa biasanya kedekut sebagai mana yang sering dipaparkan dalam filem klasik P Ramlee, atau mungkin orang lain punya gambaran sama. Terutamanya jika Ahmad Nisfu yang berlakon jadi bapak, sah akan bawa watak bapak kedekut.

Semua itu tidak saya ambil kisah sangat sehinggalah diri sendiri sudah meningkat umur dan membawa watak seorang bapa, bukan dalam filem tetapi dalam kehidupan sebenar. Saya mula terfikir akan watak seorang bapa yang kedekut. Sebab setiap perbelanjaan selain dari yang wajib, saya tak akan keluarkan semudah seperti yang anak-anak dan isteri minta.

Adakah perkara sama difikirkan oleh anak-anak dan isteri terhadap diri saya sekarang?

Saya yakin memang watak saya yang saya bawa sekarang adalah watak seorang bapa yang kedekut juga, sama saling tak tumpah sebagaimana yang sering digambarkan oleh Ahmad Nisfu dalam lakonannya. Ibu dalam filem klasik perlu pandai melakonkan peranan bagaimana nak tangani seorang bapak yang kedekut, dan saya yakin begitu juga ibu kepada anak-anak saya sekarang punya sikap yang sama seperti pelakon klasik dulu yang sentiasa cari jalan untuk duit keluar dari poket saya.

Antara kedekut dan berhemah

Adakah saya seorang yang kedekut?

Sudah tentu saya tak akan mengaku. Tetapi kadang kala memang terfikir juga samada saya ni kedekut atau sebenarnya saya ambil langkah berhati-hati dalam perbelanjaan. Selalu saya baca posting orang lelaki yang beri nasihat untuk jadi pemurah belanja anak-anak dan isteri, jangan nak berkira, kesan baiknya sangat tak terduga. 

Posting sebegitu hanya kuatkan bukti bahawa semua lelaki berhadapan dengan dilema yang sama antara nak bagi atau tidak kepada semua permintaan keluarga. JIka mereka tak rasa begitu, kenapa nak buat posting memujuk perasaan sendiri sebegitu.

Buang sekejap samada kedekut atau berhemah, saya cuba berikan pencerahan apa yang sedang berlaku sebenarnya.

Pertamanya ia ada kaitan dengan peribahasa Afrika yang berbunyi, jika diterjemahkan, "apabila anda membawa air anda sendiri, anda akan menghargai setiap titisannya"

When you carry your own water, you will value every drop.

Dari mula dapat anak sehinggalah mereka remaja dan dewasa, saya jadi satu-satunya orang yang membawa air balik ke rumah untuk digunakan oleh semua ahli keluarga. Bayangkan cara mandi setiap orang yang ada dalam rumah itu. Yang tak pernah merasa jerih payah mencari dan bawa balik air sudah tentu jauh berbeza dengan yang hari-hari pergi dan balik bawa air.

Setitik yang jatuh secara sia-sia dilihat oleh orang yang memikul membawa balik air itu seumpama satu hentakan kuat berlaku di dalam hatinya. Tapi yang lain memang tak akan sesekali dapat merasakan atau mendengar rupa bunyinya selagi mereka sendiri tidak merasa keluar dan balik bawa air untuk digunakan oleh semua orang.

Kenapa ia dirasakan amat bernilai?

Jika rasa sayang sangat, simpan sajalah jangan digunakan. Biar duduk dalam bekas air tu sampai bila-bila. Perkara yang sama akan diucapkan oleh isteri dan anak-anak. Duit yang dicari adalah untuk digunakan, dibelanjakan untuk keperluan dan kehendak hidup. Kalau simpan tak digunakan buat apa cari duit tu.

Pandang jauh

Memang betul apa yang mereka katakan, duit dicari untuk digunakan, bukan untuk dibiarkan terpendam dalam akaun bank tak buat apa-apa. Kalau dapat duit tak mau guna, apa guna cari dan simpan duit tu.

Oleh kerana tujuan cari duit adalah untuk digunakan lah maka ia jadi sangat berharga. Itu yang membezakan antara pandangan seorang ayah dengan seorang isteri. Terutamanya keluarga yang hanya ayah bertindak sebagai pencari rezki untuk seisi rumah dan isteri bertindak sebagai suri rumah sepenuh masa.

Seorang lelaki sering melihat jauh ke depan dari segi tempoh dan kekerapan penggunaan setiap hasil yang dia bawa balik. Lagi kurang yang digunakan, bererti makin lama ia dapat bertahan dan semua itu menjuruskan kepada penjimatan tenaga, penjimatan pening kepala, penjimatan rasa risau dan lain-lain lagi seumpamanya yang perlu dihadapi oleh seorang ayah. Maklumlah, umur makin meningkat, usia makin lanjut dan tenaga makin berkurangan. Itulah yang difikirkan oleh para ayah.

Peperangan antara risau dan yakin yang sering berlaku dalam kepala saya, Tuhan saja yang mengetahuinya. Kalau nak cerita begitu kepada isteri, hanya bakal tak cakap 3 atau 4 hari pulak. Jadi biarkan saja ia berlaku, jadi satu latihan debat dalam kepala sampai cekap, sampai keyakinan dapat mengatasi ketakutan.

Apa yang seorang ayah harapkan adalah agar dia masih dapat bertahan keluar dan balik membawa air ke rumah sehinggalah semua anak-anaknya mampu keluar dan bawa balik sendiri air mandian mereka. Untuk sampai ketahap itu, ia umpama satu marathon yang sangat jauh. Beruntunglah para bapak yang sudah berjaya melaluinya.

Saya yakin 100% ketika itu, kalau isteri nak ambil semua duit yang saya ada untuk dia belanjakan, buat dan beli apa yang dia suka, saya relakan nya. Tapi saya tak la cakap macam tu kat dia, takut nanti dia tuntut dan ketika itu saya berubah fikiran pula. Pendamkan saja terlebih dahulu sehingga tiba masanya.

Ayat dalam surah Al-Baqarah ini sentiasa melenyapkan rasa risau terhadap semua duit yang dibelanjakan terhadap keluarga.

Bukanlah sifat terpuji itu (kebaikan) bahawa kamu hadapkan wajahmu ke arah Timur dan Barat, akan tetapi kebaikan itu adalah mereka percaya kepada Allah, dan Hari Akhir, dan malaikat-malaikat, dan Kitab-Kitab, dan Nabi-Nabi; dan memberi harta, walaupun dicintainya, kepada sanak saudara, dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, dan musafir, dan orang-orang yang meminta-minta; dan memerdekakan hamba, dan tunaikan solat, dan zakat, dan mereka yang tepati perjanjian mereka, apabila mereka buat perjanjian, dan orang-orang yang sabar dalam kesempitan, dan kemelaratan, dan ketika konflik (bencana, panik, getir). Mereka inilah orang-orang bertakwa dan benar. - Q2:177

Dalam ayat di atas, perkataan yang Tuhan sebut dalamnya adalah ٱلْبِرَّ (al-bir)  yang selalunya diterjemahkan sebagai kebajikan, kebaikan, ketaatan dan seumpamanya. Dalam Bahasa Inggeris di terjemahkan sebagai 'virtue' yang lebih tepat dan memberi maksud sebenar, bagi saya. Jika rujuk kepada Lane Arabic-English Lexicon, ia memberi maksud sifat yang terpuji, adil, jujur, baik dan seumpamanya. Apa yang para ayah buat selama ini terhadap keluarganya adalah satu kebaikan yang sebenarnya.

Dalam melaksanakan semua usaha itu sebaik mungkin dan tiba-tiba ajal tiba, saya rasakan seperti seorang yang meninggal ketika dalam perjuangan menunaikan tanggung jawabnya sebagai seorang ayah. Sesuatu yang perlu diraikan.

Bagaimana anak-anak dan isteri akan teruskan hidup mereka selepas itu, bukan urusan mayat ayah lagi. Malah selama inipun, tugas ayah adalah berusaha tunaikan tugas dan kewajipannya, mengambil peluang buat kebaikan yang terbentang depan mata. Hakikatnya, Tuhan lah yang berikan rezeki pada semua ahli keluarganya. Kalau ayah tak buat, dia lah yang rugi, bukan keluarganya. Rezeki mereka tetap ada.

Keperluan & kehendak

Namun begitu sebagai seorang ayah yang waras, saya tahu membezakan antara keperluan dengan kehendak. Dalam bab keperluan seperti makan minum, tempat berlindung, kesihatan, pendidikan, keselamatan, dan sebagainya, tidak ada langsung timbul persoalan untuk kedekut berbelanja. Selagi ada, saya akan berikan. Kalau tak ada akan saya usahakan juga walaupun terpaksa berhutang, itu sumpah saya selagi masih hidup sebagai ayah.

Yang sering dipersoalkan sehingga dilabel kedekut adalah apabila si ayah berkira dalam perkara yang masuk dalam kategori kehendak. Beli barang sebab ikut trend, beli kasut mahal sebab nak tunjuk kaya, tukar atau tambah baik kelengkapan sebab nak raya sedangkan yang ada masih cantik dan dalam keadaan baik, bedak & gincu berjenama sebab penjualnya janji boleh ubah pemakainya jadi lebih lawa .. semua itu hanya rencah untuk sedapkan tekak saja. 

Perlu lah berkira semua perbelanjaan itu sebab setiap sen yang diperuntukkan kepada semua perkara kehendak bakal merampas peruntukkan kepada perkara keperluan.

Saya sering tekankan kepada penjimatan sebaik mungkin dalam melaksanakan semua urusan kehidupan di rumah sebab penjimatan tersebut memberikan ruang yang lebih selesa terhadap peruntukkan kepada perkara perlu. Supaya baki simpanan yang ada dapat menampung lebih lama di masa yang akan datang nanti, memang hidup sementara, tapi baki duit yang saya simpan bukanlah untuk saya sendiri, tetapi untuk keluarga. Jika mati, itu semua jadi hak anak dan isteri yang masih ada.

Banyak penjimatan yang boleh diamalkan dalam kehidupan seharian. Saya cuba senaraikan perkara yang berlaku dalam hidup seharian tetapi diabaikan sebab dah jadi kebiasaan. Sebab penjimatan itu seumpama titisan air yang jatuh sia-sia yang saya gambarkan di atas tadi. Yang nampak hanyalah si ayah yang saban hari keluar dan balik bawa air untuk seisi rumah.

  1. Membasuh pakaian - Himpun jumlah yang optimum baru basuh serentak. Bukannya kena ikut jadual kena basuh setiap pagi sekalipun yang ada dalam mesin tu 5 atau 6 helai. Juga dalam bab tukar pakaian, sekurangnya pakailah untuk 2 hari jika masih tak terjejas kesegarannya dan tak mandi peluh.
  2. Peralatan eletrik - Tak perlulah pasang aircond sepanjang masa, atau sepanjang malam. Jika tak panas membunuh, tahan sajalah, buka saja kipas angin dan alirkan udara dengan buka tingkap. Tak perlulah guna alat masakan letrik semedang sebab nak jimat masa dan nak kerja mudah, gas lebih murah, pakailah gas. Coway atau Cocco, tak perlu ada pun tak apa, kenapa tertipu dengan promosi mereka. Penjimatan begitu dapat selamat 2 ke 3 ratus sebulan, tenang hati ayah melihat bil letrik.
  3. Makan sedap - Setiap hari nak makan sedap, malah bukan setakat sedap, buruk untuk kesihatan segala makanan kek, biskut, aiskrim, jajan, asam dan segala tok nenek yang sekarang sedapkan tekak tapi burukkan kesihatan. Sekali sekala tak apalah. Kalau ayah beli lauk 3 jenis, masaklah satu jenis sehari bukannya habiskan semuanya masak dalam satu hari sebab nak banyak lauk supaya makan sedap.
  4. Cuti cuti Malaysia - Biarlah kerajaan dengan promosi mereka sekalipun satu Malaysia ikut dan habiskan duit berjalan setiap minggu. Setahun 2 kali pun sudah mencukupi. Atau setahun sekalipun atau kurang dari itu dah okay. Ingat ada orang kampung yang seumur hidup tak pernah layan cuti-cuti Malaysia ni, dia kerja, berbakti sampai ajal menemuinya. 
  5. Sambutan hari jadi - Kalau ada anak 5 orang dan setiap orang disambut khas harijadi mereka tepat pada harinya, siapa kena adakan hadiah istimewa, berapa banyak belanja perlu disediakan untuk urusan yang tidak berapa bermanfaat untuk hidup dengan lebih baik tu. Apa salahnya makan dan minum saja dan kumpulkan untuk 2 atau 3 orang sekali. Bukan satu jenayah pun jika buat begitu.
  6. Pakai selagi elok - Perabut, tikar, karpet, dan semua kelengkapan yang ada perlu dijaga, dipertahankan selama mungkin. Bukannya bila kotor terus masuk ke dalam tong sampah untuk beli yang baru. Selagi belum koyak, belum hancur sampai tak boleh dibaiki, pertahankan dan pakai saja. Lantaklah orang lain tukar yang baru, duit dia biarlah dia habiskan. Kita tak perlu ikut.

Secara umum itu yang saya dapat fikirkan. Semuanya mudah, senarinya pendek saja, tapi mempertahankan supaya dapat diamalkan sepanjang hidup adalah satu cabaran yang berat. Jika ayah tegur semua itu bukan sebab mereka kedekut, tapi hanya melaksanakan tugasnya untuk ingatkan semua ahli keluarga bahawa membazir itu kerja syaitan. 

Jadi, rumusannya, apa yang P Ramlee gambar dalam filemnya tentang ayah yang kedekut, bukanlah rekaan. Ia adalah hakikat kehidupan yang pasti berlaku pada setiap ayah yang punya perasaan bertanggung jawab dalam hidupnya. Wallahu'alam.

logoblog

Boleh Like dan Share artikel ini di akaun Medsos anda. Terima Kasih sudi luangkan masa membaca artikel, Kenapa P Ramlee sering gambarkan ayah sebagai seorang yang kedekut dalam berbelanja?

Newest
You are reading the newest post

No comments:

Post a Comment

Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !