Jas-du-it

Jasduit - Just do it !

24 October 2024

Kebaikan kerajaan adakan undang-undang Gaji minimum untuk pekerja di Malaysia

  Ano Nyme       24 October 2024

Kerajaan Malaysia mula perkenalkan undang-undang gaji minimum pada tahun 2013. Masa itu Dato' Sri Haji Mohd. Najib Abdul Razak atau nama glamor nya BoosKu, jadi Perdana Menteri. 

Sebelum itu, selama 22 tahun Tun Mahathir jadi PM, dia tak buat undang-undang gaji minimum. Saya yakin Tun M faham yang negara belum bersedia dengan undang-undang gaji minimum, Malaysia masih belum masuk zon negara maju. Majoriti syarikat PKS adalah berorientasikan penggunaan tenaga buruh. 

Masa zaman Tun juga, banyak syarikat besar masuk melabur dan beroperasi dalam industri pembuatan sebab ambil faedah tenaga buruh yang menarik kosnya bersama kemudahan asas yang bagus. Mungkin ada yang cuba syorkan idea gaji minimum, tapi dengan aura keras dan tahap kepimpinan Tun M yang tinggi, mudah saja dia patahkan gesaan separa masak begitu. Paling penting, dia tahu cara nak menang pilihan raya tanpa terlalu bergantung kepada polisi populis.

Zaman Tun M, ekonomi bagus. Aktiviti perniagaan sangat rancak. Ramai orang Melayu jadi jutawan kaya raya. Melayu yang makan gaji dengan jawatan besar dan gaji besar juga ramai. Saya masih ingat lagi di zaman Tun M dulu, kalau ada jawatan dalam Umno cawangan pun sudah cukup untuk jadikan anda antara orang kaya di kampung. Setiap kali saya jumpa rumah besar macam istana bila masuk kampung orang, saya tahu tentu dia orang kuat Umno ada jawatan penting.

Masa Tun M jadi PM, semua pemimpin Melayu berubah pantas jadi hartawan sama macam kontraktor seni taman buat taman segera; pokok besar tiba-tiba muncul memenuhi taman dalam tempoh sehari dan tinggi. Asalkan anda ahli Umno, atau penyokong Umno, atau ada kena mengena dengan Umno, sudah pasti dapat merasakan tempias hujan duit yang turun lebat dari langit kerajaan Umno. Pegawai kerajaan yang ada kuasa juga tak kurang hebat ligat buat duit masuk kiri dan kanan masa zaman cemerlang Tun M dan Umno dulu.

Pak Lah tak kawal gaji

Semua makin merosot teruk bila Tun M turun dan digantikan dengan Pak Lah. Pak Lah ambil alih kerajaan yang sedang turun bukit laju ke bawah. Nasib dia tak baik untuk tempah nama seperti Tun M. Tun M sendiri yang buat kacau sampai Pak Lah turun. Sepatutnya, Pak Lah buat sesuatu untuk diam dan kuarantin Tun M supaya tak ada berita langsung keluar dari mulutnya, mungkin Pak Lah jadi PM 2 term atau lebih.

Masa Pak Lah naik, sempatlah KJ jadikannya sebagai batu loncatan untuk kerjaya politiknya ketika itu. Macam-macam cerita dengar pasal KJ ligat kumpulkan segala kekuatan yang ada untuk naik ke atas. Tapi Pak Lah masih tak buat undang-undang gaji minimum. Dia lebih suka jadikan Malaysia negara puitis Al-Ghazali dan tarik hand-brake semua projek pembangunan yang Tun M suka, lalu Tun M marah sampai Pak Lah belah.

BossKu hero anak muda

Tun M tunjukkan BossKu pulak untuk ambil alih kerja sebagai PM. BossKu yang berbibir merah bak delima senyum sampai ke telinga 3 hari 3 malam kegembiraan. Walaupun BossKu nampak macam lembik, tapi dia diam-diam ubi berisi. Banyak juga perubahan yang baik dilakukan. Antara yang saya paling salute adalah UTC dan RTC, sangat cemerlang usaha tersebut.

Tapi ketika zaman BossKu juga, undang-undang gaji minimum di perkenalkan. Ketika itu orang muda jadi pertaruhan penting untuk menang pilihan raya. Perkara yang paling disukai oleh mereka adalah nak gaji banyak sekalipun tak pandai buat kerja. Maklumlah, pengalaman masih mentah, pertimbangan masih pendek. 

Untuk pemimpin muda seperti Syed Saddiq jadi hero di kalangan anak muda adalah buat gaji minimum. Maka jadilah kewajiban kepada para majikan untuk bayar gaji tidak kurang dari RM900 di Semenanjung dan RM800 di Sabah dan Sarawak.

Kemudian pada 1 Mei 2022, naik jadi RM1500 secara berperingkat sehinggalah pada 1 Januari 2023 semua wajib bayar gaji minimum RM1500 seluruh negara tak kira sama syarikat kecil kurang dari 5 orang tenaga kerja atau syarikat terpencil di Kapit yang buat bisnes kayuh sampan lintas sungai hinggalah syarikat besar di pusat bandar, semua kena bagi gaji tinggi sebab kos sara hidup dah naik. 

Dan hari ini, kos sara hidup naik lagi. Maka jalan selesai adalah, PMX naikkan gaji minimum dari RM1500 ke RM1700 pula. Hanya dalam tempoh 2 tahun, dan memang kerajaan akan sentiasa semak gaji minimum setiap 2 tahun pun sejak NWCC (The National Wages Consultative Council) ditubuhkan.

Semua para pekerja yang gaji RM1500 sekarang akan lega sebab bermula tahun depan, mereka akan ada kenaikan lagi RM200 tanpa perlu buat apa-apa penambahan skill atau pengetahuan, Kerajaan Madani bantu mereka dengan baik. Dan banyak syarikat yang berorientasi tenaga kerja terpaksa tambah lagi kos bayar gaji dalam keadaan pendapatan syarikat macam itu juga.

Kebaikan & Keburukkan

Memang ada banyak kelebihan gaji minimum ini. Saya boleh bagi beberapa kelebihannya untuk negara. Anda hanya perlu tanya ChatGPT untuk dapatkan senarai kelebihan ini.

  1. Naik taraf hidup rakyat - Betul tu. Jika anda pernah hidup dalam keadaan gaji yang sangat rendah, anda tentu tahu betapa penambahan hanya RM10 sudah dirasakan satu rahmat yang amat besar. Ini kan pula nak dalam angkat ratusan.
  2. Basmi kemiskinan - Projek Microfinance dari Grameen Bank yang ditubuhkan oleh Dr. Muhammad Yunus di Bangladesh sudah cukup untuk jadi bukti bagaimana duit yang sedikit jika diberikan pada orang yang sangat susah mampu ubah hidup mereka. 
  3. Rancak perkembangan ekonomi - Lebih dari 70% rakyat Malaysia kerja lepas SPM dan tak sambung belajar. Mereka adalah calon utama yang dapat faedah kenaikan gaji minimum. Ertinya kuasa membeli naik mencanak, dah tentu ekonomi rancak.
  4. Kekalkan pekerja dan tingkat produktiviti - Gaji naik takkan nak cabut berhenti kerja. Majikan pula tak boleh nak buang pekerja tak tentu hala. Kedua-dua faktor itu membantu pekerja jadi rajin sebab ada motivasi, dalam masa sama buat majikan tekan supaya pekerja kerja betul-betul untuk pastikan kos naik berbaloi.
  5. Kerajaan tak pening tanggung welfare - Ini adalah kesan dari item no 2 di atas.
  6. Pekerja tak disalah gunakan - Ada pekerja yang diberi bayaran rendah tidak sepatutnya dari jenis kerja yang mereka perlu buat. Ramai manusia kejam yang segala amalan perbuatannya jelas menampakkan dia yakin lepas mati sudah tak ada lagi kehidupan akhirat. Majikan sebegitu tak ada pilihan untuk bayar ciput lagi.
  7. Motivasi tingkat kemahiran - Ada duit lebih, ada perasaan syukur, majikan pula perlu pastikan ada faedah jangka panjang dengan pelaburan yang dia terpaksa buat membantu sedmua usaha tingkatkan kemahiran.

Semua teori di atas adalah dengan andaian semua majikan adalah robot yang setia terhadap apa saja keputusan kerajaan dan lebih pentingkan kerajaan, negara dan orang ramai, berbanding taukeh itu sendiri. Dan anda sendiri tahu itu semua hanyalah mimpi di siang hari.

Maka sudah tentu undang-undang gaji minimum ini juga ada keburukan. Malah kemungkinan untuk ia mengatasi kebaikan adalah lebih tinggi. Ini beberapa impak negatif pada negara bila gaji minimum diwajibkan.

  1. Pengangguran meningkat - Majikan mana nak ambil pekerja bila dah tahu dia kena bayar lebih. Malah akan gugat kedudukan pekerja lama yang tiba-tiba melihat pekerja baru tanpa pengalaman dan kemahiran masuk sama gaji dengan dia. Majikan samada perlu naikkan gaji pekerja lama sebelum ambil pekerja baru, atau lupakan saja ambil pekerja. Padan muka semua orang termasuk majikan itu sendiri.
  2. Kos perniagaan naik - Jika tiada pilihan, terpaksa juga ambil pekerja, akan berlaku penambahan kos berganda seperti yang disebut di atas tadi. Juga meningkat sebab tak pasal-pasal kena naikkan gaji semua staff yang selama ini dibayar kurang dari RM1700. Botak kepala taukeh sedangkan jualan sama. Keuntungan akan menjunam dan silap hari bulan akan rugi.
  3. Negara kurang kompetitif - Ini sangat jelas pasti berlaku sebab selama ini, dah berpuluh tahun negara masih ditahap bergantung kepada tenaga buruh punya aktiviti pembuatan. Pelabur dah tak berminat untuk datang buat kilang yang pakai tenaga buruh ramai. Bagi yang kekal beroperasi samada lokal atau dari luar, harga barang sudah tidak menarik lagi apabila barang sama tapi harganya naik.
  4. Inflasi harga barang naik - Kalau perniagaan berada dalam keadaan rugi, cara paling pantas untuk selamatkannya adalah dengan naikkan harga sampai jualan melepasi kos. Ramai akan buat begini termasuk lah mereka yang tidak terkesan dengan kewajiban gaji minimum.
  5. Bisnes gelap bertambah - Sekarang anda boleh berniaga dengan guna berbagai platform online dan offline. Tak daftar perniagaan pun tak apa. Lagipun, bab penguatkuasaan yang amat-amat lemah adalah salah satu trademark kerajaan Pura Chendana sejak dulu lagi. Pasaran gelap terpaks ajadi pilihan mereka yang tak ada kerja sebab banyak majikan tarik hand brake.
  6. Potong OT dan kurangkan kemudahan - Ini semua kes nak pastikan bisnes dapat bertahan. Kalau tak buat, alamat gulung tikar.
  7. No skill no job - Data terkini menunjukkan 72% pelajar tak sambung belajar selepas SPM. Oleh sebab masa sekolah mereka dah ada motosikal, maka satu-satunya skill yang mereka kuasai adalah merempit. Maka hanya kerja jadi rider hantar barang saja yang terbuka peluang nya untuk mereka.

Saya tambah satu lagi kemungkinan yang sangat pasti, iaitu banyak syarikat atau perniagaan akan tutup. Lebih baik berhenti saja perniagaan yang ada jika tak ada lagi peluang untuk buat duit. Kesan dari bahana PKP dulu baru saja nampak macam nak pulih (nampak macam ..), dah kena azab baru pulak. 

Baik lupakan saja harapan untuk jadi kaya dengan berniaga.

Terpaksa kreatif

Satu lagi kebaikan yang saya rasa akan berlaku adalah para usahawan terpaksa jadi kreatif untuk hidup dan jadikan perniagaan mereka kekal relevan dan menguntungkan dalam kekangan kos yang meningkat.

Bisnes haram

Yang pertama saya dah sebut tadi, mereka kreatif melanggar undang-undang bermula dengan buat bisnes tak berdaftar dan bergerak dalam pasaran gelap. Untung berganda, salah guna lambakan penganggur yang berlaku bila banyak syarikat bungkus. Paling malang adalah kerajaan tak dapat sedikitpun faedah cukai dari perniagaan yang mereka jalankan, padan muka.

Bisnes penipu

Usahawan juga akan kreatif menipu pelanggan terutamanya dalam bidang perkhidmatan yang perlukan tenaga buruh gaji rendah. Contohnya bidang cuci bangunan. Masuk tender kerajaan balon harga paling murah ikut apa yang sering diamalkan. Jika syarikat perlu sediakan pekerja mencuci 20 orang bila dapat kontrak, mereka akan letak separuh saja. Bagi duit pejam mata sikit pada pegawai bertanggung jawab, barulah ada untung.

Banyak perkhidmatan yang jenis kerjanya tidak perlu kemahiran tinggi ada ruang untuk menipu secara kreatif sebegitu dengan bantuan suapan pegawai untuk pejam mata. Kadang-kadang tak perlu suappun, pegawai itu sendiri faham keadaan kontraktor yang kurus kering cuba bertahan untuk hidup, lalu dia pejam mata asal kerja jalan. Bagi yang ada pengalaman berniaga terutamanya dengan kerajaan tentu tahu semua aktiviti tersebut.

Usahawan terpaksa maju

Kreativiti yang positif pula adalah mereka beralih kepada aktiviti berautomasi tanpa banyak bergantung kepada tenaga tak mahir. Pakai mesin dan seumpamanya. Segala aktiviti perniagaan dan pembuatan adalah ke arah produk yang bernilai tinggi yang perlukan tenaga kerja berkemahiran tinggi dan paling penting, boleh jual dengan harga tinggi.

Jika usahawan fokus kepada industri bernilai tinggi dengan kemahiran teknologi yang tinggi, akan berlaku masalah kekurangan tenaga kerja berkemahiran tinggi sebab 28% saja pelajar sambung lepas habis SPM. 

Maka ada alasan kukuh untuk ambil pekerja luar berkemahiran tinggi dari negara lain seperti Bangladesh, India dan seumpamanya yang ada kelayakan sangat tinggi seperti Master atau Phd atau Jurutera dan lain-lain, tapi sanggup terima bayaran gaji minimum. Hebat!

Pencen balik kampung

Bagi usahawan yang dah rasa perlu berehat sebab anak-anak dah besar tak pakai banyak duit, mereka akan tenangkan fikiran dengan jual semua hartanah dan perniagaan yang ada, atau tutup saja. Kemudian balik kampung dan jalani kehidupan yang ala kadar self-sustain. 

Ini juga satu kelebihan di mana kampung pendalaman akan terus hidup dan tidak lagi mati. Silap haribulan, anak-anak balik kampung sekali sekala lalu terpengaruh dengan suasana kampung dan hidup ala kadar juga macam mak bapak mereka. Saya rasa akan masuk dalam kategori ini.

Satu penggal lagi

Majoriti pekerja yang terlibat dengan gaji minimum sudah tentu orang Melayu. Baik yang masih ada kerja, mahupun yang masih terlopong hisap gam tak ada kerja. Data kajian dari Khazanah Research yang saya baca kata separuh dari tenaga kerja memang bergaji rendah. Sudah tentu orang Melayu juga.

Apa yang nak saya beritahu adalah, pengundi Melayu yang ramai dapat kenaikan gaji itu sudah tentu berterima kasih kepada K'jaan M'danon yang bertanggung jawab tolong mereka dapat tambahan duit gaji. Pangkahlah PH nanti supaya kekal satu penggal lagi. Sokongan Melayu pada PH akan naik, hubungan PKR dengan Umno makin intim dan kemungkinan Pas mesra PH adalah tinggi. Dan akhir sekali DAP boleh kembali jadi pembangkang. 

Bila kerajaan kekal lama, maka ia jadi lebih stabil dan kesan terhadap kerajaan yang stabil adalah baik untuk pertumbuhan ekonomi terutamanya pada kroni. Kerajaan yang stabil dan diikuti oleh pembangkang yang kuat, jika DAP kembali ke asal jadi pembangkang dan berubah semula jadi singa, setelah disumpah jadi anak tikus comel, itu semua baik untuk negara yang terutamanya untuk golongan bangsawan dan pemerintah. Rakyat ok saja, memang mereka dilahirkan untuk susah dan kena kelentong orang atas dari bayi sampai masuk kubur.

logoblog

Boleh Like dan Share artikel ini di akaun Medsos anda. Terima Kasih sudi luangkan masa membaca artikel, Kebaikan kerajaan adakan undang-undang Gaji minimum untuk pekerja di Malaysia

Previous
« Prev Post

2 comments:

  1. Saya permah merasa gaji minimum RM900 dan RM1200...dulu harga barang tidak semahal sekarang..jadi boleh hidup walaupun dalam keadaan perjuangan ( struggle)

    ReplyDelete

Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !