Jika anda ketandusan perhatian, sudah tentu akan buat apa saja untuk dapatkannya samada secara sedar atau tidak. Itu naluri biasa yang manusia ada secara semula jadi. Biasanya tindak tanduk orang yang tidak cukup mendapat perhatian berlaku tanpa disedari terutamanya pada anak muda.
Ada orang buat perkara yang baik untuk dapatkan perhatian, alhamdulillah jika anda buat begitu. Contohnya rajin menyapa orang, ringan tulang bantu orang yang perlukan bantuan, atau layan bersembang dengan orang yang suka bercerita. Jika anda rasa kurang perhatian, saya syorkan buat apa saja amalan yang baik untuk mendapat perhatian, insyallah, anda tidak akan rasa sunyi lagi.
Yang tak bagus, ada yang cuba dapatkan perhatian dengan buat perkara yang menyusahkan orang. Ini sering berlaku pada kanak-kanak. Kanak-kanak menangis kuat sebab dia mahu tarik perhatian. Bila ibubapa tak layan, dia akan jerit sampai habis suara. Jika dibiarkan berterusan, dia akan jadi anak nakal secara semula jadi sebab salah asuhan. Akhirnya jika nasibnya tak baik, dia terus tergelincir buat perkara yang susahkan orang sampai masuk penjara. Nauzubillah!.
Adalah menarik untuk perhatikan bagaimana haiwan cuba mendapatkan perhatian untuk memahami beza manusia mendapatkan perhatian berbanding haiwan. Haiwan akan buat sesuatu untuk dapatkan perhatian bagi menyelesaikan masalah keperluan asas hidupnya sahaja seperti makan, pembiakan, keselamatan dan seumpamanya. Bila dah dapat, dia akan berlalu sehingga keperluan itu datang kembali.
Manusia sentiasa berlebihan dalam usahanya untuk dapatkan perhatian. Bila dah selesai masalahnya, dia teruskan lagi sebab mahu lebih banyak dari keperluan yang mencukupi untuknya. Tidak cukup dengan melakukannya sendiri, manusia akan upah dan ajar manusia lain untuk dapatkan perhatian untuk dirinya dengan lebih banyak lagi.
Manusia sentiasa berlebihan.
Dunia ketagihan perhatian
Dunia moden berjaya hubungkan manusia dengan amat baik sekarang melalui media sosial. Untuk tunjukkan bahawa anda sedang diberi perhatian, media sosial sediakan segala isyarat yang cukup lengkap seperti butang 'like', 'follow', jumlah view dan sebagainya.
Anda sudah tak perlu keluar rumah untuk melaung minta perhatian lagi sekarang. Cukup duduk dalam bilik dan jadi seorang yang kreatif mencipta apa saja yang menarik untuk dapatkan perhatian. Bila dah besar perhatian diberikan, ia jadi berganda besar lagi bila semua penagih duit gunakan khidmat anda untuk menarik perhatian kepada produk yang mahu dijual. Anda berjaya bina empayar jual perhatian.
Cara terbaik untuk tarik perhatian orang ramai adalah dengan hidangkan perkara yang menghiburkan. Pastikan ia lebih dari biasa, above average, kata orang putih. Tak kisah samada kategori buruk atau baik, anda perlu pastikan ianya above average.
Sebagai contoh, anda boleh menyanyi dengan sangat sedap lebih dari biasa, insyaallah akan dapat perhatian. Atau anda boleh juga menyanyi dengan cara sangat tidak sedap yang sampai ke tahap orang sangat benci mendengarnya, boleh muntah atau rasa nak pecahkan skrin telefon orang yang melihatnya. Itu juga akan dapat perhatian dan jadi viral. Itu cara dapatkan perhatian yang terbukti berjaya.
Buat perkara tak senonoh seperti tayang badan dan berkelakuan seksi tak perlu cakap akan keberkesanannya. Semua orang tahu.
Dari semua kemudahan yang ada sekarang, dengan luasnya media komunikasi yang buatkan anda terdedah sampai ke tahap kronik, membuatkan dunia dihujani oleh maklumat sampah yang sangat besar tahap raksasa. Nisbah antara maklumat berguna berbanding sampah yang masuk ke deria anda setiap hari mungkin sangat ketara besarnya. Mungkin 1: 10,000. Mungkin lebih dari itu.
Ertinya, anda perlu jadi seorang yang sangat cekap untuk menangkap maklumat berguna yang mendatangkan manfaat untuk kehidupan anda dalam menunaikan kewajiban dalam hidup. Keupayaan menapis dan mengenal pasti mana berguna dan mana satu sampah adalah skill yang sangat bernilai di muka bumi sekarang. Jangan pandang rendah terhadap pentingnya membina skill tersebut jika anda tidak mahu hanyut tersesat dalam lautan sampah maklumat.
Nota: Sampah bagi diri anda tak semestinya sampah juga buat orang lain. Anda sendiri lah yang tahu mana sampah mana maklumat penting.
Suka tunjuk kaya
Jika anda seorang lelaki, anda tak perlu sibuk ke hulu ke hilir untuk tunjuk dan nyatakan pada orang ramai bahawa anda lelaki. Begitu juga jika anda seorang perempuan. Jika ada yang berbuat begitu, orang dapat kesan ada sesuatu yang tak kena pada anda.
Sebab itu anda dengan mudah dapat kenal pasti antara bapok dengan perempuan asli. Bapok dia akan sibuk cuba tunjukkan dan buktikan yang dia perempuan. Sedangkan perempuan sebenar tak perlu buat begitu.
Saya rasa perkara sama berlaku pada orang kaya. Jika anda memang kaya, tak perlu ke hulu ke hilir cuba tunjuk dan buktikan yang anda kaya. Tak ada gunanya. Melainkan anda sebenarnya tak kaya, selalunya tidak sekaya yang anda cuba pamerkan. Itu yang saya jadikan panduan dalam menentukan samada seseorang itu benar-benar kaya, sebagaimana yang dia cuba pamerkan.
Biasanya jika dia cuba buktikan dia ada RM10 juta, sudah pasti yang dia sebenarnya ada jauh lebih rendah dari nilai itu. Anda dapat tentukan kedudukannya yang sebenar dengan panduan itu sekelip mata. Jadi, tak perlu buang masa untuk korek dan cuba buktikan yang dia sebenarnya tidak sekaya yang dia dakwa.
Beza kaya dan tunjuk kaya
Saya yakin anda faham beza antara kaya dengan tunjuk kaya. Sama seperti perumpamaan bapok dan perempuan di atas tadi. Jika anda memang dah kaya, anda mungkin beli kereta mewah atau rumah besar dan lain-lain yang hebat atas dasar keperluan bagi penuhi status yang anda ada. Membeli tak sama dengan menunjuk, budak sekolah rendah pun faham beza antara keduanya.
Memang Tuhan jadikan manusia berbagai golongan. Ada yang kaya raya, ada dari keturunan bangsawan dan ada yang lahir saja dah jadi raja. Jika melihat bentuk muka bumi anda akan dapat lihat bentuknya tidak rata. Ada bukit dan bergunung ganang. Setiap gunung ada puncaknya. Golongan pemerintah, bangsawan kaya itu umpama puncak pada gunung-gung yang ada. Tak banyak tapi perlu ada. Masing-masing ada peranannya.
Seorang raja negeri A perlu ada istana supaya Raja negeri B melawat, martabatnya tak jatuh. Itu contoh mengadakan keperluan orang kaya untuk penuhi status dirinya. Sama seperti diri orang kaya yang beli kereta mewah adalah untuk penuhi status keperluan dirinya.
Sebab itu contohnya, Ananda Krishnan, Robert Kuok, Syed Mokhtar atau yang lain seperti mereka misalnya tak pernah tunjuk di media sosial atau buat content mereka beli itu dan ini atau tunjuk kekayaan diri sekalipun apa yang semua orang idamkan mereka mampu beli. Kalau beli pun mereka tak muat naik ke medsos atau panggil wartawan buat liputan. Mereka membeli juga tapi tak menunjuk.
Jika orang kaya beli Ferrari sebab dia memang obses dengan teknologi automotif dan kenderaan laju, ok saja. Bukan sekadar beli sebuah, malah dia mampu beli 10 buah sekalipun ikut suka dialah. Tapi anda jarang lihat orang begitu yang memang kaya dan minat Ferrari share di medsos buat content melainkan dia penjual kereta Ferrari. Itupun syarikat yang buat dan bukannya dia.
Jadi perlu faham beza menzahirkan kekayaan sebab kaya berbanding menunjuk-nunjuk akan kekayaan.
Itulah yang terjadi pada satu kisah viral di mana seorang anak muda baru berusia 35 tahun kongsikan pada orang ramai yang dia dah ada simpanan duit KWSP lebih dari RM2 juta. Jika posting sedemikian lalu pada skrin anda, soalan pertama yang perlu keluar adalah, 'apasal dia nak share ada duit simpanan RM2 juta?
Jika soalan itu terjawab dengan jelas anda boleh teruskan pada soalan kedua pula. 'Apakah maklumat itu ada manfaat untuk aku?'
Jika tiada manfaat maksudnya, anda bukanlah orang yang anak muda itu sasarkan. Jadi tak perlu layan atau sibuk nak ambil tahu. Tapi malangnya, daya tumpuan yang jitu dalam hidup untuk melayan hanya perkara bermanfaat sudah lama hilang pada majoriti besar manusia.
Ramai yang layan dengan meluahkan rasa tak puas hati mereka akan dakwaan anak muda itu. Hingga ada yang bersusah payah buat guna khidmat Chat-GPT untuk kira berapa gajinya bagi membolehkan dia ada duit simpanan sebanyak itu.
Dan dipendekkan cerita, Chat-GPT berikan jawapan dengan pantas, dia perlu ada gaji lebih dari RM90 ribu sebulan. Sebenarnya tak mustahil untuk dapat gaji sebanyak itu dalam dunia sekarang. Tapi ia adalah sangat rare.
Ramai mula serang anak muda itu dan akhirnya dia delete padamkan semua perkongsiannya. Kesian, saya rasa dia hanya perlukan perhatian dalam bentuk pujian. Yang pergi korek dan susah payah nak buktikan dia gebang apa pasal?
Namun begitu, jika anda memang perlu pastikan samada benar atau tidak dakwaan anak muda itu sebab maklumat itu ada manfaat untuk anda, memang patutlah untuk semak dan pastikan terlebih dahulu dakwaannya.
Jika tak perlu, abaikan saja. Yang malang adalah mereka yang tak perlu dan tiada apa-apa kepentingan terhadap dakwaan budak itu, bersusah payah cuba buktikan dia kelentong. Habis masa terbuang.
Dengan amalan ketagih damba perhatian manusia sekarang, membuatkan ramai orang hanyut melayan perkara yang dia tak perlu buat. Itu hanya satu dari seribu satu macam kejadian tarik perhatian yang ada di dunia medsos sekarang.
Untuk memudahkan hidup, anda perlu tahu apa yang anda mahu dan pergi cari secara nekad dan berhati-hati. Keadaan sekarang adalah seumpama dalam cerita dongeng greek berkenaan ikan duyung. Dalam Bahasa Inggeris, di sebut Siren.
Dalam mitos Greek itu, Siren adalah makhluk separuh ikan dan separuh wanita yang akan keluarkan bunyi yang berhantu. Mereka tinggal di kawasan sebuah pulau di selat Messina antara Italy dan Sicily. Bila ada kapal lalu, para kelasi akan hanyut tergoda dengan bunyi yang dikeluarkan oleh siren tersebut sehingga kapal karam melanggar batu karang.
Odysseus, seorang watak hero dalam legenda greek sahaja yang gagal diperdayakan oleh siren ketika kapal mereka melalui kawasan tersebut. Dia menyumbat telinga semua kelasi nya dengan lilin sehingga mereka tidak lagi dapat mendengar sebarang bunyi dari luar.
Odysseus kemudiannya menyuruh anak buahnya mengikat dirinya di sebatang tiang di atas kapal tersebut. Dengan cara itu, dia dapat mendengar dan menikmati bunyi berhantu dari siren dan tergoda tanpa ada apa-apa kesan sebab tak boleh buat apa-apa kerana terikat. Jadi kapal mereka terselamat melalui selat itu.
Sekarang bukan lagi dua tiga ekor siren ada di dalam media sosial tu, malah jumlahnya sangat banyak seperti ulat taik yang saling memanjat untuk keluar tong taik. Jadi berhati-hatilah jika anda melalui selat media sosial. Samada ikat diri anda pada tiang atau pejam mata tutup telinga ketika membukanya. Cubalah fikirkan kiasannya .. saya sendiri tak pasti.
Yang pasti, jika tak perlu, buang saja akaun anda dari media sosial. Bayar gaji pada mereka yang pro untuk semua aktiviti pemasaran memalui medsos. Jika mereka hanyut kecundang dengan siren, buang dan ganti dengan orang lain.
Sekian
No comments:
Post a Comment
Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !