Jas-du-it

Jasduit - Just do it !

27 April 2025

Kisah seorang apeque yang menjual sebuah basikal kepada 5 orang yang berbeza

  Ano Nyme       27 April 2025


Saya mendapat cerita ini dari abang saya yang bertugas sebagai seorang polis di Pekan Sungai Siput satu ketika dahulu. 

Dia kongsikan kisah seorang apeque yang punya banyak kes jenayah menipu dan kerap keluar dan masuk lokap di situ. Apeques itu tak menipu untuk dapatkan duit yang banyak. Cukup sekadar untuk melepaskan keperluan hidupnya seharian makan dan minum.

Ada satu ketika terdapat aduan ke balai dari 5 orang yang berbeza mengadu mereka telah ditipu oleh seorang apeque yang menjual sebuah basikal kepada mereka. Setiap orang telah membayar sejumlah duit kepada seorang apeque untuk membeli basikal yang apeque itu jual tapi tidak dapat memiliki basikal yang mereka beli.

Semua punya kisah yang sama dan deskripsi apeque yang diberikan juga nampaknya sama. Mulanya apeque itu pergi bertemu dengan mereka menawarkan sebuah basikal dengan harga yang murah. Mereka bersetuju dan memberikan kepada apeque itu sejumlah wang. Kemudian apeque itu meminta izin untuk pinjam sebentar basikal itu untuk urusan tertentu dan mereka izinkan.

Apa yang apeque itu buat adalah pergi bertemu dengan orang lain dan menawarkan pula untuk menjual basikal tersebut. Bila ada bersetuju untuk membelinya, dia buat perkara sama, meminta izin untuk pinjam sebentar basikal itu. Dan begitulah seterusnya sehingga dia dapat menjual basikal yang sama kepada 5 orang yang berbeza.

Dan macam biasa akhirnya apeque itu akan tertangkap dan dimasukkan ke dalam lokap. Biasanya apeque itu tak kisah masuk lokap sebab makan dan minum untuknya sudah selesai kerana ditanggung oleh pihak balai. Begitulah apeque itu jalani kehidupannya.

Tipu dam haji

Saya cerita kisah apeque di atas sebab baru menonton sebuah video Indonesia yang menceritakan kisah hampir sama. Tapi bukan di negara Indonesia. Penipuan itu dilakukan di Tanah Suci Mekah. Dia kongsikan bagaimana aktiviti penipuan terhadap pengunjung ke Tanah Suci itu terhadap mereka yang beli kambing untuk membayar dam.

Seekor kambing yang sama akan dijual kepada lebih dari 10 orang. Perjanjiannya, penjual akan sembelih kambing itu untuk diedarkan kepada fakir miskin bagi menyelesaikan dam yang ditanggung oleh pekerja haji.

Penjual kambing itu untung berlipat ganda kerana bukan saja ia hanya perlukan seekor kambing sahaja untuk kutip duit dari lebih sepuluh orang, malah kambing yang disembelih itu pula akan dijual dagingnya kepada restoran. Dia hanya perlukan 100 ekor kambing untuk jual kepada lebih dari 1000 orang jemaah haji. Banyak duit penjual kambing itu dapat. Itu satu perniagaan yang sangat lumayan di tanah suci yang tanahnya saja suci tetapi bukan kebanyakkan orangnya.

Di negara kita dan ada sampai sekarang berlaku di shopping mall dan sebagainya, ada berlaku juga perkara sama. Mereka menjual saham wakaf Al-Quran. Hanya ada senaskah Quran pada mereka dan dijual kepada seramai mungkin mereka yang yakin Quran yang dibeli akan diedarkan kepada pusat pengajian, pusat ahfiz dan sebagainya. Dari 10 orang yang dikutip, entah satu entah 2 saja yang benar-benar diedarkan Tuhan saja yang tahu.

Tentu ada yang berkata, mereka nak menipu itu urusan mereka, asalkan kita ada niat yang betul, untuk Tuhan, lantaklah. Yang pasti usaha mereka itu mendapat ganjaran disisi Tuhan. Apa benarkah begitu? Kenapa kamu sendiri tak pergi ke kedai beli 10 naskah Quran dan hadiahkan kepada pusat Tahfiz. Apa sibuk tara mana kamu?

Skim ponzi

Perkara sama berlaku kepada mereka yang tertipu dengan skim ponzi atau zaman saya dikenali sebagai saham Pak Man Telo. Mereka tawarkan pelaburan kepada seramai mungkin orang yang lapar duit mudah. Laba yang sangat baik ditawarkan dan manusia sekalipun yang dah pernah kena tipu, sering tak dapat menahan diri dari tawaran cepat kaya tanpa perlu kerja teruk.

Penjual skim ponzi akan pusing duit yang mereka kutip dari orang ramai untuk bayar laba yang telah dijanjikan. Mereka yang berjaya dapat laba itu makin percaya dan jadi tukang promosi untuk lebih ramai lagi terjun ke lubang skim tersebut. Seperti kelkatu yang terbang pergi ke lampu yang panas untuk mati.

Ada satu skim pelaburan ketul emas yang lebih kurang sama juga berlaku. Orang ramai ditawarkan untuk beli ketul emas sebagai satu pelaburan dan emas disimpan oleh penjual. Dia boleh jual kepada ramai orang ketul emas yang sama, entah wujud entah tidak emas itu, untuk kumpulkan duit yang sangat banyak, berjuta atau beratus juta. Bila orang ramai secara terkejut mahu dapatkan balik duit atau emas mereka segalanya sudah terlewat.

Abdikan diri terus dengan Tuhan

Melihat semua itu, makin membuatkan saya faham kenapa dalam bacaan surah Fatihah yang kita disuruh ulangnya sebanyak 17 kali sehari sangat penting untuk dihayati. Ia satu peringatan akan perjanjian manusia dengan Tuhannya. Abdikan diri hanya padaNya dan minta tolong hanya padaNya.

Ertinya dalam apa saja urusan kehidupan, sentiasa ingat usaha, perbuatan, transaksi, kebaikan dan lain-lain lagi seumpamanya adalah bertujuan untuk mendekatkan diri kepadaNya. Bukan untuk ego sendiri, bukan untuk ketamakan harta, pangkat dan populariti, tapi demi melakukan apa yang dipertanggung jawabkan kepada kita.

Jangan percaya kepada orang lain dalam urusan mendekatkan diri kepada Tuhan. Samada tok haji, ustaz, alim, wali abdal, amir sahab, maulana, guru mursyid, pakar hadith, pakar fikah, aliran salafi, aliran sunni, aliran syiah  atau sebagainya. Dengar boleh, belajar boleh, dapatkan idea, cara atau strategi memang boleh, tapi sentiasa semak dan imbang, sentiasa verify kata orang putih sebab akhirnya anda akan ditinggalkan seorang diri untuk dipertanggungjawabkan terhadap segala-galanya.

Perlu diingat bahawa mendekatkan diri kepada Tuhan bukan hanya dengan amalan ritual khas yang sebenarnya sangat sedikit. Berniaga, bekerja makan gaji, bersuka rela, bersukan, berbakti kepada semua orang di bawah tanggungan anda dan lain-lain lagi, malah tidak buat apa yang dilarang, semuanya adalah untuk abdikan diri kepadaNya. Sebab itulah pelaburan anda di akhirat yang tiada endingnya di sana nanti.

Syaitan yang memang kerjanya sesatkan orang pun di akhir nanti akan melepaskan diri dari bertanggung jawab terhadap segala tipu dayanya kepada anda. Dia akan menjawab di hadapan Tuhan nanti bhawa dia panggil dan anda ikut, jadi jangan salahkan dia.

logoblog

Boleh Like dan Share artikel ini di akaun Medsos anda. Terima Kasih sudi luangkan masa membaca artikel, Kisah seorang apeque yang menjual sebuah basikal kepada 5 orang yang berbeza

Newest
You are reading the newest post

No comments:

Post a Comment

Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !